Showing posts with label Pregnancy. Show all posts
Showing posts with label Pregnancy. Show all posts

Saturday, July 30, 2022

Indahnya 2022

Salam
.
Susah sungguh mahu istiqamah menulis blog. Kehidupan ini terlampau sibuk dan umur yang semakin bertambah menjadikan media sosial jauh dari ingatan. Saya sudah jarang-jarang sekali melihat Facebook, mengemaskini Instgram, membaca ciapan di Twitter mahupun menonton rancangan Televisyen. Semua tumpuan hanya pada keluarga. Mahu menulis post kali ini pun saya keberatan tapi saya gagahkan juga kerana ada berita tersangat gembira yang mahu saya kongsikan.
.
.
Bukan tentang PhD yang masih lagi tidak bersentuh (menangis).
.
.
1. Rumahku Syurgaku
.
.
Alhamdulillah, selepas tiga tahun penantian akhirnya rumah kami siap sepenuhnya dan boleh diduduki. Terima kasih Allah yang memurahkan dan memudahkan rezeki kami. Sungguh Allah sahaja yang tahu betapa saya mensyukuri nikmat ini. Setelah dua belas tahun perkahwinan dan empat kali berpindah randah, akhirnya kami dikurniakan satu tempat untuk kami menetap. Insyaallah. Kunci diserahkan kepada kami lebih kurang dua minggu sebelum Ramadhan menjengah. Maka bertungkus lumuslah saya menyiapkan semuanya. Packing, unpacking, renovation dan hias-hiasan. Habis segala inspirasi di Pinterest saya cuba godek dan cuba realisasikan untuk rumah baru kami. Alhamdulillah, dalam kesibukan menguruskan anak sekolah, berpuasa dan pulang beraya di kampung, kami sekeluarga berjaya pindah sebaik sahaja tamatnya Syawal. Allahuakbar! Segala puji bagi Allah yang memberikan nikmat tempat untuk berteduh bagi hamba-hambanya. Mudah-mudahan rumah ini menjadi tempat kami anak beranak menyulam kasih sayang, mencipta kenangan dan menjadi hamba yang bersyukur.
.


.
2. Kenduri Kesyukuran dan Aqiqah Wardatul Islam
.
.
Alhamdulillah, genap sebulan berpindah, sempat juga kami mengadakan kenduri aqiqah untuk anak kedua kami Wardatul Islam. Agak lambat sebenarnya kenduri aqiqah tersebut. Wardah sudah pun berusia 10 tahun tapi oleh kerana beberapa kekangan, baru tahun ini kami dapat lunaskan hajat yang terpendam. Saya tetap bersyukur kerana berpeluang membuat aqiqah untuk Wardah. Agak berdebar juga sebenarnya, bimbang Wardah terlebih dahulu mencapai akil baligh tapi aturan Allah itu indah. Aqiqah Wardah dapat dilaksanakan penuh meriah dan dihadiri rakan taulan dan saudara mara terdekat. Syukur Ya Allah.
.










.
3. Co-Trainer UTS
.
.
Setelah hampir setahun melibatkan diri dalam bidang pelaburan Unit Amanah, saya akhirnya membuat keputusan mahu menjadi Unit Trust Consultant. Bukan kerana komisen atau bukan juga sebagai kerjaya tapi lebih kepada mahu membantu adik beradik saya menguruskan kewangan mereka. Latar belakang keluarga kami menimbulkan satu kesedaran yang tinggi pada pengurusan kewangan. Dah alang-alang saya melabur, maka baiklah untuk saya membantu mereka melabur juga untuk masa hadapan. Maka berteleku juga seminggu dua untuk menduduki peperiksaan sebagai consultant. Alhamdulillah lulus semuanya. Selesai melabur untuk adik-adik, ada beberapa rakan taulan yang berminat. Maka, saya uruskan juga kewangan mereka. Alhamdulillah, mudah-mudahan semuanya dapat memberi manfaat kepada orang sekeliling. Fikiran saya 'kerja' sebagai consultant ini hanyalah sambilan sahaja. Sekadar satu 'lesen' yang saya ambil untuk membantu adik-adik. Tapi aturan Allah itu lebih jauh lagi. Trainer UTS menghubungi saya dan menawarkan saya untuk bersama-sama dengan beliau menjadi Co-Trainer untuk Unit Trust Society. Subhanallah. Sungguh berbesar hati menerima pelawaan tersebut. Sungguh, kalau diikutkan dengan ilmu di dada, jauh sekali saya rasa layak untuk menjadi Co-Trainer tapi saya terima tawaran tersebut dengan niat mahu membantu lebih ramai lagi orang untuk berjaya. Satu jawapan cliche tapi itulah yang sebenar-benarnya. Saya tidak ada jawapan lain. Mudah-mudahan penglibatan saya yang akan bermula September nanti akan memudahkan urusan ramai orang. Semoga peluang ini menjadi medan saya sebagai orang yang bermanfaat kepada masyarakat.
.
.
4. Keluarga kecil kami bertambah lagi.
.
.
Ya, setelah 7 tahun sepi tanpa tangisan bayi, tahun ini kehidupan kami meriah dengan teriakan seorang bayi perempuan yang lahir pada 19 Julai 2022. Ya, teriakan kerana baby baru ini cenderung berteriak nyaring berbanding menangis. Huhuhu. Perjalanan mengandung saya seperti biasa, penuh dengan cabaran dan ujian. Saya kira itu lumrah kehidupan. Mungkin bagi sesetengah orang, mahu mengandung itu satu cabaran (susah lekat, keguguran etc) tapi berbeza untuk saya. Allah permudahkan saya untuk menerima zuriat cuma perjalanan mengandung 9 bulan itu berliku-liku. Awal kandungan saya disahkan ada GDM dengan bacaan gula 13.9 kemudian selang beberapa bulan saya disahkan pula ada GBS setelah berkali-kali di rawat kerana UTI. Tak lama kemudian doctor mengesahkan kewujudan dua ketul Cyst sebesar duit 20 sen. Itu belum lagi dengan Anemia yang selalunya membimbangkan setiap kali mengandung. Pening juga kepala dibuatnya. Tambah pening bila morning sickness berlanjutan hingga bulan ke 5. Memang berat badan saya susut, pipi pun jadi cengkung sehingga ada yang menegur. Al maklumlah, sebelum ini tembam elok, bulat seperti pau. Oleh kerana sudah 7 tahun tidak beranak kecil, penantian untuk bayi kali ini sepertinya sedang menantikan anak sulung. Semua perlu disediakan. Baju, barangan mandian, stroller, carseat, tuala, beg hospital. Semuanya baru kerana tidak ada lagi barang-barang bayi yang boleh dikitar semula. Anak bongsu tak jadi (Rauhah) sudah pun menjejakkan kaki ke sekolah. Kelengkapan dia yang dulu semuanya sudah diagih-agihkan kepada sepupu sepapat. Bukan itu sahaja, rasa teruja kali ini juga berbeza. Bertambah bermakna bila perasaan itu dikongsi dengan anak-anak yang lain. Semuanya tidak sabar mahu menerima ahli baru. Sudah lama mencurahkan sayang kepada baby orang lain kata mereka. Akhirnya sampai juga masa mereka menggomol baby sendiri. Penantian 9 bulan akhirnya berakhir. Syukur alhamdulillah, walaupun dikandung dengan pelbagai komplikasi Nauratul Hannan lahir serba sempurna. Sihat walafiat. Ligat juga kami memikirkan nama anak. Mahu di match kan dengan nama anak-anak perempuan yang lain.
.

