Salam
Banyak sebenarnya yang mahu saya coretkan untuk menjadi santapan dan pedoman para pembaca. Saya mahu blog ini punya isi yang boleh di manfaatkan, tidak kira lah dalam bidang apa sekali pun kerana saya percaya selagi ia bermanfaat, selagi itu Allah mengambil kira ianya sebagai amalan jariah. Insyaallah.
Baru-baru ini saya terdengar komen rakan yang saya kira tidak tepat dan tidak seharusnya di luah sebegitu rupa. Ramai di antara kita yang lebih menuntut perjuangan dan pengorbanan orang lain berbanding menunaikan tanggungjawab sendiri. Saya tidak suka sikap yang sebegini, bukan kerana tidak mahu dipaksa berjuang tapi tidak mahu para pejuang merasa bebanan menegakkan agama itu dipikul seorang sendiri sedangkan umat sejagat bertanggungjawab ke atasnya.
Kalau di lihat fenomena yang sudah biasa di kalangan masyarakat kita, ustaz dan ustazah di pandang remeh dan di anggap sebagai golongan yang tidak berpendidikan tinggi. Ada yang beranggapan mereka-mereka ini memilih karier sebagai ustaz dan ustazah kerana keputusan peperiksaan SPM yang tidak cemerlang. Saya bangkang! Tahukan anda, untuk memahami kitab-kitab Hadith, Fiqh, Muamalat, Munakahat dan sebagainya memerlukan ilmu dan pemahaman yang tinggi. Malahan mahu mengusai Bahasa Arab itu sendiri menuntut satu kemahiran yang bukan sedikit. Sewajarnya ustaz dan ustazah tidak di anggap sebagai profession lekeh dan boleh diperlekehkan.
Kebiasaannya juga apabila kita memanggil penceramah motivasi, ramai pihak yang menawarkan bayaran yang lumayan tapi apabila tiba giliran ustaz yang dipanggil untuk memberikan kuliah, bayarannya di kurangkan dengan alasan ustaz itu perlu ikhlas dalam berjuang. Saya bangkang! Apa anda mengira ustaz-ustaz ini tidak memerlukan keperluan untuk makan dan minum. Apa anda mengira keikhlasan itu dapat diukur dengan matawang. Saya tidak meminta bayaran yang lumayan atau pun terlampau mahal diberikan kepada ustaz mahupun ustazah tapi biarlah bayaran itu sesuai dengan tahap pendidikan seseorang itu.
Perkara-perkara ini saya lihat teramat biasa di dalam masyarakat. Malah jika di fikirkan secara lebih mendalam, sikap acuh tidak acuh dan memandang remeh dengan profession debagai ustaz dan ustazah boleh membunuh dan mematikan langkah dakwah yang sepatutnya tersebar luas.
Bayangkan niat seorang anak yang mahu menjadi seorang ustaz apabila menginjak dewasa nanti diperkecilkan ibubapa nya. Ucapan seperti, "Kenapa nak jadi ustaz? Jadilah doktor atau Arkitek barulah berjaya" sudah biasa dituturkan masyarakat kita sedangkan keadaan dunia akhir zaman ini perlu di atasi dengan kehadiran ustaz dan ustazah yang menanam kesedaran dan benih-benih Islam di dalam hati anak muda remaja.
Bayangkan pula keadaan seorang ustaz yang baru pulang ke tanah air daripada menuntut ilmu di luar negara. Niatnya mahu menyebarkan dakwah di masjid-masjid terbantut kerana bayaran yang terlampau rendah dan tidak setimpal yang diberikan oleh jemaah masjid dengan alasan 'fi sabilillah'. Sudahnya bayaran itu langsung tidak dapat menanggung kos minyak ustaz untuk ke tempat kuliah. Berbeza pula bila menjemput pakar motivasi dan penyanyi nasyid, bayaran yang dikenakan cukup istimewa sedangkan didikan yang disampaikan tidak mencapai tahap keperluan.
Kita semua menganggap perkara kecil ini remeh walhal perkara seperti ini lah yang menyebabkan dakwah Islam terputus malahan perjalanan dakwah yang sedia ada terbantut dan mulai mundur perlahan-lahan. Yang tersebar luas ialah budaya Hedonisme yang di sokong dengan pembiayaan berjuta-juta ringgit.
Persoalannya, kita mahu berada di dalam golongan yang mana? Berjuang dan menyokong perjuangan Islam atau pun sekadar menuding jari menyuruh orang lain berjuang dan mencantas pohon-pohon perjuangan yang sedang tumbuh?
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)