Showing posts with label Emotional. Show all posts
Showing posts with label Emotional. Show all posts

Monday, May 29, 2023

Panic Attack

Salam
.
Lama sudah tidak berkongsi cerita di blog ini. Banyak perkara yang terjadi dan kalau masa itu menyebelahi saya, tentu saja saya mahu coretkan semuanya di sini. Bukan apa, inilah satu-satunya tempat yang saya coretkan rasa hati yang lebih privasi. Di Facebook dan Instagram semuanya lebih bersesuaian dengan bacaan umum. Di blog saya lebih meluah perasaan. 
.
Baru-baru ini, emosi saya diuji dengan sangat hebat. Belum pernah saya alami perkara sebegini. Sewaktu kehidupan saya tenang, saya diserang panic attack yang menyebabkan saya tidak boleh bernafas. Ianya teramatlah menakutkan. Ketakutan yang tidak pernah saya alami sebelum ini. 
.
Al kisahnya selesai bersembang, saya masuk ke bilik air. Mandi dan menyiapkan diri untuk Maghrib. Sedang air laju menjirus tubuh, tiba-tiba datang satu bayangan  diri sendiri yang sedang lemas di dalam air. Sepertinya saya jatuh ke dalam laut dalam, gelap gelita, tiada yang kelihatan. Saya tidak dapat membuka mata dan tidak juga dapat bernafas kerana sedang lemas. Dunia sebenar seakan semakin hilang, tenggelam seperti mana saya yang sedang kelemasan. Saya tidak dapat melihat apa-apa dan tidak juga dapat menarik nafas, semuanya menjadi gelap dan menyesakkan. Saya sedaya upaya cuba menyelamatkan diri, saya menggapai-gapai dan akhirnya tangan saya tersentuh dinding bilik air dan kemudian barulah saya terdengar bunyi air dari pancuran hujan di bilik mandi. Walaupun saya semakin sedar dengan realiti, saya masih gagal membuka mata. Saya cuba tenangkan diri dan membisikkan berkali-kali kepada diri sendiri yang saya berada dalam bilik air. Laut, kegelapan dan ketiadaan udara yang saya alami ini semuanya khayalan semata. Akhirnya saya dapat membuka mata dan dapat bernafas semula. Saya tarik nafas kuat, sakit. Badan saya mengigil ketakutan. Dengan tergesa-gesa saya mencapai tuala dan berlari ke arah suami, meminta dia memeluk tubuh saya sekuatnya. Saya mengigil dan kesejukan. Air mata turun laju. Allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar. Saya tidak pernah mengalami kejadian seperti ini. Semua seperti benar-benar terjadi, susah saya mahu memisahkan bayangan tadi dengan realiti. Anak-anak mengerumuni dan suami meminta saya beristighfar. Setelah beberapa ketika barulah saya dapat mengatur nafas dengan baik.
.
Walaupun saya sudah menjalani kehidupan seperti sediakala, rasa takut itu masih menghantui. Saya mandi dengan pintu bilik air sedikit terbuka. Sebolehnya saya memastikan saya peka dengan keadaan sekeliling sewaktu saya mandi. Bimbang saat air menjirus tubuh dan saya perlu menutup mata, bayangan tadi kembali menjengah. Semuanya agak terkawal sehinggalah suami memberitahu yang dia perlu outstation ke Kuala Kangsar. Saya jadi panik semula, terbayang-bayang kenderaan kami kemalangan dan tercampak masuk ke Sungai Perak. Suami yang pandai berenang terlebih dahulu menyelamatkan bayi Naurah dan saya mati kelemasan di dalam kereta. Ya, sebegitu sekali bayangan kematian saya menghantui dan kali ini lebih dahsyat lagi kerana saya tidak perlu pun ke bilik air. Semuanya datang bila-bila masa sahaja. Pantang rumah sunyi atau saya berehat, bayangan tersebut menjengah. Ibarat seperti bayangan tersebut berada di sebalik belukar dan setiap kali saya berdiam diri atau berada di tempat sunyi, ia keluar dari belukar tersebut dan menghantui saya. Tambah buruk, bayangan tersebut semakin hari semakin jelas. 
.
Saya memanjatkan doa kepada Allah SWT. Saya tadahkan doa, merintih dan menangis kepada Allah. Panjangkanlah umur saya! Itu doa saya ketika itu. Saya merasakan sedang diberi petunjuk dari Allah yang kematian saya semakin mendekat. 
.
Akhirnya hari yang saya takuti tiba. Bertolaklah kami ke Kuala Kangsar. Anak-anak besar (Zahra, Wardah, Haris dan Rauhah) saya tinggalkan pada Mama di Gombak. Dahi mereka saya kucup dengan kasih sayang yang sangat dalam. Sedih mencengkam hati, takutkan mati ini juga datang dengan rasa terkilan tidak dapat menjaga dan membesarkan mereka. Dengan berat hati dan penuh ketakutan saya bertolak ke Kuala Kangsar. Sarat di dada saya tanggung seorang diri sehinggalah sewaktu kami tiba di Ipoh dan Sungai Perak semakin kelihatan. Waktu itu saya tidak lagi dapat mengawal perasaan, air mata mula bertakung dan rasa takut semakin menggunung. Wajah Naurah saya renung dengan rasa sedih yang teramat sangat. Ya Allah, bayi ini akan membesar tanpa kasih sayang seorang Ibu. Kesedihan saya semakin menjadi-jadi. Saya berzikir tanpa henti dengan harapan mahu mengawal perasaan tersebut. Bahu kanan dan kiri mulai tegang dan mengakibatkan rasa sakit. Melihatkan keadaan saya suami bertanya dan saya luahkan semuanya pada dia. Panjang nasihat suami. Beberapa ayat Qura juga dia bacakan agar dapat yakinkan saya bahawa semua ini hanyalah mainan syaitan sahaja. Dan sepanjang perjalanan itu, dia mengenggam tangan saya dan kami zikir bersama-sama. Beberapa kali juga suami memberitahu dia akan membantu saya menempuhi perjalanan ini. Dia akan cuba sedaya upaya bersama dengan saya agar saya tidak keseorangan. Saya juga memohon kepadanya agar mendoakan saya dan dia meyakinkan bahawa nama saya tidak pernah lekang dari tadahan doanya. Alhamdulillah semuanya semakin tenang dan terkawal.
.
Beberapa hari berlalu dan keadaan semakin baik walaupun kadang-kadang saya terasa seperti ada bayangan yang sedang menelusuri belukar, mahu menghantui saya. Doa dan zikir membantu saya kembali tenang. Suami sudah mula ke tempat kerja tapi alhamdulillah hiruk pikuk anak-anak yang sedang cuti sekolah banyak membantu mengalihkan perhatian. 
.
Saya masih lagi belum putus berdoa kepada Allah agar semua ini berlalu. Ampunkanlah dosa-dosa saya Ya Allah! Kurniakan saya hati yang tenang dan lapang, panjangkan umur dan berikan saya Khusnul Khatimah. Mudah-mudahan dengan rahmat Allah, saya dikurniakan kebaikan dunia dan akhirat. Dan jika ada yang membaca blog ini, selitkan saya di dalam doa kalian,  kawan-kawan yang berdoa fi zohril ghaib.
.
.
.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, September 26, 2018

Turki

Salam

Sewaktu menaip posting ini, saya sedang ditinggalkan suami untuk 10 hari lamanya. Ya. Walaupun 10 hari sahaja, saya tetap merasakan ianya satu jangka masa yang lama. 10 hari menjalani hidup tanpa suami, 10 hari menjaga anak-anak seorang diri dan 10 hari bermalam atau tidur seorang diri tanpa suami disisi. Oh, lamanya 10 hari bakal berlalu. Saya ini isteri yang tidak biasa ditinggalkan, Ada juga berjauhan untuk 4 bulan lamanya, tapi waktu itu saya mendiami rumah mertua dan suami saya bersama anak-anak di Nilai. Walaupun waktu itu suami tetap jauh di mata, tapi kehadiran emak mertua agak mengurangkan kerinduan, kesepian dan yang paling utama ketakutan. Berbeza dengan kali ini. Saya sendiri di rumah tanpa mumayyiz yang lain, hanya ditemani anak-anak yang belum baligh. Yang seringkali saja saya ragui respond mereka sekiranya ada perkara yang diluar jangka berlaku. Mudah-mudahan kami dilindungi Allah sepenuhnya. Ameen.
.
Dalam pada kegelisahan ditinggalkan suami, saya sedikit cemburu dengan perkembangan kariernya. Aduhai seronoknya menghadiri conference di luar negara. Saya yang menghadiri conference dalam Malaysia ni pun sudah teruja, apatah lagi dapat membentangkan idea dan kajian kita di peringkat antarabangsa. Sudah la di negara yang terkenal dengan kecantikan landskap nya- Turki!. Oh Allah, permurahkan rezeki kami, mudah-mudahan satu hari nanti berpeluang juga (saya dan suami)  membawa anak-anak makan angin di negeri orang. Buat masa ini, saya hanya berada di dalam Malaysia. Usah kata Turki, negara jiran Singapore, Indonesia dan Brunei pun belum pernah saya jejaki. Paling jauh saya pernah travel ialah ke Kedah. Itu pun menziarahi adik di Matrikulasi Changlun. Wargh!! Ya Allah, murahkan rezeki kami sekeluarga ntuk ke luar negara. Huhuhu
.
.
p/s: Tapi sebelum ke luar negara, kena settlekan hutang PTPTN dulu. Surat tunggakan dah sampai you olls. Tambah mendesakkan, manifesto menghapuskan PTPTN sendiri terhapus. Oh, so sad.
.
.
p/s: Tidak kiralah apa janji manifetso, hutang tetap hutang, kenalah bayar. Ujar Dr. Maszlee. Iyolah Dr., dah macam UMNO dah saya tengok corak pemerintahan dan politik kerajaan PH ni. Malah kalau disentuh bab agama, makin teruk ada.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, July 24, 2018

Am I Broken? (Part 3)