.
Nauratul = Sekuntum Bunga Putih
Hannan = Cinta/Kasih Sayang
.
Kami kira ianya sesuai dengan Zahra dan Wardah yang juga membawa maksud bunga dan juga Rauhah yang membawa maksud haruman.
.
.
.
.
p/s: Terpaksa menghentikan penulisan ini secara mendadak, Naurah sudah pun berteriak. Saya tidak berniat untuk menyambung penulisan ini. Biar tergantung, biar jadi kenangan terkocoh-kocoh berlari meninggalkan laptop kerana menguruskan anak. Pasti menjadi satu kenangan yang dirindui meniti hari tua nanti.
.
.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, October 14, 2014

Kerana Rahmat Allah

Salam

Susah sekarang ini saya nak mencari masa nak menulis di blog. Anak-anak yang semakin menuntut perhatian dan sememangnya perlu diberi perhatian, ditambah pula dengan keadaan saya selalunya penat tidak bertenaga. Sekalipun anak-anak itu saya usahakan tidur sekaligus (semua tidur dalam 1 masa), saya tetap tidak dapat menggunakan waktu itu untuk menulis. Kebanyakan masa, ketika mereka tidurlah saya juga tidur dan berehat. Susah nak menjelaskan bagaimana penat mengandung 4 tahun berturut-turut ni. Serasanya memang tak ada orang yang akan faham bagaimana rasanya. Siapa yang faham, bangun tidur, mandi dan tiba-tiba kena duduk diam semula kerana keletihan. Eh, kau penat sebab apa? Mandi ke? Bukankah sukar difahami kepenatan itu..

Apa-apa pun syukur alhamdulillah, Allah hadirkan suami yang terbaik untuk saya. Yang sentiasa bersedia untuk on call bila terpaksa bekorban untuk saya dan anak-anak. Bangun sahaja tidur, dialah yang mengemas rumah, menyediakan sarapan, mempersiapkan anak-nak, menjemur dan membasuh baju sebelum dia kemudiannya bergegas menyiapkan diri untuk bekerja. Semua ini selalunya selesai pada waktu tengah hari, bermakna tengah hari barulah bermula kehidupan dia sebagai suami pula (sebelum ini seperti isteri dan ibu). Tengah hari itulah dia keluar mencari rezeki dan menulis thesis PhD nya yang masih berbaki. Itu kalau saya tidak menganggunya dengan SMS berbentuk rayuan mahu dia pulang kerana saya keletihan menjaga anak atau sakit-sakit badan tidak memasal. Dia akan pulang setelah membalas SMS saya dengan kata-kata yang baik dan menyentuh hati. Memujuk saya agar tidak susah hati, ini ujian kita bersama dan apa yang terjadi bukanlah salah siapa. Terharu kan?












Melalui anak-anak dan suami lah saya dapat merasakan betapa besarnya rahmat Allah. Rahmat Allah yang sampai kepada manusia hina seperti saya. Selalu sahaja leka dan bergelumang dengan dosa tapi Allah tetap juga menyampaikan rahmatNya. Kasih sayang dan kebahagiaan yang saya perolehi dari suami dan anak-anak. Terima kasih Allah. Tetapkanlah hati kami di jalanMu, berikanlah kami khusnul khatimah dan temukanlah kami semula di surgaMu. Ameen.

p/s: Rasa macam tiba-tiba jer post ni berakhir? Maaflah, tiba-tiba jer penat. -_-'




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, January 1, 2014

Graduasi (Gambar yang Tertangguh)

Salam

Sudah beberapa bulan saya bergraduasi. Dengan kandungan yang berada dalam 32 minggu, saya mendaki pentas konvokasi dan menyambut huluran scroll. Perasaan saya bercampur baur, sehinggakan sebaik sahaja saya duduk semula di tempat yang disediakan, air mata saya mengalir menganangkan kesusahan dan pengorbanan yang saya lakukan untuk menggenggam segulung ijazah.

