Showing posts with label Menuntut Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Menuntut Ilmu. Show all posts

Tuesday, November 23, 2021

2021 Journal

Salam

Lama meninggalkan blog. Rasanya itu sajalah kemampuan setakat ini. Setahun hanya mampu menulis 2/3 postings sahaja. Mungkin itu pun sudah cukup baik. Rata-rata blog yang saya follow, kebanyakkannya tidak lagi wujud. Saya sahaja yang masih setia...dan ada seorang lagi teman yang setia membaca dan meninggalkan komen di post terdahulu. Terima kasih Eyqa.. (^_^)
.
Semenjak dari post yang lama sehinggalah kini, PhD saya masih di tahap yang sama. Semangat saya hilang entah ke mana. Lama saya tidak menyentuh thesis sedangkan hanya sedikit sahaja lagi untuk proposal defend. Bukan salah sesiapa. Salah saya yang tidak kuat semangat, tak push through. Pandemik ini menyibukkan saya dengan banyak benda kecuali thesis. Memang saya berehat sepenuhya dari thesis. Kalau diikutkan, tahun ini tahun ke 3 saya sebagai pelajar PhD, saya sudah mula dihujani dengan soalan dari orang ramai. Seperti perjumpaan keluarga baru-baru ini. Ada yang bimbang dan ada juga yang bertanya dengan sinis. Jujurnya, bukan semua orang mahu kita berjaya. Ada yang tidak mahu kita melebihi anak-anak mereka. Tapi itu bukan urusan saya. Matlamat mahu menamatkan pengajian PhD ini bukan untuk mereka. Untuk saya, suami dan anak-anak. Impian saya mahu menjadi seorang Professor yang mepunyai keluarga yang besar, menjadi inspirasi buat anak-anak, bekerjaya menjadi seorang Pensyarah seperti suami dan akhirnya saya, suami dan anak-anak semuanya terlibat dalam bidang pendidikan dan kami boleh menggelarkan diri kami sebagai keluarga academician. Ya, itu impian saya dan impian yang saya tanamkan dalam diri anak-anak juga. Belajar sampai PhD dan kemudian jadi lecturer.
.
Kalau bercakap pasal thesis, jujurnya saya memang kecewa. Terasa seperti tahun 2021 berlalu begitu sahaja. 2 semester terbuang sia-sia, bersama dengan yuran dan peluang untuk menerima anugerah Graduate On Time (GOT). Tapi kalau nak kata 2021 tu saya langsung tak buat apa tak juga. 2021 ini banyak saya luangkan masa dan melabur dalam ilmu yang baru. Saya belajar Unit Trust dan juga Stock Trading-which surprisingly, I kind of enjoy it. Sewaktu mula-mula menyertai kelas Unit Trust, blur juga mula-mula. Maklumlah tidak ada idea langsung tentang Unit Trust. Tapi selaku seorang pelajar yang nerd dan komited, berbekalkan nota warna warni dan kesungguhan, saya akhirnya dijemput oleh trainer untuk satu sharing session. Alhamdulillah, sangat berbesar hati berkongsi pengalaman dan ilmu. Memang satu pengalaman yang saya appreciate sangat, sehinggakan terniat jugalah di hati mahu jadi agent Unit Trust tapi saya masih belum mengambil apa-apa tindakan ke arah itu.
.

.
Selesai belajar Unit Trust, saya belajar Stock Trading pula. Stock Trading jauh lebih susah dari Unit Trust. Hahaha. Tapi saya masih lagi gigih mendalami ilmu yang diberikan Trainer. Minggu lepas merupakan kali pertama saya trading stock. Mencabar dan memang mengganggu emosi. Huhuhu. Tidak seperti Unit Trust yang lebih predictable dan less risky, saham ini walaupun sudah selesai Technical Analysis dan Fundamental Analysis, untung/rugi tetap belum pasti. Saham ini banyak 'permainan'nya. Pada saya biar pun sudah belajar pelbagai teknik dan telah menuntut ilmu dengan ramai guru, kita sendiri kena melalui 'pancaroba' dan 'tipu helah' market. Kita sendiri perlu bijak menganalisis mentality dan selera investors lain. Ini pendapat saya selaku investor baru, suam-suam kuku dan belum setahun jagung. Dalam 7 counter yang saya trade sepanjang minggu lepas, hanya 2 counter sahaja untung. 5 lagi mengalami kerugian. Bukanlah kerugian besar tapi cukup mendahului keuntungan ciput dari 2 counter itu. Huhuhu. Tak apa. Belajar dari pengalaman. Insyaallah Disember nanti saya akan kembali trade sebab kata ramai kawan-kawan dalam community Saham Profit, akhir November memang market tak berapa cantik kerana quarterly report yang dikeluarkan. Mudah-mudahan Disember jadi bulan yang menguntungkan.
.