sambungan.....
.
Alhamdulillah, dalam perit jerih itu kehidupan makin baik. Saya dapat rasakan kasih sayang Allah yang diterjemahkan oleh anak-anak dan disalurkan melalui suami. Jadi kasih sayang keluarga yang terkurang itu, semakin tidak menyakitkan. Saya semakin redha walaupun ada masanya saya rindu mahu menjadi seorang anak yang boleh mengadu pada ibubapa atau menjadi seorang kakak yang sentiasa boleh mengharapkan adik-adiknya.
.
Jangan salah faham, adik beradik saya bukanlah 100% tak berguna. Saya tak kata begitu. Jujurnya saya sayangkan mereka dan mereka makin baik selepas mereka menginjak dewasa. Adik saya yang berkahwin contohnya, kalau dulu dia berbangga suami dia ini tidak seperti lelaki biasa (lebih kepada nak tuju tak macam suami saya), sekarang berulang kali dia menyebut sendiri, suami saya ini lebih 'adik beradik' berbanding suami dia. Lebih menerima, memahami dan sanggup membantu berbanding suami dia. Kalau dulu mereka mempertikaikan macam-macam pasal saya kini bila ada yang lain dah berkahwin dan bekerja dan lebih susah memberi komitmen berbanding saya. Mereka diam sendiri. Tapi hakikatnya, damaged has been done. Saya dan suami mungkin dah memaafkan kelakuan mereka tapi kami tidak akan melupakannya. Jadi sekarang, saya bergaul dengan adik secara professional. Bukan semuanya emotionally attached kerana ada diantara mereka yang saya masih tidak percaya. Begitu juga dengan ibubapa saya. Saya tidak lagi mengharapkan kasih sayang mereka. Saya kurangkan perasaan mahukan kasih sayang mereka dan lebih kepada menerima sahaja apa yang mereka mahu berikan kepada saya. Saya bukan lagi anak yang dahagakan kasih sayang.
.
Percaya atau tidak. Cara saya ini berkesan. Hubungan saya dan Mama/Abah makin baik. Tidak ada lagi perasaan tersinggung kerana expectation saya sudah semakin rendah. Saya tidak lagi meminta untuk disayangai seperti adik beradik lain. Bila tengok gambar Mama dan Abah yang dikongsi adik beradik, mereka keluar bersama makan dan window shopping. Saya tidak lagi cemburu. Saya tidak pernah diperlakukan begitu. Saya dulu diheret bersama untuk berniaga di The Mall (kini dikenali sebagai Sunway Putra), darjah 5 dengan pakaian seragam sekolah, saya mengedar flyers untuk mempromosi perniagaan Mama dan Abah. Saya faham, zaman itu kami susah dan sekarang semakin senang. Tapi still, mereka tak ingat saya pun ketika senang. Tak sibuk pun mahu ajak saya joli bersama. Saya tak ada dalam ingatan mereka mahu berseronok bersama. Lebih sedih lagi, kalau saya keluar bersama adik-adik, Mama akan menghantar mesej kepada semua adik-adik (kecualli saya), warning mereka, "Banyak duit ke nak membazir kar luar tu? Balik cepat". Ya ini memang mesej yang akan dihantar setiap kali saya keluar meluang masa dengan adik-adik. Setiap kali. saya pun tak faham kenapa. Saya berkecil hati, Tapi adik-adik tak faham kenapa. Mungkin kerana mereka adik-adik, jadinya akal mereka takkan sampai untuk memahami apa yang dialami kakak sulung. Sinis saja salah seorang mereka menegur, "Memang sindrom anak sulung ya rasa tak disayangi keuarga?". Saya tidak ada dalam ingatan mereka ketika mahu bersenang lenang. Mereka hanya ingat saya ketika mereka susah. Saya orang pertama yang mereka telefon. Walaupun jam 3 pagi, saya di Batu Caves lebih dahulu tahu apa perkara buruk yang terjadi kepada keluarga itu berbanding yang sedang nyenyak tidur di rumah yang sama. Bergegaslah saya pergi kepada mereka walau pada hakikatnya saya hanya terlintas difikiran mereka tatkala mereka ditimpa kesusahan.
.
Rasa mahukan appreciation atau acknowledgement dari keluarga saya ini, semuanya sudah berlalu. Sekarang saya lebih bahagia. Saya tak perlukan mereka untuk menyayangi saya seperti anak-anak yang lain. Cukulah saya lakukan kebaikan ala kadarnya dan jalani kehidupan saya dengan suami dan anak-anak sepenuhnya. Malah saya sendiri semakin menyingkirkan mereka dari ingatan saya. Saya tidak lagi berfikir untuk bergembira dengan adik-adik dan tak lagi berfikir mahu berkunjung ke rumah Mama dan Abah dihujung minggu. Cukuplah pada saya, menghantar pesanan ringkas atau sekali sekala menunjukkan muka. Saya tidak perlu menagih kasih, Allah sudah menyelimuti saya dengan kasih sayang dari suami dan anak-anak. Malah, saya lihat keluarga saya sendiri tidak heran dengan semua ini. Mereka berbahagia sahaja tanpa saya, tak bertanya bila saya mahu menziarahi Mama atau Abah. Begitu juga Mama dan Abah, mereka tidak kisah. Mereka ada anak-anak lain  yang mengisi hari-hari mereka. Alhamdulilllah, saya lihat mereka bahagia tanpa saya. Abah sekarang semakin banyak meluang masa dengan anak-anak, Mama pun begitu..sudah mahu berjalan-jalan dan windows shopping. Mereka makan diluar, membeli belah dan beriadah tanpa sedikit kekurangan pun. Ketiadaan saya tidak menjanggalkan mereka. Jadi saya menyimpulkan keputusan saya untuk berhenti menuntut atau menagih kasih keluarga adalah keputusan terbaik yang pernah saya lakukan. 
.
Saya semakin kurang berkecil hati atau bergaduh dengan Mama dan Abah. Saya berhenti expect pada adik-adik. Saya hanya hidup seperti biasa dengan keluarga saya. Kasih sayang Alah, suami dan anak-anak sudah mencukupi bagi saya. In fact, dengan cara ini, saya rasa saya lebih kurang menderhakai ibubapa saya. Dulu saya sentiasa mempersoalkan mereka, meminta lebih dari apa yang mereka mampu. Jadi sentiasa sahaja perbualan kami berakhir dengan pertelingkahan. Kini tidak lagi. Semuanya lebih aman. Saya semakin tenang tidak disayangi mereka. Dan mereka lebih tenang kerana tidak lagi dipaksa menyayangi saya.
.
I am happy this way. Not loved by family. So, persoalannya, am I broken?




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Am I Broken? (Part 2)

sambungan...
.
Perkahwinan ini satu rahmat untuk saya. Satu anugerah yang Allah berikan untuk saya supaya saya tahu Allah menyayangi saya. Limpahan kasih sayang yang tidak berbelah bagi dari suami saya, walaupun usia perkenalan kami tak sampai setahun, sangatlah luar biasa. Saya lihat sendiri bagaimana dia menjaga saya dan mengikhtiarkan yang terbaik untuk saya. Malangnya keluarga saya masih sama. Abah pernah menyelar secara sinis sewaktu di kedai makan, "Seronoklah awak. Fikir kahwin sahaja. Duit apa semua orang lain yang fikir". Waktu itu saya sudah pun mengandungkan anak pertama dan Abah masih lagi mengungkit perbelanjaan yang dia keluarkan untuk mengahwinkan saya. Hati siapa yang tidak terguris. Kemudian Mama pula mahu kami berkhidmat pada dia sehinggakan sukar untuk suami saya melakukan urusan yang lain. Pernah Mama menempelak suami saya, katanya kalau buat sesuatu dengan ikhlas hanya Mama sahaja yang mampu. Suami saya tersinggung. Semuanya gara-gara adik saya di UPM buat assignment last minit dan kami perlu ke hulu ke hilir membantu dia menyudahkan tugasan dia. Ya, betul...suami saya marah kerana dia ada kerja, perlu cari makan kerana dia perlu menyara keluarga dan yuran pengajian kami berdua. Bukan mahu mengelat dari menjalankan tanggungjawab tapi memohon pemahaman semua agar dia boleh jalankan tanggungjawab dia. Waktu ini, adik beradik sendiri menampakkan belang juga. Mereka tidak pernah berkahwin tapi bukan main mengata saya itu dan ini. Siap buat 1 group whatsapp khusus mengata saya. Allahu. Bayangkanlah perasaan saya waktu itu. Sentiasa ada saja salah saya dan suami yang mereka cari. Pernah satu malam di bulan Ramadhan, Mama memaksa suami saya untuk membawa adik lelaki saya juga ke masjid. Mungkin Mama mahu mendisplinkan dia. Suami saya sudah membawa dia semalam dan menolak untuk membawa dia hari berikutnya. Mama menjeling dan laju saja berkata kepada suami saya, "Ustaz tapi tak nak berdakwah". Saya yang di depan Mama terkedu untuk beberapa ketika. Bila saya tanyakan alasan suami saya, katanya dia takut duit kutipan derma yang dia kutipkan untuk anak-anak yatim Aligarth Bakchon Ka Gaar di India hilang lagi. Duit kutipan semalam hilang, tapi dia tidak nampak siapa yang ambil jadi tak mahu menuduh. Jadi hari ini dia tak mahu membawa sesiapa. Saya mengeluh. kalaulah mereka faham. Terlintas juga di kepala saya, kenapa tidak orang dala, keluarga ini saja ke masjid..dan bawa adik saya sekali.
.
5 bulan menumpang teduh di rumah Mama, akhirnya saya berpindah keluar. Satu keputusan terbaik yang suami saya lakukan walaupun Mama berulang kali memberi komen jelik tentang kawasan perumahan saya. Dibandingkan persekitaran rumah saya dengan sepupu saya yang duduk di flat belakang Aeon. Saya tak faham. Flat itu lebih kotor, malah dihuni warga asing, jadi apa yang selesanya? Saya tinggal di apartment 5 tingkat yang kebanyakan penghuninya Melayu dan punya kawasan parkir yang luas, tidak perlu double park dan sebagainya. Cuma kedudukannya sahaja di belakang Batu Caves. Setiap kali Mama berkunjung, setiap kali itu juga dia menyatakan ketidak puas hatiaan dia. Tiap kali itu juga saya tertanya-tanya kenapa, akhirya saya ambil keputusan ianya hanyalah satu rasa tidak suka pada saya yang diluahkan melalui kritikan terhadap apa jua keputusan saya.
.
Saya juga banyak menerima tohmahan dari adik beradik. Macam-macam mereka kata pada saya walaupun mereka belum berkahwin, mereka rasa mereka boleh buat lebih baik lagi. Malah ketika saya sudah melahirkan anak, mereka mempertikaikan keibuaan saya juga. Aduhai, memang sangat menyakitkan. Mereka tidak faham tuntutan orang yang berkahwin dan juga tuntutan seorang pelajar. Saya tidak boleh sentiasa berada di samping Mama seperti dahulu. Mengikut Mama seharian, mahu membayar bil, bertemu client dan sebagainya. Saya sudah berkeluarga dan perlu mengurus keluarga. Adik-adik tidak faham hakikat ini jadi mereka mengkritik saya. Katanya saya dah berubah semenjak kahwin. Sedangkan hakikatnya merekalah yang tidak menerima yang saya telah berkahwin. Saya tidak terkejut, adik saya pernah memberitahu saya secara berdepan tanpa rasa bersalah, "Maaflah, saya tak excited pun kakak nak kahwin". Jadi..what to expect kan. Kemudian ada juga adik yang memandang rendah dengan takdir saya, "Awak memang tak ada cita-cita ya nak bagi duit pada Mama dan Abah?". Saya akui, saya berkahwin sewaktu belajar dan menimang cahaya mata juga waktu belajar. Jadi tamat sahaja pengajian, saya tidak bekerja kerana menguruskan 4 orang anak. Jadi sumber kami hanya pada gaji ciput suami ketika itu. Jarang sangat saya dapat hulurkan pada keluarga. Hanya pada hari raya atau keraian tertentu sahaja. Kecewa saya dengan soalan itu, sampai sekarang masih belum boleh move on. Huhuhu. Tapi adik-adik gagal untuk nampak, saya dan suamilah orang pertama yang selalunya sampai untuk membantu keluarga waktu dalam kesusahan. Suami saya yang mereka bencikan sangat kerana kasar kata mereka, tidak pernah berkira dalam membuat kerja. Malah suami saya lebih banyak buat kerja berbanding adik-adik lelaki saya yang lain. Suami sayalah yang mengotorkan diri membersihkan laman rumah dan bilik air rumah Mama tatkala ada majlis yang nak dilangsungkan. Suami saya tidak pernah lokek tenaga, malah kalau ada majlis yang bakal berlangsung, kami sudah bermalam di rumah Mama beberapa hari lebih awal berbanding orang lain yang belum dapat cuti dan sibuk dengan study. Suami saya, sentiasa sahaja membenarkan saya menziarahi Mama dan Abah di setiap hujung minggu. Malah keperluannya sendiri dia korbankan supaya saya boleh melayan permintaan ibubapa dan adik beradik saya. Tapi sehingga ke hari ini, walau adik-adik yang sudah berkahiwn sudah mengakui, tapi dia masih tidak dapat memuaskan hati keluarga saya. Saya tidak kecewa. Kalaulah saya yang semenjak lahir lagi tidak disayangi, apalah suami saya yang baru sahaja masuk ke dalam keluarga kami.




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Am I Broken? (Part 1)