Tambah mengharukan apabila melihat dua cahaya mata saya berhujan renyai-renyai datang ke majlis graduasi saya bersama adik beradik saya yang lain. Wajah mereka saya tenung dan perasaan beroleh kejayaan itu menjadi lebih manis tatkala pipi gebu mereka saya kucup. Begitu juga bila lagu Ayah dan ibu nyanyian Allahyarham Sudirman di dendangkan di dalam dewan, air mata saya mengalir mengingatkan Mama dan Abah yang membesarkan saya dan memberikan kata-kata semangat untuk saya menamatkan pelajaran.

Setengah jam selesai majlis graduasi barulah saya bertemu dengan suami yang sudah dua hari diserang sakit mata. Dia menghadirkan diri dengan berkaca mata hitam bagi menutup matanya yang kemerahan. Oh, lelaki idaman yang selama ini banyak bekorban rasa, masa dan tenaga bagi membolehkan saya menamatkan pelajaran. Dialah orangyang yang bertolak ansur dengan segala kelemahan saya malah menampung kelemahan itu dengan kebaikan dan rasa redha pada Allah SWT. Ya Allah, terima kasih di atas nikmat yang terlalu banyak dikurniakan kepada saya. :')

p/s: Post dah basi tapi rasanya gambar-gambar ini tetap akan segar di dalam ingatan saya. :)







Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Saturday, December 28, 2013

December Baby

Salam

Saya sudah pun menjengah 9 bulan dan perut sudah semakin kerap mengeras. Stamina sudah ke laut, begitu juga dengan emosi yang asyik bergelora bagai ombak yang mengganas. Fuh! Bila agaknya saya akan bersalin? Walaupun masih lagi belum berada pada tarikh jangkaan, perasaan saya mahu bersalin seperti membuak-buak. Sedang menaip blog pun, saya berfikir untuk bersalin malam ini juga. Dasyatkan?

Saya tidak mahu menulis panjang tentang harapan saya yang mahu bersalin di bulan Disember 2013. Sepertinya harapan itu tidak akan kesampaian, memandangkan 2014 akan menjengah beberapa hari sahaja lagi dan pemeriksaan rutin semalam menunjukkan bayi masih belum engaged. Nampaknya harapan saya dan bayi seperti bercanggah. Dia mahu melihat dunia pada tahun hadapan, manakala saya mahu memaksanya keluar membuka mata tahun ini juga! Hurm..

p/s: Tinggal beberapa hari lagi menjengah 2014, kawan-kawan...doakan saya bersalin 2013 ya. :p



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Monday, September 2, 2013

Mummy's 'ME' time.

Salam.

Alhamdulillah, berkesempatan juga saya mencoretkan sesuatu di sini setelah beberapa kali mencari peluang dari celah-celah kesempitan yang menghimpit.

Kehidupan setelah menamatkan pelajaran benar-benar membuatkan saya mati kutu. Mahu nenjahit, hormon mengandung kali ini membuatkan saya sedikit liat untuk bergiat. Ditambah dengan tuntutan anak-anak yang mahukan perhatian sehiggakan saya seperti tidak ada masa untuk menyendiri. Usah katakan mahu menikmati rehat, mahu ke bilik air pun jadi terkejar-kejar. Bila dihimpit situasi sebegini saya jadi terfikir sendiri, bagaimana agaknya dulu keiika masih belajar saya membahagi masa.

Saya kepenatan. Saya mahu menikmati rehat..mahu tidur dengan tenang, menikmati waktu mandi dan sekali sekala mahu berfoya-foya menonton cerita di depan komputer. Ada masanya juga saya mahu peruntukan masa untuk saya tidak berbuat apa-apa. Mahu duduk diam, berbaring dan berfikir. Oh, sungguh saya memerlukan masa untuk diri sendiri. 

Bukan saya tidak suka menjadi ibu. Tidak sama sekali. Anak-anaklah penghibur hati saya manakala suami penyeri hidup saya. Mereka mendatangkan kebahagiaan dan ketenangan. Membuatkan saya ketawa walaupun  keletihan. Tapi entah mengapa rasa sebegini tetap juga timbul.

I guess parenthood makes me miss my 'ME' time.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Monday, November 26, 2012

1st VS 2nd Pregnancy

Salam.

Kandungan saya sudah mencapai 36 minggu, ada 4 minggu sahaja lagi untuk dilalui. Atau lebih tepat lagi, 29 hari saja lagi yang tinggal sebelum saya melahirkan anak kedua. InsyaAllah. Hati saya berdebar-debar,teruja menunggu kelahiran bayi kedua ini. Saya mahu melihat wajahnya, mencium ubun-ubunnya dan memberitahu Zahra bahawa dia sudah bergelar kakak. Ada lah teman setia untuk dia bermain nanti. Tidak seperti sekarang, setiap kali dia kebosanan, mulalah dia memaksa saya dan Abinya untuk bermain bersama. Sehingga kami kepenatan dibuatnya.

