Thursday, April 19, 2018

MBA Graduates

Salam

Alhamdulillah, perjalanan saya untuk menamatkan pengajian Master akhirnya berakhir  secara rasmi pada 11 Mac yang lalu. Allah sahaja yang tahu betapa leganya saya waktu itu. Oh, hampir saja berputus asa sebelum ini kerana merasakan ilmu yang diperlukan diluar kemampuan. Syukur diberi ilham oleh Allah SWT dan dibantu pula oleh adik saya yang pakar matematik yang kemudian berubah karier sebagai baker, Dalila. Seminggu lamanya saya bertapa di rumah Dalila gara-gara mahu menyiapkan thesis ini. Dari awal pagi hingga ke lewat petang kami berbincang, malamnya kami bekerjasama memasak untuk menyambut kepulangan suami masing-masing. Ya, minggu itu, suami dan anak-anak saya juga makan malam di rumah Dalila. Lebih mudah begitu, sampai saja di rumah saya nanti, anak-anak tinggal tidur saja. Kalau mahu memasak di rumah, alamatnya mungkin 12 tengah malam baru anak-anak dapat tidur.

Alhamdulillah, thesis selesai ditanda tangani para pensyarah dan telah di hantar ke Pusat Pengajian Siswazah (PPS), UniSZa. Lega dan gembira, keduanya bersatu. Mudah-mudahan semua kerja keras ini mendatangkan hasil yang baik. Untuk anak, suami dan keluarga terutamanya. Thesis saya berbentuk kajian lapangan yang menggunakan kaedah pemerhatian (observation). Saya mengaplikasi Queuing Theory ke atas masalah lebihan waktu menunggu di kaunter-kaunter Pos Malaysia Bhd. cawangan Wangsamaju. Tajuk thesis saya: The Implementation of Queuing Theory for the Optimisation of Service Counter: Case Study of Pos Malaysia Bhd. Ianya hanya thesis Master, tidak setebal thesis berkriteria PhD tapi cukup untuk membuatkan saya rasa bangga dengan diri sendiri. Ini satu bukti perjuangan saya, suami dan anak-anak. Dalam kesibukan kehidupan, pengorbanan yang berpanjangan dan rasa mahu berputus asa yang berkunjung acap kali, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian saya. Terima kasih Allah, untuk inspirasi, semangat dan kemudahan yang diberikan kepada saya.

Dalam perjalanan ini, saya bertemu dengan beberapa insan baru yang menghulurkan ukhuwah persahabatan yang ikhlas. Saya bersyukur mengenali mereka. Banyak membuahkan kebahagiaan, tempat saya berkongsi rasa dan merasai 'remaja' semula. Hahahaha. Rakan seperjuangan Master saya, muda-muda semuanya. Ada seorang saja kakak yang lebih berusia daripada saya. Berbaki lagi 4 orang, semuanya muda 6-7 tahun dari saya. Ya, saya kakak-kakak sangat bila bersama mereka. Terima kasih Ain, Mekya, Syira, Maryam (dari Tanzania) dan Kak Tie...untuk kenangan yang akan saya kenang selamanya. Saya doakan kalian maju jaya dalam apa jua cita-cita dan taruhan masa depan yang kalian rencanakan.







p/s: Cuba teka apa lagi yang buat saya happy? Turnitin report 2%. Hahahaha. Sorry, can't help it. (*_^)


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, April 17, 2018

Maksu (Al-Fatihah)

