Showing posts with label Syurga Cinta. Show all posts
Showing posts with label Syurga Cinta. Show all posts

Friday, August 9, 2019

Holiday Melaka 2019

Salam

Sejujurnya dah banyak kali berkunjung ke Melaka tapi semuanya atas urusan kerja jadinya belum lagi berkesempatan untuk betul-betul menikmati Melaka. Alhamdulillah,minggu lepas kami meluangkan masa,suami mengambil cuti untuk menghiburkan anak-anak. 
.
Kali ini kami memilih untuk menginap di Mahkotal Hotel. Asalnya mahu mencari apartment hotel, lebih selesa untuk keluarga ramai anak kecil ni. Yela, hotel biasa, 1 bilik dan 1 katil sahaja, anak-anak biasanya kami bentangkan tilam sahaja. Tapi demi tujuan percutian kali ini yang mahu menghiburkan anak-anak, kami cari hotel yang sedikit besar. Besar tak besar, tetap juga kami cari yang paling murah. Jauh bezanya tau harga yang ditawarkan di Trivago berbanding dengan harga hotel. Di Trivago, harga yang kami dapat ialah RM404 untuk 2 malam manakala harga yang ditawarkan oleh pihak hotel (tempahan melalui telefon) RM412/malam. Jauh kan beza dia? Tapi kami sedikit kesal sebenarnya menetap di sana kerana Mahkota Hotel and Apartment merupakan hotel lama yang tidak dinaik taraf. Sedih sungguh melihat almari yang patah dan ruang aircond yang seperti berhantu itu. Kesal. Kalau tahu sebegini rupa hotel, mungkin kami lebih sanggup invest lebih banyak untuk hotel yang lebih baik.
.
Hari pertama kami tiba jam 3pm. Anak-anak macam biasa, asal tidur hotel jer mereka dah cukup excited. Kami ke destinasi pertama yang viral di internet. Mee Sup Tengkera. Hurm...komen pertama saya..jangan cepat percaya dengan benda-benda viral. Hahaha. Kuahnya agak cair dan saya rasakan seperti ianya hanya campuran air dan ajinomoto sahaja. Pendek kata, bukan taste saya dan suami. Tapi melihatkan ramai pengunjung, mungkin taste sahaja berbeza. Jadi kalau mahu cuba juga, no harm. Tapi recommendation saya, tak perlu pun. Kecuali kalau nak pergi tu untuk makan Popia dia, yes...yang ni memang sedap. Kami hanya order sepinggan sahaja, tak tahu pula sedap. Nak order pinggan kedua, habis pula. Menyesal sungguh. Huhuhu.
.



p/s: Gambar ehsan google ya. Lupa nak tangkap gambar.
.
Selesai makan kami ke The Shore Oceanarium. Menarik. Lebih kurang macam Aquria KLCC juga tapi lebih kecil dan tiket yang lebih murah. Murah sikit jer la. Huhuhu.RM30 untuk kanak-kanak 3 hingga 12 tahun dan RM40 untuk dewasa. Kat sini memang anak-anak enjoy. tengok hidupan laut memang mengasyikkan, betul-betul buat kita mengagumi ciptaan Allah. Kami juga dibekalkan dengan kaca mata 3D dan sekeping kertas Trivia. Jadi sepanjang berjalan-jalan di dalam tu, sambil-sambil baca fakta-fakta menarik, bolehlah jawab Trivia tersebut. Untuk kesemua jawapan yang betul,dapat cenderahati tambahan katanya. Jadi balik tu, dapatlah kenang-kenagan...fridge magnet, keychain dan button badge. Simple jer tapi anak-anak happy. Kat dalam ni ada kolam yang boleh pegang-pegang ikan, ada reptilia, amfibia, then ada jerung, ada piranha dan juga ada 3D animated video. Waktu tu kena pakai cermin mata 3D yang dibekalkan. Cerita dia simple dan pendek jer tapi alhamdulillah mudah difahami dan ada scene yang buat anak-anak terjerit juga la. So, for me...I think its worth it sebab anak-anak happy.
.