Salam

Alhamdulillah. Itulah satu ucapan syukur yang kerap kali saya akan ulang setiap kali mengenangkan anugerah Allah buat saya, iaitu suami dan anak-anak. Selalunya bab ini, saya tidak mencemburui sesiapa. Saya rasakan keluarga kecil yang Allah anugerahkan pada saya ini cukup sempurna. Tapi sebagai manusia biasa, saya rasa normal ada rasa sedikit cemburu melihat kebahagiaan orang lain. Selagi mana ianya tidak mencapai tahap mahu menyakitkan orang lain atau penuh dendam dan pengharapan agar kehidupan orang lain rosak. Saya rasa tak apa. Cemburu sebegitu boleh diterima. Macam saya cemburu tengok ibu-ibu yang masih kurus dan cantik walaupun dah beranak pinak. Cemburu. Tapi tidaklah mengharapkan mereka tiba-tiba obese, jatuh sakit lalu mati...hahaha. Sekadar cemburu dan berharap saya juga seperti itu. Kembali kurus.
.
Dua perkara saja saya kira selalunya menjentik hujung hati saya. Kurus dan hubungan kekeluargaan. Saya tidak ada rezeki dalam dua perkara ini. Oh, mungkin satu sahaja kerana harapan untuk kurus itu masih ada dan saya rasa masih boleh diusahakan. Hubungan kekeluargaan pula (ibu, ayah dan adik beradik. Bukan suami atau anak-anak), mungkin selamanya begini. Dari dulu tak tahu kenapa, saya rasa kurang disayangi berbanding adik beradik lain. Saya rasa saya sentiasa menjadi pilihan terakhir Mama dan Abah. Sewaktu di sekolah, saya dipandang rendah kerana adik jauh lebih cerdik. Mungkin itu salah saya, kerana gagal berusaha menjadi harapan keluarga. SPM saya kecundang, hanya 2A saja. Saya masih ingat bagaimana Abah bersedih dengan keputusan saya dan Mama pulang ke rumah dan memberitahu saya, dia tidak menjamah Pizza sewaktu meeting tadi sebaik sahaja mendengar keputusan SPM saya. Gagal mendapatkan tempat di  universiti, saya masuk ke Kolej Islam Antarabangsa (IIC). Di sana saya buat sehabis baik, jadi student cemerlang yang dianugerahkan anugerah dekan setiap semester. Tapi semuanya sudah terlambat. Mama dan Abah tidak lagi menoleh kepada saya kerana sibuk dengan sepupu saya yang cemerlang sejak azali. Kebetulan sewaktu saya menjejakkan kaki ke kolej untuk Diploma, dia ditawarkan ke Matrikulasi UIAM. Tambah membanggakan dia mengambil jurusan Bahasa Inggeris. Jadi setiap kali dia balik ke rumah dan speaking London berkepuk-kepuk, saya ditolak ke sudut untuk lihat apa yang saya tak akan boleh capai. Waktu ini banyak yang saya korbankan. Saya masih ingat dimarahi Mama dan Abah kerana meminta wang saku kerana waktu yang sama sepupu saya tadi juga memerlukan wang saku. Saya diminta bersabar, kerana dia tidak punya sesiapa di sini melainkan ibubapa saya, jadi ibubapa saya mendahulukan dia. Akhirnya saya menagih simpati pada Uncle dan arwah Maksu. Merekalah yang sebenarnya menyara saya ketika itu. Dan 2 tahun 8 bulan berakhir dan saya bergraduasi dengan cemerlang. Tapi sambutannya sungguh sederhana. Tak ada apa-apa. Gambar kenangan dengan keluarga tak ada dan adik-adik pun tidak menghadiri majlis graduasi saya. Malah sebaik saja majlis graduasi tamat, Abah merengus marah dan mahu segera ballik ke rumah kerana cuaca panas. Makanya gambar dengan kawan-kawan pun tak sempat.
.
Alhamdulillah, dengan keputusan yang cemerlang saya ditawarkan untuk melanjutkan Degree di UIAM. Satu impian yang tercapai. Allah saja tahu bahagianya saya ketika itu. Tapi derita menjadi pilihan terakhir masih belum bernoktah. Kali ini saya bersaing perhatian dengan sepupu (yang juga menyambung Degree di UIAM), adik di Matrikulasi Negeri Sembilan dan seorang lagi adik di Matrikulasi Kedah. Kehidupan menjadi lebih sukar. Pernah sekali sewaktu meminta wang saku, Abah menempelak, "Awak jer nak belanja dalam rumah ini?". Saya terdiam dan berkecil hati. Sudahlah jarang-jarang diberi, bila diminta dimarahi pula. Jadi sekali lagi arwah Maksu dan Uncle jadi tempat saya menumpang teduh. Tapi arwah Maksu dan Uncle hanya hidup serdahana, mereka juga ada tiga orang anak yang perlu ditanggung. Tapi saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya tahu, ada orang yang menyayangi dan mengambil berat tentang saya. Kehidupan di UIAM agak perit, disebabkan saya dan sepupu tinggal berdekatan jadi mudahlah sepupu saya singgah ke bilik dan meminta saya menampung perbelanjaan mingguan dia yang berkurangan. Sakit juga dibuatnya kerana saya juga kesempitan waktu itu dan dia sebenarnya lebih mudah untuk meminta dengan ibubapa saya. Tambah sakit bila saya digunakan sewenang-wenangnya. Pernah sekali dia menghantar SMS kepada saya yang dia memerlukan duit untuk membeli pad. Disebabkan dia sedang period dan tak punya pad maka sayalah yang perlu membeli pad dan kemudian menghantar pad ke asramanya. Sampai di asrama dia, saya lihat satu tuala cantik jenama Roxy. Bila saya tanya harga, ringan mulut dia menjawab, "You know what? If you want something you have to pay". Bagai dicarik-carik hati saya waktu itu kerana selama ini ibubapa saya sentiasa mendahulukan dia dan selalu meminta saya berjimat cermat kerana mahu mendahulukan dia dengan alasan dia berjauhan dari keluarga. Dan dia bermewah-mewah, bersuka ria sehinggakan tuala pun mahu yang berjenama. Waktu ini banyak peristiwa yang membuat saya berkecil hati dengan ibubapa saya sehinggakan sewaktu arwah Maksu datang meluang masa bersama dan saya luahkan semuanya, arwah Maksu mengalirkan air mata. Dan sekali lagi dia menjawab dengan lembut dan penuh kasih sayang, "Tak apalah kakak, kakak jadi anak Maksu sahaja".
.
Tapi kehidupan di UIAM tidak lama bersama Mama dan Abah. Tahun kedua di UIAM saya bertemu dengan suami saya dan kami berkahwin. Saya sangat mensyukuri perkahwinan ini. Saya merasakan akhirnya ada orang yang mahu membela saya dan menyayangi saya setulusnya. Tapi perkahwinan ini menjadi titik tolak seterusnya. Yang semakin membuatkan saya yakin, saya ini tidak disayangi seperti adik-adik yang lain.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Saturday, July 21, 2018

Pusara yang Masih Merah

Salam

Hypothetically, bila saya meninggal...saya expect suami saya akan memberi masa untuk anak-anak ruang untuk bersedih dan membaik pulih perasaan mereka. Ruang untuk mereka merindui saya dan membaik pulih rutin kehidupan saya. Ruang untuk mereka belajar bagaimana hidup tanpa saya dan menerima hakikat saya tidak lagi bersama mereka dalam susah senang dan tawa duka. Tiada lagi doa tanpa henti untuk mereka, hanya ada keredhaan saya dan pengharapan yang berpanjangan semoga Allah SWT merahmati setiap langkah yang mereka bakal lalui. Anak-anak perlu ada ruang untuk belajar mendoakan saya tanpa henti dalam sujud sendu mereka dan dalam bisik hati yang sedih dan merintih. Saya rasa, anak-anak perlukan masa untuk semua ini sebelum suami saya membuat keputusan saya ialah sebuah kenangan lalu dan dia perlu meneruskan kehidupan masa akan datang.
.
Itu harapan saya.
.
Hakikatnya, saya lihat suami selalunya terlalu mengubat hati sendiri hingga lupa jerih payah anak-anak menerima sebuah kehilangan. Saya tidak menidakkan kesedihan para suami kehilangan isteri tapi saya kira mengganti isteri itu lebih mudah berbanding mengganti ibu. Tak juga saya menidakkan hak suami untuk beristeri lagi, sesungguhnya suami berhak. Jika ketika isteri hidup lagi suami berhak menikahi lebih dari satu, lebihlah berhak lagi untuk suami berkahwin lagi jika isteri tiada disisi. Cumanya saya berharap untuk melihat suami berkongsi rasa dengan anak-anak dan memahami keadaan mereka. Janganlah anak-anak dipaksa menerima hakikat baru si ayah sudah ada pengganti ibu saat menerima pemergian ibu masih lagi menghiris hati. Mungkin si suami sudah pulih sepenuhnya dan bersedia menghadapi hari yang mendatang dengan pasangan yang baru. Iyalah, berapa lama menangisi orang yang pergi, kehidupan ini tentu sahaja lebih banyak menuntut setelah pembantu setia tidak lagi bersama. Tentu saja si suami memerlukan orang yang menguruskan makan pakai dan juga nafkah zahir batin. Saya faham. Pasti canggung tidak ada lagi peneman setelah berpuluh tahun tidur berteman dan tidak berkeseorangan. 
.
Cuma simpanlah perasaan itu untuk beberapa ketika. Bukan untuk si isteri yang telah bersemadi tapi untuk anak-anak yang masih bertatih meneruskan kehidupan tanpa seorang ibu yang memberi kasih selama hayat mereka. Saya tidak ada jangka masa bila suami boleh berkahwin lagi. Sungguh saya tak tahu. Cuma pada saya, jangan ketika tanah pusara masih lagi merah, kuburnya belum sempat bertanda. Kalau sudah ada yang berkenan di hati dan jodoh terlalu cepat bertemu, mungkin boleh diusulkan secara halus pada anak-anak. Penuh hemah dan hikmah. Jadiakan anak-anak no 1. Supaya isteri boleh tenang di sana, tahu anak-anak tetap menjadi keutamaan suami walau sudah beristeri lagi.
.
Itu harapan saya, yang saya kira sebagai harapan isteri yang lain juga.
.
p/s: Selalunya kalau suami yang meninggal dunia, jarang kita lihat isteri berjumpa pengganti seterusnya. Terkadang, balu sehingga akhir usia. Ya, ada juga yang berjumpa suami baru tapi tidaklah sebaik sahaja habis 'iddah, selalunya makan tahun. Ya, sebegitu lama isteri menangisi dan mengingati si suami. Tapi kenapa suami mudah saja mengganti isteri? Tidak mendalamkah cinta si suami? Atau terlalu kuatkah desakan dan tuntutan nafkah zahir dan batin? Entahlah. Saya malas mahu berfikir panjang, jodoh dan ajal di tangan tuhan. Mudah-mudahan jodoh saya dan suami kekal, dunia dan akhirat.
.
p/s: I love you Maksu. Saya mungkin hanya anak saudara tapi saya masih memerlukan masa menangisi dan memahami perginya Maksu. Anak-anak Maksu? Semoga Allah kirimkan mereka kekuatan dan ketabahan, semoga Allah jaga mereka dan limpahkan kasih sayang yang tak pernah kehabisan.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, April 17, 2018

Maksu (Al-Fatihah)

