Showing posts with label Birthday Wishes. Show all posts
Showing posts with label Birthday Wishes. Show all posts

Tuesday, March 9, 2021

Mac Bulan Istimewa

Salam

Esok hari kelahiran Abah. 10 Mac 1961. Kami adik beradik sudah merancang membuat kejutan harijadi untuk Abah. Semuanya sudah diatur dan diharapkan dapat berjalan dengan lancar. Sedikit gementar juga, maklumlah esok tetap menjadi tukang masak utama walaupun berada dalam keadaan sedikit kurang upaya tapi tak ada jalan lain. Adik beradik yang lain punya komitmen, saya hanya di rumah. Menguruskan anak-anak dan menulis thesis, jadi fleksibiliti masa itu ada. Semoga esok berjalan lancar dan Abah gembira dengan kejutan kami.
.

.
Hari ini juga saya telah membalas surat tawaran dari MARA. Syukur alhamdulillah dimurahkan rezeki untuk pengajian kali ini. Lama saya menunggu maklum balas dari MARA, dari bulan September 2020 kalau tak silap. Hampir sahaja redha dengan keputusan universiti yang mahu memberi saya status "Lulus Bersyarat" kerana gagal membayar yuran. Dua kali "Lulus Bersyarat" akan diberhentikan. Jadinya ianya sesuatu yang serius dan seminggu juga saya termenung mengenangkan nasib mahu menerima status itu sedangkan saya baru sahaja selesai menghadiri Colloquium 3 dan telah mendapat kelulusan untuk terus ke Proposal Defense. Kata examiner, dengan beberapa pembetulan, saya sebetulnya sudah bersedia untuk Proposal Defense. Satu langkah besar dalam proses menyiapkan PhD. Syukur alhamdulillah walaupun kalut juga menyiapkan pembetulan. Jadi berbalik pada cerita meleret-leret saya, 2 hari sebelum tarikh tutup laporan akhir semester, MARA menghantar surat tawaran mengatakan kesudian mereka menawarkan pinjaman boleh ubah untuk saya di mana, jika saya menamatkan pengajian seperti yang dijadualkan (tidak extend) saya hanya perlu membayar 25% dari jumlah asal pinjaman. Jika terdapat extension, 50% daripada jumlah pinjaman perlu dibayar. Alhamdulillah thumma alhamdulillah, petang itu juga, setelah suami bercakap dengan kakitangan Pusat Pengajian Siswazah, saya dibenarkan menghantar laporan akhir semester walaupun yuran pengajian masih belum diterima pihak universiti. Maka saya menerima status "Lulus Teruskan Pengajian". Syukur..
.
Gambar kenangan menulis thesis di pejabat suami kerana mahu menimikan sunyinya sebuah perjalanan PhD. Hahaha
.
Satu lagi khabar gembira ialah anak-anak telah pun memulakan persekolahan sesi 2021 kelmarin (8 Mac). Semangat dia tu lain macam, mudah sahaja semuanya dikejut bangun pagi. Tapi disebabkan sudah lama tidak bersekolah, malam hari jadi terlalu memenatkan. 9pm anak-anak dah mula layu, perlu dikerah menyiapkan jadual dan solat Isyak. Penat bersekolah. Dari 7-30am hingga 5pm tentulah menggunakan banyak tenaga mereka. Tambah pula masih teruja dapat ke sekolah, masih belum puas melepas rindu pada kawan-kawan dan guru. Tak dapat saya bayangkan hyperactive nya mereka disekolah. 
.
Hari pertama sekolah tahun 2021.
.
Apa-apa pun , saya sudah punya jadual baru. Semakin banyak masa untuk fokus pada thesis. Azamnya akhir Mac saya boleh hantar permohonan untuk Proposal Defense. Walaupun berulang kali main supervisor, Dr. Ummi memberitahu, "Jangan tunggu perfect", hati saya masih tidak sedap. Masih mahu membetulkan, menambah, menajam dan sebagainya. Jujurnya saya malu jika ditegur terlalu banyak ketika Proposal Defense nanti, bimbang orang melihat saya seolah-olah membuat kerja acuh tidak acuh kerana banyak kesalahan. Tapi co-supervisor, Dr. Azreen Jihan selalu menasihatkan, "PhD ini tidak akan sempurna, sehingga selesai viva nanti ia tetap tidak akan sempurna. Jadi, ketidaksempurnaan itu tak apa. Hantar sahaja, biar examiner lihat thesis kita dengan 'fresh eyes' dan berlapang dada, biar mereka menambah baik kerja kita". Saya perlu cari kekuatan ini. Mahu menyempurnakan PhD yang tidak mungkin sempurna sebenarnya membuang masa. Seperti yang Dr. Hayrol ingatkan juga, "Siapkan dulu PhD, kemudian barulah fikir nak buat kajian bombastik kebabom sekalipun". Oh Allah, tajamkanlah akal saya dan berikanlah saya ketekunan dan keazaman untuk menyelsaikan sedikit pembetulan lagi dan kuatkan dan tetapkanlah hati saya untuk terus Proposal Defense. Tak mahu bertangguh lagi. 29 Mac ini saya akan masuk sem kelima!!!
.
p/s: Tahun ini saya 34 tahun. OMG aging! Hahaha. Semoga bersama umur yang semakin meningkat ini, Allah berikan ilmu yang bermanfaat, akhlak yang semakin baik, Iman yang teguh, rasa sabar, redha dan qanaah dengan segala rahmat dan kasih sayang yang Allah curahkan. Yang baik-baik sahaja hendaknya.
.
p/s: Siapa pun kalian (yang membaca), doakan saya!
.
34 tahun, 4 anak. Harap masih kelihatan muda 😂