.
Tahun ini juga saya semakin rancak menyemai cintakan membaca pada anak-anak. Hujung bulan ada sahaja parcel dari Big Bad Wolf mahupun PTS BookCafe yang berisi buku pelbagai genre untuk anak-anak. Saya juga turut terjebak sama. Mana tidaknya, budak-budak ini kalau kita tidak berteleku sekali, semangat mereka pun berkurangan. Perlu ada galakan dan komunikasi yang membuatkan habit baru itu satu aktiviti yang menyeronokkan Jadinya saya pun mula mengisi masa dengan membaca novel-novel Inggeris. Jadinya selesai satu buku kami akan saling bertukar cerita. Zahra/Wardah/Haris dan Rauhah akan memberitahu saya tentang buku yang dibaca mereka. Begitu juga saya. Cumanya saya mengolah jalan cerita sesetengah buku mengikut kesesuaian anak-anak. Banyak juga hobi baru lain yang kami mulakan tapi untuk menceritakan semuanya disini, saya rasa malu sendiri kerana sedikit kebudak-budakan. Apalah emaknya boleh terjebak sama sedangkan umur sudah pun mahu mencecah 35 tahun 2022 nanti. (^_^')
.

.
Kesimpulannya, 2021 bukanlah kosong tidak terisi. Saya boleh kata ianya tahun yang padat dengan pelbagai aktiviti yang semuanya ada nilai tersendiri. Cumanya pada saya ianya sedikit mengecewakan kerana sedikit pun saya tidak peruntukan masa untuk perbaiki thesis sedangkan masa semakin berlalu dan menghabiskan PhD ialah impian terbesar saya setakat ini. Kecewa tapi masih belum berputus asa. Mudah-mudahan Allah berikan semangat, keazaman dan ketekunan untuk saya menamatkan PhD. Ya Allah, permudahkanlah urusan PhD saya..
.
.
.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, March 31, 2020

PhD Sem 3

Salam
.
Alhamdulillah, setahun sudah perjalanan PhD saya berlalu. Soalan seperti,"dah defend?", "bila nak habis?" dah mula kedengaran. Tapi alhamdulillah, saya masih belum stress. Mungkin kerana baru setahun, jadi tidaklah malu ditanya soalan begitu. Sungguh pun, saya faham tekanan yang dihadapi para pelajar PhD jika soalan itu ditanya. Tapi nak salahkan netizen, mungkin mereka pun mati kutu nak tanya soalan. Jadi mereka berbahasa basi. Tapi, kalau kalian berjumpa dengan makcik yang sememangnya joyah, soalan tu mungkin bukan lagi berbahasa basi. Lebih kepada gossip. Tapi kita selaku orang yang lebih muda, sabar mungkin satu-satunya jalan yang kita ada. Mudah-mudahan dengan kesabaran itu, Allah mudahkan perjalanan PhD kita semua.
.
Ya, saya sudah sem 3. Jujurnya di sem ini saya merancang untuk melakukan 'proposal defend'. Chapter 1 dan 3 sudah saya siapkan selengkapnya. Tinggal chapter 2 sebenarnya perlu dikarang dan dikemaskini. Sem ini akan berakhir Ogos nanti. Macam lama lagi kan. Tapi masa sentiasa berlalu terlalu pantas. Berkurung 2 minggu di rumah kerana virus Covid19, tahu-tahu sahaja April sudah pun bermula esok. Begitulah selalunya, pejam celik pejam celik, dah Ogos. Hurm...mudah-mudahan Allah beri ilham dan kemudahan untuk saya menulis. 
.
p/s: Saya sebenarnya mahu menulis tentang rutin PKP kerana Covid19,tapi mood agak ke laut. Maka 2 perenggan ini sahajalah yang saya mampu. Kurang-kurang blog ini belum mati sepenuhnya.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, April 17, 2019

