Thursday, April 19, 2018

MBA Graduates

Salam

Alhamdulillah, perjalanan saya untuk menamatkan pengajian Master akhirnya berakhir  secara rasmi pada 11 Mac yang lalu. Allah sahaja yang tahu betapa leganya saya waktu itu. Oh, hampir saja berputus asa sebelum ini kerana merasakan ilmu yang diperlukan diluar kemampuan. Syukur diberi ilham oleh Allah SWT dan dibantu pula oleh adik saya yang pakar matematik yang kemudian berubah karier sebagai baker, Dalila. Seminggu lamanya saya bertapa di rumah Dalila gara-gara mahu menyiapkan thesis ini. Dari awal pagi hingga ke lewat petang kami berbincang, malamnya kami bekerjasama memasak untuk menyambut kepulangan suami masing-masing. Ya, minggu itu, suami dan anak-anak saya juga makan malam di rumah Dalila. Lebih mudah begitu, sampai saja di rumah saya nanti, anak-anak tinggal tidur saja. Kalau mahu memasak di rumah, alamatnya mungkin 12 tengah malam baru anak-anak dapat tidur.

Alhamdulillah, thesis selesai ditanda tangani para pensyarah dan telah di hantar ke Pusat Pengajian Siswazah (PPS), UniSZa. Lega dan gembira, keduanya bersatu. Mudah-mudahan semua kerja keras ini mendatangkan hasil yang baik. Untuk anak, suami dan keluarga terutamanya. Thesis saya berbentuk kajian lapangan yang menggunakan kaedah pemerhatian (observation). Saya mengaplikasi Queuing Theory ke atas masalah lebihan waktu menunggu di kaunter-kaunter Pos Malaysia Bhd. cawangan Wangsamaju. Tajuk thesis saya: The Implementation of Queuing Theory for the Optimisation of Service Counter: Case Study of Pos Malaysia Bhd. Ianya hanya thesis Master, tidak setebal thesis berkriteria PhD tapi cukup untuk membuatkan saya rasa bangga dengan diri sendiri. Ini satu bukti perjuangan saya, suami dan anak-anak. Dalam kesibukan kehidupan, pengorbanan yang berpanjangan dan rasa mahu berputus asa yang berkunjung acap kali, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian saya. Terima kasih Allah, untuk inspirasi, semangat dan kemudahan yang diberikan kepada saya.

Dalam perjalanan ini, saya bertemu dengan beberapa insan baru yang menghulurkan ukhuwah persahabatan yang ikhlas. Saya bersyukur mengenali mereka. Banyak membuahkan kebahagiaan, tempat saya berkongsi rasa dan merasai 'remaja' semula. Hahahaha. Rakan seperjuangan Master saya, muda-muda semuanya. Ada seorang saja kakak yang lebih berusia daripada saya. Berbaki lagi 4 orang, semuanya muda 6-7 tahun dari saya. Ya, saya kakak-kakak sangat bila bersama mereka. Terima kasih Ain, Mekya, Syira, Maryam (dari Tanzania) dan Kak Tie...untuk kenangan yang akan saya kenang selamanya. Saya doakan kalian maju jaya dalam apa jua cita-cita dan taruhan masa depan yang kalian rencanakan.







p/s: Cuba teka apa lagi yang buat saya happy? Turnitin report 2%. Hahahaha. Sorry, can't help it. (*_^)


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...