Salam

Waktu saya pertama kali menerima berita Maksu (adik bongsu Mama) ada ketumbuhan bersaiz 12cm di rahim, saya bingung seketika. Mungkin susah untuk terima atau mungkin terlalu terkejut dengan perkhabaran yang datang tiba-tiba. Otak saya ligat berfikir, ketumbuhan? Tapi Maksu sihat dan gembira sentiasa. Bila ada ketumbuhan? Tak sakit ke? Macam-macam persoalan timbul. Dalam kelam dan kekeliruan, akhirnya Maksu menjalankan pembedahan. Saya menjenguk di hospital, melihat wayar-wayar berselirat bersambung di badan Maksu, mata Maksu terkatup rapat dan sesekali berkerut menahan sakit. Uncle (suami Maksu) masih mampu melemparkan senyuman untuk saya dan tatkala Uncle membisikkan kehadiran saya pada Maksu, saya lihat Maksu membuka mata. Perlahan. Jantung saya berdegup kencang, air mata tertahan-tahan, Maksu tersenyum dan menyapa lemah, "Kakak...". Kemudian kembali melelapkan mata. Saya mengangguk dan kemudian meminta diri untuk keluar seketika. Sampai ke ruang legar hospital, air mata saya mengalir. Sedikit, sebolehnya saya menahan air mata. Sakit tekak seperti sedang dipaksa menelan sesuata yang berat dan diluar kemampuan. Menyesakkan nafas tapi tidak dapat dilepaskan. Saya masih ingat beberapa hari (mungkin seminggu) selepas pembedahan, saya berkunjung ke rumah Maksu. Bertanya khabar berita dan berkongsi rasa. Maksu seperti biasa, cuma sedikit lemah dan dalam kesakitan. Maksu memberitahu saya tentang rahimnya yang dibuang terus dan meminta saya merahsiakannya dari semua. Saya terdiam. Ikutkan hati, saya tak mahu merahsiakannya. Saya mahu memberitahu kepada seluruh kaum keluarga, datanglah menziarahi Maksu yang penuh kasih sayang ini, Maksu yang selalunya banyak membantu tatkala kita perlu. Rancak bersembang, Uncle muncul dari kamar tidur, menyapa saya mesra tapi dengan pandangan yang hangat. Uncle memmberitahu saya dalam suara yang tertahan-tahan, "Kakak, kawan Uncle selalu pesan..banyakkan bersabar dan Uncle angguk jer. Tapi sekarang barulah Uncle rasa apa yang dimaksudkan mereka dengan bersabar". Saya memegang lengan Uncle dan Uncle cepat saja berlalu dengan titisan air mata yang cuba disembunyikan.
.
Itu salah satu dari berjuta memori yang saya ada bersama Maksu dan Uncle.
.
Maksu dan Uncle ini makcik dan pakcik saudara yang paling banyak berjasa untuk saya. Dari saya kecil sehinggalah dewasa. Maksu dan Uncle lah yang banyak memberi bantuan dan sokongan. Saya masih ingat ketika di sekolah rendah bagaimana Maksu sentiasa memastikan saya memberus gigi sebelum ke sekolah, Maksu yang berkongsi rasa dan rahsia tatkala saya menginjak ke sekolah menengah dan kemudian ke alam universiti. Ketika pengajian peringkat Diploma, Maksu banyak membantu saya menghadapi kekangan kewangan. Pernah sekali Uncle menghantar mesej kepada saya dan saya tidak membalasnya, cepat saja Uncle menelefon dan bertanya berita. Bila saya memberitahu saya tidak punya kredit untuk membalas mesej, sekelip mata handphone itu bertopup RM60. Saya masih ingat lagi sewaktu saya memberitahu Mama saya tidak punya duit untuk berbelanja dan Mama meminta supaya saya bersabar kerana waktu itu Mama juga menganggung sepupu yang sedang melanjutkan pelajaran di Matrikulasi. Saya menangis semahunya kerana merasa tersisih dan dianak tirikan. Maksu dan Uncle hadir petangnya setelah saya menelefon mereka dengan esakan. Malu kerana dilayan sebegitu baik, saya menyorok di balik pintu, melihat kelibat Uncle dan Maksu setia menunggu untuk menghulurkan bantuan tanpa jemu. Alhamdulillah, ketika pengajian Diploma, keputusan peperiksaan sentiasa cemerlang dan Maksu dan Uncle lah orangnya yang sentiasa meraikan saya. Tidak pernah Maksu menghampakan. Ada saja hadiah dan kad berisi kata-kata semangat dititipkan untuk saya. Maksu dan Uncle melayani saya dengan baik, sangat baik sehinggakan ada suatu ketika saat saya menceritakan betapa saya berkecil hati dengan perhatian Mama dan Abah yang sangat banyak kepada sepupu sehingga mengabaikan saya, Maksu memeluk hangat dan memberitahu saya, "Tak apa kakak. Kakak jadi anak Maksu jer".
.
Maksu, yang penuh dengan kasih sayang. Saya masih ingat bagaimana Maksu mengasihi anak-anak saudara yang lain. Asal sampai saja masalah ke telinga Maksu, semuanya Maksu cuba bantu. Siapa yang tidak pernah merasa rezeki yang Maksu kongsikan. Sentiasa saja Maksu bermurah hati. Kalau ada anak saudara yang akan berkahwin, Maksu akan sponsor satu pahar atau menghulurkan bantuan wang ringgit. Tidak pernah Maksu pandang sepi, ada saja dia lakukan untuk anak saudara.
.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Sakit Maksu semakin serius setelah sel kanser dikenalpasti dari sampel ketumbuhan tempoh hari. Saya yang jauh di Terengganu, sebolehnya cuba mencuri masa untuk menziarahi Maksu dikala kelapangan. Tapi kadang-kadang Maksu sendiri menolak, tak mahu dikunjungi. Dia mahu memendam keperitannya seorang diri. Allah. Dalam keadaan sebegini pun Maksu masih menyayangi orang lain melebihi diri sendiri. Saya tidak pernah jemu menghantar whatsapp kepada Maksu walaupun balasannya selalu lewat dan kadang-kadang beberapa patah perkataan sahaja. Saya tidak tersinggung kerana saya tahu seperti saya, Maksu juga menahan tangis dan cuba menguatkan diri untuk melalui hari-hari yang mendatang. Pernah saya tewas dengan emosi, saya mengirimkan mesej panjang kepada Maksu, memberitahunya betapa saya menyayangi dan menghargai setiap kasih sayang, jasa dan pengorbanan yang dicurahkan kepada saya. Maksu membalas pendek, "Kakak buat Maksu nangis". Saya tidak lagi membalas pesanan itu kerana saya tahu, dihujung sana Maksu menangis dan saya menangis disebelah sini. Kami menangis bersama dari kejauhan. Sewaktu suami menerima surat tawaran sebagai pensyarah di USIM, saya berkongsi khabar itu dengan Maksu. Hati ini berdoa agar Allah berikan saya kelapangan untuk lebih kerap menziarahi Maksu. Tapi Allah telah merencanakan sesuatu.
.
Saya masih lagi menetap di Terengganu walaupun suami sudah berpindah ke Negeri Sembilan. Jadi, sewaktu Maksu kritikal dan dimasukkan ke HKL, saya hanya mampu berulang alik hampir setiap minggu untuk menziarahi Maksu. Ini kali kedua Allah datangkan ujian kepada saya saat saya menghadapi peperiksaan akhir tahun. Kali  pertama sewaktu Mama menjalani pembedahan dan ini kali kedua sewaktu Maksu kritikal kerana kanser. Sebaik sahaja dimasukkan ke hospital, keadaan Maksu semakin kritikal, setiap hari kami menerima berita yang merobek hati. Bermula dengan usus, kemudian buah pinggang dan kemudian hati. Maksu menjalani pembedahan demi pembedahan dan kali ini seluruh kaum keluarga telah pun dimaklumkan. Dada saya semakin berdebar-debar setiap kali menerima kunjungan ramai ahli keluarga, bimbang akan menerima berita terburuk. Malam itu, kebetulan saya pulang bercuti ke Negeri Sembilan untuk menyambut Majlis Konvokesyen Doktorat suami, Mama menghantar mesej ke group family, meminta kami semua untuk membacakan Yaasin buat Maksu. Kami adik beradik bersiap-siap untuk ke hospital tapi kuasa Allah itu melebihi segalanya. Maksu menghembuskan nafas terakhirnya sebelum kami sampai. Saya mendekati Maksu yang kelihatan tenang, kaku. Saat saya melurutkan tangan ke dahinya, mengusap rambutnya, semuanya seperti mimpi. Saya mengucup pipi Maksu berkali-kali, Allah, tolonglah sampaikan pada Maksu betapa saya menyayanginya.

.
19 November 2017. Tarikh yang menyedihkan buat saya. Saya kehilangan seorang Mak Saudara yang sangat baik dan penyayang. Maksu, saya belum sempat berbuat baik pada Maksu. Belum sempat membelanja Maksu dengan gaji pertama saya, belum sempat membelikan Maksu hadiah dan yang paling saya terkilan, belum sempat memohon ampun dan memberitahu Maksu betapa saya sayangkan Maksu. Saya sayang Maksu dan saya berdoa Allah pertemukan kita di syurga nanti. Tiada apa lagi yang boleh saya berikan pada Maksu selain ingatan dan titipan doa di setiap sujud saya pada Allah SWT. Berehatlah dengan tenang di sana Maksu. Mudah-mudahan apa yang Maksu tinggalkan di dunia ini (anak, suami dan amal jariah) dipelihara Allah SWT.
.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, February 4, 2018

Februari 2018

Salam

Alhamdulillah, kita sudah menjengah 2018. Malas saya mahu mengulas tentang azam tahun baru dan sebagainya sebab azam saya seperti tahun-tahun yang sudah...mahu turunkan berat badan. Jadi...tidak perlulah diceritakan dengan lebih lanjut azam yang di 'renew' setiap tahun itu.

Februari.

Saya sudah menerima tarikh akhir untuk menghantar dissertation. Kusut kepala dengar. Saya masih lagi perlu menulis 3 bab sebelum dapat menghantar dissertation tersebut untuk diperiksa isinya, bahasa dan format sebelum di cetak dengan kulit keras (hardbound). Kadang timbul juga rasa menyesal kerana membuat tajuk yang agak sulit, kenapalah tidak menulis dissertation ringan seperti kawan-kawan yang lain. Sungguh mereka lebih bijak membuat pertimbangan. Kami hanya ada 4 bulan sahaja untuk menyiapkan dissertation ini, sebetulnya tajuk dan isi kandungannya perlulah selari dengan peruntukan waktu. Tapi biarlah, jangan dikenang perkara lalu yang tidak boleh diubah. Sekarang ini saya perlu kuatkan semangat dan berusaha 2x ganda berbanding orang lain.

Sekali lagi ujian yang tidak disangka terjadi dalam kehidupan kami datang. Bagaimana boleh kami diuji dengan perkara yang tidak pernah terlintas di kepala sebanyak 2x? Saya rasa sangat penat tapi untuk mengabaikan sepenuhnya, saya tak mampu. Sayang dan kasihan masih membelenggu disegenap ruang hati. Malah kali ini lebih meruntun. Allah. Allah. Allah. Tempat saya mengadu dan memohon pertolongan...tanpa rahmat dan kasih sayangNya...mugkin saya sudah berputus asa. Mudah-mudahan semuanya dipermudahkan...saya perlu ia dipermudahkan. Ianya membutuhkan masa, memerlukan tenaga dan mencekik rasa. Permudahkanlah ya Allah, saya mahu menamatkan Master saya. 

2018 mengulang kembali keperitan 2016. Dulu kami menghadapi ujian yang sama tapi terpaksa juga meneruskan majlis perkahwinan adik-adik. Tahun ini diuji perkara yang sama lagi dan terpaksa juga meneruskan perkahwinan adik lagi. Kegembiraan yang patutnya kami raikan tetapi semuanya kelam...ditelan kesedihan dan kerinduan. Allah. Allah. Allah. Tempat saya mengadu dan memohon pertolongan.

Semoga semuanya dalam rahmat Allah.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Monday, May 1, 2017

Overwhelmed

Salam

I have a lots of things to say but I couldn't write it. It somehow can't be expressed through writing which used to be the easiest way for me to let my feeling out. In fact I feel like talking but I have no one to listen. Have you ever feel this way? Like a lot of emotion in your heart that it is so overwhelming to the extend that you didn't know where to start. And sometimes the feeling is so mixed up, you didn't know what are your feeling is. Are you happy? Or are you sad? Are you excited? Or are you frustrated? Well...I just don't know.

p/s: I am 30 years old this year. All of this nonsense shouldn't exist. Right?



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Thursday, December 25, 2014

Nukilan Cinta Untuk Suami

Salam

Sama seperti post untuk anak-anak, post ini saya tulis dengan harapan ianya menjadi penguat semangat dan pengubat rindu untuk awak andai perkara terburuk yang paling kita takuti ketika ini berlaku juga. Nauzubillah, semoga Allah perkenankan doa kita berdua.

Siapa sangka, perjumpaan singkat pada hari pertama itu bakal menimbulkan cinta sebegini hebat. Saya selalu terfikir bagaimana awak boleh sayangkan saya sebegini rupa walaupun mengenali saya dalam masa yang singkat (4 tahun usia perkahwinan). Sudahlah itu, perkenalan kita pula bermula selepas kita mendirikan rumah tangga di mana ketika itulah segala yang buruk dan lemah akan kelihatan. Tetap juga saya lihat kasih sayang awak terhadap saya melimpah ruah. Terima kasih untuk sekeping hati yang tersangat tulus dan penuh dengan kasih sayang itu. Sungguh, sesiapa yang merahmati penduduk bumi, penduduk di langit akan merahmatinya. Dan saya yakin, awak dirahmati para penduduk langit, lebih-lebih lagi yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Insyaallah.

Selalu saja kita melalui ujian bersama-sama dan setakat ini, inilah ujian terkuat kita. Dalam segala kesempitan masa, wang dan ruang, Allah uji juga dengan kesempitan kesihatan walaupun usia masih lagi muda. Saya mohon maaf atas segala kesukaran yang awak hadapi dalam menempuh kehidupan seharian. Pengorbanan awak dari pagi sebaik sahaja mencelik mata sehinggalah ke malam hari, ketika saat awak mahu melelapkan mata, saya doakan Allah hitung semuanya dengan sangat halus dan membalas semuanya dengan kenikmatan syurga. 

Di sepanjang kehidupan saya, saya belum pernah melihat seorang suami bekorban seperti mana awak bekorban. Awaklah lambang cinta agung buat saya. Semakin hari, semakin saya berharap Allah memanjangkan umur saya agar saya boleh berkhidmat dan penyokong perjuangan awak. Saya mahu awak merasai (bukan sekadar tahu) cinta saya pada awak juga tidak kurang hebatnya. Semoga Allah perkenankan permintaan ini. 

Awak, seandainya saya tewas dalam perjuangan melahirkan permata kita yang keempat ini, saya mohon awak redha dan halalkan kesemuanya. Bukan hanya pada nafkah zahir dan batin yang terkurang dan tidak sempurna untuk awak tapi semua hak awak yang secara sengaja dan tidak sengaja dikorbankan. Andai yang terburuk itu berlaku juga, awak kuatkanlah semangat dan didiklah anak-anak kita agar menjadi bekalan akhirat buat kita berdua. Saya percaya dengan asas agama yang ada di dada awak, insyallah anak-anak saya juga akan baik agamanya. Insyaallah. Saya tidak ada syarat mahupun harapan lain, awak jalanilah kehidupan sebaik mungkin. Penuhilah keperluan awak tanpa perlu merasa serba salah pada saya. Saya meredhai semuanya. Semoga Allah berikan kebaikan pada awak dunia dan akhirat. Semoga Allah lorongkan awak kepada jalan perjuangan seperti yang awak mahukan. Ameen.

p/s: Ingat perbualan tempoh hari? Saya memberitahu awak yang saya merelakan awak berkahwin lagi seandainya saya mati dan awak berseloroh bertanya berapa lama masa untuk kahwin lagi. Ya, waktu itu kita ketawa dengan pertanyaan awak itu tetapi secara jujurnya saya tidak punya had masa. Dengan anak-anak yang masih kecil, penulisan thesis awak yang masih berjalan, kahwinlah bila-bila masa yang awak mahu. Cuma harapan saya carilah isteri yang mampu menjaga anak-anak kita sebaik mungkin. Saya tidak mensyaratkan sempurna kerana hanya kasih ibu tidak ada galang gantinya, cukuplah dia berbuat baik pada anak-anak saya. Dan awak....sayangilah anak-anak kita walaupun awak punya anak yang baru nanti.

p/s: Sekiranya mampu, siapkan juga thesis PhD awak ya, kerana itu impian saya yang tidak akan terkubur.

p/s: Saya doakan awak bertemu dengan isteri yang baik (seandainya awak memutuskan untuk berkahwin lagi), tapi saya tetap juga berdoa, di dalam mahligai awak di syurga nanti, masih ada tempat untuk saya menjadi bidadari buat awak. Saya mahu menyintai awak, dunia dan akhirat!

p/s: Sehingga ke saat dan ketika ini saya masih lagi berfikir, kebaikan apalah yang telah saya lakukan sehingga Allah memberikan saya rezeki suami yang baik seperti awak. Syurga selayaknya untuk awak!



