Showing posts with label Zahratul Iman. Show all posts
Showing posts with label Zahratul Iman. Show all posts

Friday, August 9, 2019

Holiday Melaka 2019

Salam

Sejujurnya dah banyak kali berkunjung ke Melaka tapi semuanya atas urusan kerja jadinya belum lagi berkesempatan untuk betul-betul menikmati Melaka. Alhamdulillah,minggu lepas kami meluangkan masa,suami mengambil cuti untuk menghiburkan anak-anak. 
.
Kali ini kami memilih untuk menginap di Mahkotal Hotel. Asalnya mahu mencari apartment hotel, lebih selesa untuk keluarga ramai anak kecil ni. Yela, hotel biasa, 1 bilik dan 1 katil sahaja, anak-anak biasanya kami bentangkan tilam sahaja. Tapi demi tujuan percutian kali ini yang mahu menghiburkan anak-anak, kami cari hotel yang sedikit besar. Besar tak besar, tetap juga kami cari yang paling murah. Jauh bezanya tau harga yang ditawarkan di Trivago berbanding dengan harga hotel. Di Trivago, harga yang kami dapat ialah RM404 untuk 2 malam manakala harga yang ditawarkan oleh pihak hotel (tempahan melalui telefon) RM412/malam. Jauh kan beza dia? Tapi kami sedikit kesal sebenarnya menetap di sana kerana Mahkota Hotel and Apartment merupakan hotel lama yang tidak dinaik taraf. Sedih sungguh melihat almari yang patah dan ruang aircond yang seperti berhantu itu. Kesal. Kalau tahu sebegini rupa hotel, mungkin kami lebih sanggup invest lebih banyak untuk hotel yang lebih baik.
.
Hari pertama kami tiba jam 3pm. Anak-anak macam biasa, asal tidur hotel jer mereka dah cukup excited. Kami ke destinasi pertama yang viral di internet. Mee Sup Tengkera. Hurm...komen pertama saya..jangan cepat percaya dengan benda-benda viral. Hahaha. Kuahnya agak cair dan saya rasakan seperti ianya hanya campuran air dan ajinomoto sahaja. Pendek kata, bukan taste saya dan suami. Tapi melihatkan ramai pengunjung, mungkin taste sahaja berbeza. Jadi kalau mahu cuba juga, no harm. Tapi recommendation saya, tak perlu pun. Kecuali kalau nak pergi tu untuk makan Popia dia, yes...yang ni memang sedap. Kami hanya order sepinggan sahaja, tak tahu pula sedap. Nak order pinggan kedua, habis pula. Menyesal sungguh. Huhuhu.
.



p/s: Gambar ehsan google ya. Lupa nak tangkap gambar.
.
Selesai makan kami ke The Shore Oceanarium. Menarik. Lebih kurang macam Aquria KLCC juga tapi lebih kecil dan tiket yang lebih murah. Murah sikit jer la. Huhuhu.RM30 untuk kanak-kanak 3 hingga 12 tahun dan RM40 untuk dewasa. Kat sini memang anak-anak enjoy. tengok hidupan laut memang mengasyikkan, betul-betul buat kita mengagumi ciptaan Allah. Kami juga dibekalkan dengan kaca mata 3D dan sekeping kertas Trivia. Jadi sepanjang berjalan-jalan di dalam tu, sambil-sambil baca fakta-fakta menarik, bolehlah jawab Trivia tersebut. Untuk kesemua jawapan yang betul,dapat cenderahati tambahan katanya. Jadi balik tu, dapatlah kenang-kenagan...fridge magnet, keychain dan button badge. Simple jer tapi anak-anak happy. Kat dalam ni ada kolam yang boleh pegang-pegang ikan, ada reptilia, amfibia, then ada jerung, ada piranha dan juga ada 3D animated video. Waktu tu kena pakai cermin mata 3D yang dibekalkan. Cerita dia simple dan pendek jer tapi alhamdulillah mudah difahami dan ada scene yang buat anak-anak terjerit juga la. So, for me...I think its worth it sebab anak-anak happy.
.








Semua khusyuk ya guna cermin mata 3Dtu, kecuali Abi. Sakit mata katanya



Dah settle tangkap gambar baru Mama perasan seksi pula mermaid dia..




Stone Fish. Cuba teka ada berapa ikan dalam tu?