Salam

Waktu saya pertama kali menerima berita Maksu (adik bongsu Mama) ada ketumbuhan bersaiz 12cm di rahim, saya bingung seketika. Mungkin susah untuk terima atau mungkin terlalu terkejut dengan perkhabaran yang datang tiba-tiba. Otak saya ligat berfikir, ketumbuhan? Tapi Maksu sihat dan gembira sentiasa. Bila ada ketumbuhan? Tak sakit ke? Macam-macam persoalan timbul. Dalam kelam dan kekeliruan, akhirnya Maksu menjalankan pembedahan. Saya menjenguk di hospital, melihat wayar-wayar berselirat bersambung di badan Maksu, mata Maksu terkatup rapat dan sesekali berkerut menahan sakit. Uncle (suami Maksu) masih mampu melemparkan senyuman untuk saya dan tatkala Uncle membisikkan kehadiran saya pada Maksu, saya lihat Maksu membuka mata. Perlahan. Jantung saya berdegup kencang, air mata tertahan-tahan, Maksu tersenyum dan menyapa lemah, "Kakak...". Kemudian kembali melelapkan mata. Saya mengangguk dan kemudian meminta diri untuk keluar seketika. Sampai ke ruang legar hospital, air mata saya mengalir. Sedikit, sebolehnya saya menahan air mata. Sakit tekak seperti sedang dipaksa menelan sesuata yang berat dan diluar kemampuan. Menyesakkan nafas tapi tidak dapat dilepaskan. Saya masih ingat beberapa hari (mungkin seminggu) selepas pembedahan, saya berkunjung ke rumah Maksu. Bertanya khabar berita dan berkongsi rasa. Maksu seperti biasa, cuma sedikit lemah dan dalam kesakitan. Maksu memberitahu saya tentang rahimnya yang dibuang terus dan meminta saya merahsiakannya dari semua. Saya terdiam. Ikutkan hati, saya tak mahu merahsiakannya. Saya mahu memberitahu kepada seluruh kaum keluarga, datanglah menziarahi Maksu yang penuh kasih sayang ini, Maksu yang selalunya banyak membantu tatkala kita perlu. Rancak bersembang, Uncle muncul dari kamar tidur, menyapa saya mesra tapi dengan pandangan yang hangat. Uncle memmberitahu saya dalam suara yang tertahan-tahan, "Kakak, kawan Uncle selalu pesan..banyakkan bersabar dan Uncle angguk jer. Tapi sekarang barulah Uncle rasa apa yang dimaksudkan mereka dengan bersabar". Saya memegang lengan Uncle dan Uncle cepat saja berlalu dengan titisan air mata yang cuba disembunyikan.
.
Itu salah satu dari berjuta memori yang saya ada bersama Maksu dan Uncle.
.
Maksu dan Uncle ini makcik dan pakcik saudara yang paling banyak berjasa untuk saya. Dari saya kecil sehinggalah dewasa. Maksu dan Uncle lah yang banyak memberi bantuan dan sokongan. Saya masih ingat ketika di sekolah rendah bagaimana Maksu sentiasa memastikan saya memberus gigi sebelum ke sekolah, Maksu yang berkongsi rasa dan rahsia tatkala saya menginjak ke sekolah menengah dan kemudian ke alam universiti. Ketika pengajian peringkat Diploma, Maksu banyak membantu saya menghadapi kekangan kewangan. Pernah sekali Uncle menghantar mesej kepada saya dan saya tidak membalasnya, cepat saja Uncle menelefon dan bertanya berita. Bila saya memberitahu saya tidak punya kredit untuk membalas mesej, sekelip mata handphone itu bertopup RM60. Saya masih ingat lagi sewaktu saya memberitahu Mama saya tidak punya duit untuk berbelanja dan Mama meminta supaya saya bersabar kerana waktu itu Mama juga menganggung sepupu yang sedang melanjutkan pelajaran di Matrikulasi. Saya menangis semahunya kerana merasa tersisih dan dianak tirikan. Maksu dan Uncle hadir petangnya setelah saya menelefon mereka dengan esakan. Malu kerana dilayan sebegitu baik, saya menyorok di balik pintu, melihat kelibat Uncle dan Maksu setia menunggu untuk menghulurkan bantuan tanpa jemu. Alhamdulillah, ketika pengajian Diploma, keputusan peperiksaan sentiasa cemerlang dan Maksu dan Uncle lah orangnya yang sentiasa meraikan saya. Tidak pernah Maksu menghampakan. Ada saja hadiah dan kad berisi kata-kata semangat dititipkan untuk saya. Maksu dan Uncle melayani saya dengan baik, sangat baik sehinggakan ada suatu ketika saat saya menceritakan betapa saya berkecil hati dengan perhatian Mama dan Abah yang sangat banyak kepada sepupu sehingga mengabaikan saya, Maksu memeluk hangat dan memberitahu saya, "Tak apa kakak. Kakak jadi anak Maksu jer".