Perjuangan Baru

Salam
.
Alhamdulillah 12 Februari 2019 yang lalu saya telah pun mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar PhD di USIM. Allah sahajalah yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Ada satu damai yang terlalu sukar untuk ditafsirkan walau pada hakikatnya saya mendengar banyak cerita perit yang dikongsikan mengenai perjalanan menggenggam sebuah ijazah PhD.
.
Seperti yang dijangka, perjalanan ini saya mulakan dengan penuh kebuntuan. Semuanya masih tidak bersuluh. Walaupun kaki baru sahaja hendak memulakan langkah ke dalam terowong gelap, saya sudah pun berada dalam kegelapan Al maklumlah, Master dicapai dengan coursework dan dissertation di semester akhir sahaja, sudahnya pengalaman melakukan research sangatlah kecil nak dibandingkan dengan besarnya segulung ijazah impian itu. Saya setuju malah sanggup mengangguk berkali-kali kalau ada yang mengatakan perjalanan PhD ini penuh kebuntuan malah apabila kita menambah pembacaan bagi memecahkan kebuntuaan itu, terasa semakin hanyut dan tenggelam dalam lautan ilmu.
.
Memandangkan sekarang di semester 1, soalan paling hangat yang diajukan kepada saya ialah topik atau bidang pilihan. Strategic Management. Itu jawapan saya setiap kali, walaupun ketika mula-mula mendaftar belum ada topik konkrit lagi. Yang saya tahu itu bidang yang ingin saya terjun. Beberapa minggu berlalu dan saya membuat keputusan  untuk menjuruskan bidang itu ke arah lebih spesifik iaitu formulasi strategi (maaf tak dapat kongsi sepenuhnya atas sebab hak cipta. Huhuhu). Masih belum diberi kata putus oleh supervisory board tapi saya sudah pun memulakan penulisan sedikit demi sedikit. Sudah mula menulis penyataan masalah, objektif, soalan kajian, theoretical dan conceptual framework dan 1 bahagian dari 4 bahagian pengenalan. Berdenyut-denyut juga kepala dibuatnya tapi semuanya harus dilakukan dalam masa yang terhad.
.
Berbeza dengan universiti lain, saya kira support system yang disediakan USIM terutamanya Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) adalah sangat baik. FEM mewajibkan pelajar mereka untuk melakukan tiga pembentangan (dipanggil Colloquium) sebelum proposal defend (dipanggil Qualifying Test) dilakukan. Setiap Colloquium mewakili bab 1, 2 dan 3 sebelum QT dilakukan. Dengan ini setiap progress penulisan PhD itu diselia dengan baik. Mengurangkan pembetulan-pembetulan besar yang perlu dilakukan sebelum lebih banyak penulisan dibuat. Tidak cukup dengan itu, Graduate School of Management menyediakan kursus (workshop) yang berguna untuk pelajar Postgraduate. Speaker yang dipanggil juga memang pakar dalam bidang masing-masing. Contohnya bengkel penulisan proposal oleh Dr. Ghazali dan bengkel Systematic Literature Review (SLR) oleh Dr. Hayrol Azril. Memang berkobar-kobar dan sangat meringankan beban bila memasuki bengkel yang sebegini efektif. Walaupun sedikit ralat dari segi keilmuan (saya bukan budak pandai) tapi bersyukur sangat dengan kemudahan yang Allah lorongkan untuk saya.
.
Rancangan asal adalah untuk melanjutkan pelajaran di UPM tapi setelah menimbang semua baik dan buruk, akhirnya saya redha sahaja dengan USIM. Sangkaan saya, UPM adalah pilihan yang lebih baik untuk saya tapi Allah itu lebih mengetahui keperluan dan kemampuan saya. Maka saya yang sepenuh hati mahu menyambung PhD hanya separuh hati memohon USIM, namun hari ini, insyaallah, jujur saya boleh katakan hati saya bulat menerima rezeki dari Allah. Insyaallah USIM medan perjuangan terbaik untuk saya. Terima kasih Allah kerana melorongkan langkah pertama saya dengan sangat sempurna. Mudah-mudahan redha Allah sentiasa bersama sehinggalah penghujung terowong yang masih belum kelihatan cahayanya lagi.. ^_^




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, November 21, 2018

Official Photo

Salam

Alhamdulillah, konvokasi kali ini juga saya berkesempatan untuk berkongsi dengan rakan-rakan sesi fotografi. Seronok juga ada photographer sendiri. Boleh 2/3 kali membetulkan posing sehinggalah gambar yang cantik terhasil. Al maklumlah, gambar candid tidak pernah menjadi. Huhuhu
.
.
.
















