Salam
Saya sebenarnya baru kali pertama menerima tempahan membuat beg sandang, saya menerima tempahan itu dengan tekad mahu belajar membuat sesuatu yang baru. Saya mengatur langkah dengan cermat supaya cubaan pertama ini terus menjadi. Sedang saya bersiap-siap menyediakan segala keperluan untuk membuat beg sandang ini, hati saya terlintas mahu membuat tutorial andainya cubaan pertama ini sebuah kejayaan. Semoga tutorial ini bermanfaat,insyaallah.
1. Faux Hair/ Flannel/ Cotton atau Felt
2. Gam Uhu
3. Zip 12 inci (ikut saiz kesukaan)
4. Kertas Gam (untuk Faux Hair sahaja)
5. Kain Cotton canvas (untuk alas dalam)
6. Benang dan Jarum
7. Tali Beg (panjang mengikut keselesaan)
Langkah Pertama: Gunting material yang anda ingin jadikan sebagai bahan utama beg. Saiz beg adalah mengikut keselesaan anda. Untuk tutorial ini saya sesuaikan beg untuk buku bersaiz A5 atau separuh A4 sahaja.
Langkah Kedua: Guntingkan kain Cotton Canvas yang akan dijadikan sebagai pelapik di bahagian dalam beg. Pelapik ini perlu supaya buku atau peralatan menulis yang diletakkan ke dalam beg tidak merosakkan material luar beg.
Langkah Ketiga: Gunting kain Felt mengikut corak yang anda inginkan dan tampalkannya di material asal membuat beg. Gam yang digunakan untuk menampal sepatutnya dalam kuantiti yang sedikit, cukup untuk melekatkan corak tersebut pada kain supaya ia tidak bergoyang sewaktu anda hendak menjahit corak tersebut
Langkah Keempat: Di bahagian dalam material, guntingkan kertas gam dan tampalkan kertas gam menggunakan seterika. Bahagian berkilat kertas gam haruslah diletakkan mengadap permukaan kain.
Langkah Kelima: Jahitkan corak yang ditampal pada kain. Ini adalah rupa jahitan di bahagian belakang kain yang ditampalkan dengan kertas gam
Langkah Keenam: Untuk mereka yang mahukan poket di bahagian dalam beg, guntingkan kain Felt mengikut saiz yang diinginkan dan jahitkannya di bahagian depan kain Cotton Canvas. Perlu diingatka bahawa poket ini perlu diletakkan di bahagian hadapan kain Cotton Canvas yang akan berada di luar ketika kain Cotton Canvas dan material utama beg di cantumkan.
Langkah Ketujuh: Jahitkan tali di bahagian tepi beg. Bagi tali yang tidak boleh di diubah panjang dan pendeknya, anda hendaklah memastikan dengan betul ukuran tali dan kedudukan beg yang sesuai mengikut citarasa anda apabila beg ini di sandang nanti. (Maaf, tidak ada gambar untuk langkah kali ini).
Langkah Kelapan: Terbalikkan beg dan jahitkan kain Cotton Canvas pada material asal beg. Mulakan dengan menjahit di bahagian zip.
Langkah Kesembilan: Buka zip sebelum mula menjahit bahagian seterusnya. Untuk bahagian tepi beg, gunakan jahitan blanket bagi mencantumkan material asal beg dan kain Cotton Canvas sebagai alas di dalam beg. Setelah selesai menjahit, betulkan semula beg dengan mengeluarkan bahagian luar beg melalui zip. Beg anda sepatutnya berada di dalam keadaan di mana material utama dan tali beg berada di bahagian luar dan kain Cotton Canvas dan poket berada di bahgaian dalam beg.
Hasilnya: Alhamdulillah, beg sandang buatan sendiri. Mesti anda berpuas hati, insyaallah. Jangan lupa kongsikan artikel/tutorial ini dengan rakan-rakan yang lain. Dan sudi-sudilah juga tinggalkan komen jika anda berjaya menghasilkannya. Sebarang komen dan pertanyaa juga saya terima dengan hati yang terbuka. :)
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)