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, December 24, 2014

Nukilan Untuk Anak-Anak (Part 4)

Bayi Comel

Kalau diikutkan pada jangkaan doktor, bayi yang di dalam kandungan ini bayi perempuan dan Mama dan Abi bercadang untuk menamakan kamu Hauratul Jannah (Bidadari Syurga). Tapi seandainya sangkaan doktor meleset, semoga Abi menamakan kamu Faris Al Ahlam (Pahlawan Yang Tampan). Ketika ini, walaupun sudah 2/3 kali doktor menjangkakan bayi comel ini perempuan, Mama masih mengharapkan kamu seorang bayi lelaki agar dapat menjadi teman sepermainan Abang Haris nanti. Jangan salah faham, sekiranya kamu perempuan, syukur Mama pada Allah tidak berkurangan, begitu juga kegembiraan Mama menerima kamu sebagai anak yang Mama sayang sepenuh hati.

Mama mengandungkan kamu dalam keadaan yang teramat susah kerana sentiasa sahaja berada dalam kesakitan. Maka Mama amat bimbang Mama tidak panjang umur dan tidak punya kesempatan untuk membelai dan mencium kamu. Sedih sungguh mengenangkan kamu yang bakal lahir tanpa ibu. Nauzubillahiminzalik! Semoga Allah panjangkan umur Mama.

Mama mahu menjaga kamu, membesarkan kamu, mencium bau kamu yang tentu sahaja dapat menghilangkan apa jua jenis kegundahan. Oh, Mama benar-benar mahukan umur yang panjang untuk kamu dan adik beradik yang lain. Mahu menjaga dan mendidik kamu semua, mahu melimpahkan kamu semua dengan kasih sayang yang tidak bertepi. Mahu kamu tidak merasa keseorangan mahukan kesepian saat kehidupan sedikit menghimpit. Sungguh, Mama mahukan umur yang panjang.

Bayi comel, sungguh kesedihan ini kadangkala tidak terbendung. Ada masanya Mama terjaga di malam hari dan menangis senyap-senyap agar tidak diketahui Abi. Ada masanya juga Mama tidak dapat melelapkan mata, gelisah sahaja di tempat tidur dan sekali lagi, senyap-senyap agar tidak diketahui Abi. Tahu kenapa? Kerana tatkala rasa ajal itu sangat dekat, Mama jadi takut. Takut dengan nasib yang akan menimpa diri Mama kerana bekalan yang teramat sedikit, takut juga nasib yang akan menimpa kamu semua tanpa Mama disisi. Akhirnya rasa takut itu berlalu dengan zikir dan air mata kesedihan itu kering kerana terlalu letih dan mengantuk. Mama tidak pernah merasa selemah ini. Kewarasan yang ada sekarang adalah dari suntikan semangat dari Abi.

Abi selalu berpesan kepada Mama tatkala Mama alpa agar mendekatkan diri kepada Allah. Memberitahu Mama perkara yang Mama sendiri sudah tahu tapi mungkin tidak yakin bahawa rahmat Allah itu luas dan Allah itu Maha Pengampun. Pesan-pesan inilah yang menguatkan semangat Mama menjalani kehidupan seharian. Selain itu, melihatkan kebaikan Abi pada Mama, Mama jadi terharu. Melihatkan kebaikan itu juga mendorong Mama lebih bersemangat melawan rasa sakit agar Mama mampu, suatu hari nanti menjadi isteri yang terbaik buat Abi. Oh, Abi...yang insyallah akan menjadi penghuni syurga kerana kebaikannya kepada kita semua.

....................

Mama sendiri tidak pasti, apakah menulis post-post di blog ini satu perkara yang betul ataupun tidak. Tapi Mama bimbang seandainya Mama pergi, kamu semua tidak tahu betapa dalamnya kasih sayang Mama kepada kamu semua. Termasuklah kamu bayi comel. Walaupun Mama mungkin tidak sempat mengenali kamu, tidak dapat merakamkan detik-detik kamu meniarap, merangkak, berjalan atau mengomel seperti kakak dan abang, ketahuilah, belum pun sempat kamu dilahirkan, Mama sudah sayangkan kamu melebihi nyawa sendiri. Jadi menulis post-post ini membuatkan Mama rasa Mama dapat memberitahu kamu yang Mama sayangkan kamu semua. Semoga post-post ini juga dapat menguatkan semangat dan mengubati kerinduan kamu semua terhadap kasih sayang seorang ibu.

Mama mahukan kamu semua berada bersama-sama Islam, hidup sebagai Muslim dan bakal menjadi ahli syurga pula suatu hari nanti. Oh ya, sepanjang Mama sakit mengandungkan kamu dan anak-anak yang lain, saat Mama bersedih kerana susah mahu menamatkan pelajaran, ketika Mama kemurungan dengan dugaan dari keluarga dan rakan-rakan, Abi adalah insan yang paling membantu dan menyayangi Mama. Mama amat berharap kamu akan membalas kebaikan Abi ini dengan sentiasa menjadikan Abi sebahagian dari hidup kamu. Sungguh Mama katakan, tidak berlebihan untuk Mama beritahu kamu, kasih sayang Abi terhadap kamu adik beradik, adalah kasih sayang ayah yang paling agung pernah Mama lihat disepanjang kehidupan Mama. Hargailah Abi ya Bayi Comel.

p/s: Sehingga ke saat ini, Mama masih berdoa agar dipanjangkan umur dan diberi kesempatan untuk melihat anak-anak membesar di depan mata. Mama mahu bersama kamu, kakak dan abang menjalani kehidupan yang pelbagai liku. Mama mahu menjadi isteri terbaik buat Abi seperti mana Abi mencurahkan kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi pada Mama. Semoga Allah perkenankan doa Mama. Ameen.

p/s: Semoga kita semua bertemu di syurga sayang~



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, December 23, 2014

Nukilan Untuk Anak-Anak (Part 3)

Izzul Haris

Haris. Anak yang paling manja sekali dengan Mama. Entah kenapa, manja Haris sangat berlebihan berbanding kakak-kakak sehinggakan setiap kali Mama sakit, Mama sangat bimbang Mama akan meninggalkan Haris. Bimbang Haris jatuh sakit, tidak dapat tidur, tidak mahu makan tanpa Mama. Bayangkanlah, sekejap tadi Mama ke dapur (mencuri minum air Vitagen), Haris sudah mula menangis manja mencari kelibat Mama. Mama ke dapur saja sayang.

Kalau diikutkan jangkaan doktor, adik yang bakal lahir ini ialah bayi perempuan. Maka, Harislah satu-satunya anak lelaki Mama. Tidak dapat tidak, harapan Mama pada Haris juga menjadi besar. Mama berharap Haris menjadi seorang hafiz Quran seperti Abi. Berusahalah sayang agar impian Mama yang satu ini tercapai. Haris anak lelaki, Mama tahu tanggungjawab Haris menjaga adik beradik perempuan juga tidak kurang hebatnya. Mana tidaknya, Harislah wali mereka selepas Abi. Besarkan tanggungjawab itu? Tapi Haris jangan bimbang, disepanjang kehidupan Mama, sudah Mama titipkan doa agar Allah permudahkan segala urusan anak-anak Mama. Mama yakin dengan rahmat Allah terhadap anak-anak yatim. Mama harap Haris pun begitu, sentiasalah yakin bahawa Allah itu dekat dan pertolongan Allah itu sentiasa ada.

Anak lelaki Mama ini Mama harapkan dapat menuntut ilmu dengan baik dan menjadi ulamak atau ustaz yang akan membimbing masyarakat. Dalam dunia yang sedang bergelora ini, Mama harap Haris adalah lelaki yang akan menjaga dan mendidik adik beradik perempuan Haris agar menjadi perhiasan dunia dan penghuni syurga. Mungkin Mama tidak dapat memberikan didikan atau bimbingan pada Haris tapi Mama sebulat hati, tawakal pada Allah agar doa-doa Mama pada anak-anak ditunaikan. Allah jagakan anak-anak Mama andai Mama pergi dulu.

Haris, dalam menempuh keremajaan, tentu pelbagai rasa akan timbul. Janganlah Haris tersinggung dengan ketiadaan Mama lantas memberontak mencari jalan mudah untuk melupakan kesedihan. Kembalilah pada Allah dan ketahuilah, dalam setiap sujud Mama yang penuh dengan lelah dan keluh kesah kesakitan itu, Mama tidak putus berdoa agar Allah dapat memanjangkan umur Mama agar Mama dapat menemani Haris dan adik beradik menempuh kehidupan yang beronak duri ini. Tapi andai harapan yang digarapkan berlainan dengan doa yang dititpkan, Haris kuatkan semangat, Haris tonggak harapan Mama. Pada Harislah Mama pasakkan harapan yang paling tinggi, sesuai dengan darjat seorang lelaki dan khalifah Allah.

Mama bukanlah insan yang baik. Mama ini penuh dengan dosa dan sering juga alpa. Berdoalah untuk Mama agar  Allah merahmati kehidupan Mama dunia dan akhirat. Oh ya, sepanjang Mama sakit mengandungkan Haris dan anak-anak yang lain, saat Mama bersedih kerana susah mahu menamatkan pelajaran, ketika Mama kemurungan dengan dugaan dari keluarga dan rakan-rakan, Abi adalah insan yang paling membantu dan menyayangi Mama. Mama amat berharap Haris akan membalas kebaikan Abi ini dengan sentiasa menjadikan Abi sebahagian dari hidup Haris. Sungguh Mama katakan, tidak berlebihan untuk Mama beritahu Haris, kasih sayang Abi terhadap Haris, kakak-kakak dan adik adalah kasih sayang ayah yang paling agung pernah Mama lihat disepanjang kehidupan Mama. Hargailah Abi ya Haris.

p/s: Sehingga ke saat ini, Mama masih berdoa agar dipanjangkan umur dan diberi kesempatan untuk melihat anak-anak membesar di depan mata. Mama mahu bersama Haris, kakak-kakak dan adik menjalani kehidupan yang pelbagai liku. Mama mahu menjadi isteri terbaik buat Abi seperti mana Abi mencurahkan kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi pada Mama. Semoga Allah perkenankan doa Mama. Ameen.

p/s: Semoga kita semua bertemu di syurga sayang~




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Monday, December 22, 2014

Nukilan Untuk Anak-Anak (Part 2)

Wardatul Islam

Mengandungkan Wardah tersangatlah mencabar, Mama menahan sakit semata-mata untuk menghadiri peperiksaan sebelum melahirkan Wardah. Walapun ketika itu Mama tahu, Mama sebenarnya boleh melahirkan Wardah pada bila-bila masa saja (kerana kepala Wardah sudah pun engaged), Mama tetap juga gagahkan diri ke dewan peperiksaan. Bukan rezeki barangkali, Wardah disambut oleh staff nurse yang melayan Mama dengan sangat kasar sehingga Mama memerlukan dua kali jahitan. Beberapa hari setelah discharge, Mama kembali dimasukkan ke dalam wad kerana jangkitan dalam darah. Allah sahaja yang tahu sakit yang ditanggung sehingga seluruh tubuh sebelah kanan Mama tidak mampu bergerak.

Wardah anak kecil yang susah djaga pada awalnya, mahu menidurkan Wardah sahaja memerlukan Mama bersabar berjam-jam lamanya. Bukan dengan lelah mendodoi tapi dengan tangisan nyaring seperti dicubit-cubit sahaja gayanya. Alhamdulillah, tanpa Mama sedar, karenah Wardah itu berlalu dan Wardah boleh dibiarkan lena sendiri. Wardah membesar sebagai anak yang bijak dalam diam. Diam-diam, ada sahaja yang Wardah lakukan. Melihatkan sikap Wardah, Mama menyimpulkan Wardah sebagai anak yang diam-diam ubi berisi. Tapi Mama silap, sebaik sahaja Wardah mula bercakap, bebelan Wardah tidak kurang hebatnya berbanding Kak Zahra. Letih juga Mama melayan segala pertanyaan yang kamu berdua timbulkan.