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Saturday, March 30, 2013

Ulang Tahun ke 26 (Selingan: Bantal Felt)

Salam.

Tahun ini saya mencecah umur 26 tahun, mungkin separuhusia hayat saya atau mungkin juga tahun terakhir saya. Siapa tahu melainkan Allah SWT yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu,mahupun yang berada di langit, di bumi atau yang berada di antara keduanya. Biarlah berapa lama pun usia hayat saya, saya berdoa supaya terus menerus di dalam rahmat Allah. Hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun, saya mahu berada dalam keberkatan. Ya Allah, biarlah berapa lama pun jangka hayat yang Kau tetapkann untukku, aku mahu ianya berakhir dengan 'khusnul khatimah'! Ameen.

p/s: Selingan...bantal terbaru...








Berminat? Jom tempah dengan Crafty Mommy, isi borang tempahan dan pilih crafter Cik Bella sebagai crafter pilihan anda. Insyaallah saya akan hasilkan mengikut citarasa anda! :)


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, August 1, 2012

Zahra Setahun. :)

Salam

Selamat hari lahir yang pertama Zahra! Mama dan Abi doakan Zahra membesar sebagai anak solehah dan pejuang agama yang berilmu. Semoga Zahra berbahagia dunia dan akhirat! We ♥ you dear~










p/s: Kalau ikut bulan islam Zahra lahir pada hari Nuzul Quran (17 Ramadhan), kalau kalendar Masihi 17 Ogos nanti, InsyaAllah :)




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Friday, April 6, 2012

Hampir Terkejut!

Salam

Ini entry yang sepatutnya saya siarkan 27 Mac yang lalu. Tapi kerana kesibukan, semuanya jadi tertunda. Terima kasih buat kawan rapat saya, Wan Mazaitul Hidayu kerana menghadiahkan coklat yang sangat comel ini. Tema warna pink dan purple, betul-betul kena dengan hati saya. Saya sedikit pun tidak menyangka akan menerima hadiah daripada sesiapa, lebih-lebih lagi tidak ada sebarang mesej ke handphone yang saya terima. Tidak seperti tahun-tahun yang lepas, berpusu-pusu mesej masuk. Sekarang ini hanya lambakan notification daripada facebook sahaja. Apa-apa pun saya tetap bersyukur atas ingatan dan kasih sayang semua. Terima kasih!

Kejutan yang hampir menjadi, datang dari keluarga saya. Asalnya mereka mahu membuat kejutan tapi kerana kedegilan dan keengganan saya untuk pergi ke rumah mama, terpaksalah mereka membocorkan rahsia. Bukan apa, saya ralat memikirkan kesibukan dan tanggungjawab saya sebagai student. Semunya bagai tidak cukup tangan dan tidak cukup masa. Jadi saya membuat keputusan untuk tidak pergi ke rumah mama tanpa sebarang urusan memandangkan setiap hari pun saya berjumpa dengan mama ketika menghantar Zahra ke sana. Melihat keengganan saya, mama menelefon dan memberitahu hasrat mereka. Alhamdulillah, walaupun sudah menginjak 25 tahun, perasaan saya masih dilayan. Oh, betapa saya rindukan untuk menjadi kebudak-budakan. Mahu menjadi manja seketika, sekadar merasai perasaan dilayan walaupun mengada-ngada :p (ngada-ngada kan?)




