Showing posts with label PhD Journey. Show all posts
Showing posts with label PhD Journey. Show all posts

Tuesday, November 23, 2021

2021 Journal

Salam

Lama meninggalkan blog. Rasanya itu sajalah kemampuan setakat ini. Setahun hanya mampu menulis 2/3 postings sahaja. Mungkin itu pun sudah cukup baik. Rata-rata blog yang saya follow, kebanyakkannya tidak lagi wujud. Saya sahaja yang masih setia...dan ada seorang lagi teman yang setia membaca dan meninggalkan komen di post terdahulu. Terima kasih Eyqa.. (^_^)
.
Semenjak dari post yang lama sehinggalah kini, PhD saya masih di tahap yang sama. Semangat saya hilang entah ke mana. Lama saya tidak menyentuh thesis sedangkan hanya sedikit sahaja lagi untuk proposal defend. Bukan salah sesiapa. Salah saya yang tidak kuat semangat, tak push through. Pandemik ini menyibukkan saya dengan banyak benda kecuali thesis. Memang saya berehat sepenuhya dari thesis. Kalau diikutkan, tahun ini tahun ke 3 saya sebagai pelajar PhD, saya sudah mula dihujani dengan soalan dari orang ramai. Seperti perjumpaan keluarga baru-baru ini. Ada yang bimbang dan ada juga yang bertanya dengan sinis. Jujurnya, bukan semua orang mahu kita berjaya. Ada yang tidak mahu kita melebihi anak-anak mereka. Tapi itu bukan urusan saya. Matlamat mahu menamatkan pengajian PhD ini bukan untuk mereka. Untuk saya, suami dan anak-anak. Impian saya mahu menjadi seorang Professor yang mepunyai keluarga yang besar, menjadi inspirasi buat anak-anak, bekerjaya menjadi seorang Pensyarah seperti suami dan akhirnya saya, suami dan anak-anak semuanya terlibat dalam bidang pendidikan dan kami boleh menggelarkan diri kami sebagai keluarga academician. Ya, itu impian saya dan impian yang saya tanamkan dalam diri anak-anak juga. Belajar sampai PhD dan kemudian jadi lecturer.
.
Kalau bercakap pasal thesis, jujurnya saya memang kecewa. Terasa seperti tahun 2021 berlalu begitu sahaja. 2 semester terbuang sia-sia, bersama dengan yuran dan peluang untuk menerima anugerah Graduate On Time (GOT). Tapi kalau nak kata 2021 tu saya langsung tak buat apa tak juga. 2021 ini banyak saya luangkan masa dan melabur dalam ilmu yang baru. Saya belajar Unit Trust dan juga Stock Trading-which surprisingly, I kind of enjoy it. Sewaktu mula-mula menyertai kelas Unit Trust, blur juga mula-mula. Maklumlah tidak ada idea langsung tentang Unit Trust. Tapi selaku seorang pelajar yang nerd dan komited, berbekalkan nota warna warni dan kesungguhan, saya akhirnya dijemput oleh trainer untuk satu sharing session. Alhamdulillah, sangat berbesar hati berkongsi pengalaman dan ilmu. Memang satu pengalaman yang saya appreciate sangat, sehinggakan terniat jugalah di hati mahu jadi agent Unit Trust tapi saya masih belum mengambil apa-apa tindakan ke arah itu.
.

.
Selesai belajar Unit Trust, saya belajar Stock Trading pula. Stock Trading jauh lebih susah dari Unit Trust. Hahaha. Tapi saya masih lagi gigih mendalami ilmu yang diberikan Trainer. Minggu lepas merupakan kali pertama saya trading stock. Mencabar dan memang mengganggu emosi. Huhuhu. Tidak seperti Unit Trust yang lebih predictable dan less risky, saham ini walaupun sudah selesai Technical Analysis dan Fundamental Analysis, untung/rugi tetap belum pasti. Saham ini banyak 'permainan'nya. Pada saya biar pun sudah belajar pelbagai teknik dan telah menuntut ilmu dengan ramai guru, kita sendiri kena melalui 'pancaroba' dan 'tipu helah' market. Kita sendiri perlu bijak menganalisis mentality dan selera investors lain. Ini pendapat saya selaku investor baru, suam-suam kuku dan belum setahun jagung. Dalam 7 counter yang saya trade sepanjang minggu lepas, hanya 2 counter sahaja untung. 5 lagi mengalami kerugian. Bukanlah kerugian besar tapi cukup mendahului keuntungan ciput dari 2 counter itu. Huhuhu. Tak apa. Belajar dari pengalaman. Insyaallah Disember nanti saya akan kembali trade sebab kata ramai kawan-kawan dalam community Saham Profit, akhir November memang market tak berapa cantik kerana quarterly report yang dikeluarkan. Mudah-mudahan Disember jadi bulan yang menguntungkan.
.