Semakin Wardah pandai serba serbi, semakin Mama menyedari betapa nakal dan menggelikan hati perwatakan Wardah. Ada sahaja karenah Wardah yang membuatkan Mama ketawa. Tapi dalam masa yang sama, Mama lihat Wardah ini sangat penyayang orangnya. Wardah selalu sahaja mengucapkan kata-kata sayang pada Mama dan Abi. Siap berjanji mahu menyayangi Mama dan Abi sampai bila-bila. Terharu Mama sayang. Wardah juga semakin ringan tulang membantu Mama menjaga Haris. Wardah lebih mudah membantu Mama mencari barang, mengambil botol susu dan sebagainya dibandingkan dengan Kak Zahra yang lebih suka menyoal selidik terlebih dahulu sebelum membantu Mama. Wardah selalu menjadi orang yang membahagiakan kita sekeluarga, selalu sahaja buat Haris ketawa terkekek-kekek, Abi geram mahu cium, Kak Zahra ketawa tidak berhenti dan Mama jadi semakin sayang dan terharu. Terima kasih Wardah untuk kebahagiaan yang tidak bernoktah itu.

Lahirnya Wardah sudah ada Kak Zahra di dalam jagaan Mama. Beberapa bulan kemudian, Mama mengandungkan Haris pula. Mungkin dari segi penjagaan, Mama tidak dapat memberikan penjagaan yang rapi tapi ketahuilah, kasih sayang Mama tidak pernah berkurangan terhadap Wardah. Sebolehnya Mama bertindak seadil mungkin agar Wardah tidak merasakan kekurangan. Insyaallah..

Wardah, melihat perwatakan Wardah, Mama berharap Wardah menjadi orang yang merapatkan hubungan adik beradik. Mama tahu Wardah disenangi Kak Zahra, Haris dan insyaallah adik yang bakal lahir ini juga. Semoga kamu semua sentiasa bersatu hati. Wardah, membesarlah dengan ceria dan jadikanlah Islam sebagai pedoman hidup Wardah. Seandainya mampu, jadilah hafizah dan amalkanlah Al Quran dalam kehidupan seharian. Semoga buku panduan seumur hidup ini mampu menjaga Wardah sebaiknya. Andai Mama tidak dapat menemani Wardah disepanjang tingkat kehidupan, Mama berharap Wardah tidak berasa hati. Allah lebih tahu aturan terbaik untuk kita semua. Bertabahlah dan hiduplah dengan baik kerana itulah harapan Mama yang besar sekali, mahu anak-anak menjalani kehidupan yang baik walau tanpa Mama disisi.

Jujurnya, harapan Mama tidak pernah putus mahu Allah panjangkan umur Mama demi anak-anak yang masih kecil dan memerlukan bimbingan. Mama bimbang, Wardah dan adik beradik berkecil hati melihat orang lain yang dibelai dengan kasih sayang seorang ibu. Mama tahu, itu satu kekurangan yang amat besar dalam menempuh kehidupan meniti keremajaan dan kedewasaan. Tapi Mama juga percaya, andai ianya ketentuan Illahi, tentu sahaja Wardah dan adik beradik mampu menempuh dugaan ini. Bersama-samalah dengan Abi dan adik beradik, saling membahagiakan dan berkongsi suka dan duka. Tidak ada perkara yang lebih membahagiakan Mama selain dari kebahagian Abi dan anak-anak Mama.

Wardah..semoga menjadi wanita seindah makna nama yang Mama dan Abi berikan. Doakanlah kita semua agar dipertemukan semula di syurga dan kita akhirnya dapat menjalani kehidupan bersama-sama di 'sana' nanti. Tapi sehingga sebelum kita bertemu, Mama mohon Wardah kuatkan semangat dan teruskan kehidupan dengan nilai-nilai Islam yang Mama selalu sampaikan pada Wardah (walaupun Mama tahu, pada saat ini Wardah belum betul-betul mengerti). Banyak harapan Mama untuk anak-anak, Mama mahu bergembira bersama Wardah ketika majlis konvokasi, berjalan-jalan mencari baju pengantin di saat Wardah mahu berumah tangga, memberi tips-tips berpantang orang-orang tua ataupun membantu Wardah menjaga anak-anak ketika Wardah mahu meluangkan masa berdua sahaja bersama suami. Sungguh, Mama berdoa agar kita dapat menjalani kehidupan bersama. Tapi andai takdir Illahi tidak serupa, bertabahlah Wardah dan jadilah wanita solehah dan anak yang menjadi bekal yang berpanjangan buat Mama dan Abi.

Oh ya, sepanjang Mama sakit mengandungkan Wardah dan anak-anak yang lain, saat Mama bersedih kerana susah mahu menamatkan pelajaran, ketika Mama kemurungan dengan dugaan dari keluarga dan rakan-rakan, Abi adalah insan yang paling membantu dan menyayangi Mama. Mama amat berharap Wardah akan membalas kebaikan Abi ini dengan sentiasa menjadikan Abi sebahagian dari hidup Wardah. Sungguh Mama katakan, tidak berlebihan untuk Mama beritahu Wardah, kasih sayang Abi terhadap Wardah, kakak dan adik-adik adalah kasih sayang ayah yang paling agung pernah Mama lihat disepanjang kehidupan Mama. Hargailah Abi ya Wardah.

p/s: Sehingga ke saat ini, Mama masih berdoa agar dipanjangkan umur dan diberi kesempatan untuk melihat anak-anak membesar di depan mata. Mama mahu bersama Wardah, kakak dan adik-adik menjalani kehidupan yang pelbagai liku. Mama mahu menjadi isteri terbaik buat Abi seperti mana Abi mencurahkan kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi pada Mama. Semoga Allah perkenankan doa Mama. Ameen.

p/s: Semoga kita semua bertemu di syurga sayang~



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, December 21, 2014

Nukilan Untuk Anak-Anak (Part 1)

Salam

Dalam keadaan emosi dan kesihatan yang tidak stabil ini, ada ketikanya saya terasa mahu menulis surat untuk setiap anak-anak. Mengambil ilham dari cerita Kuch Kuch Hota Hai, bolehlah nanti (sekiranya saya mati), anak-anak membacanya setiap kali hari lahir mereka. Tapi memandangkan saya punya 4 orang anak dan mahu menulis 18 surat (1 surat untuk setiap kelahiran sehingga usia 18 tahun), tinggi juga komitmen yang diperlukan tu. Jenuh dibuatnya. Sudahnya, saya membuat keputusan untuk menulis disini, sedikit pesanan agar menjadi pedoman, pengubat kerinduan dan penguat semangat.

*Untuk tatapan anak-anak seandainya umur Mama tidak sepanjang yang dihajati. Selamat menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim dan pejuang agama Islam. Semoga menjadi bekalan untuk Mama dan Abi.

Zahratul Iman.

Anak sulung Mama yang sangat-sangat boleh diharap. Mama tahu dewasa nanti Zahra akan menjadi wanita yang gigih dan kuat semangat. Mama melihat sendiri perwatakan itu kian tumbuh dalam diri Zahra. Apa sahaja yang Zahra mahukan, memang Zahra akan berusaha dengan bersungguh-sungguh. Tiga hari yang lepas, Mama berjanji pada Zahra, kalau Zahra mampu menghafal Al Fatihah dengan baik, kita akan ke Toys R Us dan Zahra boleh memilih apa sahaja mainan yang Zahra mahu dan Mama akan membelikannya. Percaya atau tidak, hari ini, dengan kebijaksanaan dan kegigihan yang ada pada Zahra, Mama boleh katakan 90% sudah pun Zahra hafal. Hanya 2 ayat sahaja yang Zahra masih keliru. Insyaallah, esok atau lusa, tentu Zahra sudah boleh menguasainya dengan baik.

Zahra, jadilah wanita yang solehah, yang bermanfaat kepada masyarakat. Harapan Mama mahukan anak-anak Mama menjadi hafiz/hafizah tapi seandainya Mama pergi, harapan ini Mama utamakan pada anak lelaki sahaja dulu. Bimbang Abi terbeban dengan tanggungjawab yang tergalas. Jadi, untuk Zahra, Mama harap Zahra jangan sesekali tinggal solat dan jadikan Al Quran sebagai pedoman. Mama mungkin tidak ada bersama Zahra menempuhi kedewasaan, bersama-sama berkongsi rasa murung kerana datang bulan atau rasa hati yang berbunga-bunga tatkala Zahra mahu mendirikan rumah tangga. Ketahuilah, andai umur ini panjang, segala rasa hati Zahra, susah mahupun senang, Mama mahu kongsi bersama. Mama mahu menjadi ibu yang Zahra boleh telefon bila-bila masa sahaja untuk bertanyakan pendapat, baik dari segi akademik ataupun peribadi. Mungkin Mama tidak begitu faham dengan situasi Zahra ketika itu tapi Mama tetap mahu memberi kata-kata yang membuatkan Zahra tahu, Mama sentiasa ada untuk Zahra.

Zahra, menjadi anak sulung bukan perkara mudah. Seawal usia 1 tahun 4 bulan Zahra sudah menerima adik. Ramai yang kasihankan Zahra, kata mereka Zahra terpaksa berkongsi kasih. Sungguh, kata-kata itu hanya datang dari mereka yang belum bergelar ibu kerana seorang ibu pastinya tahu, kasih sayang seorang ibu itu tidak mungkin berbahagi. Mama sangat sayangkan Zahra sehingga sering kali juga Mama dan Mamatok berbalah kerana Mamatok ketika itu lebih suka Zahra tinggal bersamanya dan sedikit sebanyak Zahra lebih berkecenderungan berada di rumah Mamatok berbanding bersama Mama. Ketika di dalam pantang, kata-kata Mamatok yang Zahra lebih sayangkan Mamatok berbanding Mama sangat memberi kesan pada Mama. Mama menangis dan mengambil keputusan untuk tidak lagi membiarkan Mamatok menjaga Zahra. Dengan segala kemampuan yang ada ketika itu, Mama kuatkan semangat dan menjaga Zahra sebaik mungkin. Alhamdulillah, Mama melihat perubahan Zahra lebih positif, Zahra mula menunjukkan kasih sayang pada Abi dan Mama; gembira melihat Abi dan Mama balik dari kelas, berkeras mahu tidur dengan Mama dan sebagainya. Kenapa Mama ceritakan semua ini? Kerana Mama mahu Zahra tahu, Mama sayangkan Zahra sangat-sangat.

Mama harap sangat Allah memberikan Mama umur yang panjang untuk Mama didik anak-anak dan berkhidmat sebagai isteri dan menyokong perjuangan Abi. Tapi andai takdir tidak menyebelahi Mama, Zahra janganlah putus harapan. Teruskan hidup dengan baik dan kenanglah Mama dalam setiap tadahan doa Zahra. Jangan sesekali rasa sendiri, sebelum Zahra lahir ke dunia lagi Mama sudah mula menitipkan doa buat Zahra agar Allah sentiasa melimpahi Zahra dengan kasih sayang dan lorongkan Zahra ke jalan yang betul. Mama yakin dengan doa Mama dan bersangka baik dengan Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Mama harap Zahra juga begitu. Letakkan Allah di dalah hati dan sentiasalah bersama agamaNya dalam apa jua yang Zahra lakukan, insyaallah, setiap langkah yang Zahra ambil kerana Allah, ada redha Mama bersama. 

Oh ya, sepanjang Mama sakit mengandungkan Zahra dan adik-adik, saat Mama bersedih kerana susah mahu menamatkan pelajaran, ketika Mama kemurungan dengan dugaan dari keluarga dan rakan-rakan, Abi adalah insan yang paling membantu dan menyayangi Mama. Mama amat berharap Zahra akan membalas kebaikan Abi ini dengan sentiasa menjadikan Abi sebahagian dari hidup Zahra. Sungguh Mama katakan, tidak berlebihan untuk Mama beritahu Zahra, kasih sayang Abi terhadap Zahra dan adik-adik adalah kasih sayang ayah yang paling agung pernah Mama lihat disepanjang kehidupan Mama. Hargailah Abi ya Zahra.

p/s: Sehingga ke saat ini, Mama masih berdoa agar dipanjangkan umur dan diberi kesempatan untuk melihat anak-anak membesar di depan mata. Mama mahu bersama Zahra dan adik-adik menjalani kehidupan yang pelbagai liku. Mama mahu menjadi isteri terbaik buat Abi seperti mana Abi mencurahkan kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi pada Mama. Semoga Allah perkenankan doa Mama. Ameen.

p/s: Semoga kita semua bertemu di syurga sayang~



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Thursday, December 18, 2014

Sekiranya Saya Mati

Salam

Seperti biasa, setiap kali mahu bersalin, tiap kali itu juga saya merasakan ajal terlalu mendekat. Saya tidak pasti, kali ini lebih terasa dekat atau sebelum ini juga sebegini kuat perasaannya. Kalau ikutkan saya, ketakutan kali ini lebih terasa berbanding yang sebelum ini tapi kalau diteliti pujukan suami sepertinya dia sudah mendengar rintihan saya ini berkali-kali sebelum ini. ^_^'

Ya, sekiranya saya mati....saya amat-amatlah mengharapkan anak-anak kecil itu tetap juga menjadi amalan saya yang berpanjangan. Mungkin mereka terlalu muda untuk saya bergantung pada amalan mereka apabila dewasa nanti agar disandarkan kepada saya. Tapi amalan apa lagi yang mampu saya harapkan? Saya bukanlah seorang yang banyak membuat kebaikan. Hidup saya hanya berkisarkan anak-anak, suami, keluarga dan kraftangan Felt. Kalau mahu difikirkan tentang jasa saya pada masyarakat atau perjuangan saya pada agama, mungkin boleh dikatakan tiada. Memikirkan ini saya menjadi bimbang dan runsing, andai di panggil menghadap Illahi, apa yang akan saya bawa untuk dipersembahkan? Bila mengutarakan perihal ini, suami akan memujuk...Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang, rahmat Allah juga luas, bersangka baiklah pada Allah. Dan untuk seketika hati saya tenang.