.
Maksu, yang penuh dengan kasih sayang. Saya masih ingat bagaimana Maksu mengasihi anak-anak saudara yang lain. Asal sampai saja masalah ke telinga Maksu, semuanya Maksu cuba bantu. Siapa yang tidak pernah merasa rezeki yang Maksu kongsikan. Sentiasa saja Maksu bermurah hati. Kalau ada anak saudara yang akan berkahwin, Maksu akan sponsor satu pahar atau menghulurkan bantuan wang ringgit. Tidak pernah Maksu pandang sepi, ada saja dia lakukan untuk anak saudara.
.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Sakit Maksu semakin serius setelah sel kanser dikenalpasti dari sampel ketumbuhan tempoh hari. Saya yang jauh di Terengganu, sebolehnya cuba mencuri masa untuk menziarahi Maksu dikala kelapangan. Tapi kadang-kadang Maksu sendiri menolak, tak mahu dikunjungi. Dia mahu memendam keperitannya seorang diri. Allah. Dalam keadaan sebegini pun Maksu masih menyayangi orang lain melebihi diri sendiri. Saya tidak pernah jemu menghantar whatsapp kepada Maksu walaupun balasannya selalu lewat dan kadang-kadang beberapa patah perkataan sahaja. Saya tidak tersinggung kerana saya tahu seperti saya, Maksu juga menahan tangis dan cuba menguatkan diri untuk melalui hari-hari yang mendatang. Pernah saya tewas dengan emosi, saya mengirimkan mesej panjang kepada Maksu, memberitahunya betapa saya menyayangi dan menghargai setiap kasih sayang, jasa dan pengorbanan yang dicurahkan kepada saya. Maksu membalas pendek, "Kakak buat Maksu nangis". Saya tidak lagi membalas pesanan itu kerana saya tahu, dihujung sana Maksu menangis dan saya menangis disebelah sini. Kami menangis bersama dari kejauhan. Sewaktu suami menerima surat tawaran sebagai pensyarah di USIM, saya berkongsi khabar itu dengan Maksu. Hati ini berdoa agar Allah berikan saya kelapangan untuk lebih kerap menziarahi Maksu. Tapi Allah telah merencanakan sesuatu.
.
Saya masih lagi menetap di Terengganu walaupun suami sudah berpindah ke Negeri Sembilan. Jadi, sewaktu Maksu kritikal dan dimasukkan ke HKL, saya hanya mampu berulang alik hampir setiap minggu untuk menziarahi Maksu. Ini kali kedua Allah datangkan ujian kepada saya saat saya menghadapi peperiksaan akhir tahun. Kali  pertama sewaktu Mama menjalani pembedahan dan ini kali kedua sewaktu Maksu kritikal kerana kanser. Sebaik sahaja dimasukkan ke hospital, keadaan Maksu semakin kritikal, setiap hari kami menerima berita yang merobek hati. Bermula dengan usus, kemudian buah pinggang dan kemudian hati. Maksu menjalani pembedahan demi pembedahan dan kali ini seluruh kaum keluarga telah pun dimaklumkan. Dada saya semakin berdebar-debar setiap kali menerima kunjungan ramai ahli keluarga, bimbang akan menerima berita terburuk. Malam itu, kebetulan saya pulang bercuti ke Negeri Sembilan untuk menyambut Majlis Konvokesyen Doktorat suami, Mama menghantar mesej ke group family, meminta kami semua untuk membacakan Yaasin buat Maksu. Kami adik beradik bersiap-siap untuk ke hospital tapi kuasa Allah itu melebihi segalanya. Maksu menghembuskan nafas terakhirnya sebelum kami sampai. Saya mendekati Maksu yang kelihatan tenang, kaku. Saat saya melurutkan tangan ke dahinya, mengusap rambutnya, semuanya seperti mimpi. Saya mengucup pipi Maksu berkali-kali, Allah, tolonglah sampaikan pada Maksu betapa saya menyayanginya.

