Tuesday, April 17, 2018

Maksu (Al-Fatihah)

Salam

Waktu saya pertama kali menerima berita Maksu (adik bongsu Mama) ada ketumbuhan bersaiz 12cm di rahim, saya bingung seketika. Mungkin susah untuk terima atau mungkin terlalu terkejut dengan perkhabaran yang datang tiba-tiba. Otak saya ligat berfikir, ketumbuhan? Tapi Maksu sihat dan gembira sentiasa. Bila ada ketumbuhan? Tak sakit ke? Macam-macam persoalan timbul. Dalam kelam dan kekeliruan, akhirnya Maksu menjalankan pembedahan. Saya menjenguk di hospital, melihat wayar-wayar berselirat bersambung di badan Maksu, mata Maksu terkatup rapat dan sesekali berkerut menahan sakit. Uncle (suami Maksu) masih mampu melemparkan senyuman untuk saya dan tatkala Uncle membisikkan kehadiran saya pada Maksu, saya lihat Maksu membuka mata. Perlahan. Jantung saya berdegup kencang, air mata tertahan-tahan, Maksu tersenyum dan menyapa lemah, "Kakak...". Kemudian kembali melelapkan mata. Saya mengangguk dan kemudian meminta diri untuk keluar seketika. Sampai ke ruang legar hospital, air mata saya mengalir. Sedikit, sebolehnya saya menahan air mata. Sakit tekak seperti sedang dipaksa menelan sesuata yang berat dan diluar kemampuan. Menyesakkan nafas tapi tidak dapat dilepaskan. Saya masih ingat beberapa hari (mungkin seminggu) selepas pembedahan, saya berkunjung ke rumah Maksu. Bertanya khabar berita dan berkongsi rasa. Maksu seperti biasa, cuma sedikit lemah dan dalam kesakitan. Maksu memberitahu saya tentang rahimnya yang dibuang terus dan meminta saya merahsiakannya dari semua. Saya terdiam. Ikutkan hati, saya tak mahu merahsiakannya. Saya mahu memberitahu kepada seluruh kaum keluarga, datanglah menziarahi Maksu yang penuh kasih sayang ini, Maksu yang selalunya banyak membantu tatkala kita perlu. Rancak bersembang, Uncle muncul dari kamar tidur, menyapa saya mesra tapi dengan pandangan yang hangat. Uncle memmberitahu saya dalam suara yang tertahan-tahan, "Kakak, kawan Uncle selalu pesan..banyakkan bersabar dan Uncle angguk jer. Tapi sekarang barulah Uncle rasa apa yang dimaksudkan mereka dengan bersabar". Saya memegang lengan Uncle dan Uncle cepat saja berlalu dengan titisan air mata yang cuba disembunyikan.
.
Itu salah satu dari berjuta memori yang saya ada bersama Maksu dan Uncle.
.
Maksu dan Uncle ini makcik dan pakcik saudara yang paling banyak berjasa untuk saya. Dari saya kecil sehinggalah dewasa. Maksu dan Uncle lah yang banyak memberi bantuan dan sokongan. Saya masih ingat ketika di sekolah rendah bagaimana Maksu sentiasa memastikan saya memberus gigi sebelum ke sekolah, Maksu yang berkongsi rasa dan rahsia tatkala saya menginjak ke sekolah menengah dan kemudian ke alam universiti. Ketika pengajian peringkat Diploma, Maksu banyak membantu saya menghadapi kekangan kewangan. Pernah sekali Uncle menghantar mesej kepada saya dan saya tidak membalasnya, cepat saja Uncle menelefon dan bertanya berita. Bila saya memberitahu saya tidak punya kredit untuk membalas mesej, sekelip mata handphone itu bertopup RM60. Saya masih ingat lagi sewaktu saya memberitahu Mama saya tidak punya duit untuk berbelanja dan Mama meminta supaya saya bersabar kerana waktu itu Mama juga menganggung sepupu yang sedang melanjutkan pelajaran di Matrikulasi. Saya menangis semahunya kerana merasa tersisih dan dianak tirikan. Maksu dan Uncle hadir petangnya setelah saya menelefon mereka dengan esakan. Malu kerana dilayan sebegitu baik, saya menyorok di balik pintu, melihat kelibat Uncle dan Maksu setia menunggu untuk menghulurkan bantuan tanpa jemu. Alhamdulillah, ketika pengajian Diploma, keputusan peperiksaan sentiasa cemerlang dan Maksu dan Uncle lah orangnya yang sentiasa meraikan saya. Tidak pernah Maksu menghampakan. Ada saja hadiah dan kad berisi kata-kata semangat dititipkan untuk saya. Maksu dan Uncle melayani saya dengan baik, sangat baik sehinggakan ada suatu ketika saat saya menceritakan betapa saya berkecil hati dengan perhatian Mama dan Abah yang sangat banyak kepada sepupu sehingga mengabaikan saya, Maksu memeluk hangat dan memberitahu saya, "Tak apa kakak. Kakak jadi anak Maksu jer".
