Sunday, December 21, 2014

Nukilan Untuk Anak-Anak (Part 1)

Salam

Dalam keadaan emosi dan kesihatan yang tidak stabil ini, ada ketikanya saya terasa mahu menulis surat untuk setiap anak-anak. Mengambil ilham dari cerita Kuch Kuch Hota Hai, bolehlah nanti (sekiranya saya mati), anak-anak membacanya setiap kali hari lahir mereka. Tapi memandangkan saya punya 4 orang anak dan mahu menulis 18 surat (1 surat untuk setiap kelahiran sehingga usia 18 tahun), tinggi juga komitmen yang diperlukan tu. Jenuh dibuatnya. Sudahnya, saya membuat keputusan untuk menulis disini, sedikit pesanan agar menjadi pedoman, pengubat kerinduan dan penguat semangat.

*Untuk tatapan anak-anak seandainya umur Mama tidak sepanjang yang dihajati. Selamat menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim dan pejuang agama Islam. Semoga menjadi bekalan untuk Mama dan Abi.

Zahratul Iman.

Anak sulung Mama yang sangat-sangat boleh diharap. Mama tahu dewasa nanti Zahra akan menjadi wanita yang gigih dan kuat semangat. Mama melihat sendiri perwatakan itu kian tumbuh dalam diri Zahra. Apa sahaja yang Zahra mahukan, memang Zahra akan berusaha dengan bersungguh-sungguh. Tiga hari yang lepas, Mama berjanji pada Zahra, kalau Zahra mampu menghafal Al Fatihah dengan baik, kita akan ke Toys R Us dan Zahra boleh memilih apa sahaja mainan yang Zahra mahu dan Mama akan membelikannya. Percaya atau tidak, hari ini, dengan kebijaksanaan dan kegigihan yang ada pada Zahra, Mama boleh katakan 90% sudah pun Zahra hafal. Hanya 2 ayat sahaja yang Zahra masih keliru. Insyaallah, esok atau lusa, tentu Zahra sudah boleh menguasainya dengan baik.

Zahra, jadilah wanita yang solehah, yang bermanfaat kepada masyarakat. Harapan Mama mahukan anak-anak Mama menjadi hafiz/hafizah tapi seandainya Mama pergi, harapan ini Mama utamakan pada anak lelaki sahaja dulu. Bimbang Abi terbeban dengan tanggungjawab yang tergalas. Jadi, untuk Zahra, Mama harap Zahra jangan sesekali tinggal solat dan jadikan Al Quran sebagai pedoman. Mama mungkin tidak ada bersama Zahra menempuhi kedewasaan, bersama-sama berkongsi rasa murung kerana datang bulan atau rasa hati yang berbunga-bunga tatkala Zahra mahu mendirikan rumah tangga. Ketahuilah, andai umur ini panjang, segala rasa hati Zahra, susah mahupun senang, Mama mahu kongsi bersama. Mama mahu menjadi ibu yang Zahra boleh telefon bila-bila masa sahaja untuk bertanyakan pendapat, baik dari segi akademik ataupun peribadi. Mungkin Mama tidak begitu faham dengan situasi Zahra ketika itu tapi Mama tetap mahu memberi kata-kata yang membuatkan Zahra tahu, Mama sentiasa ada untuk Zahra.

Zahra, menjadi anak sulung bukan perkara mudah. Seawal usia 1 tahun 4 bulan Zahra sudah menerima adik. Ramai yang kasihankan Zahra, kata mereka Zahra terpaksa berkongsi kasih. Sungguh, kata-kata itu hanya datang dari mereka yang belum bergelar ibu kerana seorang ibu pastinya tahu, kasih sayang seorang ibu itu tidak mungkin berbahagi. Mama sangat sayangkan Zahra sehingga sering kali juga Mama dan Mamatok berbalah kerana Mamatok ketika itu lebih suka Zahra tinggal bersamanya dan sedikit sebanyak Zahra lebih berkecenderungan berada di rumah Mamatok berbanding bersama Mama. Ketika di dalam pantang, kata-kata Mamatok yang Zahra lebih sayangkan Mamatok berbanding Mama sangat memberi kesan pada Mama. Mama menangis dan mengambil keputusan untuk tidak lagi membiarkan Mamatok menjaga Zahra. Dengan segala kemampuan yang ada ketika itu, Mama kuatkan semangat dan menjaga Zahra sebaik mungkin. Alhamdulillah, Mama melihat perubahan Zahra lebih positif, Zahra mula menunjukkan kasih sayang pada Abi dan Mama; gembira melihat Abi dan Mama balik dari kelas, berkeras mahu tidur dengan Mama dan sebagainya. Kenapa Mama ceritakan semua ini? Kerana Mama mahu Zahra tahu, Mama sayangkan Zahra sangat-sangat.

Mama harap sangat Allah memberikan Mama umur yang panjang untuk Mama didik anak-anak dan berkhidmat sebagai isteri dan menyokong perjuangan Abi. Tapi andai takdir tidak menyebelahi Mama, Zahra janganlah putus harapan. Teruskan hidup dengan baik dan kenanglah Mama dalam setiap tadahan doa Zahra. Jangan sesekali rasa sendiri, sebelum Zahra lahir ke dunia lagi Mama sudah mula menitipkan doa buat Zahra agar Allah sentiasa melimpahi Zahra dengan kasih sayang dan lorongkan Zahra ke jalan yang betul. Mama yakin dengan doa Mama dan bersangka baik dengan Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Mama harap Zahra juga begitu. Letakkan Allah di dalah hati dan sentiasalah bersama agamaNya dalam apa jua yang Zahra lakukan, insyaallah, setiap langkah yang Zahra ambil kerana Allah, ada redha Mama bersama. 

Oh ya, sepanjang Mama sakit mengandungkan Zahra dan adik-adik, saat Mama bersedih kerana susah mahu menamatkan pelajaran, ketika Mama kemurungan dengan dugaan dari keluarga dan rakan-rakan, Abi adalah insan yang paling membantu dan menyayangi Mama. Mama amat berharap Zahra akan membalas kebaikan Abi ini dengan sentiasa menjadikan Abi sebahagian dari hidup Zahra. Sungguh Mama katakan, tidak berlebihan untuk Mama beritahu Zahra, kasih sayang Abi terhadap Zahra dan adik-adik adalah kasih sayang ayah yang paling agung pernah Mama lihat disepanjang kehidupan Mama. Hargailah Abi ya Zahra.

p/s: Sehingga ke saat ini, Mama masih berdoa agar dipanjangkan umur dan diberi kesempatan untuk melihat anak-anak membesar di depan mata. Mama mahu bersama Zahra dan adik-adik menjalani kehidupan yang pelbagai liku. Mama mahu menjadi isteri terbaik buat Abi seperti mana Abi mencurahkan kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi pada Mama. Semoga Allah perkenankan doa Mama. Ameen.

p/s: Semoga kita semua bertemu di syurga sayang~



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...