Persamaan

Mengandung kali kedua berbeza dengan mengandung kali pertama, walaupun ada sesetengah alahan yang saya alami masih lagi sama. Contohnya, alah kepada bau masakan. Kandungan pertama atau kedua, kedua-duanya membuatkan saya tidak meng'asap'kan dapur untuk 4/5 bulan lamanya. Kesian En.Suami yang terpaksa menjamah makanan luar yang ber-ajinamoto. Saya juga ada morning, afternoon dan evening sickness yang teruk untuk kedua-dua kanduangan ini. Sepertinya sickness ini adalah perkara yang tidak dapat saya elakkan walaupun pada kandungan yang akan datang. Semua ini berdasarkan pengalaman Mama dan Makcik-makcik saya, mereka juga mengalami sickness yang teruk. Lebih menyeksakan, makcik saya terpaksa di tahan di hospital untuk dimasukkan air kerana badan terlalu lemah. Bayangkanlah, makan tidak berselera tapi muntah berpanjangan. Nauzubillahiminzalik. Saya tidak mahu alah sebegitu sekali, keadaan sekarang ini pun sudah cukup memenatkan saya.

1st Pregnancy

Alahannya simple, saya tidak boleh bau masakan tapi boleh menjamu selera dengan pelbagai makanan. Jadinya saya meminta beberapa orang sahabat untuk ke kafe membelikan makanan untuk saya. Sakit-sakit badan juga terasa bila kandungan mencecah bulan ketujuh dan ke atas. Pada ketika itulah baru suami saya mula mengurut pinggang dan belakang saya untuk melegakan kesakitan. Saya mulai merasa pergerakan bayi pada bulan yang kelima,itu pun ketika bayi mula melakukan pergerakan yang besar. Saya masih belum merasai pergerakan halus seperti tendangan sehingga bulan keenam. Mungkin kerana berat bayi yang kecil iaitu 400g ketika berusia 5 bulan. Ketika dilahirkan berat Zahra 3.14kg, jauh lebih berat dari jangkaan saya.


Ini wajah Zahra sebaik sahaja dilahirkan. Selesai sahaja jahit menjahit, terus saya dan suami bersiap sedia untuk mengkap gambar. Teruja dengan kurniaan Allah yang sangat membahagiakan.

2nd Pregnancy

Alahannya lebih teruk berbanding kandungan pertama. Saya bukan sahaja mual dengan bau masakan, malah melihat ayam pun saya akan termuntah. Keadaan bertambah teruk bila 4 bulan pertama saya tidak boleh langsung menjamah nasi. Asal saja makan nasi, saya akan memuntahkannya kembali. Jadi,makanan utama saya ketika itu ialah roti dan sphagetti. Rasa sengal-sengal badan mula terasa pada bulan kelima dan suami terpaksa memulakan rutin mengurut pinggang dan belakang setiap malam. Pergerakan bayi pun saya dapat rasai dengan lebih awal, seingat saya pada bulan ketiga kandungan saya sudah merasa pergerakan bayi. Malah kadang-kadang saya terkejut bila bayi melakukan pergerakan drastik. Berat bayi kali ini juga berbeza, 1.2kg pada usia kandungan 6 bulan. Saya berkira-kira, berapa agaknya berat bayi yang bakal saya lahirkan ini. 


Saya menanti kelahiran anak kedua dan insyaAllah saya akan menangkap gambarnya sebaik sahaja dia dilahirkan. Seperti Zahra, saya mahu anak kedua juga punya foto tatapan hari pertama dia dilahirkan. Semoga Allah memudahkan segalanya. Saya menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Sesungguhnya Allah lah tempat saya menggantungkan harapan dan memohon pertolongan.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, October 2, 2012

Angan-Angan

Salam.

Minggu lalu, saya menjadi wakil seorang teman untuk mengambil jubah konvo miliknya di Universiti Malaya (UM). Saya merasai aura kebahagiaan setiap individu yang hadir di sana. Masing-masing ceria dengan jubah konvo di tangan. Akhirnya perjuangan mereka di UM tamat setelah menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Saya melihat pasangan India yang membawa seorang anak kecil. Saya jadi terharu. Perlahan-perlahan saya melihat diri saya, suami, Zahra dan adiknya berada di ruang legar CAC, UIAM. Saya sedang beratur mahu menganbil jubah konvo sambil memerhatikan Zahra yang berlari kegembiraan ke hulu dan ke hilir. Di belakang Zahra saya melihat suami saya mengendong anak kecil sekitar 8/9 bulan. Ya, ketika saya konvo tahun hadapan, saya akan punya dua orang anak. Saya akan naik ke pentas konvokesyen sebagai seorang ibu beranak dua. InsyaAllah! :')

Petang itu, pulang dari Klinik Gigi di Ampang, kami singgah di stesen minyak untuk menunaikan solat Asar. Kebetulan ketika selesai solat, seorang wanita bersama anaknya berusia linkungan 4 tahun masuk ke Musolla tersebut. Saya memerhatikan bagaimana anak kecil itu mengikuti setiap perbuatan ibunya. Mengambil wuduk, bersolat dan kemudian menadah tangan bersama mengaminkan setiap doa yang dipohon si ibu. Saya terharu lagi. Saya mahu mendidik anak saya seperti itu. Ringan sahaja dia mengikuti ibunya bersolat. Sekarang, kalau kami berhenti solat di mana-mana, saya akan meletakkan Zahra di depan sejadah dan bersolat di hadapannya. InsyaAllah tahun hadapan, saya dan Zahra akan bersolat bersama dan di hadapan kami ada adik Zahra yang ralit memerhati. Seperti mana keadaan Zahra sekarang ini. Dia belum pandai mengikuti saya bersolat, tapi ketika saya membaca doa dia akan mengaminkannya berkali-kali. :)