Terima kasih semua atas doa yang dikirmkan, atas ingatan dan kasih sayang yang dihulurkan. Semoga Allah membalas kesemuanya dengan kesihatan yang berpanjangan dan nikmat syurga yang selamanya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, March 27, 2012

Happy Birthday

Salam

Alhamdulillah, hari ini genap umur saya 25 tahun. Tidak ada apa yang istimewa, bukan kerana tidak dirai teman dan mereka yang dekat dengan saya, tapi saya sendiri bagai merajuk, terasa seperti tidak mahu disambut. Kalau boleh mahu hari ini berlalu seperti biasa. Cukuplah dengan doa para teman dan kenalan agar saya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan berbahagia dunia dan akhirat.

Buat mereka yang menghantar pesanan di Facebook, terima kasih saya ucapkan. Semoga doa yang kalian kirimkan di dengari Allah SWT. InsyaAllah, ameen.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mmencari keredhaanNya. Ameen


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Saturday, March 27, 2010

Selamat Hari Lahir

Salam

Syukur ke hadrat Illahi kerana masih membenarkan saya bernafas untuk ke sekalian kalinya. Hari ini tanggag 27 Mac 2010 merupakan hari lahir saya yang ke 23 tahun. Alhamdulillah, harapnya sepanjang keidupan saya selama itu ada manfaatnya, dan harapnya juga jika panjang umur, tahun-tahun yang akan datang saya akan menjadi insan yang lebih baik. Semoga Allah memberikan petunjuk dalam setiap langkah saya di dalam perjalanan di sebuah kehidupan.

Seawal jam 12 pagi, saya sudah menerima ucapan daripada teman-teman. Terima kasih buat tunang saya, Bie, Atie, Ain, K.Ila, Sarina, Wawa,Dalila, Izat, Hanis, and Aniza (maaf kalau ada yang tertinggal). Subuhnya pula saya terima ucapan dari Nurul, Alizah, Muaz, Masyitah dan Izzati (sekali lagi maaf kalau ada juga yang tertinggal). Tidak di lupakan teman-teman yang mebuat ucapan di Facebook, sungguh saya tak terkira tapi saya menghargainya. Malam itu roomate saya membuat kejutan dengan membelikan saya sebiji kek yang comel untuk di kongsi bersama. Saya menghargai usaha kalian di saat kita semua dalam mood Imtihan. Terasa usaha itu memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit, masa yang kalian peruntukkan untuk menaiki bas, membeli kek, mencari hadiah and etc sangat saya hargai. Lebih-lebih lagi di waktu sekarang ini, masa yang dapat digunakan untuk mengulangkaji pelajaran tentu saja telah dibazirkan untuk saya. Maaf dan terima kasih wahai teman.

Malam itu juga Mama dan Abah telah bertungkus lumus datang ke UIA untuk menghulurkan bekalan makan malam untuk saya. Kata Abah hatinya tidak berapa enak kerana mendengar suara saya yang suram melalui corong telefon. Mama berpesan agar saya tidak terlalu tertekan menghadapi peperiksaan, InsyaAllah, ada rezeki untuk mereka yang telah berusaha. Hati saya digayuti rasa sayu yang amat mengenangkan ingatan keluarga dan para sahabat, semoga Allah membalas kebaikkan kalian. Saya amat teharu dengan rasa gembira yang dikurniakan, lebih-lebih lagi di saat saya berada dalam kesedihan yang tidak pernah saya terfikir untuk merasainya. Allah saja yang mampu membalas kebaikkan itu setimpalnya.

Yang mensyukuri ni'mat-ni'mat Allah. Allah telah memilihnya dan menunjukinya kepada jalan yang lurus.

Surah An-Nahl, Ayat 121


Ain telah memberikan saya keychain yang sangat comel dan keychain itu telah pun saya gantungkan pada beg saya. Hadiah daripada tunang saya akan menyusul tiba, itu pun bila kami berkesempatan untuk bertemu buat seketika. Mungkin sekadar menghulurkan hadiah dan bertukar senyuman. Moga apa yang kami korbankan ini akan memberi kemanisan yang lebih bermakna setelah mendirikan rumah tangga. InsyaAllah. Harap kalian turut mendoakannya.

Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran atas rasa kasih dan sayang yang dicurahkan buat saya. Mama pernah berkata, “Rasa sayang orang pada kita itu pun satu rahmat Allah buat kita”. Terima kasih Allah, atas rasa kasih dan sayang yang telah kau curahkan di setiap hati keluargaku, kekasihku, rakan-rakanku, sahabat tercinta dan para kenalan. Semoga rahmatmu ini tidak akan putus, dan yang lebih penting rasa kasihmu buatku, hambamu yang sering saja alpa dan melakukan dosa. Ya Allah, yang maha pengampun, yang maha pengasih lagi mengasihani, ampukanlah segala dosa-dosaku.

Kemudian sesudah itu Kami maafkan kesalahanmu, agar kamu bersyukur.

Surah Al-Baqarah, Ayat 52

Di lain lembaran, InsyaAllah. Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...