.
19 November 2017. Tarikh yang menyedihkan buat saya. Saya kehilangan seorang Mak Saudara yang sangat baik dan penyayang. Maksu, saya belum sempat berbuat baik pada Maksu. Belum sempat membelanja Maksu dengan gaji pertama saya, belum sempat membelikan Maksu hadiah dan yang paling saya terkilan, belum sempat memohon ampun dan memberitahu Maksu betapa saya sayangkan Maksu. Saya sayang Maksu dan saya berdoa Allah pertemukan kita di syurga nanti. Tiada apa lagi yang boleh saya berikan pada Maksu selain ingatan dan titipan doa di setiap sujud saya pada Allah SWT. Berehatlah dengan tenang di sana Maksu. Mudah-mudahan apa yang Maksu tinggalkan di dunia ini (anak, suami dan amal jariah) dipelihara Allah SWT.
.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, February 4, 2018

Februari 2018

Salam

Alhamdulillah, kita sudah menjengah 2018. Malas saya mahu mengulas tentang azam tahun baru dan sebagainya sebab azam saya seperti tahun-tahun yang sudah...mahu turunkan berat badan. Jadi...tidak perlulah diceritakan dengan lebih lanjut azam yang di 'renew' setiap tahun itu.

Februari.

Saya sudah menerima tarikh akhir untuk menghantar dissertation. Kusut kepala dengar. Saya masih lagi perlu menulis 3 bab sebelum dapat menghantar dissertation tersebut untuk diperiksa isinya, bahasa dan format sebelum di cetak dengan kulit keras (hardbound). Kadang timbul juga rasa menyesal kerana membuat tajuk yang agak sulit, kenapalah tidak menulis dissertation ringan seperti kawan-kawan yang lain. Sungguh mereka lebih bijak membuat pertimbangan. Kami hanya ada 4 bulan sahaja untuk menyiapkan dissertation ini, sebetulnya tajuk dan isi kandungannya perlulah selari dengan peruntukan waktu. Tapi biarlah, jangan dikenang perkara lalu yang tidak boleh diubah. Sekarang ini saya perlu kuatkan semangat dan berusaha 2x ganda berbanding orang lain.

Sekali lagi ujian yang tidak disangka terjadi dalam kehidupan kami datang. Bagaimana boleh kami diuji dengan perkara yang tidak pernah terlintas di kepala sebanyak 2x? Saya rasa sangat penat tapi untuk mengabaikan sepenuhnya, saya tak mampu. Sayang dan kasihan masih membelenggu disegenap ruang hati. Malah kali ini lebih meruntun. Allah. Allah. Allah. Tempat saya mengadu dan memohon pertolongan...tanpa rahmat dan kasih sayangNya...mugkin saya sudah berputus asa. Mudah-mudahan semuanya dipermudahkan...saya perlu ia dipermudahkan. Ianya membutuhkan masa, memerlukan tenaga dan mencekik rasa. Permudahkanlah ya Allah, saya mahu menamatkan Master saya. 

2018 mengulang kembali keperitan 2016. Dulu kami menghadapi ujian yang sama tapi terpaksa juga meneruskan majlis perkahwinan adik-adik. Tahun ini diuji perkara yang sama lagi dan terpaksa juga meneruskan perkahwinan adik lagi. Kegembiraan yang patutnya kami raikan tetapi semuanya kelam...ditelan kesedihan dan kerinduan. Allah. Allah. Allah. Tempat saya mengadu dan memohon pertolongan.

Semoga semuanya dalam rahmat Allah.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, December 13, 2017

MBA

Salam

If you read the tittle as Master in Business Administration, then you are in the right track. If you read it as something else, silalah kembali ke pangkal jalan. Hehehe. Ya, dah hampir setahun saya menyambung pelajaran ke peringkat Master. Walaupun di awal perancangan ada yang mengutarakan kerisuan, saya tersangat bersyukur dengan tekad dan keyakinan yang Allah kurniakan kepada saya. Ia sebuah perjalanan yang bersimpang siur, penuh dengan cabaran dan kerja-kerja tambahan tapi ianya memberi makna dalam kehidupan saya. Dulu rutin sebagai seorang suri rumah sepenuh masa memang berkisarkan tentang rumah tangga dan anak-anak sahaja. Celik sahaja mata saya sudah merancang kerja rumah mana yang perlu diselesaikan dahulu, menu dan resepi yang ingin saya cuba dan juga aktiviti yang mahu dilakukan bersama dengan anak-anak. Semuanya tidak pernah selesai sehinggalah mahu melelapkan mata. Saya percaya semua ibu dan suri rumahtangga berkongsi perasaan yang sama. Cuma mungkin saya sedikit berbeza, 'keibuan' saya tidak sebegitu tinggi. Rutin ini kadang-kadang menjadikan saya tertekan dan ada masanya saya berasa tumpul. Jadi berkali-kali juga saya nyatakan pada suami, saya perlu berbuat sesuatu signifikan dalam kehidupan saya. Dan berkali-kali juga suami menceritakan tentang betapa besarnya pahala seorang isteri yang menjaga perihal rumahtangga. Saya akur seketika dan kemudian jiwa saya meronta semula dan suami mengendurkannya dengan nasihat yang lain pula.