.
Maksu, yang penuh dengan kasih sayang. Saya masih ingat bagaimana Maksu mengasihi anak-anak saudara yang lain. Asal sampai saja masalah ke telinga Maksu, semuanya Maksu cuba bantu. Siapa yang tidak pernah merasa rezeki yang Maksu kongsikan. Sentiasa saja Maksu bermurah hati. Kalau ada anak saudara yang akan berkahwin, Maksu akan sponsor satu pahar atau menghulurkan bantuan wang ringgit. Tidak pernah Maksu pandang sepi, ada saja dia lakukan untuk anak saudara.
.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Sakit Maksu semakin serius setelah sel kanser dikenalpasti dari sampel ketumbuhan tempoh hari. Saya yang jauh di Terengganu, sebolehnya cuba mencuri masa untuk menziarahi Maksu dikala kelapangan. Tapi kadang-kadang Maksu sendiri menolak, tak mahu dikunjungi. Dia mahu memendam keperitannya seorang diri. Allah. Dalam keadaan sebegini pun Maksu masih menyayangi orang lain melebihi diri sendiri. Saya tidak pernah jemu menghantar whatsapp kepada Maksu walaupun balasannya selalu lewat dan kadang-kadang beberapa patah perkataan sahaja. Saya tidak tersinggung kerana saya tahu seperti saya, Maksu juga menahan tangis dan cuba menguatkan diri untuk melalui hari-hari yang mendatang. Pernah saya tewas dengan emosi, saya mengirimkan mesej panjang kepada Maksu, memberitahunya betapa saya menyayangi dan menghargai setiap kasih sayang, jasa dan pengorbanan yang dicurahkan kepada saya. Maksu membalas pendek, "Kakak buat Maksu nangis". Saya tidak lagi membalas pesanan itu kerana saya tahu, dihujung sana Maksu menangis dan saya menangis disebelah sini. Kami menangis bersama dari kejauhan. Sewaktu suami menerima surat tawaran sebagai pensyarah di USIM, saya berkongsi khabar itu dengan Maksu. Hati ini berdoa agar Allah berikan saya kelapangan untuk lebih kerap menziarahi Maksu. Tapi Allah telah merencanakan sesuatu.
.
Saya masih lagi menetap di Terengganu walaupun suami sudah berpindah ke Negeri Sembilan. Jadi, sewaktu Maksu kritikal dan dimasukkan ke HKL, saya hanya mampu berulang alik hampir setiap minggu untuk menziarahi Maksu. Ini kali kedua Allah datangkan ujian kepada saya saat saya menghadapi peperiksaan akhir tahun. Kali  pertama sewaktu Mama menjalani pembedahan dan ini kali kedua sewaktu Maksu kritikal kerana kanser. Sebaik sahaja dimasukkan ke hospital, keadaan Maksu semakin kritikal, setiap hari kami menerima berita yang merobek hati. Bermula dengan usus, kemudian buah pinggang dan kemudian hati. Maksu menjalani pembedahan demi pembedahan dan kali ini seluruh kaum keluarga telah pun dimaklumkan. Dada saya semakin berdebar-debar setiap kali menerima kunjungan ramai ahli keluarga, bimbang akan menerima berita terburuk. Malam itu, kebetulan saya pulang bercuti ke Negeri Sembilan untuk menyambut Majlis Konvokesyen Doktorat suami, Mama menghantar mesej ke group family, meminta kami semua untuk membacakan Yaasin buat Maksu. Kami adik beradik bersiap-siap untuk ke hospital tapi kuasa Allah itu melebihi segalanya. Maksu menghembuskan nafas terakhirnya sebelum kami sampai. Saya mendekati Maksu yang kelihatan tenang, kaku. Saat saya melurutkan tangan ke dahinya, mengusap rambutnya, semuanya seperti mimpi. Saya mengucup pipi Maksu berkali-kali, Allah, tolonglah sampaikan pada Maksu betapa saya menyayanginya.

.
19 November 2017. Tarikh yang menyedihkan buat saya. Saya kehilangan seorang Mak Saudara yang sangat baik dan penyayang. Maksu, saya belum sempat berbuat baik pada Maksu. Belum sempat membelanja Maksu dengan gaji pertama saya, belum sempat membelikan Maksu hadiah dan yang paling saya terkilan, belum sempat memohon ampun dan memberitahu Maksu betapa saya sayangkan Maksu. Saya sayang Maksu dan saya berdoa Allah pertemukan kita di syurga nanti. Tiada apa lagi yang boleh saya berikan pada Maksu selain ingatan dan titipan doa di setiap sujud saya pada Allah SWT. Berehatlah dengan tenang di sana Maksu. Mudah-mudahan apa yang Maksu tinggalkan di dunia ini (anak, suami dan amal jariah) dipelihara Allah SWT.
.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...