.
.
.
.
.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Master in Business Administration

Salam

Alhamdulillah, majlis graduasi telah diadakan di UniSZA pada 17/11/2018. Untuk pelajar siswazah (postgraduate), semuanya dikumpulkan di sidang satu. Lega rasanya setelah menerima scroll dari Sultanah Terengganu. Satu kenangan yang indah.
.
Alhamdulillah, saya juga berkesempatan merasai kemeriahan sambutan meraikan pelajar siswazah yang diaturkan UniSZA. Bermula dengan Majlis Apresiasi yang diadakan di Permai Hotel, Hi Tea and Hooding Ceremony yang diadakan di The Regency Waterfront dan kemudian Majlis Idul Ilmi (Convocation) yang diadakan di Dewan Al Muktafi Billah Shah. Semuanya membawa seribu satu kenangan. Tambah seronok, Mama, Abah, Suami dan adik-adik turut datang ke Terengganu untuk meraikan hari yang menggembirakan ini. Terima kasih semua. Saya hargai masa dan tenaga yang dikorbankan untuk meraikan hari konvokasi saya. Mudah-mudahan Allah memberi kebaikan untuk semua. Ameen.
.
Majlis Apresiasi Pelajar Siswazah Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan (FESP)
.




.
Hi Tea and Hooding Ceremony
.




.
Majlis Idul Ilmi yang ke 10 Universiti Sultan Zainal Abidin
.







.
.
.
p/s: Doakan perjalanan PhD saya di USIM ya. Insyaallah


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Friday, September 21, 2018

First Step of The Final Phase

Salam

Minggu lepas saya selesai mengisi borang permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD. Walaupun hanya mengisi borang, aura PhD tu sungguh menyengat kerana mengisi borang sahaja sudah rasa cabarannya. Hahaha. Mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapa perlu sambung belajar? Kenapa sekarang? Tidak kurang juga yang berseloroh memperlekehkan education saya. Huhu.
.
Jujurnya, setelah bertahun-tahun menjadi suri rumah, saya didatangi satu perasaan yang kemungkinan dialami juga oleh suri rumahtangga yang lain. I start questioning my purpose of existence. Adakah hanya untuk bangun pagi, mengemas rumah, membasuh, menjemur dan melipat kain, memasak, menjaga anak-anak, dan sebagainya.? Tambah mendesak bila rutin ini tidak pernah berubah, inilah yang saya lakukan selama 24 jam untuk 365 hari selama 7 tahun kebelakangan ini. Saya jadi tertekan, ditambah pula dengan pandangan sinis orang ramai yang memandang rendah pada suri rumahtangga. Dianggap tidak bekerja, goyang kaki di rumah dan kemudiannya bila terlihat baju baru tersarung di badan, dituduh mula mengikis duit suami. Tekanan itu makin menghimpit dan saya kira menyebabkan depressi. Oh...
.
Jadinya saya ambil keputusan mahu bekerja. Tapi disebabkan sudah beranak 4. Pekerjaan yang saya perlu cari itu, haruslah setanding dengan accounting cost, economic cost dan opportunity cost yang bakal timbul. Setelah ditimbang-timbang, suami saya tidak melihat mana-mana pekerjaan yang sesuai. Kebanyakkan pekerjaan yang ditawarkan kepada lepasan degree yang tidak punya pengalan ialah sekitar RM1.5k sehingga RM2k sahaja. Ianya tak berbaloi dengan kos nursery anak 4 orang, keperluan kereta, tambang, makan minum dan minyak. Maka saya terpaksa redha.
.
Nak dijadikan cerita, sekejap sahaja saya mampu redha. Beberapa lama selepas itu, hati saya kembali memberontak. Setiap kali saya tidur, saya akan bertanya, "Apa yang aku buat hari ini?". Saya tiada jawapan kerana merasakan rutin suri rumahtangga itu tiada signifikan. Maka, memberontaklah jiwa saya dan suami mencadangkan agar saya menyambung pelajaran dan kemudian bekerja sebagai Pensyarah. Satu-satunya pekerjaan yang menyajikan gaji lumayan untuk fresh grad...huhu. Bila saya menyambung pelajaran ke peringkat Master, saya menyedari pengajian ini bukan hanya satu jalan keluar dari kebosanan tapi ianya adalah minat saya. Saya minat untuk membaca, minat membuat pembentangan, minat perbincangan, minat mengajar dan minat juga menulis. Melihat kesungguhan saya, suami juga bersetuju, pengajian ini merupakan diri saya..ianya minat saya bukan satu alasan atau jalan keluar dari kebosanan. Dengan penuh keredhaan suami memberitahu, "Mungkin bukan tempat awak menjadi suri rumah, walaupun sebetulnya saya lebih suka begitu. Awak di rumah, menjaga anak-anak dan menunggu kepulangan saya. Tak apalah, sambung belajar sehingga ke peringat PhD, jadi Pensyarah dan kita bina keluarga yang cintakan ilmu. Keluarga ahli akademik". Dan saya merasakan satu kebahagiaan yang teramat sangat. Terima kasih suami!
.
Dan hari ini saya disini, masih lagi seorang suri rumahtangga, tapi dengan misi untuk mendapatkan segulung ijazah PhD. Saya sudah berada di langkah pertama di fasa terakhir pengajian. Doakan saya para sahabat! Mudah-mudahan jalan yang bakal ditempuh ini dipermudahkan Allah SWT. Ameen.
.
.
.
.
.
p/s: Harap tidak ada yang salah faham, saya tidak memandang rendah pada tanggungjawab suri rumah. Ketahuilah, mendidik anank-anak yang bakal menjadi khalifah dimuka bumi ini satu tugas mulia. Saya juga mahu mendidik mereka dengan acuan saya sendiri. Tapi mungkin langkah kita berbeza.. Mungkin juga saya tidak begitu keibuaan seperti kalian. Apa-apa pun, saya berharap kita saling mendoakan kebaikan, walaupun di lain lapangan. Insyaallah.




