Showing posts with label Baiti Jannati. Show all posts
Showing posts with label Baiti Jannati. Show all posts

Saturday, July 30, 2022

Indahnya 2022

Salam
.
Susah sungguh mahu istiqamah menulis blog. Kehidupan ini terlampau sibuk dan umur yang semakin bertambah menjadikan media sosial jauh dari ingatan. Saya sudah jarang-jarang sekali melihat Facebook, mengemaskini Instgram, membaca ciapan di Twitter mahupun menonton rancangan Televisyen. Semua tumpuan hanya pada keluarga. Mahu menulis post kali ini pun saya keberatan tapi saya gagahkan juga kerana ada berita tersangat gembira yang mahu saya kongsikan.
.
.
Bukan tentang PhD yang masih lagi tidak bersentuh (menangis).
.
.
1. Rumahku Syurgaku
.
.
Alhamdulillah, selepas tiga tahun penantian akhirnya rumah kami siap sepenuhnya dan boleh diduduki. Terima kasih Allah yang memurahkan dan memudahkan rezeki kami. Sungguh Allah sahaja yang tahu betapa saya mensyukuri nikmat ini. Setelah dua belas tahun perkahwinan dan empat kali berpindah randah, akhirnya kami dikurniakan satu tempat untuk kami menetap. Insyaallah. Kunci diserahkan kepada kami lebih kurang dua minggu sebelum Ramadhan menjengah. Maka bertungkus lumuslah saya menyiapkan semuanya. Packing, unpacking, renovation dan hias-hiasan. Habis segala inspirasi di Pinterest saya cuba godek dan cuba realisasikan untuk rumah baru kami. Alhamdulillah, dalam kesibukan menguruskan anak sekolah, berpuasa dan pulang beraya di kampung, kami sekeluarga berjaya pindah sebaik sahaja tamatnya Syawal. Allahuakbar! Segala puji bagi Allah yang memberikan nikmat tempat untuk berteduh bagi hamba-hambanya. Mudah-mudahan rumah ini menjadi tempat kami anak beranak menyulam kasih sayang, mencipta kenangan dan menjadi hamba yang bersyukur.
.


.
2. Kenduri Kesyukuran dan Aqiqah Wardatul Islam
.
.
Alhamdulillah, genap sebulan berpindah, sempat juga kami mengadakan kenduri aqiqah untuk anak kedua kami Wardatul Islam. Agak lambat sebenarnya kenduri aqiqah tersebut. Wardah sudah pun berusia 10 tahun tapi oleh kerana beberapa kekangan, baru tahun ini kami dapat lunaskan hajat yang terpendam. Saya tetap bersyukur kerana berpeluang membuat aqiqah untuk Wardah. Agak berdebar juga sebenarnya, bimbang Wardah terlebih dahulu mencapai akil baligh tapi aturan Allah itu indah. Aqiqah Wardah dapat dilaksanakan penuh meriah dan dihadiri rakan taulan dan saudara mara terdekat. Syukur Ya Allah.
.










.
3. Co-Trainer UTS
.
.
Setelah hampir setahun melibatkan diri dalam bidang pelaburan Unit Amanah, saya akhirnya membuat keputusan mahu menjadi Unit Trust Consultant. Bukan kerana komisen atau bukan juga sebagai kerjaya tapi lebih kepada mahu membantu adik beradik saya menguruskan kewangan mereka. Latar belakang keluarga kami menimbulkan satu kesedaran yang tinggi pada pengurusan kewangan. Dah alang-alang saya melabur, maka baiklah untuk saya membantu mereka melabur juga untuk masa hadapan. Maka berteleku juga seminggu dua untuk menduduki peperiksaan sebagai consultant. Alhamdulillah lulus semuanya. Selesai melabur untuk adik-adik, ada beberapa rakan taulan yang berminat. Maka, saya uruskan juga kewangan mereka. Alhamdulillah, mudah-mudahan semuanya dapat memberi manfaat kepada orang sekeliling. Fikiran saya 'kerja' sebagai consultant ini hanyalah sambilan sahaja. Sekadar satu 'lesen' yang saya ambil untuk membantu adik-adik. Tapi aturan Allah itu lebih jauh lagi. Trainer UTS menghubungi saya dan menawarkan saya untuk bersama-sama dengan beliau menjadi Co-Trainer untuk Unit Trust Society. Subhanallah. Sungguh berbesar hati menerima pelawaan tersebut. Sungguh, kalau diikutkan dengan ilmu di dada, jauh sekali saya rasa layak untuk menjadi Co-Trainer tapi saya terima tawaran tersebut dengan niat mahu membantu lebih ramai lagi orang untuk berjaya. Satu jawapan cliche tapi itulah yang sebenar-benarnya. Saya tidak ada jawapan lain. Mudah-mudahan penglibatan saya yang akan bermula September nanti akan memudahkan urusan ramai orang. Semoga peluang ini menjadi medan saya sebagai orang yang bermanfaat kepada masyarakat.
.
.
4. Keluarga kecil kami bertambah lagi.
.
.
Ya, setelah 7 tahun sepi tanpa tangisan bayi, tahun ini kehidupan kami meriah dengan teriakan seorang bayi perempuan yang lahir pada 19 Julai 2022. Ya, teriakan kerana baby baru ini cenderung berteriak nyaring berbanding menangis. Huhuhu. Perjalanan mengandung saya seperti biasa, penuh dengan cabaran dan ujian. Saya kira itu lumrah kehidupan. Mungkin bagi sesetengah orang, mahu mengandung itu satu cabaran (susah lekat, keguguran etc) tapi berbeza untuk saya. Allah permudahkan saya untuk menerima zuriat cuma perjalanan mengandung 9 bulan itu berliku-liku. Awal kandungan saya disahkan ada GDM dengan bacaan gula 13.9 kemudian selang beberapa bulan saya disahkan pula ada GBS setelah berkali-kali di rawat kerana UTI. Tak lama kemudian doctor mengesahkan kewujudan dua ketul Cyst sebesar duit 20 sen. Itu belum lagi dengan Anemia yang selalunya membimbangkan setiap kali mengandung. Pening juga kepala dibuatnya. Tambah pening bila morning sickness berlanjutan hingga bulan ke 5. Memang berat badan saya susut, pipi pun jadi cengkung sehingga ada yang menegur. Al maklumlah, sebelum ini tembam elok, bulat seperti pau. Oleh kerana sudah 7 tahun tidak beranak kecil, penantian untuk bayi kali ini sepertinya sedang menantikan anak sulung. Semua perlu disediakan. Baju, barangan mandian, stroller, carseat, tuala, beg hospital. Semuanya baru kerana tidak ada lagi barang-barang bayi yang boleh dikitar semula. Anak bongsu tak jadi (Rauhah) sudah pun menjejakkan kaki ke sekolah. Kelengkapan dia yang dulu semuanya sudah diagih-agihkan kepada sepupu sepapat. Bukan itu sahaja, rasa teruja kali ini juga berbeza. Bertambah bermakna bila perasaan itu dikongsi dengan anak-anak yang lain. Semuanya tidak sabar mahu menerima ahli baru. Sudah lama mencurahkan sayang kepada baby orang lain kata mereka. Akhirnya sampai juga masa mereka menggomol baby sendiri. Penantian 9 bulan akhirnya berakhir. Syukur alhamdulillah, walaupun dikandung dengan pelbagai komplikasi Nauratul Hannan lahir serba sempurna. Sihat walafiat. Ligat juga kami memikirkan nama anak. Mahu di match kan dengan nama anak-anak perempuan yang lain.
.

.
Nauratul = Sekuntum Bunga Putih
Hannan = Cinta/Kasih Sayang
.
Kami kira ianya sesuai dengan Zahra dan Wardah yang juga membawa maksud bunga dan juga Rauhah yang membawa maksud haruman.
.
.
.
.
p/s: Terpaksa menghentikan penulisan ini secara mendadak, Naurah sudah pun berteriak. Saya tidak berniat untuk menyambung penulisan ini. Biar tergantung, biar jadi kenangan terkocoh-kocoh berlari meninggalkan laptop kerana menguruskan anak. Pasti menjadi satu kenangan yang dirindui meniti hari tua nanti.
.
.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, February 2, 2014

Di sini Ku Temui Cinta

Salam

Alhamdulillah, hari ini genap sebulan umur Izzul Haris, anak lelaki pertama yang menjadi anak ketiga selepas Zahrah dan Wardah. Syukur saya panjatkan di atas kebahagiaan yang semakin manis. Syukur juga pada Allah atas keperitan yang semakin dirasai. Ya, saya bersyukur pada keduanya kerana manis itu mencambahkan buah kebahagiaan dan keperitan itu menguatkan akar keredhaan. Semoga Allah sentiasa mencampakkan ke dalam hati saya dan suami rasa cinta dan tanggungjawab. Ketika mana hidup ini indah, cinta menyemarakkan keadaan dan ketika mana hidup ini payah sehingga rasa cinta mula mengalah, maka kami bertongkat pada rasa tanggungjawab yang menumpaskan deduri mehnah.