Ketika singgah ke pusat membeli belah sebelum pulang ke rumah, sekali lagi saya dijengah dengan bayangan masa hadapan. Saya melihat Zahra yang sudah pandai memberikan pandangannya tentang baju yang saya pilih, samada cantik ataupun tidak. Mungkin juga nanti dia sudah pandai memilih, baju apa yang dia mahu pakai dan warna apa yang menjadi kesukaannya. Sekarang ini, saya banyak berkongsi pendapat dan pandangan dengan suami. Setiap kali memilih baju, tidak kiralah untuk diri sendiri atau untuk anak, suami akan menjadi perunding imej yang setai. Dia akan memberi kritikan yang jujur untuk setiap pilihan saya. InsyaAllah, tahun akan datang, perunding imej saya bertambah, Zahra akan membantu sama memilih baju untuk adiknya. :)

Oh, terima kasih Allah kerana mengurniakan saya kebahagiaan dan keindahan yang membolehkan saya mengimpikan kebahagiaan yang lebih manis pada masa akan datang. Alhamdulillah!

p/s: Menulis dengan air mata yang bertakung, terharu. Emo sungguh!



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Thursday, June 28, 2012

Diari Tertunggak

Salam

Tersangatlah lama saya bercuti dari menulis blog. Ada beberapa perkara yang saya mahu catatkan disini.

2nd Pregnancy

Saya memberikan reaksi ekstrem bila mendengar ringtone handphone adik. Terasa seperti nak muntah yang amat sangat, kepala jadi pening dan dada berdebar-debar. Malam itu saya terus memaksa En. Suami membeli Pregnancy Test di farmasi berdekatan rumah. Seperti yang sedia maklum, untuk mendapatkan keputusan yang terbaik, seeloknya test dijalankan sebaik sahaja bangun pagi. Tapi disebabkan perasaan excited yang terlampau, sebaik saja terjaga jam 1 pagi, saya dah pun bersiap sedia melakukan test. Dan ya, positif! Alhamdulillah, syukur ke hadrat illahi kerana dimurahkan rezeki untuk menimang seorang lagi cahaya mata. Terima kasih Allah.

Saya menyambung tidur, sedaya upaya melelapkan mata dan menahan perasaan. Kalau boleh saya tidak mahu menganggu lena suami yang kepenatan setelah berpenat lelah mengikuti perjuangan Bersih 3.0. Namun apalah daya saya, rasa teruja yang teramat sangat menjadikan saya seorang 'kejam', pagi-pagi itu juga saya kejutkan suami untuk memberitahu beliau berita tersebut. Hasilnya, dalam keadaan mamai, suami termenung seketika dan memberi reaksi 'Kita tidur dulu, esok kita bincang'. Saya akur, berjalan penuh semangat ke katil dengan senyuman ibu mengandung.

Perkembangan Zahra

Alhamdulillah, Zahra sekarang sudah boleh melangkah. Habis segenap sudut rumah di jelajah. Malah ketika kami sibuk menguruskan kerja rumah, ketika itulah dia bersemangat mengekori ke mana saja kami pergi. Kita sibuk, dia pun mahu menyibuk. Saya suka melihat dia berjalan, lebih-lebih lagi bila mengunjungi taman atau pusat membeli belah. Zahra teruja 'mendapat kaki', kalau boleh ke mana sahaja dia mahu berjalan sendiri. Tapi untuk sentiasa melepaskan dia berjalan, saya tak berani. Saiznya yang kecil, setinggi paras lutut menyukarkan dia untuk dilihat orang ramai. Pernah sekali sewaktu saya menunggu giliran untuk menunaikan solat Maghrib, Zahra jatuh terjelepuk ke lantai dilanggar seorang remaja yang kalut mahu ke surau. Saya tidak menyalahkan sesiapa, dalam keadaan sibuk begitu, tentu tak terlihat budak bersaiz kecil yang sedang terhuyung hayang teruja berjalan. Alhamdulillah, jatuh biasa, Zahra tidak menangis cuma saya sedikit segan dengan orang ramai. Entah apa yang nak disegankan pun saya tak pasti, yang saya tahu, saya memang segan ketika itu. :p

2nd Anniversary

Pada awalnya, kami merancang untuk menyambutnya dengan makan di Restoran Tupai-Tupai tapi hajat ini tidak kesampaian kerana saya dan Zahra keracunan makanan yang teruk. Hasil dari meminum air bandung ketika mendaftarkan adik saya di KUIS. Bertambah parah, sudahlah keracunan makanan di hari ulang tahun, peperiksaan juga jatuh pada hari yang sama. Akibatnya saya memohon untuk menunda peperiksaan dan mengambil special exam. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, saya sudah pun menduduki peperiksaan tersebut dan keputusannya sudah pun saya ketahui semalam. :)

Saya dan Study

Bercakap tentang study, ada perkara sedih yang perlu saya hadapi. Mengikut perancangan saya sebagai seorang hamba Allah, saya akan menamatkan pengajian saya pada sem panjang akan datang dan akan convo bersama rakan-rakan tahun berikutnya. Tapi kita hanya merancang, Allah yang menentukan segalanya. Sem pendek ini saya gagal untuk mendaftar lebih dari 1 subjek, akibatnya sem terakhir itu saya perlu mengambil 7 subjek serentak. Pening kepala saya memikirkan kemampuan dan keadaan saya ketika itu. Hati saya berat untuk menambah sem kerana sebolehnya saya mahu habis belajar bila sudah beranak dua. Saya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangga dan anak-anak sebelum menimbang balik untuk menyambung pelajaran ke pringkat Master. Tapi untuk membebankan diri dengan 7 subjek ketika sedang sarat mengandung saya jadi bimbang. Apakah saya mampu melakukannya? Saya risau akan terkandas lebih banyak subjek dan tertekan di trimester akhir kandungan.