.
Tahun ini juga saya semakin rancak menyemai cintakan membaca pada anak-anak. Hujung bulan ada sahaja parcel dari Big Bad Wolf mahupun PTS BookCafe yang berisi buku pelbagai genre untuk anak-anak. Saya juga turut terjebak sama. Mana tidaknya, budak-budak ini kalau kita tidak berteleku sekali, semangat mereka pun berkurangan. Perlu ada galakan dan komunikasi yang membuatkan habit baru itu satu aktiviti yang menyeronokkan Jadinya saya pun mula mengisi masa dengan membaca novel-novel Inggeris. Jadinya selesai satu buku kami akan saling bertukar cerita. Zahra/Wardah/Haris dan Rauhah akan memberitahu saya tentang buku yang dibaca mereka. Begitu juga saya. Cumanya saya mengolah jalan cerita sesetengah buku mengikut kesesuaian anak-anak. Banyak juga hobi baru lain yang kami mulakan tapi untuk menceritakan semuanya disini, saya rasa malu sendiri kerana sedikit kebudak-budakan. Apalah emaknya boleh terjebak sama sedangkan umur sudah pun mahu mencecah 35 tahun 2022 nanti. (^_^')
.

.
Kesimpulannya, 2021 bukanlah kosong tidak terisi. Saya boleh kata ianya tahun yang padat dengan pelbagai aktiviti yang semuanya ada nilai tersendiri. Cumanya pada saya ianya sedikit mengecewakan kerana sedikit pun saya tidak peruntukan masa untuk perbaiki thesis sedangkan masa semakin berlalu dan menghabiskan PhD ialah impian terbesar saya setakat ini. Kecewa tapi masih belum berputus asa. Mudah-mudahan Allah berikan semangat, keazaman dan ketekunan untuk saya menamatkan PhD. Ya Allah, permudahkanlah urusan PhD saya..
.
.
.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, March 9, 2021

Mac Bulan Istimewa

Salam

Esok hari kelahiran Abah. 10 Mac 1961. Kami adik beradik sudah merancang membuat kejutan harijadi untuk Abah. Semuanya sudah diatur dan diharapkan dapat berjalan dengan lancar. Sedikit gementar juga, maklumlah esok tetap menjadi tukang masak utama walaupun berada dalam keadaan sedikit kurang upaya tapi tak ada jalan lain. Adik beradik yang lain punya komitmen, saya hanya di rumah. Menguruskan anak-anak dan menulis thesis, jadi fleksibiliti masa itu ada. Semoga esok berjalan lancar dan Abah gembira dengan kejutan kami.
.