Ini realiti sebuah perkahwinan, tidak semuanya indah dan tidak juga cinta yang berada di hati akan sentiasa merah. Adakalanya mehnah datang menyerang, cinta mungkin bukan tempat yang paling kuat untuk bergantung, maka kekuatan dicari dengan keterikatan pada tanggungjawab. Tarik nafas, teguhkan tali kesabaran dan pasakkan sauh keredhaan supaya hempasan ombak yang memukul tidak mampu menggoyahkan bahtera yang dibina. Layar cinta mungkin perlu ditutup seketika kerana tidak mampu mengawal tiupan angin dugaan dan cabaran.

Jujurnya, saya sedang merasa payah. Payah dalam banyak perkara yang tidak mungkin saya boleh kongsikan. Ketika ini, saya sedang mencari kekuatan melalui tanggungjawab. Ya, kebanyakan perkara yang saya lakukan sekarang ini kerana tanggungjawab dan amanah yang dipikul, bukan kerana cinta yang dulunya berputik di dalam hati. Jangan disalaherti, bukan cinta itu sudah hilang, lesap entah ke mana. Ia tetap ada, di sudut hati saya yang paling dalam tapi untuk menempuh rasa susah ketika ini, saya memerlukan kekuatan dari rasa tanggungjawab.

Kesusahan ini sedikit sebanyak telah memakan diri saya, saya melupakan banyak perkara dan meninggalkan beberapa perkara penting yang sebelum ini menjadi kesukaan saya. Mengenang kisah lalu. Saya suka begitu. Sebelum tidur, duduk bersama suami dan mula bercerita tentang bagaimana kisah cinta kami bermula dari sisi saya berdiri. Selang beberapa ketika saya akan bertanya tentang fikiran dan perasaannya ketika itu. Oh, mengenang keindahan lalu teramatlah manis. Mengenangkannya sahaja cukup membuatkan saya rindu pada suami yang sentiasa berada di sisi. Kenangan itu sentiasa menyegarkan kembali perasaan cinta saya pada suami.

Itu masa-masa yang lalu.

Ketika ini kehidupan kami sedang melalui satu fasa yang baru. Jadual kehidupan yang semakin padat dengan pelbagai tuntutan. Badan kami kepenatan. Hasilnya?. Saya sangat-sangat merasa sunyi, tidak ada teman yang mahu mendengar cerita yang mahu disampaikan. Dalam masa yang sama fikiran saya sangat bertentangan dengan apa yang dirasai hati. Saya memahami kepenatan dan amanah yang digalas suami. Terlampau banyak dan sangat membebankan. Kerana rasional inilah saya banyak memendam rasa, rasa mahu diberikan perhatian.

Kemurungan beberapa ketika, saya melayari internet, membaca semula penulisan saya di blog ini sehinggalah saya tergerak mahu membaca blog suami. Membaca blognya benar-benar membangkitkan semula rasa cinta saya pada dia. Saya jadi terkenang semula pada sebab-sebab saya memilihnya untuk berkongsi hidup, suka dan duka. Blognya mencetuskan pula ingatan pada kesungguhannya dalam perkahwinan ini. Dan Alhamdulillah, saya tahu Allahlah yang mengilhamkan saya untuk membaca penulisannya. Kerana Allah tahu, hanya dengan menatap penulisannya kegundahan hati saya akan reda.

Di blog itulah saya temukan cinta dan di blog itu jugalah Allah temukan saya dengan ketenangan dan keyakinan bahawa cinta kami sentiasa ada. Allah hanya menguji seketika untuk menjadikannya sebuah cinta yang terisi dan sarat dengan hikmah. Bukan cinta kosong yang tidak mampu memberi manfaat pada mereka yang diteduhi. Demi Allah, dalam rasa susah yang semakin menggoyah ini, saya tahu hati saya semakin hari semakin menyintai suami. Melalui dialah Allah memperkenalkan saya dengan agama, cinta dan tanggungjawab. Semoga kami bersama hingga ke syurga! Ameen.

p/s: www.ahmad-izzuddin.blogspot.com : Tempat di mana saya temui cinta.
p/s: Abang, saya berharap satu hari nanti awak akan menulis semula, dan saya akan sentiasa menjadi peminat nombor satu awak. Always. Forever.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Monday, January 6, 2014

Lagi Rezeki dari Allah SWT

Salam

Alhamdulillah, saya selamat melahirkan seorang bayi lelaki tepat jam 9:38 pagi seberat 3.43kg di Hospital Selayang. Lahirnya betul-betul pada 1 Januari 2014. Syukur Ya Allah atas anugerah yang paling berharga. Zahratul Iman, Wardatul Islam dan Izzul Haris. Lahirnya kamu semua adalah keindahan paling berharga buat Mama dan Abi. Semoga menjadi harta buat agama, 







Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, October 30, 2013

Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Salam

Ramai juga yang bertanya kepada saya bagaimana saya mendidik anak-anak. Bukan kerana saya pakar dalam pendidikan kanak-kanak tapi saya rasa soalan itu diajukan kerana saya terlebih dahulu mempunyai anak berbanding kawan-kawan yang sebaya. Menjadi seorang ibu memerlukan daya kreativiti yang tinggi kalau tak mahu anak-anak tiba-tiba memberontak bosan duduk di rumah atau mogok tidak mahu makan nasi, hanya mahu memilih ayam atau lauk pauk sahaja. Jadi, walaupun hanya duduk di rumah, kepala saya ligat berputar memikirkan 'strategi' untuk mendidik anak-anak.

Pemerhatian:

Saya memang selalu memerhatikan kecenderungan anak-anak. Apa yang lebih menjadi keutamaan buat Zahra dan apa yang menjadi kegembiraan buat Wardah. Dari situ saya akan membeza-bezakan keperluan mereka mengikut keadaan dan masa. Misalnya sewaktu makan, Wardah tidak mempunyai masalah langsung untuk makan tapi Zahra perlu ada perbualan dan pujukan ketika makan, barulah dia tidak memilih makanan. Sama seperti bermain, Wardah hanya cukup diberikan mainan untuk dia perhatikan dan terokai manakala Zahra memerlukan komunikasi ketika bermain. Saya perlu sama-sama melakonkan watak di dalam khayalannya. tetapi berbeza dengan waktu tidur, Zahra dengan mudah melelapkan mata tanpa perlu didodoikan, berbeza dengan Wardah yang mengambil masa yang sangat lama untuk di dodoi.





Unik:

Setiap anak itu unik. Jadi cara mendidik mereka juga berbeza. Saban hari ada sahaja telatah Zahra dan Wardah yang baru dan perlu saya pelajari. Malahan kepekaan mereka terhadap sesuatu memerlukan saya juga menjadi peka. Misalnya apabila mahu mengajar Zahra beza antara lelaki dan perempuan. Saya membuat kronologi secara tersusun yang saya rasa mudah untuk dia fahami. Abi lelaki, ada janggut, ada misai maka Abi handsome. Mama perempuan, tak ada janggut dan tak ada misai maka Mama cantik. Pada permulaannya, Zahra akan menyebut kronologi yang diajar secara turutan, lama kelamaan terus dia menyimpulkan ayatnya dan mengeluarkan satu penyataan yang betul. Dia juga kini sudah pandai mengaitkannya dengan individu selain Mama dan Abi seperti nenek, pakcik dan abang.