Sekarang saya giat mengajar dan agak memaksa Zahra dan Wardah untuk menghafal Al Fatihah, kerana inilah surah yang akan mereka baca tujuh belas kali sehari setiap kali mendirikan solat. Semoga ianya menjadi catitan amalan berpanjangan untuk saya. Begitu juga ajaran-ajaran Islam yang lain seperti menutup aurat, tuntutan solat lima waktu, bacaan doa-doa, syurga dan neraka, nilai-nilai murni dan sebagainya. Saya sudah mula bercerita pada Zahra dan Wardah dengan serius dan berkala. Walaupun reaksi mereka  agak menggelikan hati (kerana topik-topik ini agak berat dan sukar difahami), saya gembira melihat bagaimana ianya meresap masuk dalam kehidupan seharian anak-anak. Contohnya amukan Zahra setiap kali mahu keluar, dia memang berkeras mahu berseluar dan berbaju panjang agar auratnya terjaga. Tidak lupa juga tudung yang sentiasa di atas kepala walaupun duduk di dalam rumah sahaja. Bila bercerita tentang syurga dan neraka, Zahra memang memahami syurga sebagai tempat indah yang dipenuhi apa sahaja permintaan sebagai balasan kepada orang yang berbuat baik manakala neraka merupakan tempat mereka yang berbuat jahat terbakar.

Apabila saya ceritakan padanya yang dia boleh meminta apa sahaja yang dia mahukan sekiranya dia masuk syurga, dia dengan naifnya memberitahu saya dia mahu makan telur banyak-banyak. Tertawa saya dibuatnya, mungkin kelakar tapi saya tahu dia sudah memahami konsep asas syurga dan neraka. Begitu juga Wardah, dia tidaklah sepetah Zahra tapi saya dapat lihat beberapa amalan yang saya cuba terapkan padanya tersemat elok dalam ingatannya. Saya suka melihat dia senyap-senyap memakai telekung dan menghampar sejadah dan kemudiannya diikuti dengan mulutnya yang terkumat kamit kononnya membaca surah-surah ketika solat. Sayang, semoga yang makruf ini lekat dalam diri kamu semua sehingga ajal menjemput. Mama mahukan kebaikan daripadanya, untuk kamu dan untuk mama juga.

Ini sahaja amalan saya. Kalau nak dibandingkan dengan kawan-kawan yang sudah ada rezeki dipanggil Illahi menziarahi Baitullah dan mereka yang mengikuti begitu banyak program dan ceramah ilmiah, saya terasa sangat kerdil. Terasa sangat kerdil sehinggakan ada beberapa malam saya terjaga di malam hari dan menangis ketakutan...takut diseksa dan dimasukkan dalam neraka. Betapa lemahnya psikologi saya ketika ini. Menjalani kehidupan sehari-hari yang selalunya keletihan, saya kuatkan semangat dengan sangka baik kepada Allah dan harapan yang menggungung tinggi ada rezeki saya pada rahmat Allah yang Maha Luas itu.

Oh, syahdu mengenangkan masa lalu yang terbiar begitu sahaja. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya dan mengurniakan saya rahmatNya yang saya dambakan. Sekiranya saya mati Ya Allah, hitunglah sebanyak mungkin amalan yang pernah saya lakukan ampunkan dosa dan kelalaian saya...dan yang paling penting sekali, rahmatilah saya Ya Allah. Kerana saya tahu, sekalipun saya beramal ribuan tahun, syurga itu jauh sekali dari telapak tangan, hanya rahmat Allah sahaja yang memberikan kita (manusia), peluang untuk merasai kenikmatan syurga. Semoga saya tergolong di dalam golongan yang beruntung. Ameen.





Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, February 2, 2014

Di sini Ku Temui Cinta

Salam

Alhamdulillah, hari ini genap sebulan umur Izzul Haris, anak lelaki pertama yang menjadi anak ketiga selepas Zahrah dan Wardah. Syukur saya panjatkan di atas kebahagiaan yang semakin manis. Syukur juga pada Allah atas keperitan yang semakin dirasai. Ya, saya bersyukur pada keduanya kerana manis itu mencambahkan buah kebahagiaan dan keperitan itu menguatkan akar keredhaan. Semoga Allah sentiasa mencampakkan ke dalam hati saya dan suami rasa cinta dan tanggungjawab. Ketika mana hidup ini indah, cinta menyemarakkan keadaan dan ketika mana hidup ini payah sehingga rasa cinta mula mengalah, maka kami bertongkat pada rasa tanggungjawab yang menumpaskan deduri mehnah.

Ini realiti sebuah perkahwinan, tidak semuanya indah dan tidak juga cinta yang berada di hati akan sentiasa merah. Adakalanya mehnah datang menyerang, cinta mungkin bukan tempat yang paling kuat untuk bergantung, maka kekuatan dicari dengan keterikatan pada tanggungjawab. Tarik nafas, teguhkan tali kesabaran dan pasakkan sauh keredhaan supaya hempasan ombak yang memukul tidak mampu menggoyahkan bahtera yang dibina. Layar cinta mungkin perlu ditutup seketika kerana tidak mampu mengawal tiupan angin dugaan dan cabaran.

Jujurnya, saya sedang merasa payah. Payah dalam banyak perkara yang tidak mungkin saya boleh kongsikan. Ketika ini, saya sedang mencari kekuatan melalui tanggungjawab. Ya, kebanyakan perkara yang saya lakukan sekarang ini kerana tanggungjawab dan amanah yang dipikul, bukan kerana cinta yang dulunya berputik di dalam hati. Jangan disalaherti, bukan cinta itu sudah hilang, lesap entah ke mana. Ia tetap ada, di sudut hati saya yang paling dalam tapi untuk menempuh rasa susah ketika ini, saya memerlukan kekuatan dari rasa tanggungjawab.

Kesusahan ini sedikit sebanyak telah memakan diri saya, saya melupakan banyak perkara dan meninggalkan beberapa perkara penting yang sebelum ini menjadi kesukaan saya. Mengenang kisah lalu. Saya suka begitu. Sebelum tidur, duduk bersama suami dan mula bercerita tentang bagaimana kisah cinta kami bermula dari sisi saya berdiri. Selang beberapa ketika saya akan bertanya tentang fikiran dan perasaannya ketika itu. Oh, mengenang keindahan lalu teramatlah manis. Mengenangkannya sahaja cukup membuatkan saya rindu pada suami yang sentiasa berada di sisi. Kenangan itu sentiasa menyegarkan kembali perasaan cinta saya pada suami.

Itu masa-masa yang lalu.

Ketika ini kehidupan kami sedang melalui satu fasa yang baru. Jadual kehidupan yang semakin padat dengan pelbagai tuntutan. Badan kami kepenatan. Hasilnya?. Saya sangat-sangat merasa sunyi, tidak ada teman yang mahu mendengar cerita yang mahu disampaikan. Dalam masa yang sama fikiran saya sangat bertentangan dengan apa yang dirasai hati. Saya memahami kepenatan dan amanah yang digalas suami. Terlampau banyak dan sangat membebankan. Kerana rasional inilah saya banyak memendam rasa, rasa mahu diberikan perhatian.

Kemurungan beberapa ketika, saya melayari internet, membaca semula penulisan saya di blog ini sehinggalah saya tergerak mahu membaca blog suami. Membaca blognya benar-benar membangkitkan semula rasa cinta saya pada dia. Saya jadi terkenang semula pada sebab-sebab saya memilihnya untuk berkongsi hidup, suka dan duka. Blognya mencetuskan pula ingatan pada kesungguhannya dalam perkahwinan ini. Dan Alhamdulillah, saya tahu Allahlah yang mengilhamkan saya untuk membaca penulisannya. Kerana Allah tahu, hanya dengan menatap penulisannya kegundahan hati saya akan reda.

Di blog itulah saya temukan cinta dan di blog itu jugalah Allah temukan saya dengan ketenangan dan keyakinan bahawa cinta kami sentiasa ada. Allah hanya menguji seketika untuk menjadikannya sebuah cinta yang terisi dan sarat dengan hikmah. Bukan cinta kosong yang tidak mampu memberi manfaat pada mereka yang diteduhi. Demi Allah, dalam rasa susah yang semakin menggoyah ini, saya tahu hati saya semakin hari semakin menyintai suami. Melalui dialah Allah memperkenalkan saya dengan agama, cinta dan tanggungjawab. Semoga kami bersama hingga ke syurga! Ameen.

p/s: www.ahmad-izzuddin.blogspot.com : Tempat di mana saya temui cinta.
p/s: Abang, saya berharap satu hari nanti awak akan menulis semula, dan saya akan sentiasa menjadi peminat nombor satu awak. Always. Forever.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, August 28, 2013

Rayuan Titipan Doa

Salam.
Sekiranya perkiraan saya betul,bermakna sudah 5 bulan saya tidak mengemaskini blog. Seperti biasa terlalu banyak cerita yang saya mahu coretkan tapi kali ini bukan hanya kekangan masa yang mengganggu urusan. Perasaan mahu menulis itu saya pendam kerana kesedihan yang mendalam.
Sedih dengan nasib umat Islam di Syria dan Mesir..dan sedih dengan nasib yang menimpa seorang rakan baik.

1. Mesir dan Syria.

Sudah beberapa kali saya menitiskan air mata melihat mujahidin dan kanak-kanak yang terkorban di Syria dan Mesir. Sengsara mereka bagai tidak berkesudahan. Hati saya merusuh sehinggakan sekali pun saya tidak berani untuk memuat naik gambar raya saya sekeluarga.

Mesir,Syria..ujian ini ujian kita bersama. Allah mengujimu dan mengurniakan pendudukmu jihad dan syahid manakala kami diuji dengan kesenangan sedangkan kamu dalam kesusahan. Apakah kami akan berjaya melalui ujian ini? Atau kami akan terleka dengan nikmat sementara yang akan mengundang sengsara.

Teman-teman dan rakan taulan,mahu menuntu kalian turun berjihad saya malu kerana sedar dengan kesanggupan dan keupayaan diri. Apa yang mampu saya lakukan adalah menyeru kalian untuk menyelitkan Mesir dan Syria di dalam setiap tadahan doa.

2. Iriniah bt. Shamshay

Satu perkara lagi yang sering saja menjemput tangisan ialah apabila melihat sengsara seorang teman. Ditinggalkan seorang diri untuk melewati hari-hari yang memakan dagingnya,melumpuhkan tubuh badannya dan merosakkan sistemnya.

Pada usia 26 tahun,dia masih terbaring lesu..sendirian dan ditinggalkan. Dahulu saya menulis beberapa warkah rindu dengan harapan satu hari nanti dia akan membaca kesemuanya. Tapi semenjak musibah ini menimpa untuk kali kedua,saya tidak lagi punya kekuatan untuk menaruh harapan. Hilang,tenggelam dalam pandangan matanya yang kaku dan beku. Tidak menyajikan sebarang reaksi mahupun emosi.

Tahukah kau teman,menyebut namamu sahaja membuat hatiku menderita..apatah lagi apabila mata ini menyaksikan sekujur tubuhmu yang kaku dan beku. Tersangat kaku sehinggakan ada ketika aku tertanya-tanya..apakah kau menghela nafas dan menghembusnya kembali? Sungguh,hiduplah semula!!

Irine,Rab rindu. Sudah hampir 3 tahun Irine begini.

Please Allah,sembuhkanlah dia!

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Friday, February 22, 2013

Tiada Ganti

Salam

Semalam saya menduduki peperiksaan dengan hati yang kusut dan penuh dengan kebimbangan. Resah dan gelisah datang silih berganti, di saat-saat sebegini hanya doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT mampu memberi ketenangan pada hati. kalau ikutkan hati, mahu saja saya duduk di rumah, berdoa dan melakukan solat hajat sepanjang hari.

