Wednesday, April 17, 2019

Perjuangan Baru

Salam
.
Alhamdulillah 12 Februari 2019 yang lalu saya telah pun mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar PhD di USIM. Allah sahajalah yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Ada satu damai yang terlalu sukar untuk ditafsirkan walau pada hakikatnya saya mendengar banyak cerita perit yang dikongsikan mengenai perjalanan menggenggam sebuah ijazah PhD.
.
Seperti yang dijangka, perjalanan ini saya mulakan dengan penuh kebuntuan. Semuanya masih tidak bersuluh. Walaupun kaki baru sahaja hendak memulakan langkah ke dalam terowong gelap, saya sudah pun berada dalam kegelapan Al maklumlah, Master dicapai dengan coursework dan dissertation di semester akhir sahaja, sudahnya pengalaman melakukan research sangatlah kecil nak dibandingkan dengan besarnya segulung ijazah impian itu. Saya setuju malah sanggup mengangguk berkali-kali kalau ada yang mengatakan perjalanan PhD ini penuh kebuntuan malah apabila kita menambah pembacaan bagi memecahkan kebuntuaan itu, terasa semakin hanyut dan tenggelam dalam lautan ilmu.
.
Memandangkan sekarang di semester 1, soalan paling hangat yang diajukan kepada saya ialah topik atau bidang pilihan. Strategic Management. Itu jawapan saya setiap kali, walaupun ketika mula-mula mendaftar belum ada topik konkrit lagi. Yang saya tahu itu bidang yang ingin saya terjun. Beberapa minggu berlalu dan saya membuat keputusan  untuk menjuruskan bidang itu ke arah lebih spesifik iaitu formulasi strategi (maaf tak dapat kongsi sepenuhnya atas sebab hak cipta. Huhuhu). Masih belum diberi kata putus oleh supervisory board tapi saya sudah pun memulakan penulisan sedikit demi sedikit. Sudah mula menulis penyataan masalah, objektif, soalan kajian, theoretical dan conceptual framework dan 1 bahagian dari 4 bahagian pengenalan. Berdenyut-denyut juga kepala dibuatnya tapi semuanya harus dilakukan dalam masa yang terhad.
.
Berbeza dengan universiti lain, saya kira support system yang disediakan USIM terutamanya Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) adalah sangat baik. FEM mewajibkan pelajar mereka untuk melakukan tiga pembentangan (dipanggil Colloquium) sebelum proposal defend (dipanggil Qualifying Test) dilakukan. Setiap Colloquium mewakili bab 1, 2 dan 3 sebelum QT dilakukan. Dengan ini setiap progress penulisan PhD itu diselia dengan baik. Mengurangkan pembetulan-pembetulan besar yang perlu dilakukan sebelum lebih banyak penulisan dibuat. Tidak cukup dengan itu, Graduate School of Management menyediakan kursus (workshop) yang berguna untuk pelajar Postgraduate. Speaker yang dipanggil juga memang pakar dalam bidang masing-masing. Contohnya bengkel penulisan proposal oleh Dr. Ghazali dan bengkel Systematic Literature Review (SLR) oleh Dr. Hayrol Azril. Memang berkobar-kobar dan sangat meringankan beban bila memasuki bengkel yang sebegini efektif. Walaupun sedikit ralat dari segi keilmuan (saya bukan budak pandai) tapi bersyukur sangat dengan kemudahan yang Allah lorongkan untuk saya.
.
Rancangan asal adalah untuk melanjutkan pelajaran di UPM tapi setelah menimbang semua baik dan buruk, akhirnya saya redha sahaja dengan USIM. Sangkaan saya, UPM adalah pilihan yang lebih baik untuk saya tapi Allah itu lebih mengetahui keperluan dan kemampuan saya. Maka saya yang sepenuh hati mahu menyambung PhD hanya separuh hati memohon USIM, namun hari ini, insyaallah, jujur saya boleh katakan hati saya bulat menerima rezeki dari Allah. Insyaallah USIM medan perjuangan terbaik untuk saya. Terima kasih Allah kerana melorongkan langkah pertama saya dengan sangat sempurna. Mudah-mudahan redha Allah sentiasa bersama sehinggalah penghujung terowong yang masih belum kelihatan cahayanya lagi.. ^_^




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...