Begitu juga Wardah, dia lebih sensitif terhadap persekitaran dan lebih suka memerhati. Kebanyakkan masanya memang saya dapat lihat dahi Wardah berkerut memikirkan sesuatu. Kadang kala kelakar juga melihat di se-serius itu, lagaknya seperti orang dewasa. Jadi bila saya lihat dia sedang berkerut-kerut dahi, saya akan cuba pastikan apa yang dia perhatikan seterusnya memberi respond pada pemerhatian tersebut. Kalau saya lihat Wardah sedang ralit memerhatikan kipas, cepat-cepat saya memberitahunya, "Itu kipas". Menyebut perkataan kipas dengan jelas dan satu persatu supaya mudah di tangkap. Alhamdulillah, sekarang bila saja saya sebut beberapa objek, Wardah akan tersenyum dan terus menunjuk atau memandang objek tersebut tanda dia faham dengan apa yang diperkatakan.




Mematangkan:

Ada yang bertanya pada saya, bagaimana saya mengajar Zahra petah bercakap. Secara jujurnya saya tidak ada tips yang khusus. Jadi langkah yang saya kongsi ini hanyalah secebis pengalaman saya sahaja, bukan perkongsian dari seorang pakar :)

1. Jawab semua soalan.
Saya sedaya upaya tidak mengabaikan soalan yang diajukan. Malah setiap soalan yang ditanya saya akan jawab dengan betul walaupun saya rasa Zahra belum memahami apa yang saya maksudkan. Memang agak sukar untuk istiqamah dalam perkara ini, lebih-lebih lagi ketika saya sedang memandu atau berbual-bual dengan orang lain. Zahra akan ajukan soalan secara bertubi-tubi, kadang-kadang saya usahakan juga menjawab soalannya dan kadang-kadang saya meminta dia menunggu sehingga saya selesai berbual.

2. Jawapan yang betul.
Bila diajukan dengan soalan yang sukar, saya tetap memberikan jawapan yang betul tanpa merendahkan tahap IQ dia. Sebanya bila diperhatikan, walaupun Zahra belum memahami apa yang saya sampaikan, jawapan saya itu tetap lekat dalam ingatannya. Dan pernah juga, dia sendiri mengulanginya dengan tepat tanpa memahami maksud. Pada saya, kefahaman itu akan datang kemudian, yang penting apa yang saya ajarkan pada Zahra adalah perkara yang betul.

3. Tidak Pelat.
Saya juga tidak bercakap dengan Zahra dengan pelat atau menggunakan loghat yang bercampur-campur. Percakapan saya adalah Bahasa Melayu standard. Misalnya ketika saya mengajar dia untuk bersalaman, saya mengajarnya untuk salam (bukannya amin), ketika mahu makan, saya mengajaknya untuk makan (bukannya mamam), dan mengajarnya untuk membuang air besar, saya mengajarnya menyebut berak (bukannya yak yak).

4. Kaitkan yang berkaitan
Ketika menonton rancangan TV, saya akan merangsang daya tumpuan Zahra dengan memberi respond pada apa yang diulasnya. Saya akan memastikan, apa yang diulas adalah betul dengan apa yang ditonton. Misalnya jika dia sedang menonton rancangan memasak, saya akan membantu dia memahami rancangan memasak tersebut. Andai ada ulasannya yang kurang tepat seperti memasak ikan tetapi dikatakan memasak ayam, saya akan memperbetulkannya. Saya juga mengambil kesempatan ini dengan menyelit beberapa nilai moral seperti menjadi anak solehah dan taat pada perintah Allah. Contohnya ketika babak seorang ibu sedang berdoa, saya akan memberitahu Zahra supaya sentiasa berdoa dan rajinkan bersolat. Zahra akan mengulasnya dengan memberitahu dia sentiasa solat bersama Abinya. Saya akan menambah dengan memberitahunya agar tetap bersolat walaupun tidak bersama Abi. Memang apa yang dibincangkan ini bukanlah mengikut umur Zahra yang baru 2 tahun tetapi, ingatannya tetap ada tentang apa yang kami bualkan. Malahan pernah beberapa kali saya lihat Zahra duduk seolah-olah sedang berdoa seorang diri tanpa kehadiran Abinya. Dan bila saya bertanya dia menjawab, "Zahra doa tapi Abi tak ada". :)


Saya rasa cukup setakat ini dulu perkongsian saya tentang anak-anak. Jujurnya ini hanyalah perkongsian biasa yang saya harap mendatangkan manfaat untuk semua. Ianya bukanlah tips dari seorang pakar motivasi atau pakar pendidikan awal kanak-kanak, hanya sebuah coretan saya melalui pengalaman yang saya kutip sendiri. Semoga bermanfaat. Andai ada sebarang tambahan atau teguran, boleh tinggalkan di ruangan komen. Terima kasih! :)


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, October 8, 2013

Nikmat Allah (Mawaddah dan Rahmah)

Salam.

Setiap kali mahu menulis, pasti saya mahu memulakannya dengan luahan rindu pada blog yang telah lama saya tinggalkan. Oh, kehidupan seorang isteri dan ibu sememangnya sibuk bahkan lebih sibuk dari apa yang pernah saya bayangkan. Walaupun sudah menghabiskan pengajian, saya masih rasa seperti tidak cukup rehat. Jadi saya terfikir, bagaimana dulu saya boleh membahagikan masa di antara keluarga, belajar dan menjahit? Sedangkan sekarang ini rasa seperti memerlukan bibik membantu melandaikan timbunan kerja rumah yang tak pernah selesai.

Bila ditanya pada suami, dia akan menjawab saya kekurangan masa kerana mahukan semuanya sempurna sedangkan saya sedang berbadan dua. Katanya dia tidak kisah jika pulang ke rumah dalam keadaan rumah yang berselerakan atau makanan yang belum tersedia berhidang. Dia sedia menyediakan makan malam untuk kami sekeluarga. Oh, suami saya yang selalu mengingatkan saya tentang cintanya yang tidak beteori dan tanpa syarat. Semoga Allah membalas kesemuanya dengan balasan syurga!

Duduk seharian dengan anak-anak menjadikan saya bahagia, melihat mereka membesar dengan  sihat dan cerdas. Mendengar butir perbualan Zahra yang tidak pernah habis dan lasaknya Wardah sehingga membuatkan saya lelah. Sungguh, anak-anak ini penyejuk mata. Kata adik saya, semenjak menjadi ibu, fikiran saya hanya berkisarkan tentang anak-anak dan keluarga. Begitu juga dengan suami, katanya kepuasan saya bukan lagi pada jubah mahupun aksesori wanita tapi lebih kepada keperluan anak-anak dan hiasan rumah. Saya sendiri tidak perasan tentang semua ini sehinggalah suami menunjukkan bukti kepada saya satu per-satu.




Alhamdulillah, walaupun keperluan saya secara tidak sengaja terabai, suami sentiasa ringan tangan dan ingatan membeli beberapa pasang baju dan keperluan untuk saya. Kadang-kadang, bagai dipaksa pula saya memilih baju yang berkenan dihati kerana mahu dibelikan. Terima kasih untuk ingatan dan kesanggupan yang sebegitu. Sungguh, semenjak mengahwini suami saya, cinta yang berputik semakin mekar melihat kesanggupannya bekorban dan bertolak ansur dengan kelemahan saya. Dialah orangnya yang tidak meminta-minta lebih dari kemampuan saya, malah dia melengkapi kehidupan saya dengan sentiasa menampung kelemahan saya dan menerima saya seadanya. Dan anak-anak yang Allah kurniakan ini, termasuk yang bakal lahir Disember nanti (insyaallah), semoga menjadi bekal untuk kita berdua...dunia dan akhirat!









Alhamdulillah sekali lagi..dan berkali-kali lagi untuk kesemua nikmat yang Allah berikan kepada saya. Cinta suami dan anak-anak, semoga semuanya membawa ke syurga.

p/s: Untuk yang berminat dengan kraftangan Felt, minta tinggalkan no telefon atau emel jika komen di blog ini. Atau anda boleh isi borang tempahan yang ada di blog Crafty Mommy. Terima Kasih.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, March 12, 2013

Selamat mendirikan Rumahtangga :)

Salam

Ramai yang bakal mendirikan rumah tangga penghujung Mac ini. Saya doakan semuanya selamat dan dipermudahkan Allah SWT. Mendirikan rumah tangga merupakan titik tolak kehidupan seorang wanita. Setelah dia berkahwin maka apa saja yang dilakukannya semuanya untuk mencari keredhaan suami yang seterusnya membawa kepada keredhaan Allah SWT.