.
Hari ini juga saya telah membalas surat tawaran dari MARA. Syukur alhamdulillah dimurahkan rezeki untuk pengajian kali ini. Lama saya menunggu maklum balas dari MARA, dari bulan September 2020 kalau tak silap. Hampir sahaja redha dengan keputusan universiti yang mahu memberi saya status "Lulus Bersyarat" kerana gagal membayar yuran. Dua kali "Lulus Bersyarat" akan diberhentikan. Jadinya ianya sesuatu yang serius dan seminggu juga saya termenung mengenangkan nasib mahu menerima status itu sedangkan saya baru sahaja selesai menghadiri Colloquium 3 dan telah mendapat kelulusan untuk terus ke Proposal Defense. Kata examiner, dengan beberapa pembetulan, saya sebetulnya sudah bersedia untuk Proposal Defense. Satu langkah besar dalam proses menyiapkan PhD. Syukur alhamdulillah walaupun kalut juga menyiapkan pembetulan. Jadi berbalik pada cerita meleret-leret saya, 2 hari sebelum tarikh tutup laporan akhir semester, MARA menghantar surat tawaran mengatakan kesudian mereka menawarkan pinjaman boleh ubah untuk saya di mana, jika saya menamatkan pengajian seperti yang dijadualkan (tidak extend) saya hanya perlu membayar 25% dari jumlah asal pinjaman. Jika terdapat extension, 50% daripada jumlah pinjaman perlu dibayar. Alhamdulillah thumma alhamdulillah, petang itu juga, setelah suami bercakap dengan kakitangan Pusat Pengajian Siswazah, saya dibenarkan menghantar laporan akhir semester walaupun yuran pengajian masih belum diterima pihak universiti. Maka saya menerima status "Lulus Teruskan Pengajian". Syukur..
.
Gambar kenangan menulis thesis di pejabat suami kerana mahu menimikan sunyinya sebuah perjalanan PhD. Hahaha
.
Satu lagi khabar gembira ialah anak-anak telah pun memulakan persekolahan sesi 2021 kelmarin (8 Mac). Semangat dia tu lain macam, mudah sahaja semuanya dikejut bangun pagi. Tapi disebabkan sudah lama tidak bersekolah, malam hari jadi terlalu memenatkan. 9pm anak-anak dah mula layu, perlu dikerah menyiapkan jadual dan solat Isyak. Penat bersekolah. Dari 7-30am hingga 5pm tentulah menggunakan banyak tenaga mereka. Tambah pula masih teruja dapat ke sekolah, masih belum puas melepas rindu pada kawan-kawan dan guru. Tak dapat saya bayangkan hyperactive nya mereka disekolah. 
.
Hari pertama sekolah tahun 2021.
.
Apa-apa pun , saya sudah punya jadual baru. Semakin banyak masa untuk fokus pada thesis. Azamnya akhir Mac saya boleh hantar permohonan untuk Proposal Defense. Walaupun berulang kali main supervisor, Dr. Ummi memberitahu, "Jangan tunggu perfect", hati saya masih tidak sedap. Masih mahu membetulkan, menambah, menajam dan sebagainya. Jujurnya saya malu jika ditegur terlalu banyak ketika Proposal Defense nanti, bimbang orang melihat saya seolah-olah membuat kerja acuh tidak acuh kerana banyak kesalahan. Tapi co-supervisor, Dr. Azreen Jihan selalu menasihatkan, "PhD ini tidak akan sempurna, sehingga selesai viva nanti ia tetap tidak akan sempurna. Jadi, ketidaksempurnaan itu tak apa. Hantar sahaja, biar examiner lihat thesis kita dengan 'fresh eyes' dan berlapang dada, biar mereka menambah baik kerja kita". Saya perlu cari kekuatan ini. Mahu menyempurnakan PhD yang tidak mungkin sempurna sebenarnya membuang masa. Seperti yang Dr. Hayrol ingatkan juga, "Siapkan dulu PhD, kemudian barulah fikir nak buat kajian bombastik kebabom sekalipun". Oh Allah, tajamkanlah akal saya dan berikanlah saya ketekunan dan keazaman untuk menyelsaikan sedikit pembetulan lagi dan kuatkan dan tetapkanlah hati saya untuk terus Proposal Defense. Tak mahu bertangguh lagi. 29 Mac ini saya akan masuk sem kelima!!!
.
p/s: Tahun ini saya 34 tahun. OMG aging! Hahaha. Semoga bersama umur yang semakin meningkat ini, Allah berikan ilmu yang bermanfaat, akhlak yang semakin baik, Iman yang teguh, rasa sabar, redha dan qanaah dengan segala rahmat dan kasih sayang yang Allah curahkan. Yang baik-baik sahaja hendaknya.
.
p/s: Siapa pun kalian (yang membaca), doakan saya!
.
34 tahun, 4 anak. Harap masih kelihatan muda 😂



