Monday, November 26, 2012

1st VS 2nd Pregnancy

Salam.

Kandungan saya sudah mencapai 36 minggu, ada 4 minggu sahaja lagi untuk dilalui. Atau lebih tepat lagi, 29 hari saja lagi yang tinggal sebelum saya melahirkan anak kedua. InsyaAllah. Hati saya berdebar-debar,teruja menunggu kelahiran bayi kedua ini. Saya mahu melihat wajahnya, mencium ubun-ubunnya dan memberitahu Zahra bahawa dia sudah bergelar kakak. Ada lah teman setia untuk dia bermain nanti. Tidak seperti sekarang, setiap kali dia kebosanan, mulalah dia memaksa saya dan Abinya untuk bermain bersama. Sehingga kami kepenatan dibuatnya.

Persamaan

Mengandung kali kedua berbeza dengan mengandung kali pertama, walaupun ada sesetengah alahan yang saya alami masih lagi sama. Contohnya, alah kepada bau masakan. Kandungan pertama atau kedua, kedua-duanya membuatkan saya tidak meng'asap'kan dapur untuk 4/5 bulan lamanya. Kesian En.Suami yang terpaksa menjamah makanan luar yang ber-ajinamoto. Saya juga ada morning, afternoon dan evening sickness yang teruk untuk kedua-dua kanduangan ini. Sepertinya sickness ini adalah perkara yang tidak dapat saya elakkan walaupun pada kandungan yang akan datang. Semua ini berdasarkan pengalaman Mama dan Makcik-makcik saya, mereka juga mengalami sickness yang teruk. Lebih menyeksakan, makcik saya terpaksa di tahan di hospital untuk dimasukkan air kerana badan terlalu lemah. Bayangkanlah, makan tidak berselera tapi muntah berpanjangan. Nauzubillahiminzalik. Saya tidak mahu alah sebegitu sekali, keadaan sekarang ini pun sudah cukup memenatkan saya.

1st Pregnancy

Alahannya simple, saya tidak boleh bau masakan tapi boleh menjamu selera dengan pelbagai makanan. Jadinya saya meminta beberapa orang sahabat untuk ke kafe membelikan makanan untuk saya. Sakit-sakit badan juga terasa bila kandungan mencecah bulan ketujuh dan ke atas. Pada ketika itulah baru suami saya mula mengurut pinggang dan belakang saya untuk melegakan kesakitan. Saya mulai merasa pergerakan bayi pada bulan yang kelima,itu pun ketika bayi mula melakukan pergerakan yang besar. Saya masih belum merasai pergerakan halus seperti tendangan sehingga bulan keenam. Mungkin kerana berat bayi yang kecil iaitu 400g ketika berusia 5 bulan. Ketika dilahirkan berat Zahra 3.14kg, jauh lebih berat dari jangkaan saya.


Ini wajah Zahra sebaik sahaja dilahirkan. Selesai sahaja jahit menjahit, terus saya dan suami bersiap sedia untuk mengkap gambar. Teruja dengan kurniaan Allah yang sangat membahagiakan.

2nd Pregnancy

Alahannya lebih teruk berbanding kandungan pertama. Saya bukan sahaja mual dengan bau masakan, malah melihat ayam pun saya akan termuntah. Keadaan bertambah teruk bila 4 bulan pertama saya tidak boleh langsung menjamah nasi. Asal saja makan nasi, saya akan memuntahkannya kembali. Jadi,makanan utama saya ketika itu ialah roti dan sphagetti. Rasa sengal-sengal badan mula terasa pada bulan kelima dan suami terpaksa memulakan rutin mengurut pinggang dan belakang setiap malam. Pergerakan bayi pun saya dapat rasai dengan lebih awal, seingat saya pada bulan ketiga kandungan saya sudah merasa pergerakan bayi. Malah kadang-kadang saya terkejut bila bayi melakukan pergerakan drastik. Berat bayi kali ini juga berbeza, 1.2kg pada usia kandungan 6 bulan. Saya berkira-kira, berapa agaknya berat bayi yang bakal saya lahirkan ini. 


Saya menanti kelahiran anak kedua dan insyaAllah saya akan menangkap gambarnya sebaik sahaja dia dilahirkan. Seperti Zahra, saya mahu anak kedua juga punya foto tatapan hari pertama dia dilahirkan. Semoga Allah memudahkan segalanya. Saya menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Sesungguhnya Allah lah tempat saya menggantungkan harapan dan memohon pertolongan.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...