Hari demi hari, saya berusaha untuk memperbaiki diri menjadi yang terbaik buat suami saya. Kalau dikenangkan awal perkahwinan, banyak pengorbanan yang suami dahulukan dalam usaha mendidik saya menjadi semakin baik hari demi hari. Bukan mudah mahu istiqamah dalam perkara-perkara yang mahmudah. Saya merasai kepayah itu sehingga ada ketikanya saya menitiskan air mata mahu berputus asa. Masih segar di ingatan saya apabila saya menangis mahu memakai tudung yang lebih pendek kerana merasakan diri tidak lagi menarik dan cantik. ketika itu suami memujuk lembut, "Awak nak cantik untuk siapa lagi? Saya suka awak begini, cantik di mata saya". Bila soalan itu diajukan saya bagai terping-pinga sendiri. Untuk siapa lagi kecantikan itu mahu ditonjolkan kalau bukan suami. kalau suami sudah berkenan dengan keadaan saya sekarang ini, untuk apa saya menangis mahu melakukan perubahan yang tidak diredhai dan tidak disukai.

Banyak yang saya pelajari melalui perkahwinan dan saya kira hikmah di sebalik pernikahan saya di usia muda ini adalah kerana Allah mahu mendidik saya. Saya menganggapnya rezeki yang Allah kurniakan untuk saya. Rezeki untuk berubah menjadi lebih baik dari hari ke hari. Saya mendoakan rakan-rakan yang bakal berkahwin juga begitu. Jadikan perkahwinan anda sebagai titik permulaan yang berterusan kepada langkah perubahan ke arah kebaikan. Mungkin di awalnya anda akan menemukan kesukaran tapi percayalah, disebalik kesukaran itu akan terselit hikmah yang membuahkan senyuman.

Selamat melayari bahtera rumah tangga yang penuh dengan kemanisan yang diselang selikan dengan sedikit kepahitan. Semoga ianya terbina di bawah redha Allah dan selamanya di bawah rahmat dan kasih sayang Allah. Barakallahhulakuma wabaraka a'laikuma wajamaa' bainakuma fil khair! :)

p/s: Sarina, kalau awak still baca bolg ini..saya sampai sekrang tersenyum bila mengingatkan bagaimana awak mengkhabarkan kepada kami (saya dan Wawa) yang awak bakal mendirikan rumahtangga 24 Mac nanti. Tahniah! ;)


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Friday, December 3, 2010

Bakat Menulis Turun Menurun

Salam

Mungkin Mama dan Abah bukanlah seorang yang suka berkarya tapi entah dari mana rasa mahu menulis sentiasa meluap-luap dari diri kami adik beradik. Dari dulu lagi, saya dan adik-adik ada koleksi cerpen dan sajak sendiri. Kami mengarang dan lebih senang menyatakan emosi kami dalam bentuk tulisan. Saya ingat bagaimana saya menjumpai nota Syahida yang tidak puas hati, luahan perasaan 'cinta' Amirul, sajak Dalila yang puitis dan nota-nota kecil pada buku bila Syaza ke'boring'an. Kelakar sungguh, semuanya berbakat dan berseni.

Tapi dalam kami berlapan Fadli dan Farhana tidak mempunyai minat yang sama. Saya tidak terkejut, mereka memang nampak tidak berseni. Madah pujangga ini memang bukan bidang mereka. Nana lebih suka menyembunyikan emosi dengan lawak yang berpanjangan manakala Fadli suka berdiam diri. Adik bongsu saya masih belum lagi menunjukkan bakat, masih terlalu muda rasanya.

Walaupun bentuk penulisan mereka tidaklah sebegitu professional namun setiap perkara memerlukan latihan. Saya percaya, dari penulisan biasa-biasa dan sekadar suka-suka akan membawa kepada bentuk penulisan professional dan berbakat. Semoga penulisan mereka sentiasa membawa ke arah yang betul, memberi manfaat kepada orang lain (secara langsung mahupun tidak langsung) dan akhir sekali mendapat keredhaan Allah.

Syahida


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Monday, November 29, 2010

Beriadah

Salam



Semalam saya dan famili berkelah di Ulu Yam. Alhamdulillah, memang betul-betul seronok. Lama rasanya kami tidak meluang masa sebegini. Berbaloi semua jenis rasa yang terbit bila merancang perkelahan ini. Maklumlah, Abah dan Mama lebih selesa berada di rumah. Saya membebel beberapa kali "Time ini la kita semua nak bersama-sama, sekarang semua dah besar-besar. Susah nak berkumpul". Akhirnya berjaya memaksa mereka memujuk hati untuk mengerah tenaga beriadah bersama-sama. Akhirnya, bebelan membawa kepada kebaikkan :)

Tidaklah seteruk yang saya gambarkan, sampai saja di Ulu Yam, Mama bertukar riang. Serasa saya kalau tidak kerana tidak membawa baju, Mama tentu sahaja akan pergi merendam-rendam kaki yang akhirnya membawa kepada merendam-rendam badan juga. Maksu yang sememangnya sporting, melayan che' (nenek) saya yang turut bersemangat mahu beriadah. In fact, che' nampak lebih semangat dari kami semua. Sewaktu semua orang sedang riuh menyusun bekalan untuk dimasukkan ke dalam kereta, Che' menuruni anak tangga dengan penuh glamour. Saya tersenyum, biarlah, kalau Che' happy makanya mood kami semua pun akan happy. Oh ya, kesian Abah yang tidak berapa sihat hari itu. Abah hanya datang ke Ulu Yam untuk tidur memandangkan suhu badan Abah yang semakin tinggi. Syafakallah Abah. (^_^)

Suami saya yang bakal menduduki peperiksaan (Comprehensive Exam) pun tidak ketinggalan untuk mandi-manda dan menangkap gambar selepas dia meluang masa membaca. Penat kami adik beradik berposing, suami saya tidak jemu menangkap setiap moment bermakna kami adik beradik. Riuh rendah Ulu Yam dengan gelak tawa kami. Saya rasa seperti melepas gian pun ada :p Bila Mama lihat saya bersungguh mandi, saya komen ringkas "Oleh kerana saya menamatkan zaman bujang saya awal, maka saya menikmati zaman muda saya sepenuhnya". Mama ketawa, faham benar dengan perangai kebudak-budakan saya.

Alhamdulillah, besar ertinya sesi riadah ini untuk saya. Sungguh, memang saya baru sahaja berpindah dari rumah Mama tapi rindu saya pada adik-adik kadang-kadang sehingga membawa kepada mood yang tidak baik. Walaupun tidak jelas di mata tapi saya tahu, marah-marah saya atau sensitiviti saya pada hari tertentu adalah kerana rindu yang membuak-buak. Sebagai contoh pada raya yang lepas, itu kali pertama saya beraya tanpa keluarga. Saya beraya di rumah mertua. Akibatnya bila balik ke KL, saya menangis secara serius di depan TV bila iklan yang berkisarkan ibubapa di paparkan. Saya memang begitu, beremosi, seperti dakwaan suami. Tapi kerana emosi inilah, saya rasa dia makin sayangkan saya (^_-) InsyaAllah.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang meperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Mencari Kesempurnaan

Salam

Ini post yang saya baca dari seorang blogger, yang saya tidak ketahui identitinya. Tapi saya sangat suka dengan apa yang saya baca dan mahu berkongsi dengan para blogger yang lain. So, saya postkan disini. Harap di ambil pengajaran daripadanya.

Jika kamu memancing ikan....Setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu mengambil ikan itu....Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia semula ke dalam air begitu saja....Kerana ia akan SAKIT oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup.

Begitulah juga...

Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang...Setelah ia mulai MENYAYANGIMU hendaklah kamu MENJAGA hatinya....Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja....Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia mengingatimu.

Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh.... cukuplah sekadar keperluanmu...Apabila sekali ia retak.... tentu sukar untuk kamu menambalnya semula.... Akhirnya ia dibuang....Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi...

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, TERIMALAH seadanya....Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa....Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya.... akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya...

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi... yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat.Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain..Terlalu ingin mengejar kelazatan.Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya. Kamu akan menyesal.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan..... yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu. MENYAYANGIMU. ..MENGASIHIMU. ..Mengapa kamu berlengah, cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain.Terlalu mengejar kesempurnaan.Kelak, kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain... Kamu juga yang akan MENYESAL.....