Ini last station, boleh bagi ikan makan. Tapi makanan beli waktu memula nak masuk ya. Dekat kaunter tiket.


.
Keluar jer dr Oceanarium ni, kami masuk studio AVR pula. Okaylah ada main-main visual untuk anak-anak then boleh pula mewarna dinosour then tengok dinosour yang kita warna tu on screen. A bit boring for me sehinggalah dibawa ke last station. Waktu ni dipakaikan spek virtual reality tu then kengkononnya kita ni masuk dalam laut la tengok jerung bagai. Serious memang macam real and terjerit-jerit juga bila ada  jerung dan kita makin jatuh ke laut dalam..huhuhu. Semua enjoy kecuali Wardah yang menangis di tengah-tengah scene tu sebab takut. Alahai...kesian. Tapi overall, I olls suka benda tu dan terasa gian pula. Tapi unfortunately lupa nak tangkap gambar kitaorang waktu tengah pakai tu.
.

Tangkap-tangkap ikan dari visual yang di flash ke lantai.

Warna-warna dinosour kat sini then watch them came alive on screen.


Dinosour hasil tangan anak-anak. Albino. Hahaha
.
Malam tu kami dah penat bukan main, so berhenti makan di Hang Tuah Cafe then balik tidur jer. Anak-anak pun tak susah nak tidur. Rela jer mereka, tanpa disuruh, balik ke hotel, basuh badan, pakai baju tidur dan terus pergi baring atas katil masing-masing. Mama dan Abi layan TV jap 2/3 jam then tewas, tidur juga. Alhamdulillah, selesai day 1. :)
.



p/s: Mak macam biasa, lapar. Lupa tangkap gambar makanan.

.
.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, July 17, 2018

Update Julai 2018

Salam

Banyak sebenarnya yang mahu dicoretkan. Terutamanya tentang corak politik Malaysia ketika ini. Sesiapa yang mengikuti saya di Facebook tentu sahaja 'semangat' saya di sana. Tapi disini, perasaan mahu menulis terlampau banyak sehinggakan saya rasa berat mahu mencoret tentang politik.
.
Alhamdulillah untuk sekian kalinya. Saya sudah pun menamatkan MBA cumanya cita-cita saya mahu bergraduasi terpaksa di pendam kerana yuran sebanyak RM12k yang tertunggak. Tak apa la, bukan rezeki. Mudah-mudahan rezeki untuk menyambung PhD pula dimudahkan. Bolehlah saya membayar hutang dan meneruskan impian untuk menjadi pensyarah. Kadang-kadang sedih, kadang-kadang nak ketawa juga mengenangkan pasal graduasi saya. Asalnya saya tidak memberitahu sesiapa yang saya menyambung pelajaran. Dalam fikiran saya mahu membuat kejutan. Nanti dihujung tahun, saya mahu memuat naik gambar konvokasi sahaja. Surprise!! Begitu bayangan saya. Tengok-tengok. Hahahaha. Konvo pun tidak. Kelakar. Sendiri yang mendapat kejutan. :'D
.
Hurm... Keluarga saya dalam keadaan baik. Anak-anak baru-baru ini menerima keputusan peperiksaan masing-masing. Zahra dan Wardah mencatatkan keputusan cemerlang. Semua A. Haris pula dapat nombor 20/23. Tergelak saya melihat keputusan peperiksaan saya. Tak apa lah sayang, cuba lagi ya. Saya tidak merasakan dia tidak menguasai atau tidak memahami apa yang diajar. Dia cuma tidak fokus dan mahu bermain. Jadinya, sesuka hati dia saja menjawab soalan. Tergelak juga saya tengok jawapan dia sedangkan apa yang ditanya itu semuanya saya sedia maklum dia tahu. Rauhah pula tidak dinilai. Yelah, dia baru 3 tahun dan dimasukkan ke tadika 4 tahun. Tidak ada ujian untuk mereka tapi cikgu-cikgu sangat positif dengan potensi Rauhah. Kata mereka Rauhah anak yang cerdik. Ya, saya akui. Saya dapat melihat betapa geliganya dia. Mungkin kerana terpengaruh dengan kakak-kakak dan abang atau mungkin kerana terlalu awal di hantar ke alam persekolahan. Apa-apa pun, saya bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan.