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, March 31, 2020

PhD Sem 3

Salam
.
Alhamdulillah, setahun sudah perjalanan PhD saya berlalu. Soalan seperti,"dah defend?", "bila nak habis?" dah mula kedengaran. Tapi alhamdulillah, saya masih belum stress. Mungkin kerana baru setahun, jadi tidaklah malu ditanya soalan begitu. Sungguh pun, saya faham tekanan yang dihadapi para pelajar PhD jika soalan itu ditanya. Tapi nak salahkan netizen, mungkin mereka pun mati kutu nak tanya soalan. Jadi mereka berbahasa basi. Tapi, kalau kalian berjumpa dengan makcik yang sememangnya joyah, soalan tu mungkin bukan lagi berbahasa basi. Lebih kepada gossip. Tapi kita selaku orang yang lebih muda, sabar mungkin satu-satunya jalan yang kita ada. Mudah-mudahan dengan kesabaran itu, Allah mudahkan perjalanan PhD kita semua.
.
Ya, saya sudah sem 3. Jujurnya di sem ini saya merancang untuk melakukan 'proposal defend'. Chapter 1 dan 3 sudah saya siapkan selengkapnya. Tinggal chapter 2 sebenarnya perlu dikarang dan dikemaskini. Sem ini akan berakhir Ogos nanti. Macam lama lagi kan. Tapi masa sentiasa berlalu terlalu pantas. Berkurung 2 minggu di rumah kerana virus Covid19, tahu-tahu sahaja April sudah pun bermula esok. Begitulah selalunya, pejam celik pejam celik, dah Ogos. Hurm...mudah-mudahan Allah beri ilham dan kemudahan untuk saya menulis. 
.
p/s: Saya sebenarnya mahu menulis tentang rutin PKP kerana Covid19,tapi mood agak ke laut. Maka 2 perenggan ini sahajalah yang saya mampu. Kurang-kurang blog ini belum mati sepenuhnya.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Monday, May 13, 2019

Se-Semester di USIM

Salam

Alhamdulillah, seminggu sudah kita semua melalui bulan Ramadhan. Saya menjalaninya sebagai seorang pelajar doktorat di sebuah IPTA yang tidak berapa mahsyur. Jarang saja kita dengar nama USIM  disebut-sebut sebagai universiti pilihan untuk melanjutkan pelajaran. Orang ramai lebih teruja kalau menyebut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tapi disinilah saya, berteleku dan menimba ilmu. Saban hari menjalani ibadah puasa dan menikmati damainya USIM sambil membiarkan jari jemari ini sedikit-sedikit mengetuk papan kekunci. Sejujurnya progress proposal saya sedang ditangguhkan buat beberapa ketika kerana sedang menumpukan perhatian kepada tugasan kelas Research Methodology dan Data Analysis. Sedikit ralat juga mahu menyiapkan assignment quantitative sedangkan saya seorang yang ber-methodology qualitative. Bukan tidak mahu menimba ilmu tambahan tapi pada saya, untuk menepati keperluan menamatkan PhD, biarlah kebolehan dan ilmu yang saya dalami itu membantu saya menghabiskan PhD terlebih dahulu. Itu fokus saya. Selesai PhD nanti, insyaallah tidak terbeban mahu menghadiri kursus-kursus method kajian quantitative.
.
Dalam masa yang terhad ini, tinggi harapan saya untuk membahagi masa dengan bijak. Tidak perlu rasanya menghadiri semua kurus yang ditawarkan fakulti walaupun harga yuran yang dikenakan sangatlah berpatutan. Bukan menyombong, memandang remeh pada sesetengah keilmuan tapi lebih kepada bimbang melebihi kemampuan diri. Saya ini bukanlah orang bijak pandai, saya hanya boleh fokus satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Pada saya, lebih baik saya benar-benar memahami dan mempelajari keperluan research method qualitative berbanding saya mengejar semua kelas method yang ditawarkan. Sudahlah memerlukan peruntukan masa hampir sepanjang hari, perlu tumpuan dan pemahaman yang tinggi pula. Sudahnya semua ini tidak akan digunakan lagi. Mungkin 3/4 tahun kemudian barulah perlu ditekuni semula. Jadi saya memilih untuk fokus dan memberi perhatian pada skill yang digunakan pada masa dan ketika ini.
.
Hujung Mei nanti Ramadhan bakal berakhir, begitu juga dengan semester pertama saya. Saya kira, saya agak berpuas hati dengan progress perngajian saya. Walaupun proposed proposal masih belum konkrit, bayangan tu sudah ada. Saya hanya perlu memperbaikinya dengan banyakkan membaca kajian yang lepas dan buku-buku ilmiah yang berkaitan dengan method kajian dan theory yang saya gunakan. Semoga Allah permudahkan semuanya. Ameen.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, April 17, 2019