* renungan bersama~~

sumber: http://jangan-terlalu-mencari-yg-sempurna.blogspot.com/


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, November 28, 2010

Bertali Arus

Salam

Banyak sebenarnya yang ingin saya coretkan. Letak saja jari pada keyboard, berlari-lari idea datang. Bagai diseru-seru. Akibatnya, saya sendiri keliru apa yang perlu saya coretkan dahulu. OK, mari kita bercerita satu persatu. Isu pertama adalah mengenai blog. Kalau ada yang perasan, bahagian atas (betul-betul di bawah header) blog saya, dah pun saya tambahkan independent pages. Saya pada asalnya nak buat Sticky Post je, tapi memandangkan post untuk kutipan derma terlampau panjang dan kegagalan saya mendalami ilmu membuat sticky post, maka terjadilah independent pages untuk blog ini. Bila saya fikirkan kembali, OK juga. Begini lebih nampak professional dan lebih sesuai untuk tujuan kutipan derma jangka panjang.

Semalam saya menyatakan sedikit kekecewaan pada suami tentang kutipan derma yang langsung tidak mendapat sambutan. Sangka saya, bila sudah dipromosikan di Facebook dan Blogger maka kutipannya berjalan lancar. Tapi sangkaan saya sama sekali meleset. Saya langsung tidak mendapat sebarang respond mengenai derma tersebut. Mungkin belum ada hati yang terbuka dan mungkin juga masing-masing dalam kesempitan. Tapi yang penting, ini tarbiah buat saya. Melakukan sesuatu kebaikkan bukan benda mudah, usahanya tidak harus dipandang remeh. Jangan berusaha sedikit dan mengharap rezeki datang bergolek. Inilah yang orang kata tiada jalan mudah dalam berdakwah. Saya baru memulakan satu langkah, satu langkah yang kecil.

Semalam juga kami ke Midvalley, kata suami sengaja dia mahu membawa saya berjalan-jalan. Seronok saya hari tu, berkali-kali suami mengomel, menyuruh saya memimpin tangannnya. Jangan syok sendiri tinggalkan suami entah ke mana. :p Setiap kali suami merungut, setiap kali itu juga saya menyambut tangannya. Dan kami melangkah penuh kebahagiaan di Midvalley. Tapi satu perkara yang saya perasan, berada di situ seperti menarik perhatian terlampau ramai orang. Saya menyatakan kejanggalan itu pada suami dan dia bersetuju. Akhirnya suami membuat kesimpulan, kami diperhatikan kerana penampilan kami. Munkin remaja-remaja di sana hairan melihat seorang ustaz berkopiah bersosial bersama isterinya yang bertudung labuh di Midvalley. Biarlah, saya mahu membuktikan pada mereka. Menjadikan Islam sebagai gaya hidup tidak mengekang kita daripada berseronok. Selagi ianya tidak melanggar batas agama dan berserdahana maka tidak mengapa. In fact, kalau mengikut Islam, hati pun tenang. Tidaklah rasa gusar tidak tentu hala sehingga perlu mencari keseronokkan yang berpanjangan dan tidak berpenghujung.

Kami ke MPH, berjalan-jalan sambil browse buku-buku yang kini di pasaran. Ini memang aktiviti wajib saya dan suami. Asal saja ke shopping mall, maka kami akan memperuntukkan masa ke kedai buku. Mencari bahan bacaan yang berjaya menambat hati untuk dibeli. Membaca kan budaya ilmu :) Saya terpandang buku-buku yang ditulis penulis yang sedang menginjak nama. Penulis-penulis yang membuat percubaan untuk mendapatkan tempat di bidang penulisan. Saya memberitahu suami, 'kalau saya publish buku mesti macam ini juga. Orang ramai lalu dan akan pandang buku saya dengan perasaan ragu. Bermutu atau tidak cerita yang saya tulis'. Makanya suami saya mencadangkan agar saya bermula dengan menerbitkan siri karya saya di blog terlebih dahulu. Bila sudah ada pembaca setia, saya pun sudah perbaiki beberapa kelemahan, barulah mula menghubungi publisher. Langkah pertama telah saya ambil. Berdebar-debar hati ini untuk melihat sejauh mana percubaan pertama itu berhasil. Berjaya atau tidak itu adat. Seperti kata Ayah Mertua saya, kalau mahukan kejayaan, jangan takut pada risiko.

Kalau mengikut perancangan, esok saya dan keluarga akan meluang masa bersama. InsyaAllah. Berkelah di Ulu Yam. Jujur saya katakan, saya memang teruja dengan rancangan Dalila. Lama rasanya tidak meluang masa seperti ini bersama family. Kalau nak diikutkan, suami selalu saja membawa saya ke tempat-tempat rekreasi untuk beriadah, tapi beriadah bersama family tentu sahaja mempunyai sentimental value yang berlainan. Lebih-lebih mengenangkan masa saya di Kuala Lumpur yanng semakin berkurangan. Saya perlu mengikut langkah suami, perancangan untuk membina kehidupan di Terengganu selepas dia menamatkan PhD nya. Ada rasa bimbang yang terselit di hati saya. Apa-apa pun saya serahkannya pada Allah. Dia tentu tahu apa yang terbaik untuk saya :)

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

p/s: Mesti pelik dengan tajuk post saya. Apa yang bertali arus? Idea saya sebenarnya :p

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, November 14, 2010

Pembelajaran Seumur Hidup

Salam

Dulu saya selalu berfikir, saya tidak akan mengenali kehidupan selagi saya tidak menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, dan setelah menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, kita masih lagi belum sepenuhnya mengenali kehidupan selagi kita tidak menjejaki alam perkahwinan. Alam dimana kita belajar dan menuntut ilmu merupakan pra kehidupan yang membentuk bagaimana kita mengendalikan dan menafsirkan alam kehidupan kita nanti. Kehidupan saya mengambil langkah yang berbeza, saya mengenali kehidupan melalui alam perkahwinan sebelum saya menjejaki alam pekerjaan. Langkahnya agak besar, memontum yang diperlukan dalam berusaha mendidik diri sendiri tinggi. Jatuh bangun itu perkara biasa, saya mahu terus berusaha. Pendek kata, selagi kita hidup, selagi itu proses pembelajaran akan berterusan.

Saya mengahwini seorang lelaki yang berbeza kehidupannya berbanding saya. Jauh berbeza. Jurang kami terlampau ketara sehinggakan di waktu ijab dan kabul hampir diucapkan, beberapa teman masih lagi berfikir kenapa dia memilih saya. Hidup rumah tangga berbeza berbanding ketika saya masih bergelar anak dara, ditambah dengan gaya hidup dan pemikiran yang tak serupa, jurang perbezaan menjadi begitu ketara. Kadang-kadang sehingga menitiskan air mata. Tapi saya bersyukur, dalam setiap susah dan payah, saya di tarbiah. Tentang sakit yang mula mendamping diri, saya mula belajar betapa mahalnya nilai kesihatan dan betapa perlunya melayani orang yang sakit dengan baik. Suami saya berkali-kali meminta saya bersabar, katanya sakit itu kafaraah, yang beerti yang menghapuskan dan membersihkan. Dalam erti kata lain sakit itu penghapus dosa. Dan bila dinding kesabaran saya runtuh, dan saya mula melepaskan api kemarahan suami dengan sabar menasihatkan saya, "Doa banyak-banyak. Kalau nak marah, marah pada saya. Jangan marah pada sakit yang Allah turunkan.". Kata-katanya buat saya diam, dia membuatkan saya sedar betapa saya sedang terleka dan tidak meredhai Qada' dan Qadar.

Dalam satu waktu, RasulAllah menjenguk Salman al-Farisi yang tengan berbaring sakit. RasulAllah bersabda, "Sesungguhnya ada 3 pahala yang menjadi kepunyaanmu dikala sakit; Engkau sedang mendapat peringatan dari Allah SWT, doamu dikabulkanNya, dan penyakit yang menimpamu akan menghapuskan dosa-dosamu.".

“Tidaklah orang Muslim ditimpa cobaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya.”

(HR. Bukhari-Muslim)

Kemudiannya saya diberi peluang melihat kehidupan dari sudut yang berbeza. Kehidupan yang penuh dengan perjuangan. Saya melihat ayah mertua saya memperjuangkan Islam dengan caranya, bagaimana dia bersabar dalam menghadapai pahit jerih perjuangan itu. Saya melihat pengorbanan ibu mertua saya, melihat dia berkorban rasa mempunyai suami yang sesibuk itu, sibuk menguruskan amanah dan memperjuangkan agama. Saya melihat suami saya, abang, kakak dan adik-adik ipar dididik di dalam suasana di mana setiap individu wajib memikirkan apa yang telah dia lakukan untuk Islam.