p/s: Maaf, malas dah. Di lain lebaran. Insyaallah.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Friday, November 6, 2015

Harta Dunia dan Akhirat

Salam

Selain dari menjadi isteri yang suka tergelak dengan lawak suami, selain seorang business woman yang senantiasa busy, saya juga seorang ibu bengis yang penyayang. Huhuhu. Mungkin kerana mahu semuanya perfect atau kadang-kadang expectation yang tinggi, saya tidak dapat menyangkal yang kadang-kadang saya menjadi ibu garang kepada anak-anak kecil ni. Kesian juga mereka, kena live up to the expectation. So saya cuba slow down, dan sentiasa buka ruang untuk memperbaiki diri dengan membaca lebih banyak ilmu dan pengalaman orang ramai yang bermanfaat. Kalau nak ikutkan, sumber di FB juga sudah cukup banyak, salah satunya group Homeschooling Genius Syurga, macam-macam aktiviti yang ibu-ibu di sana kongsikan untuk mengembangkan minda anak-anak. Secara keseluruhannya saya suka.

Kemudian, seperti kebiasaannya Allah memakbulkan doa saya. Sewaktu saya bimbang perniagaan kraftangan tak akan maju, Allah memajukannya dan memberikan saya keuntungan sama seperti rakan-rakan lain yang bekerja dengan kelulusan Ijazah. Alhamdulillah. Dan sebulan dua ini, di saat saya berdoa mahu meluangkan lebih masa berkualiti dengan anak-anak, Allah berikan saya kelapangan masa dan keewangan untuk saya lakukan aktiviti bersama mereka. Malahan, ketika saya membawa mereka keluar bersama menyudahkan urusan kerja saya diluar pun mereka semakin mudah diurus. Jadinya ketika photoshoot tudung, anak-anak saya bawa sama. Hehehe. 

Jadi hari ini niatnya nak tepek gambar anak-anak di blog. :)















Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, February 22, 2015

Mak Ponti


Salam

Ya...tajuk yang agak menyeramkan sesuai dengan perwatakan saya ketika ini. Semenjak dah beranak empat, memang kerja saya menyinga dan terpekik terlolong seperti pontianak sahaja. Sudah la masih dalam pantang, jadi silalah bayangkan sekali dengan rambut yang kusut masai dan mata yang lebam tak cukup tidur. Ramai anak kecil ini memang sangat mencabar, bangun pagi sahaja perlu memandikan 4 orang anak, kemudian makan, kemudian poop-poop dan seterusnya, Jadi semua aktiviti itu perlu dibuat 4 kali. Mana tak kepenatan.

Biar saya bagi kronologi pendek..

Bangun pagi, mandikan Zahra...siapkan dia untuk ke Tadika. Dalam tengah siap-siap tu tiba-tiba Wardah mengadu cakap dia poop-poop, so bersegeralah saya ke bilik air menyelesaikan Wardah. Dah alang-alang tu, mandikan jer terus. Belum sempat Wardah habis mandi, Haris dah start mengamuk di pintu bilik air, dia pun nak mandi juga. Ok, mandikan la juga. Selesai mandi, pakaikan baju dengan keadaan terjerit-jeirt sebab Haris akan berlari sana sini, risau pula belum sempat pakai pampers dia dah kencing. Nanti tambah pula 1 kerja. Selesai pakai baju budak 2 orang tu, Zahra yang dah siap pakai baju sekolah datang bagitau yang dia pun poop-poop. Ish! Kenapa la tak poop-poop sebelum mandi tadi? Tapi itulah, benda2 alami macam tu, kita hanya merancang....Allah juga yang menentukan. Basuh la Zahra pula sambil dengar sayup-sayup dalam bilik suara Rauhah menangis. Disebabkan takut Zahra  lambat ke sekolah, terpaksa buat tak tahu pada tangisan Rauhah dan laju-laju siapkan Zahra. Time siapkan bekalan air untuk Zahra, wajib juga buat satu lagi bekal air untuk Wardah supaya tak berebut dan 1 botol susu untuk Haris sebab dia dah start dah nak minum susu. Pastu sambung lagi jerit-jerit minta Zahra pakai kasut dan dalam masa yang sama jerit-jerit lagi marahkan Wardah yang sibuk nak mengikut dan Haris yang nak MAKAN kasut. Bila Zahra dah ke Tadika, barulah jenguk Rauhah yang dah makin lantang tangisan dia. Susukan dia sambil buat-buat tak dengar pada tangisan Wardah yang masih bersisa nak ikut Zahra ke sekolah. 5 minit lepas tu, barulah Haris dan Wardah main-main sendiri dan barulah saya boleh menyusu Rauhah dengan tenang dan aman.