Saya menangis beberapa kali, bingung untuk membuat keputusan. Namun alhamdulillah, Allah menghadirkan beberapa insan memberi pandangan. Suami, sahabat dan ayah mertua saya semuanya memberikan pendapat yang sama. Mahu saya memanjangkan sem dan belajar dalam keadaan yang tenang. Mereka tidak mahu saya tertekan dan menganggu kesihatan bayi di dalam kandungan. Hujah bertambah relevan apabila ayah mertua saya memberitahu, apa yang penting sekarang ini adalah keupayaan saya menamatkan pelajaran, bukannya bila saya menamatkan pelajaran. Suami menyokong dan mengembirkana hati saya apabila mengingatkan saya tentang hari convocation yang tidak berubah walaupun saya extend sem, saya tetap akan convo bersama rakan-rakan yang lain. InsyaAllah. :)

p/s: Mama dan abah seperti biasa, keputusan terletak di tangan saya. mereka menerima seadanya dan akan menyokong keputusan saya.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Monday, July 11, 2011

Tiny Pillow

Salam.

Cadangnya mahu buat sesuatu yang handmade sendiri. Tp nampaknya tak berkesempatan, so saya beli bantal custom made for my baby. Handmade orang lain but my idea. Anyway, I like it very much. Thank you Dini! :)



Front

Back

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Friday, June 3, 2011

Impian :)

Salam.

Saya sedang menunggu dua event yang saya amat bermakna dalam hidup saya. Event yang akan berlaku dalam jangka masa yang pendek ialah ulang tahu perkahwinan yang pertama saya dan event jangka masa panjang ialah kelahiran anak pertama kami.

Terus terang saya katakan, keterujaan menyambut dua event besar ini benar-benar membuat saya tersenyum sepanjang hari. Semalam saya membuka beg pakaian bayi yang sudah saya kemaskan. Sengaja mahu melihat semula baju-baju yang telah saya beli. Saya pasang-pasangkannya dengan stokin dan topi yang comel. Siapa dalam dunia ini yang tidak tersenyum melihat pakaian comel seperti itu. Beberapa minggu yang lalu, ketika saya dan suami menjamu selera di sebuah restoran, saya ralit melihat keletah seorang anak kecil yang berusia sekitar 5/6 bulan sedang di agah ayahnya. Air mata saya hampir menitis, perasaan mahu memiliki cahaya mata sendiri bagai meronta-ronta. Suami pun begitu juga, dia turut tersenyum dan ralit, dan seketika kemudian dia bersuara "Tak sabar rasanya nak jadi Abi".



Namun ada kegusaran yang bertamu di hati saya. Minggu ini rasa sakit mula menyengat. Terlalu awal untuk kontraksi palsu dan anggapan ini telah pun dinafikan oleh doktor. Saya rasa sakit berjalan,bagai ditarik-tarik. Malahan ketika tidur terasa payah benar saya mahu beralih kedudukan. Sakit itu menyerang di bahagian peha dan saya memang tidak tahu bagaimana cara untuk menghilangkan sakit tersebut. Apa yanng boleh saya lakukan hanyalah dengan berjalan perlahan-lahan. Moga-moga semuanya dalam keadaan baik, saya mahu anak yang bakal dilahirkan ini lahir dalam keadaan sihat dan sempurna. Ameen. Seperti mana dia akan menyempurnakan kehidupan saya dan suami. :) InsyaAllah.

Doakan saya, suami dan kandungan!


Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, May 24, 2011

Langkah Baru

Salam

Sudah hampir 3 minggu saya menjalani latihan praktikal. Terlalu banyak perkara yang perlu diambil iktibar. Tentang bagaimana seharusnya agama Islam itu menjadi pebimbing kehidupan bagi mengelakkan kita dari terus menerus dalam kegelapan. Saya tiada daya, mahu menyuarakan segala yang terbuku terasa seperti tidak mampu. Pengenalan yang tidak sampai sebulan tidak memungkinkan sebarang teguran. Yang saya mampu kini hanyalah memberi contoh yang terbaik, dan sesekali bertegur bagai bertanya bagi mengingatkan mereka. Apa-apa pun doa saya, semoga Allah tetap mengira tindakan saya ini sebagai amal makruf nahi munkar, dalam kategori selemah-lemah Iman mungkin.

Barangan keperluan bayi semakin mencukupi, hanya tinggal beberapa perkara yang memerlukan saya dan suami menabung. Babycot, Baby Tub, Set Barut dan Lampin Bayi, itu saja yang tinggal. Dalam saya menulis checklist, baru saya tersedar saya tidak mempunyai checklist untuk diri sendiri. Saya menarik nafas beberapa ketika, memikirkan apa yang patut saya lengkapkan untuk diri sendiri sebagai kelengkapan bersalin, kosong. Hanya beberapa perkara sahaja yang terlintas. Stokin, Maternity Pad dan Set Bersalin. Mungkin saya perlu lebih bertanya, luaskan sumber, mungkin dengan melayari internet.