Saya juga mahu melakukan sesuatu. Lama saya berfikir, mencari jalan untuk memulakan langkah. Seperti biasa, langkah pertama selalunya yang paling payah. Mahu menggarapnya mendatangkan resah. Alhamdulillah, sokongan suami sentiasa membantu, langkah pertama saya ambil, di iringi dengan doa agar Allah sentiasa membuka jalan untuk saya untuk terus dan terus melangkah. Dan andai saya tidak nampak jalannya, maka doa saya agar diberi kekuatan untuk membuka jalan sendiri. Seperti kata seorang yang mengingatkan saya, 'If opportunity doesn't knocks the door, create the door"

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiada mencari keredhaanNya.

Sumber: http://nurfazilah.hadithuna.com/2009/08/14/sakit-adalah-kafarah-dosa/
http://rumahsantri.multiply.com/journal/item/20

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, October 10, 2010

Sunyi dan Sepi

Salam

Dah lama rasanya saya tidak menulis. Banyak perkara yang berubah semenjak saya dan suami menjejakkan kaki ke rumah yang baru. Saya semakin terasa tanggungjawab menjadi seorang isteri, bermula seawal pagi dan berakhir selewat malam. Kalau dulu di rumah mama, saya boleh berehat menunggu sajian terhidang di atas meja selepas berpenat lelah pulang dari kelas, tapi kali ini lain pula ceritanya. Letak saja beg, saya mandi, solat dan terus ke dapur, mencari apa yang boleh di masak. Alhamdulillah, suami tidak banyak ragamnya. Apa saja yang saya masak, semuanya dimakan dengan penuh selera. Rumah semakin siap di kemas, almari buku yang baru kami belli sudah mula dipenuhi dengan buku-buku suami.

Bunyi macam cukup semuanya. Tapi tidak sebenarnya, rumah ini masih belum lengkap semuanya, tapi cukup sempurna untuk kami berdua. Biasalah, start from a scratch. Oh ya, buat teman-teman yang sibuk bertanya bila saya mahu buat house warming, jujurnya, saya tidak ada plan untuk itu. Tapi kalau nak datang bertandang, silalah. Akan saya jamu dengan apa yang ada. Kalau beritahu lebih awal, mungkin hidangannya bukan sekadar air Sunquick. :p

Suami sudah mula mendapat pekerjaan tetap, kalau dulunya dia memberi tazkirah di masjid-masjid, kali ini tanggungjawabnya bertambah. Dia diterima mengajar di CONSIST College sebagai seorang Pensyarah. Komitmen kerja yang terikat dengan office hour menambah kesunyian saya. Terasa rumah ini bergema dengan lebih kuat tatkala saya tinggal seorang diri. Kadang-kadang saya terkejut dengan bunyi handphone sendiri. Rasa takut agak berlebihan, mungkin kerana kawasan baru. Saya rasa kurang selamat. Sunyi semakin menjadi-jadi, saya tidak ada teman berbual dan TV untuk dilayan. Keadaan bertambah teruk bila broadband pula buat hal.

Di saat macam inilah pelbagai jenis rindu yang bertandang. Mulalah saya teringat gurauan nakal suami yang suka mengusik dan lawak dia yang tak semena-mena. Bertandang pula rindu pada hilai tawa adik-adik, diikuti dengan rindu pada suara nyaring Sarina, ketawa besar Ain, jelingan tajam Kak Ila dan malu-malu Wawa. Bila keadaan semakin menjadi-jadi, saya memaksa suami untuk YM (waktu internet ada) dengan saya. Ada juga masanya, saya menelefon suami, bercakap 2/3 minit pun jadilah. Menganggu? Tidak rasanya, suami kedengaran sungguh seronok. (Harapnya saya tidak perasan sendiri!)

Di kala saya larut dan mabuk dalam kerinduan (Allah, overnya!), sempat juga saya muhasabah diri. Sem ini, sem paling buruk attendance saya. Dicampur dengan MC yang berlambak, banyak attendance yang berlubang. Akibatnya saya banyak ketinggalan dalam pelajaran dan usaha untuk keep up agak giat saya lakukan. (Even suami selalu complain kata saya tidak study).

Saya akui, kadang-kadang rasa malas mencengakam diri lantaran terlalu sibuk dengan komitmen sebagai isteri, tapi saya tidak nafikan keadaan tubuh yang lemah memberi impak yang besar kepada tumpuan dan semangat saya. Asal saja saya penat, mulalah saya rasa sejuk dan tidak sedap badan, kalau tidak diberikan rehat, alamatnya saya akan demam. Sungguh, saya memang rindukan tubuh badan yang sihat. Dulu, di kala muda remaja, badan sihat wal afiat, tidak bersyukur dikurniakan tubuh yang sihat, sekarang bila dah rasa sakit, barulah terasa kesan nikmat yang ditarik. Ya Allah, ampunkanlah dosa saya. Harapnya, seperti hidup saya, tubuh badan saya juga akan mengalami perubahan, perubahan ke arah kesihatan. InsyaAllah.

Dan lagi satu, sunyi ini juga semakin menimbulkan keinginan yang membuak-buak. Keinginan untuk memadamkan kesunyian. Boleh teka? :)

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Monday, September 27, 2010

Baiti Jannati

Salam

Akhirnya setelah beberapa lama, saya dan suami punya rumah sendiri. Mungkin bukan milik kami tapi untuk kami huni, tidak lagi tumpang berteduh bersama adikanda tercinta. Saya mengambilnya sebagai satu langkah untuk 'memaksa' saya berdikari, belajar memikul tanggungjawab sebagai isteri dan pelajar sepenuh masa dan perbaiki segala kelemahan yang sedia ada.

Duduk di rumah sendiri ini sedikit sebanyak memberikan saya semangat, dengan keadaan saya seorang diri menjadi 'raja' menguruskan segala hal rumah tangga, saya berkobar-kobar mahu melakukan itu dan ini. Seolah-olah menghidupkan angan ketika muda remaja (sekarang pun masih muda!). Kalau ada rumah mahu menghiasnya dengan gaya kontemporari, di beranda mahu mengumpul bunga-bunga kaktus yang kecil dan pinggan mangkuk yang diguna pakai mahu yang berwarna ceria. Terlampau banyak angan, dan saya tahu, bukan semua dapat dipenuhi. Kata suami, 'Jangan diletakkan mahu bahagia di dunia. Di dunia ini kita tidak akan merasa puas'. Saya mengawal nafsu dengan menjadikan nasihatnya sebagai perisai walaupun sering kali tewas tatkala mengunjungi gedung membeli belah.

Semangat sebagai seorang siswazah juga turut membara. Saya menyusun rak buku kecil yang kami ada di suatu sudut yang saya kira sesuai. Kemudiannya saya bentangkan 'karpet' dan tempatkan sebuah meja kecil untuk memudahkan saya menulis dan mengulang kaji. Nah, selesai sudah ruang 'study' saya dan suami. Nice and simple. Bilik kedua, saya tempatkan hadiah perkahwinan yang masih rapi di dalam kotak(masih belum ada almari untuk menyimpan), buku-buku suami saya yang tersusun tinggi(masih menunggu rezeki untuk mencari rak yang mencukupi) dan ruang solat yang sederhana. Walau bilik ini kelihatan dipenuhi dengan kotak dan buku, saya suka melihat ruang solat yang tersedia, rasa tenteram dan tenang.

Ini ruang yang paling saya suka-dapur. Alhamdulillah, kelengkapannya sudah hampir cukup semuanya. Bukan setakat pinggan mangkuk, siap tersedia hingga ke sudip dan senduk. Ini semua hadiah dari saudara mara dan rakan taulan. Terima kasih semua. Tinggal beberapa perkara sahaja lagi sebelum saya boleh meng'asap'kan dapur. Cutlery set dan dapur gas. Ya, kami masih belum punya dapur gas. Jadinya, nasi saja yang dimasak dirumah, lauk pauk terpaksa dibeli di luar. InsyaAllah, paling lama pun minggu depan saya akan mula me'ngerja'kan dapur.