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Thursday, April 19, 2018

MBA Graduates

Salam

Alhamdulillah, perjalanan saya untuk menamatkan pengajian Master akhirnya berakhir  secara rasmi pada 11 Mac yang lalu. Allah sahaja yang tahu betapa leganya saya waktu itu. Oh, hampir saja berputus asa sebelum ini kerana merasakan ilmu yang diperlukan diluar kemampuan. Syukur diberi ilham oleh Allah SWT dan dibantu pula oleh adik saya yang pakar matematik yang kemudian berubah karier sebagai baker, Dalila. Seminggu lamanya saya bertapa di rumah Dalila gara-gara mahu menyiapkan thesis ini. Dari awal pagi hingga ke lewat petang kami berbincang, malamnya kami bekerjasama memasak untuk menyambut kepulangan suami masing-masing. Ya, minggu itu, suami dan anak-anak saya juga makan malam di rumah Dalila. Lebih mudah begitu, sampai saja di rumah saya nanti, anak-anak tinggal tidur saja. Kalau mahu memasak di rumah, alamatnya mungkin 12 tengah malam baru anak-anak dapat tidur.

Alhamdulillah, thesis selesai ditanda tangani para pensyarah dan telah di hantar ke Pusat Pengajian Siswazah (PPS), UniSZa. Lega dan gembira, keduanya bersatu. Mudah-mudahan semua kerja keras ini mendatangkan hasil yang baik. Untuk anak, suami dan keluarga terutamanya. Thesis saya berbentuk kajian lapangan yang menggunakan kaedah pemerhatian (observation). Saya mengaplikasi Queuing Theory ke atas masalah lebihan waktu menunggu di kaunter-kaunter Pos Malaysia Bhd. cawangan Wangsamaju. Tajuk thesis saya: The Implementation of Queuing Theory for the Optimisation of Service Counter: Case Study of Pos Malaysia Bhd. Ianya hanya thesis Master, tidak setebal thesis berkriteria PhD tapi cukup untuk membuatkan saya rasa bangga dengan diri sendiri. Ini satu bukti perjuangan saya, suami dan anak-anak. Dalam kesibukan kehidupan, pengorbanan yang berpanjangan dan rasa mahu berputus asa yang berkunjung acap kali, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian saya. Terima kasih Allah, untuk inspirasi, semangat dan kemudahan yang diberikan kepada saya.

Dalam perjalanan ini, saya bertemu dengan beberapa insan baru yang menghulurkan ukhuwah persahabatan yang ikhlas. Saya bersyukur mengenali mereka. Banyak membuahkan kebahagiaan, tempat saya berkongsi rasa dan merasai 'remaja' semula. Hahahaha. Rakan seperjuangan Master saya, muda-muda semuanya. Ada seorang saja kakak yang lebih berusia daripada saya. Berbaki lagi 4 orang, semuanya muda 6-7 tahun dari saya. Ya, saya kakak-kakak sangat bila bersama mereka. Terima kasih Ain, Mekya, Syira, Maryam (dari Tanzania) dan Kak Tie...untuk kenangan yang akan saya kenang selamanya. Saya doakan kalian maju jaya dalam apa jua cita-cita dan taruhan masa depan yang kalian rencanakan.







p/s: Cuba teka apa lagi yang buat saya happy? Turnitin report 2%. Hahahaha. Sorry, can't help it. (*_^)


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...