Ya...itu baru cerita satu pagi. Belum lagi cerita tengah hari, petang dan yang paling hectic..malam, waktu mereka semua perlu dimandikan, diberi makan dan kemudian di tidurkan,. Masyaallah, sibuk sangat rasanya dengan 4 orang anak yang semuanya kecil-kecil lagi dan perlukan kita untuk uruskan semua perihal kehidupan mereka. Kalau ada seorang dua yang pandai mengurus diri mungkin ringan sikit tapi semua anak-anak ini belum berdikari, jadi sayalah yang bertungkus lumus selesaikan semuanya.

Bila keluar berjalan, ramai yang tegur sebab semua kecik-kecik lagi, setahun seorang. Untuk yang faham dengan hakikat anak-anak kecik ini, mereka akan mengangguk dengan wajah yang tersirat banyak makna...ada juga yang cuba mengubat hati saya dengan memberitahu, "Anak rapat-rapat ini tak apa, besar sekaligus. Sekarang penatlah, nanti bila mereka dah besar lega, dah tak ada yang kecil". Kalau bertembung dengan mereka yang tidak faham (mungkin belum berkahwin atau berkahwin tapi belum punya anak atau berkahwin tapi anak sorang atau berkahwin dan punya anak dengan jarak umur yang agak jauh), repond mereka selalunya berbeza dan berbunyi, "Setahun seorang? Bestnya!!'.

Jangan salah faham ya, saya bukan tidak gembira dikurniakan anak yang ramai dengan jarak yang dekat-dekat. Saya gembira malahan teramat bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan ini. Cumanya proses mendidik dan membesarkan anak-anak ini agak memenatkan. Ada masa (ketika sedang berehat selalunya) saya terubat dengan kata-kata yang dihulurkan dan berfikir, anak-anak ini, ketika kecil beginilah kita boleh menyayangi dan memanjakan mereka sebegini. Boleh dipeluk dan dicium sesuka hati. Nanti bila dah besar, cara sayang kenalah berbeza mengikut usia mereka. Ada masanya (ketika penat selalunya) pula, saya akan berfikir begini...lelah menjaga anak rapat-rapat ini. Nanti semua sekaligus, semua masuk sekolah...semualah perlu disiapkan ke sekolah. Semua nak masuk asrama, semualah perlu dibeli keperluan asrama, semua nak masuk universiti, semualah perlu disiapkan barangan universiti dan bila semua sudah bersedia untuk berkahwin, maka semualah perlu dikahwinkan. Havoc! Hahahaha :D

Jadi...sekali lagi, jangan salah faham dengan post ini. Saya bukan tidak bahagia mempunyai anak ramai. Saya bahagia dan bersyukur. Malah boleh dikatakan, sayalah pontianak yang sering mengilai tetapi tetap bahagia walaupun menyinga di kebanyakan masa. ^_^'




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, December 21, 2014

Nukilan Untuk Anak-Anak (Part 1)

Salam

Dalam keadaan emosi dan kesihatan yang tidak stabil ini, ada ketikanya saya terasa mahu menulis surat untuk setiap anak-anak. Mengambil ilham dari cerita Kuch Kuch Hota Hai, bolehlah nanti (sekiranya saya mati), anak-anak membacanya setiap kali hari lahir mereka. Tapi memandangkan saya punya 4 orang anak dan mahu menulis 18 surat (1 surat untuk setiap kelahiran sehingga usia 18 tahun), tinggi juga komitmen yang diperlukan tu. Jenuh dibuatnya. Sudahnya, saya membuat keputusan untuk menulis disini, sedikit pesanan agar menjadi pedoman, pengubat kerinduan dan penguat semangat.

*Untuk tatapan anak-anak seandainya umur Mama tidak sepanjang yang dihajati. Selamat menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim dan pejuang agama Islam. Semoga menjadi bekalan untuk Mama dan Abi.

Zahratul Iman.