Ruang tamu saya masih kosong, masih belum punya sofa, Flat screen TV(amboi, bukan main demand!), mahupun meja makan. Saya tidak mengharapkan semuanya lengkap dalam masa sebulan-dua. Kami baru memulakan kehidupan, ini benda biasa. Saya tidak mahu memberikan tekanan kepada suami. Apa yang penting, dia bahagia bersama saya. Apalah sangat dengan kemewahan material jika nak dibandingkan dengan keredhaan seorang suami.

Apa-apa pun semoga semuanya baik-baik belaka. Semoga hijrah ini membawa kepada banyak kebaikkan. Mendidik saya untuk menjadi isteri yang baik dan anak yang taat. Teringat cerita suami saya tentang bacaannya di blog Ust Hasrizal, suami saya mengulas semula, 'kalaulah dengan menjauhkan diri menjadikan kita sebagai anak yang sentiasa mahu berbakti kepada ibubapa dan sentiasa mendoakan ibubapanya, maka biarlah kita berada jauh. Jauh di mata dekat di hati. Terputuslah semua perkara daripada anak Adam kecuali tiga perkara, sedekah amal jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh'. Bila berkata tentang sedekah amal jariah, suami saya membacakan sepotong ayat yang bermaksud;

Wahai orang beriman, janganlah kamu membatalkan sedekah kamu dengan harapan dan kesakitan.

Harapan yang dimaksudkan di sini ialah, ketidak ikhlasan hati yang sentiasa mengharapkan pengiktirafan orang ramai terhadap sedekah yang telah dilakukan. Mahu sedekah itu disebut-sebut dan diwar-warkan pada semua. Manakala kesakitan disini ialah dengan mengungkit-ungkit tentang pemberian yang diberikan, perihal ini tentu sahaja menyakitkan si penerima malahan boleh mendatangkan aib dan marah. Saya mengangguk, mendengar peringatan suami saya. Kebelakangan ini, nasihatnya semakin serius dan kerap kali diulang. Mungkin mahu saya berubah dengan lebih pantas, sejajar dengan tuntutan kehidupan saya yang memerlukan pemahaman saya pada fikrah perjuangan suami dan keluarga. InsyaAllah, akan saya usahakan yang terbaik.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaaNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Friday, September 17, 2010

Raya di Terengganu, Raya Penuh Hikmah

Salam

Kami tiba di Terengganu 3.30 petang, 2 hari sebelum berakhirnya Ramadhan. Dan seperti yang saya jangkakan, puasa dan raya di Terengganu ternyata berbeza. Mengajar saya banyak perkara dan memberi makna kepada pelbagai rasa. Hari pertama puasa di sana, ayah menjemput seorang lelaki Kurdi dari Iraq untuk bersama-sama berbuka puasa. Esoknya sehari sebelum raya, kami berbuka di rumah Tok Tepuh, di Tepuh. :) Bekalan makanan semuanya di bawa dari rumah memandangkan Tok tepuh lumpuh separuh badan. Saya mula merasakan keakraban diantara adik beradik suami.

Raya tanpa keluarga di sisi tentu sahaja berbeza dan mengundang rasa sedih di hati tapi Alhamdulillah, kesunyian itu terisi dengan kemesraan dari kakak dan adik ipar saya. Raya pertama ternyata meriah dan penuh dengan kenikmatan hidangan yang disajikan oleh Mak dan Atirah. Satay, Nasi Arab, Nasi Dagang, Kuah Kacang, Nasi Impit dan Ayam Goreng Berempah menjadi hidangan utama untuk hari itu. Saya dapat merasakan betapa berat badan saya akan bertambah. Saya berkenal-kenalan dengan saudara mara belah mak dan ayah. Kawan suami dan para pendidik MTT(Maahad Tahfiz wal Tarbiyyah Darul Iman). Mungkin tidak banyak yang saya bualkan, kerana kadang-kadang saya sendiri kehabisan modal tapi saya menikmati sesi taaruf ini. Moganya memberi manfaat dunia akhirat.

Raya kedua kami ke rumah saudara mara sebelah ayah. Sungguh, di kampung penempatannya dekat-dekat belaka. Jarak dari 1 rumah ke 1 rumah yang lain, hanya mengambil masa 5 minit, paling lama pun 15 minit. Tidak ada sesi membuang masa dalam kereta, sepanjang hari dimanfaatkan dengan merapatkan silaturrahim. Saya berkira-kira dalam kepala, cuba menghafal setiap wajah dan nama saudara mara pihak suami.

Raya ketiga aktivitinya berlainan sedikit. Paginya kami adik beradik ke Majlis Perantau Terengganu. Majlis berkumpulnya anak-anak Terengganu yang berada di Perantauan. Banyak maklumat yang membuka mata di kongsi di majlis tersebut. Saya gembira melihat semangat anak-anak muda yang berkobar-kobar mahu membawa perubahan dan sensitiviti mereka terhadap isu-isu yang di bentangkan. Berlainan sungguh dengan remaja Kuala Lumpur yang kebanyakkannya hanya tahu berhibur dan hidup selesa. Asal mereka cukup makan, boleh bersuka-suka dan bebas bersosial maka apa pun terjadi dengan negara, lantak lah. "Janji aku selesa". Malamnya rumah dimeriahi dengan kedatangan bekas-bekas pelajar MTT ke program Sis Bakti. Program reunion sebenarnya, menemukan kembali teman-teman seperjuangan yang berpisah bagi meneruskan kehidupan masing-masing. Malam itu saya agak pasif, lambat turun menemui tetamu dan tidak pula pergi mendengar ceramah dan ucapan para pendidik di masjid. Mood saya agak terganggu, ditambah pula dengan kepenatan. Pinggang saya masih tidak selesa bekerja keras dan suhu badan saya pasang surut. InsyaAllah, tahun hadapan, bila mana saya sudah semakin bagus dalam membawa diri dalam pergaulan dan kesihatan juga semakin menggalakkan saya mahu memberika komitmen 100% kepada aktiviti Ayah dan Mak anjurkan. InsyaAllah. :)

Cadangan dari adik ipar saya yang pulang bercuti dari Indonesia untuk ke Air Terjun Sekayu menjadi agenda kami pada Raya keempat. Saya melepaskan rindu untuk mandi manda dan berseronok. Seingat saya, bertahun lamanya saya tidak ke air terjun. Segan dengan persekitaran dan masyarakat setempat kerana saya yang tinggi lampai dan besar panjang :p Tapi bila dah bersuami, saya rasa lebih selamat dan terlindung, makanya kesempatan itu saya ambil untuk mandi sepuasnya. Ditambah pula dengan perhatian suami yang sangat prihatin dengan keselamatan saya. Asal tempat itu dalam dan merbahaya, maka dia melarang saya untuk mandi di kawasan itu. Ada masa, dia duduk di atas batu dan saya memegang kakinya untuk mengapungkan diri, berangan-angan kononya dapat berenang :) Ya Allah, saya menyintainya, menyintai didikan yang diberikan yang seiring juga dengan keperluan emosi saya.

Kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada Raya kelima, selepas kakak ipar saya bertolak ke Johor. Perjalanan pulang agak lancar dan menenangkan. Suami membawa saya melihat-lihat pantai Terengganu yang terkenal dengan kecantikkannya. Saya berazam dalam hati, mahu mengunjungi tempat-tempat ini suatu hari nanti. Perjalanan pulang mengambil masa lebih dari yang sepatutnya. Kami singgah di pantai yang berlainan untuk menikmati bekalan yang emak kirimkan. Nasi Arab, Gulai Ayam dan Daging Masak Merah. MasyaAllah, nikmat sungguh. Kami tiba di Kuala Lumpur jam 8.30 malam.