Semenjak menjejaki bulan ke 7 kandungan, saya mula merasakan sakit-sakit yang menyengalkan pada perut. Kata teman sekerja, itu hanyalah kontraksi palsu yang dia sendiri pun pernah alami semenjak usia kandungan 7 bulan. Saya agak kerisauan sebenarnya, dengan rehat yang kurang cukup dan rasa lemah yang amat sangat, saya takut akan melahirkan bayi pramatang. Minta semuanya di jauhkan. Nauzubillahiminzalik. Saya mahu semuanya baik-baik belaka. Semoga Allah mengabulkan doa seorang bakal ibu, yang hatinya saban hari kegusaran memikirkan tentang kemungkinan kelahiran anak pertama ini adalah pengakhiran kehidupannya. Nauzubillahiminzalik.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, April 17, 2011

Personal

Salam

Maaf, post kali ini bersifat personal sedikit. Walaupun saya tahu, ada yang menganggap penulisan mengenai kehidupan kadang-kadang tidak membawa kebaikkan malahan juga satu karya tidak bermanfaat, tapi dari pandangan peribadi saya, kata pujangga orang-orang tua 'belajarlah dari pengalaman' tidak harus di juruskan spesifik pada pengalaman yang kita sendiri alami. Sebolehnya pembelajaran ini diluaskan dengan pengalaman-pengalaman orang lain yang tentu sahaja Allah aturkan kehidupannya berbeza dengan kita. Maka perbezaan ini kita jadikan kelebihan dari aspek belajar dari pengalaman walaupun bukan pengalaman kita sendiri kerana sudah tentulah agak mustahil untuk kita menimba semua pengalaman hidup. Dari sinilah kita belajar untuk mengelakkan diri dari kesilapan ataupun belajar menangani sesetengah keadaan. Ini hanya pendapat peribadi saya, jika masih ada yang menganggap penulisan mengenai pengalaman kehidupan sesuatu yang lagha dan tidak bermanfaat, maka mereka bebas berbuat demikian. :)

Semalam saya ke klinik kerana demam yang diakibatkan oleh geraham bongsu yang mahu tumbuh. Tidaklah seteruk mana tapi sakit-sakit badan dan sesak nafas yang benar-benar menganggu, ditambah dengan niat saya dan suami mahu melihat kandungan, maka kami pergi menerima rawatan di Klinik Khalil. Alhamdulillah, semuanya normal. Pergerakan bayi aktif, ukuran tulang kakinya agak panjang menyebabkan doktor memberi komen 'tinggi baby ni, mesti ikut mama dia'. Saya tersenyum simpul walaupun senyuman itu sedikit pudar bila doktor memberitahu kedudukan bayi songsang. Tapi memandangkan usia kandungan baru 5 bulan maka tidaklah berisiko untuk pembedahan. Saya benar-benar mengharapkan untuk bersalin normal. Ya, kami sudah pun mengetahui jantina bayi, mengikut jangkaan doktor, 80% kemungkinan bahawa bayi ini ialah bayi (....). Biarlah rahsia, saya hanya bercadang untuk memberitahu mereka yang tertentu sahaja kerana ini hanya jangkaan. Allah juga yang menetukan segalanya. Apalah sangat jangkaan doktor jika dibandingkan dengan ketentuan Tuhan.

Beberapa hari sebelum itu saya meninjau-ninjau keperluan bayi, mahu mecari deal yang terbaik. Dalam keadaan keewangan yang serdahana, saya sebolehnya tidak mahu melakukan pembaziran semata-mata kerana sikap saya yang terlalu last minute sehingga tidak meng'survey' tawaran yang terbaik. Buat masa ini tidak ada keperluan lagi yang dibeli. Saya menimbang-nimbang pendapat beberapa pihak yang menyatakan saya hanya patut mendapatkan keperluan tersebut tatkala usia kandungan 7-8 bulan. Mereka takut kalau ada sesuatu yang terjadi (nauzubillahiminzalik!) maka saya akan kecewa, dan kecewa itu akan berlarutan memandangkan persiapan yang telah dilakukan.

Namun hati saya berbelah bagi. Bukan kerana rasa teruja tetapi kerana bajet keewangan. Saya tidak mahu memberatkan suami dengan membeli semua keperluan sekaligus, tentulah beban ini lebih dirasai berbanding menyiapkan keperluan ini sedikit demi seikit. Makanya saya membuat keputusan untuk untuk bermula dari awal. Merancang keperluan yang benar-benar perlu, tanya pendapat mereka yang berpengalaman tentang keperluan lain (takut ada yang tidak dibeli kerana tidak tahu dan takut ada yang terlebih dibeli kerana nafsu), kemudiannya membuat perbandingan harga sebelum melakukan pembelian. Semoga method ini membawa kepada kebaikkan :)