Anak sulung Mama yang sangat-sangat boleh diharap. Mama tahu dewasa nanti Zahra akan menjadi wanita yang gigih dan kuat semangat. Mama melihat sendiri perwatakan itu kian tumbuh dalam diri Zahra. Apa sahaja yang Zahra mahukan, memang Zahra akan berusaha dengan bersungguh-sungguh. Tiga hari yang lepas, Mama berjanji pada Zahra, kalau Zahra mampu menghafal Al Fatihah dengan baik, kita akan ke Toys R Us dan Zahra boleh memilih apa sahaja mainan yang Zahra mahu dan Mama akan membelikannya. Percaya atau tidak, hari ini, dengan kebijaksanaan dan kegigihan yang ada pada Zahra, Mama boleh katakan 90% sudah pun Zahra hafal. Hanya 2 ayat sahaja yang Zahra masih keliru. Insyaallah, esok atau lusa, tentu Zahra sudah boleh menguasainya dengan baik.

Zahra, jadilah wanita yang solehah, yang bermanfaat kepada masyarakat. Harapan Mama mahukan anak-anak Mama menjadi hafiz/hafizah tapi seandainya Mama pergi, harapan ini Mama utamakan pada anak lelaki sahaja dulu. Bimbang Abi terbeban dengan tanggungjawab yang tergalas. Jadi, untuk Zahra, Mama harap Zahra jangan sesekali tinggal solat dan jadikan Al Quran sebagai pedoman. Mama mungkin tidak ada bersama Zahra menempuhi kedewasaan, bersama-sama berkongsi rasa murung kerana datang bulan atau rasa hati yang berbunga-bunga tatkala Zahra mahu mendirikan rumah tangga. Ketahuilah, andai umur ini panjang, segala rasa hati Zahra, susah mahupun senang, Mama mahu kongsi bersama. Mama mahu menjadi ibu yang Zahra boleh telefon bila-bila masa sahaja untuk bertanyakan pendapat, baik dari segi akademik ataupun peribadi. Mungkin Mama tidak begitu faham dengan situasi Zahra ketika itu tapi Mama tetap mahu memberi kata-kata yang membuatkan Zahra tahu, Mama sentiasa ada untuk Zahra.

Zahra, menjadi anak sulung bukan perkara mudah. Seawal usia 1 tahun 4 bulan Zahra sudah menerima adik. Ramai yang kasihankan Zahra, kata mereka Zahra terpaksa berkongsi kasih. Sungguh, kata-kata itu hanya datang dari mereka yang belum bergelar ibu kerana seorang ibu pastinya tahu, kasih sayang seorang ibu itu tidak mungkin berbahagi. Mama sangat sayangkan Zahra sehingga sering kali juga Mama dan Mamatok berbalah kerana Mamatok ketika itu lebih suka Zahra tinggal bersamanya dan sedikit sebanyak Zahra lebih berkecenderungan berada di rumah Mamatok berbanding bersama Mama. Ketika di dalam pantang, kata-kata Mamatok yang Zahra lebih sayangkan Mamatok berbanding Mama sangat memberi kesan pada Mama. Mama menangis dan mengambil keputusan untuk tidak lagi membiarkan Mamatok menjaga Zahra. Dengan segala kemampuan yang ada ketika itu, Mama kuatkan semangat dan menjaga Zahra sebaik mungkin. Alhamdulillah, Mama melihat perubahan Zahra lebih positif, Zahra mula menunjukkan kasih sayang pada Abi dan Mama; gembira melihat Abi dan Mama balik dari kelas, berkeras mahu tidur dengan Mama dan sebagainya. Kenapa Mama ceritakan semua ini? Kerana Mama mahu Zahra tahu, Mama sayangkan Zahra sangat-sangat.

Mama harap sangat Allah memberikan Mama umur yang panjang untuk Mama didik anak-anak dan berkhidmat sebagai isteri dan menyokong perjuangan Abi. Tapi andai takdir tidak menyebelahi Mama, Zahra janganlah putus harapan. Teruskan hidup dengan baik dan kenanglah Mama dalam setiap tadahan doa Zahra. Jangan sesekali rasa sendiri, sebelum Zahra lahir ke dunia lagi Mama sudah mula menitipkan doa buat Zahra agar Allah sentiasa melimpahi Zahra dengan kasih sayang dan lorongkan Zahra ke jalan yang betul. Mama yakin dengan doa Mama dan bersangka baik dengan Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Mama harap Zahra juga begitu. Letakkan Allah di dalah hati dan sentiasalah bersama agamaNya dalam apa jua yang Zahra lakukan, insyaallah, setiap langkah yang Zahra ambil kerana Allah, ada redha Mama bersama. 