Raya di Terengganu memberikan saya pengalaman yang berbeza. Pengalaman yang mengajar saya bergaul dengan orang ramai, menjelaskan sedikit demi sedikit gambaran kehidupan keluarga suami saya dan perjuangan mereka, memberi saya ilmu yang baru dan yang paling penting, merapatkan hubungan kami adik beradik. Kegusaran(takut tidak dapat 'masuk') saya semakin reda, Aidilfitri ini merapatkan kami. Moganya biarlah hubungan ini semakin baik hari ke hari, mencambahkan rasa sayang yang berpanjangan. InsyaAllah.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

p/s: Post seterusnya, raya di Kuala Lumpur

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, September 5, 2010

Mengakhiri Ramadhan

Salam

Hari ini 26 Ramadhan, beberapa hari saja lagi tinggal menjelang Syawal. 5 hari saya tidak berpuasa, bukan kerana ke'uzur'an tapi kerana keuzuran kesihatan. Demam panas yang mencecah 39.2 celcius, tekak yang melepuh, bengkak dan keputih-putihan sangat memeritkan. Minum jadi sukar apatah lagi mahu menjamah makanan. 3 hari saya tidak dapat bersuara dengan baik. Saya terasa seperti berada di hujung usia. Berkali-kali saya mengalirkan air mata dan mencurahkan segala rasa sendu pada suami. Saat dada terasa begitu sesak dan sukar benar mahu bernafas saya merintih, "Saya nak hidup dengan awak dunia dan akhirat, tapi saya tak rasa saya dapat masuk syurga". Suami memeluk tubuh saya erat, kesedihan itu bagai bersatu dengan rasa sakit yang mencengkam hingga ke tulang hitam. Bila pagi menjelang tiba, dan saya masih terasa sakitnya, saya menangis "Awak, Allah still tak bagi saya kesembuhan".

Kami ke PUSRAWI, mahu menerima rawatan yang sepatutnya, selepas kecewa dengan rawatan yang diterima dari PPUM. Tidak seperti selalu, 2 jam penantian di PPUM bertukar kepada 10 minit di PUSRAWI. Saya diperiksa dan dibiarkan baring di wad sementara(bukan di kerusi besi) untuk menerima suntikan dan sementara menunggu keputusan ujian air kencing dan darah. Tidak sampai setengah jam, keputusan kami terima. Sedikit kecewa bila dikhabarkan dalam darah juga ada jangkitan kuman. Mungkin kerana dirawat sambil lewa, jangkitan telah pun merebak. Saya tidak banyak berfikir, kepala yang berdenyut-denyut menyukarkan saya membuat kesimpulan. Suami saya ternyata kecewa dengan apa yang terjadi.

Petang itu saya masih terlantar sakit, badan terasa berbahang-bahang. Minyak panas yang diletakkan untuk melegakan sakit tulang belakang tidak terasa berbisa. Mama menghampiri, air mata ibunya tumpah. Mengenangkan arwah pak cik saya yang kembali ke rahmatullah 2 tahun lalu, mama berbisik dalam sendu "Selalunya orang yang sampai umur je yang naik dalam tekak macam awak ni'. Saya tidak bersuara, tidak terkejut. Saya menjangkakannya memandangkan rasa sakit yang ditanggung. Malamnya, nenek saya pula menumpahkan air mata dan mengeluarkan kata-kata yang sama. Melihatkan saya yang tenang nenek agak marah, "Sakit macam ni, orang takut. Sakit. Awak jangan ambil ringan. Ikhtiarkan semua, biar sihat". Nenek, siapa lagi yang lebih tahu tentang rasa sakit itu melainkan saya.

Alhamdulillah, setelah genap seminggu sakit, hari ini saya beroleh kesihatan. Walaupun tekak masih terasa perit dan masih perlu menapis apa yang perlu di makan. Namun ada sedih yang bertandang, saya tidak boleh pulang ke Terengganu untuk berhari raya kerana aircond dan perjalanan yang jauh menganggu keadaan kesihatan saya. Teringat pada kali pertama saya travel, tekak terasa perit, aircond menyebabkannnya pedih. Saya surrender, tidak mampu menahan sakit. Maka saya dan suami terpaksa mengambil keputusan untuk raya berasingan. Sedih, inilah impian kami. Mahu meraikan Syawal bersama, pertama kali sebagai suami isteri. Suami saya pantas memujuk, dia hanya pulang untuk beberapa hari dan kemudiannya akan meraikannya bersama saya. Tapi, kalaulah kesedihan ini dapat dibuang jauh-jauh.

Ramadhan kali ini penuh dengan dugaan. Serasa saya, inilah Ramadhan yang paling sukar saya lalui. Cukup dengan kesibukan sebagai seorang pelajar, ditambah pula dengan keadaan kesihatan yang semakin teruk dari hari ke hari. Ramadhan kian berakhir, saya mahu melihat kemana telah saya melangkah, dalam rasa sukar dan payah. Ramadhan kali ini saya akhiri dengan rasa sendu di hati.

Maaf, saya dipenuhi emosi. Air mata sentiasa murah, mengalir dan terus mengalir. Saya menadah tangan, memohon kehadrat Illahi agar diberi keteguhan hati. Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, March 31, 2010

Hujan Rahmat

Salam

9.00am saya sedang menghadapi peperiksaan di dalam dewan. Bertungkus lumus cuba menjawab soalan seperti mana yang lecturer saya mahukan. Saya menggaris setiap point-point penting supaya mudah dijadikan rujukan. 12pm peperiksaan itu berakhir dengan kelegaan di hati, moga-moga kelegaan ini bertahan sehinggalah saya menerima keputusannya nanti.

Pukul 2.30pm peperiksaan untuk subjek Fiqh pula menyusul. Saya meredah hujan lebat yang amat sangat. Tiba di dewan peperiksaan dalam keadaan yang amat kuyup, air menitis dari baju. Sedang saya meredah hujan, hati ini tidak putus berdoa semoga hujan dan kesejukkan ini menjadi satu rahmat buat saya. Saya memang dalam kesejukkan. Kerusi yang saya duduki turut basah, tangan yang saya letakkan di atas meja menyebabkan kertas jawapan saya lembab. Saya terkejut sketika melihat tulisan bercetak yang kembang kerana terkena air. Mujurlah peperiksan masih belum bermula, saya sibuk memerahkan air dari baju saya. Tak mahu nanti kebasahan itu menjadi gangguan.

Oleh kerana ada masalah teknikal yang membelenggu, pukul 2.45 barulah peperiksaan bermula, ada hikmahnya di situ, at least baju di kawasan lengan sudah kering dan tidak menganggu saya menjawab peperiksaan. Alhamdulillah, Allah telah mempermudahkan soalan itu untuk saya. Walaupun saya merasakan tangan saya kaku seketika (kerana kesejukan), menggigil dan terasa sukar untuk bernafas kerana kesejukkan, saya tetap boleh berfikir dengan baik. Terima kasih Allah yang Memiliki Ilmu yang Luas, kerana sedikit ilham yang kau berikan.

Selesai peperiksaan saya bertemu dengan tunang saya untuk seketika, sekadar menerima hadiah harijadi seperti yang dia janjikan. Pertemuan yang tidak mencecah lima minit itu membuahkan kebahagiaan sepanjang hari. Saya menerima dua buah buku darripada penulis yang sangat saya minati, Ust Hasrizal Jamil dan sekeping kad yang berisi kata-kata indah yang membelai jiwa.

Saya pulang ke rumah, berjumpa dengan mama yang mengikut khabar beritanya tidak boleh berjalan kerana sakit kaki. Sebak hati saya melihat mama berjalan dalam keadaan terhinjut-hinjut. Biarpun sakit yang menimpa mama tetap bersemangat menyambut kepulangan saya, cepat-cepat dia mengambil majalh Pengantin dan bertanya pendapat saya tentang gubahan hantaran yang saya mahukan serta warna baju pilihan untuk majlis resepsi nanti. Kecoh rumah itu dengan hilai tawa anak beranak, saya rasa bahagia. Kata putus dicapai, saya kemudiannya membantu mama menyediakan makan malam dan dinner malam itu terasa lebih seronok daripada biasa. Mungkin kerana rasa rindu yang dipendam. 10.30pm abah menyuruh saya memandu pulang ke UIA, katanya membiarkan saya memandu lewat malam memang merisaukan. Di Kuala Lumpur ini bermacam-macam kejadian boleh berlaku. Abah berpesan itu dan ini, lagaknya seperti saya pertama kali memandu seorang diri.

Kasih ibu dan ayah tidak akan putus, tidak kenal erti jemu dan sentiasa mekar dihati biar macam mana pun perilaku anak. Saya teringat petikan akhbar yang saya baca sementara menanti peperiksaan kedua. Seorang anak memukul dan mengejar ayahnya dengan lori kerana harta. Saya rasa mahu mengangis melihat wajah pak cik itu yang berkedut seribu, dagunya berdarah. Dia hampir pengsan melarikan diri apabila anaknya mengacah untuk melanggarnya dengan lori. Anak apakah ini? Semoga kita dijauhkan daripada sikap-sikap terkutuk seperti ini.

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.

Surah Nan-Nahl, Ayat 78


Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia .

Surah Al-Israa’, Ayat 23

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...