Semenjak mengandung pelbagai tips yang saya dengar. Dari yang saya rasa boleh masuk akal seperti jangan melakukan kerja-kerja berat, jangan terlalu mengikut emosi sehinggalah tips yang langsung tidak masuk akal seperti jangan meletakkan minyak panas di perut kerana takut anak menjadi hijau, jangan melilit kain tuala di kepala kerana takut tali pusat anak terbelit. Saya pada awalnya cuba mengelak dari melakukan perkara-perkara yang disebut walaupun saya kurang mempercayainya kerana semuanya mengatakan ini adalah berdasarkan pengalaman mereka sendiri. Namun lama kelamaan saya mula menyaring maklumat, saya bertanya kepada lebih ramai pihak. Namun tetap juga maklumat sebegini disampaikan dengan pelbagai cara. Pernah sekali sewaktu saya dan suami keluar makan di sebuah resoran, sewaktu saya memesan air Milo Ais, pelayannya berpesan kepada saya agar mengurangkan pengambilan air batu. Saya boleh faham jika rasional disebalik larangan itu ialah takut urat kembang dan mengakibatkan sakit-sakit badan tapi dia memberitahu pengambilan ais menyebabkan anak menjadi besar dan seterusnya mengakibatkan kelahiran melalui kaedah pembedahan. Walaupun ada sedikit ragu, saya menukar pesanan. Saya memesan Teh panas. -_-

Pengalaman orang pelbagai-bagai, yang bermanfaat dijadikan tauladan, yang kurang bermanfaat kita jadikan sempadan. Tapi apa pun jangan mengehadkan medan kita memperolehi ilmu kerana kita tidak tahu dari mana ilham yang Allah mahu turunkan. Mungkin tatkala kita mendengar kuliah di masjid dan mungkin juga ketika kita sedang mendengar pengalaman jerih seseorang yang sedang sakit. Tapi jangan pula beralasankan mahu meluaskan medan ilmu kita tumpang sekaki mereka yang rancak 'menganyam ketupat'.

p/s: Benarlah kata orang, menilai permata dari celahan kaca tentulah sukar. Setelah sekian lama, segalanya menjadi semakin terang. Saya semakin tahu siapa yang benar-benar mahu bersahabat dan siapa yang sekadar mahukan tempat menumpang sendu.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangakan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.
Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, January 5, 2011

Air Mata 2011

Salam

2011 sudah pun menjelang, pelbagai harapan dan impian yang disandarkan pada tahun ini. Bukan kerana istimewanya 2011 tapi memang sudah menjadi kebiasaan, asal saja tahun baru mulalah kita semua mencanangkan impian dan memanjatkan harapan. Saya juga tidak terlepas untuk memanjatkan doa, mohon kebaikkan, kesabaran dan keteguhan iman.

Tahun ini, tahun baru hijrah lebih terasa bermakna berbanding tahun baru...(kalau guna kalendar biasa kita panggil apa ya?)... Ucapan menyambut tahun baru Islam menghujani inbox handphone saya berbanding tahun 2011 yang senyap sunyi tanpa sebarang ucapan. Saya tidak kisah, ingatan dan doa-doa sebegitu, tidak perlu tunggu tahun baru, bila-bila masa pun saya alu-alukan.

1432H/2011-Tahun baru ini membawa banyak erti dalam kehidupan saya dan suami. Tahun ini lah kami bakal menimang cahaya mata dan menjalani kehidupan sebagai ibu dan bapa. InsyaAllah. Tentunya pengalaman itu akan memberi makna yang berbeza. Mana tidaknya, mengandung sahaja sudah cukup menguji, apatah lagi melahirkan dan membesarkan.

Pada saat awal saya mula diserang 'morning sickness', rasa lemah dan tidak bermaya lebih menguasai diri. Saya menangis mengenangkan perut yang berkeroncong kelaparan tapi bila disuakan makanan saya memuntahkannya kembali. Perut yang kembung sepanjang hari dan rasa bengkak yang menganggu tidur saya (tidak boleh mengiring), benar-benar menganggu mood saya. Saya jadi terlalu emosi, akibatnya saya menangis untuk setiap perkara mahupun sekecil-kecil peristiwa. Kelas-kelas di pagi hari saya tampil agak lewat dengan wajah yang pucat lesi kerana terlalu lama mengambil masa di dalam bilik air. Semuanya seakan-akan tidak kena. Saya jadi benci kepada banyak perkara, bau masakan, bau pewangi, bau nasi dan sebagainya.

Saya adukan kepada mama dan mama menjawabnya ringkas 'sebab itulah syurga dibawah tapak kaki ibu'. Letak saja telefon saya menangis semahunya. Sedih. Pelbagai imaginasi terlintas di fikiran, saya terkenangkan sikap degil saya terhadap mama, membantah mahu melakukan sesuatu mengikut kemahuan saya sahaja. Mama maafkan dosa-dosa saya. Panjang fikiran saya menjangkau, kepada pelbagai perkara yang mungkin saya akan lalui sebagai seorang ibu. Betapa saya mahukan anak-anak saya mendengar pendapat saya bila saya mengutarakannya, tidak menghukumi saya bila saya melakukan kesalahan dan yang paling menyentuh saya hingga ke dasar hati ialah perasaan yang mahukan anak-anak saya memerlukan saya sampai bila-bila.

Terlalu banyak air mata ini tumpah, bahkan suami saya yang berada di pejabat turut terganggu bila mana saya menelefonnnya dalam keadaan teresak-esak kerana tidak tahu menjawab soalan Finance. Emosi saya tidak terkawal. Mama menegur tegas, meminta saya mengawal emosi untuk kebaikkan saya dan kandungan. Ada peningkatan, walau saya masih lagi menistiskan air mata walau keadaan tidak seserius mana. Harapnya saya akan terus berubah, memantapkan ibadah dan mengawal perasaan yang gundah. InsyaAllah

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangakan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...