Setelah dua minggu Mama di diagnose dengan ketumbuhan di rongga hidung,telinga dan mulut yang menyebabkan air bertakung di bahagian belakang kepala, semalam adalah hari di mana doktor menjalankan bitopsi ke atas Mama. Kami diberitahu perkara ini tidak boleh di ambil mudah kerana risiko tetap wujud walaupun prosedurnya ringkas. Peperiksaan yang jatuh pada hari Mama dijadualkan masuk ke bilik pembedahan membuatkan saya tidak keruan. Air mata mengalir laju tanpa di minta, saya hilang punca dan lebih teruk lagi hampir sahaja berputus asa. Malam itu ketika saya berada di rumah mama, banyak perkara yang mahu saya ungkapkan. Tapi semuanya saya diamkan kerana tidak mahu Mama risau dan negatif menanti hari esok. Mama melelapkan mata sambil tangannya menghayun buaian Zahra, ketika itu saya terdengar dengkuran kecil Mama dan hati saya menjadi sayu tiba-tiba. Saya tertanya-tanya, sampai bilakah saya akan mendengar dengkuran ini. Sebetulnya beberapa kali saya ke dapur untuk menumpahkan air mata yang tidak mampu di tahan-tahan, saya takut Mama melihat keadaan saya yang tidak tabah ini. Sewaktu saya menidurkan Wardah, Mama berbisik perlahan, "Kesian awak, anak-anak tak sihat, Mama pula jadi macam ini..dah la awak tengah belajar. Tak apa lah, awak sabarlah". Saya diam, sungguh saya rasa seperti tidak berpijak di bumi yang nyata, terawang-awang dan tidak tahu apa sepatutnya yang saya buat.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya menangis semahunya. Segala perasaan yang sepatutnya saya ungkapkan pada Mama saya luahkan pada suami. Suami memujuk lembut, "Malam ni kita solat hajat dan berdoa untuk Mama. Jangan sedih, mungkin ini semua kafarah dosa untuk Mama, Allah mahu menaikkan darjat Mama disisiNya". Malam itu selesai solat hajat, saya masih belum boleh melelapkan mata walaupun hati saya bimbang tentang keadaan saya untuk menduduki peperiksaan esok hari, tapi kebimbangan perihal Mama lebih menyesakkan. Akhirnya saya terlelap jam 4 pagi.

Saya keluar dewan peperiksaan sejam lebih awal dari waktu yang diperuntukkan pihak universiti. Saya tahu kalau diketahui suami, Mama dan Abah pasti semuanya marah kerana masa yang berbaki tidak digunakan sepenuhnya untuk menyemak jawapan. Tapi saya sudah tidak boleh berfikir, waktu yang berbaki itu saya bergegas ke hospital. Alhamdulillah, Allah perkenankan doa saya mahu melihat Mama sebelum saya menduduki peperiksaan kedua petang nanti.

Mama,
Saya mungkin tidak setaat Dalila, mengiburkan hati seperti Nana, rajin macam Johana, ceria macam Syahida atau menyenangkan macam Syaza tapi saya tetap sayangkan Mama. Saya tahu, saya banyak buat dosa dengan Mama, melawan dan degil dengan nasihat-nasihat Mama. Kita selalu sahaja ada perselisihan faham dan tidak sependapat tapi saya tetap sayangkan Mama. Demi Allah, saya mahu jadi anak yang solehah, yang menjadi bekalan untuk Mama dan Abah dunia dan akhirat. Mohon Mama ampunkan dosa-dosa saya, halalkan makan minum saya. Saya sayang Mama. Semoga kita semua bertemu kembali di syurga nanti, di mana Allah dirikan untuk kita sekeluarga sebuah mahligai yang penuh dengan mawaddah dan rahmah. Ameen!

p/s: Hari ini hari terakhir saya menduduki 'special exam'. Semoga Allah permudahkan semuanya.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, February 10, 2013

Ya Allah, Dengarkan Saya.

Salam


Sejujurnya kepala saya sedikit berserabut (terlampau serabut sebenanrnya), banyak perkara yang saya fikirkan dan ada beberapa benda yang saya rasakan buntu mahu mencari jalan penyelesaian. Saya akan menduduki peperiksaaan minggu hadapan dan saya masih belum mula mengulangkaji setelah tiga bulan cuti bersalin dan berpantang. Kesemua ilmu yang sebelum ini terpahat di kotak ingatan agak kekaburan. Tidak cukup dengan itu, otak saya juga seperti berkarat, susah benar mahu berputar dan kembali cerdas seperti biasa.

Hal kedua, Zahra sudah sebulan cirit birit. Saya tidak tahu mana silapnya. Kami masih menggunakan susu yang sama, yang sebelum ini dia tidak alah atau memberikan sebarang reaksi negatif terhadap susu itu. Kali ini, perutnya tersangat sensitif, asal masuk sahaja makanan, tentu ada saja yang akan keluar nanti. Kadang-kadang hampir lima hingga enam kali kami terpaksa membersihkan dia. Dia cirit dan sakit perut, najisnya juga sekali sekala kelihatan berdarah dan berbau sangat busuk. Baru-baru ini kami ke Pusat Rawatan Islam bagi mendapatkan nasihat dokotr, kalau mengikut saranan, tentu sahaja Zahra mahu di tahan di Wad bagi tujuan pemerhatian dan mengenalpasti penyakit sebenar. Bila memikirkan prosedur yang bakal dihadapi (cucuk dan ambil darah), saya ngilu dan mengambil keputusan untuk menangguhkannya seketika. Saya berusaha dengan ubat baru yang diberikan doktor. Saya tahu doktor agak kecewa dengan keputusan kami tapi saya tetap juga mahu mencuba terlebih dahulu antibiotik baru dan ubat tambahan yang doktor berikan. Kalau usaha ini buntu, insyaallah, hari Selasa ini saya akan cekalkan hati dan merelakan doktor untuk menahan Zahra di wad kanak-kanak.

Masih lagi tentang kepala yang kusut. Sahabat saya Iriniah bt Shamshay masih lagi dalam keadaan yang menyedihkan. Saya menziarahinya sekali lagi dan alhamdulillah dia sudah dipindahkan ke wad pemulihan. Tapi keadaannya masih sama, masih kurus kering, masih belum mampu bercakap, masih tidak mahu makan dan masih lagi belum mampu menguruskan diri sendiri. Bezanya kali ini, dia sedar akan kehadiran saya. Saya melihat sinar matanya yang mengecam kehadiran saya cuma dia tidak mampu mengungkapkan walau sepatah kata. Dan seperti biasa, setiap kali berkunjung, saya akan mendengar rungutan misi tentang pelawat yang Irine terima dan betapa dia memerlukan sokongan moral. Ya,saya tahu misi tapi saya tidak mampu memberikan komitmen sejitu itu. Maaf Irine.

Hari ini kekusutan saya berada di tahap kemuncak. Saya menerima berita paling buruk yang pernah saya terima. Tidak tahu bagaimana mengungkapkannya dan pada siapa harus saya luahkannya. Sudah beberapa kali air mata ini tumpah dan tiap kali itu juga suami berpesan, "Ini bukan masanya untuk berputus asa, ini masanya untuk kita sama-sama berjuang. Kita masih belum berusaha, tidak ada ujian yang tidak ada jalan penyelesaian". Saya tahu apa yang dikatakan dia benar tapi hati ini terasa lemah, rasa takut kehilangan bagai terlalu menghantui perasaan saya ketika ini. Pelbagai bayangan buruk menerjah fikiran saya, walau sudah acap kali saya tepis, bayangan itu tetap datang menyinggah.

Ya Allah, bantulah saya. Berita yang saya terima petang ini bagai tidak tertanggung rasanya. Saya takut kehilangan dan saya takut menghadapi kenyataan. Ya Allah, bantulah saya. Berikan saya kekuatan dan ketabahan, berikan saya keimanan dan keredhaan dan yang paling saya mahukan sekali, berikanlah saya penyelesaian! Ya Allah...dengarlah permohonan saya ini.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, February 3, 2013

Hati Yang Hancur

Salam

Saya tidak pasti entah kali ke berapa saya menulis tentang sahabat yang sama. Cerita pertama yang saya kongsikan tantang dia adalah mengenai betapa beruntungnya saya mempunyai teman yang baik hati, memahami dan ikhlas dalam persahabatan. Kisah kedua tentang bagaimana dia diuji Allah SWT, kehilangan upaya sebagai manusia biasa dan terlantar di katil hospital yang empuk tapi tidak mampu melenakan buat beberapa bulan lamanya. Saya juga pernah menurunkan sebuah puisi untuk dia, memohon doa yang dititpkan buat dia dimakbulkan Allah SWT.


Beberapa lama kemudian,saya masih lagi menulis tentang dia yang belum sembuh dari penyakit yang tidak diketahui. Kata doktor,penyakit yang baru sahaja 'menjejaki' Malaysia sekitar 5/6 tahun yang lalu. Pelbagai usaha telah dijalankan dan dia tidak memberi sebarang tindak balas terhadap sebarang ubat-ubatan. Akhirnya,sebagai langkah terakhir, doktor menyarankan dia menukar darah dan ianya membuahkan hasil. Dia sedar daripada lena yang panjang namun kehilangan sebahagian besar kebolehan diri sebagai manusia normal. Bertitik tolak dari situ,dia menjalani fisioterapi dengan tekun dan sabar. Kali pertama saya menziarahinya selepas dia 'membuka mata', dia menangis semahunya. Saya, turut serta larut dalam titisan air mata yang dicurahkan. Alhamdulillah,hari demi hari, dia semakin pulih.


Tapi takdir itu bukan ditangan manusia, dia di hantar di pusat jagaan untuk berkongsi hidup dengan makcik dan pakcik yang dibuang keluarga. Bagai orang yang tidak punya siapa,kadang-kadang ketika dinihari dia disapa pakcik Cina yang nyanyuk yang mahu menonton TV bersamanya. Saya menangis mendengar keluhan dia. Ada ketika berjam-jam lamanya kami berbual di telefon dan berjam-jam itu juga kami berkonbgsi air mata,suka dan duka. Saya masih mengunjunginya walaupun kekangan masa yang menghimpit. Sukar untuk memberikan komitmen yang berterusan dalam keadaan sarat mengandung. Pernah sekali,dia mengusap perut saya dan ketika itu juga anak di dalam perut menendang perlahan, kami ketawa bahagia. Terasa indah detik-detik yang dilalui tapi saya tahu peritnya tidak mungkin dihilangkan dengan kehadiran saya yang jarang-jarang sekali.


Beberapa bulan berlalu dan saya tidak mampu menghitungnya lagi. Di saat saya kehilangan harapan terhadapnya untuk kembali pulih seperti biasa, Allah datangakan sinar bahagia yang tidak terduga. Dia kini mampu berbicara, tersenyum ceria dan hidup seperti biasa. Walaupun masih dibiarkan sendiri di pusat jagaan,dia saya lihat semakin gigih meniti kehidupan. Alhamdulillah,rakan-rakannya semakin ramai yang mendekati,tidak seperti keluhan yang saya dengari ketika kami bercakap melalui telefon, "Bila sakit macam ni,baru kita tahu siapa yang sebenarnya kawan". Saya diam,tidak tahu bagaimana mahu menghilangkan rasa terkilan dihatinya.


Di saat kami semua merasa selesa dengan keadaan kesihatannya,Allah menguji kami sekali lagi. Dia kembali tidak sedarkan diri dan yang paling menyayat hati,keadaanya lebih buruk berbanding yang sebelum ini. Saya menerima perkhabaran itu ketika saya sarat mengandungkan anak kedua. Saya hanya mampu berdoa dan berharap. Hati saya meronta mahu mengunjungi dia tapi saya sendiri keluar dan masuk hospital tanpa henti, kandungan kali ini sedikit menguji. Sehari selepas tempoh berpantang tamat, saya menjejakkan kai ke PPUM. Melihatnya terlantar di katil dan mendengar rungutan misi membuatkan hati saya hancur. Kata misi, "Tidak ada sesiapa pun yang melawat dia secara rutin. Ibubapa dia pun jarang-jarang sekali datang. Yang menguruskan pakaiannya pun orang-orang dari pusat jagaan itu". Saya berpaling mengadap tingkap dan buat sekian kalinya, saya menangis lagi.


Ya Allah, sungguh saya tidak tahu berapa banyak lagi air mata yang harus saya gugurkan untuk sahabat yang seorang ini. Hati saya hancur mengenangkan dia yang berusia 26 tahun tetapi bagaikan tiada masa depan yang menanti. Hati saya hancur mengenangkan ibubapanya yang rela dan tegar membiarkan dia sendiri bertarung nyawa melawan penyakit yang menyerang. Hati saya hancur Ya Allah. Sungguh saya merayu,sembuhkanlah dia,sembuhkanlah dia, sembuhkanlah dia. Tidak ada sesiapa lagi yang mampu memberikan dia kesembuhan dan kebaikan melainkan Allah yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Yang menjadikan langit dan bumi dan semua makhluk yang berada di antaranya. Saya memohon dan meminta pertolongan dariMu Ya Allah,berikanlah kesembuhan padanya dan pulihkanlah dia seperti sedia kala. Allah,makbulkanlah! Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...