Tapi hati saya bagai mempunyai satu api keinginan yang tak pernah padam. Saya memberitahu suami, saya mahu melakukan sesuata yang besar dan bererti dalam kehidupan saya. Jangan salah faham, sebetulnya menjadi suri rumah, menjaga makan pakai suami dan mendidik anak-anak itu sangatlah memberi impak dalam kehidupan. Kalaulah tidak kerana ketabahan ibu-ibu mendidik anak-anak menjadi manusia, mungkin kita akan dilimpahi dengan manusia yang tidak berguna yang membuat merosakan dan mendatangkan bahaya. Tapi seperti yang saya katakan tadi, naluri 'keibuan' saya mungkin tidak sekuat wanita yang lain. Saya merasakan menjadi suri rumah sahaja tidak cukup untuk saya. Suami menghela nafas panjang dan memberitahu saya, sesetengah orang itu ditakdirkan dengan sesuatu yang berbeza, dan bilama minatnya diletakkan ditempat yang betul..dia akan menjadi hebat. Dan saya...mungkin tidak patut 'diletakkan dirumah'. Jadi, dengan perasaan yang bercampur baur, saya membuat permohonan untuk menyambung pelajaran ke perinngkat Master tanpa pengetahuan sesiapa pun kecuali suami.

Alhamdulillah, Universiti Sultan Zainal Abidin menerima saya sebagai pelajar Master by Coursework. Surprisingly, bila saya sambung Master...I thought things would be chaotic. It is, at first.. Tapi as time goes by, saya rasa kehidupan saya semakin teratur dan lebih membahagiakan. Bangun pagi, buat kerja rumah macam biasa cuma kali ni saya hanya masak 2 kali sahaja sehari. Breakfast dan lunch. Lunch saya akan masak the main dish dalam amount yang banyak untuk consume waktu dinner sekali...huhuhu. Why? Because my class start at 6pm until 10pm. After 10pm, saya balik rumah...then buat homework atau assignment sampai 12am then tidur. Ini kalau hari-hari biasa. Bila dah dekat exam then memang tak masak sebab awal pagi dah bertapa dan membeku di library. And...untuk memudahkan my MBA...anak-anak semua dihantar ke sekolah. Termasuklah Rauhah...yang pada ketika ini berumur 2 tahun.

Sedih kan? Ya...sedih. Tapi anak-anak ini fitrahnya memahami keadaan ibubapa. Rauhah langsung tak merengek ke sekolah...in fact dia happy sangat. Dan seperti diredhai Allah sepenuhnya, kami dijodohkan dengan cikgu-cikgu yang penuh kasih sayang. Saya ingat lagi waktu saya menjemput anak dari sekolah...dua-dua tangan mereka berisi makanan. Dengan mulut penuh dan perut kekenyangan, anak-anak sentiasa tampak gembira. Allah sahaja tahu betapa ini satu rahmat dan kesenangan yang besar buat saya dan suami. Meneruskan cita-cita dan berusaha untuk menstabilkan keluarga tanpa perlu bimbang tentang anak 24 jam adalah satu rezeki yang sangat besar dan saya sangat bersyukur untuk itu. Terima kasih Allah.

Amazingly sambung belajar menjadikan kerja suri rumah lebih mudah. Saya semakin bijak membahagi masa dan 'bersabar' dengan keriuhan rumah. Kalau dulu sewaktu menjadi suri rumah, kita ada tendency untuk melihat rumah bersih 24 jam. Asal kotor, mulalah kita menyapu. Tapi disebabkan saya perlukan masa untuk menyiapkan homework dan sebagainya, rumah hanya disapu sekali sahaja sehari..huhuhu. Selebihnya saya biarkan saja anak-anak bermain. Saya jadi kurang penat, kurang marah dan kurang stress. Pelik kan? Tapi memang macam tu. Mungkin kerana saya memerlukan masa menyiapkan homework jadi saya terpaksa membiarkan sahaja rumah bersepah...jadi saya kurang penat melakukan kerja rumah..menyebabkan saya kurang marah anak-anak. Bila kurang marah, kurang rasa stress. Dulu selalu stress, rumah selalu kena bersih tapi penat. Bila penat, marah anak-anak...sebab rasa mereka tak faham kita. Bila marah, menyesal dan stress sebab tak jadi ibu yang baik. Dilema kan? Alhamdulillah, Allah rungkaikan kekusutan saya.

Sekarang....saya di semester akhir pengajian. Sedang dalam penulisan mini thesis yang dijangka siap akhir Januari nanti. Mudah-mudahan semuanya Allah permudahkan semuanya. Ameen.

p/s: Doakan saya jadi Dr...macam hubby juga. Mahu jadi lecturer di universiti yang sama. Insyaallah. :)




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...