Oh ya, sepanjang Mama sakit mengandungkan Zahra dan adik-adik, saat Mama bersedih kerana susah mahu menamatkan pelajaran, ketika Mama kemurungan dengan dugaan dari keluarga dan rakan-rakan, Abi adalah insan yang paling membantu dan menyayangi Mama. Mama amat berharap Zahra akan membalas kebaikan Abi ini dengan sentiasa menjadikan Abi sebahagian dari hidup Zahra. Sungguh Mama katakan, tidak berlebihan untuk Mama beritahu Zahra, kasih sayang Abi terhadap Zahra dan adik-adik adalah kasih sayang ayah yang paling agung pernah Mama lihat disepanjang kehidupan Mama. Hargailah Abi ya Zahra.

p/s: Sehingga ke saat ini, Mama masih berdoa agar dipanjangkan umur dan diberi kesempatan untuk melihat anak-anak membesar di depan mata. Mama mahu bersama Zahra dan adik-adik menjalani kehidupan yang pelbagai liku. Mama mahu menjadi isteri terbaik buat Abi seperti mana Abi mencurahkan kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi pada Mama. Semoga Allah perkenankan doa Mama. Ameen.

p/s: Semoga kita semua bertemu di syurga sayang~



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, October 14, 2014

Kerana Rahmat Allah

Salam

Susah sekarang ini saya nak mencari masa nak menulis di blog. Anak-anak yang semakin menuntut perhatian dan sememangnya perlu diberi perhatian, ditambah pula dengan keadaan saya selalunya penat tidak bertenaga. Sekalipun anak-anak itu saya usahakan tidur sekaligus (semua tidur dalam 1 masa), saya tetap tidak dapat menggunakan waktu itu untuk menulis. Kebanyakan masa, ketika mereka tidurlah saya juga tidur dan berehat. Susah nak menjelaskan bagaimana penat mengandung 4 tahun berturut-turut ni. Serasanya memang tak ada orang yang akan faham bagaimana rasanya. Siapa yang faham, bangun tidur, mandi dan tiba-tiba kena duduk diam semula kerana keletihan. Eh, kau penat sebab apa? Mandi ke? Bukankah sukar difahami kepenatan itu..

Apa-apa pun syukur alhamdulillah, Allah hadirkan suami yang terbaik untuk saya. Yang sentiasa bersedia untuk on call bila terpaksa bekorban untuk saya dan anak-anak. Bangun sahaja tidur, dialah yang mengemas rumah, menyediakan sarapan, mempersiapkan anak-nak, menjemur dan membasuh baju sebelum dia kemudiannya bergegas menyiapkan diri untuk bekerja. Semua ini selalunya selesai pada waktu tengah hari, bermakna tengah hari barulah bermula kehidupan dia sebagai suami pula (sebelum ini seperti isteri dan ibu). Tengah hari itulah dia keluar mencari rezeki dan menulis thesis PhD nya yang masih berbaki. Itu kalau saya tidak menganggunya dengan SMS berbentuk rayuan mahu dia pulang kerana saya keletihan menjaga anak atau sakit-sakit badan tidak memasal. Dia akan pulang setelah membalas SMS saya dengan kata-kata yang baik dan menyentuh hati. Memujuk saya agar tidak susah hati, ini ujian kita bersama dan apa yang terjadi bukanlah salah siapa. Terharu kan?












Melalui anak-anak dan suami lah saya dapat merasakan betapa besarnya rahmat Allah. Rahmat Allah yang sampai kepada manusia hina seperti saya. Selalu sahaja leka dan bergelumang dengan dosa tapi Allah tetap juga menyampaikan rahmatNya. Kasih sayang dan kebahagiaan yang saya perolehi dari suami dan anak-anak. Terima kasih Allah. Tetapkanlah hati kami di jalanMu, berikanlah kami khusnul khatimah dan temukanlah kami semula di surgaMu. Ameen.

p/s: Rasa macam tiba-tiba jer post ni berakhir? Maaflah, tiba-tiba jer penat. -_-'




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...