Perjuangan Baru

Salam
.
Alhamdulillah 12 Februari 2019 yang lalu saya telah pun mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar PhD di USIM. Allah sahajalah yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Ada satu damai yang terlalu sukar untuk ditafsirkan walau pada hakikatnya saya mendengar banyak cerita perit yang dikongsikan mengenai perjalanan menggenggam sebuah ijazah PhD.
.
Seperti yang dijangka, perjalanan ini saya mulakan dengan penuh kebuntuan. Semuanya masih tidak bersuluh. Walaupun kaki baru sahaja hendak memulakan langkah ke dalam terowong gelap, saya sudah pun berada dalam kegelapan Al maklumlah, Master dicapai dengan coursework dan dissertation di semester akhir sahaja, sudahnya pengalaman melakukan research sangatlah kecil nak dibandingkan dengan besarnya segulung ijazah impian itu. Saya setuju malah sanggup mengangguk berkali-kali kalau ada yang mengatakan perjalanan PhD ini penuh kebuntuan malah apabila kita menambah pembacaan bagi memecahkan kebuntuaan itu, terasa semakin hanyut dan tenggelam dalam lautan ilmu.
.
Memandangkan sekarang di semester 1, soalan paling hangat yang diajukan kepada saya ialah topik atau bidang pilihan. Strategic Management. Itu jawapan saya setiap kali, walaupun ketika mula-mula mendaftar belum ada topik konkrit lagi. Yang saya tahu itu bidang yang ingin saya terjun. Beberapa minggu berlalu dan saya membuat keputusan  untuk menjuruskan bidang itu ke arah lebih spesifik iaitu formulasi strategi (maaf tak dapat kongsi sepenuhnya atas sebab hak cipta. Huhuhu). Masih belum diberi kata putus oleh supervisory board tapi saya sudah pun memulakan penulisan sedikit demi sedikit. Sudah mula menulis penyataan masalah, objektif, soalan kajian, theoretical dan conceptual framework dan 1 bahagian dari 4 bahagian pengenalan. Berdenyut-denyut juga kepala dibuatnya tapi semuanya harus dilakukan dalam masa yang terhad.
.
Berbeza dengan universiti lain, saya kira support system yang disediakan USIM terutamanya Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) adalah sangat baik. FEM mewajibkan pelajar mereka untuk melakukan tiga pembentangan (dipanggil Colloquium) sebelum proposal defend (dipanggil Qualifying Test) dilakukan. Setiap Colloquium mewakili bab 1, 2 dan 3 sebelum QT dilakukan. Dengan ini setiap progress penulisan PhD itu diselia dengan baik. Mengurangkan pembetulan-pembetulan besar yang perlu dilakukan sebelum lebih banyak penulisan dibuat. Tidak cukup dengan itu, Graduate School of Management menyediakan kursus (workshop) yang berguna untuk pelajar Postgraduate. Speaker yang dipanggil juga memang pakar dalam bidang masing-masing. Contohnya bengkel penulisan proposal oleh Dr. Ghazali dan bengkel Systematic Literature Review (SLR) oleh Dr. Hayrol Azril. Memang berkobar-kobar dan sangat meringankan beban bila memasuki bengkel yang sebegini efektif. Walaupun sedikit ralat dari segi keilmuan (saya bukan budak pandai) tapi bersyukur sangat dengan kemudahan yang Allah lorongkan untuk saya.
.
Rancangan asal adalah untuk melanjutkan pelajaran di UPM tapi setelah menimbang semua baik dan buruk, akhirnya saya redha sahaja dengan USIM. Sangkaan saya, UPM adalah pilihan yang lebih baik untuk saya tapi Allah itu lebih mengetahui keperluan dan kemampuan saya. Maka saya yang sepenuh hati mahu menyambung PhD hanya separuh hati memohon USIM, namun hari ini, insyaallah, jujur saya boleh katakan hati saya bulat menerima rezeki dari Allah. Insyaallah USIM medan perjuangan terbaik untuk saya. Terima kasih Allah kerana melorongkan langkah pertama saya dengan sangat sempurna. Mudah-mudahan redha Allah sentiasa bersama sehinggalah penghujung terowong yang masih belum kelihatan cahayanya lagi.. ^_^




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...