Semua khusyuk ya guna cermin mata 3Dtu, kecuali Abi. Sakit mata katanya



Dah settle tangkap gambar baru Mama perasan seksi pula mermaid dia..




Stone Fish. Cuba teka ada berapa ikan dalam tu?

Ini last station, boleh bagi ikan makan. Tapi makanan beli waktu memula nak masuk ya. Dekat kaunter tiket.


.
Keluar jer dr Oceanarium ni, kami masuk studio AVR pula. Okaylah ada main-main visual untuk anak-anak then boleh pula mewarna dinosour then tengok dinosour yang kita warna tu on screen. A bit boring for me sehinggalah dibawa ke last station. Waktu ni dipakaikan spek virtual reality tu then kengkononnya kita ni masuk dalam laut la tengok jerung bagai. Serious memang macam real and terjerit-jerit juga bila ada  jerung dan kita makin jatuh ke laut dalam..huhuhu. Semua enjoy kecuali Wardah yang menangis di tengah-tengah scene tu sebab takut. Alahai...kesian. Tapi overall, I olls suka benda tu dan terasa gian pula. Tapi unfortunately lupa nak tangkap gambar kitaorang waktu tengah pakai tu.
.

Tangkap-tangkap ikan dari visual yang di flash ke lantai.

Warna-warna dinosour kat sini then watch them came alive on screen.


Dinosour hasil tangan anak-anak. Albino. Hahaha
.
Malam tu kami dah penat bukan main, so berhenti makan di Hang Tuah Cafe then balik tidur jer. Anak-anak pun tak susah nak tidur. Rela jer mereka, tanpa disuruh, balik ke hotel, basuh badan, pakai baju tidur dan terus pergi baring atas katil masing-masing. Mama dan Abi layan TV jap 2/3 jam then tewas, tidur juga. Alhamdulillah, selesai day 1. :)
.



p/s: Mak macam biasa, lapar. Lupa tangkap gambar makanan.

.
.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Saturday, February 11, 2017

Doa Akhirat Melebihi Dunia

Salam

Bila berada dalam kerata bersama dengan suami, itulah tempat paling banyak saya menerima tazkirah dari dia. Alhamdulillah, kadang-kadang tazkirah ringan sebegini buat saya insaf dan terharu. Pernah sekali waktu saya sedang bersedih dan menceritakannya kepada suami, suami membacakan satu keratan ayat Al Quran kepada saya. Automatik saya menangis. Sungguh ayat itu menyentuh hati saya kerana ayat itu terasa seperti ditujukan untuk saya. Mendengar ayat itu sahaja saya rasa Allah faham hati saya, Allah faham kebimbangan dan kesedihan saya. Allahu, begitu terkesan sekali saya waktu itu. Sebab itulah saya sangat menghargai waktu perjalanan di dalam kereta bersama suami, lebih-lebih lagi untuk perjalanan jauh. Banyak perkara yang dikongsikan dan semuanya menenangkan dan memberi kelegaan.

Pernah sekali kami berbincang tentang berniaga zaman sekarang....kerana sekarang ini semua orang mahu menceburi bidang perniagaan kerana ianya dianjurkan dalam Islam. Malah ada yang mengatakan kerana mengikut sunnah (sunnah ada beberapa tahap ya, itu saya akan kongsikan di lain post. Insyaallah) Nabi. Alhamdulillah, bagus sebenarnya mempunyai perniagaan sendiri yang digunakan untuk menampung keluarga, yang boleh diwariskan dan yang paling penting memperkasakan ekonomi orang Islam. Malah Saidina Ali pernah berkata, "Jika kefakiran itu adalah seorang remaja lelaki, maka aku akan membunuhnya", begitu sekali tuntutan kita orang Islam agar tidak hidup dalam kefakiran kerana bimbang dari kefakiran itu timbul perkara maksiat yang dibenci agama. Masyaallah. Semoga kalian semua maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

Cuma apa yang dibimbangkan sekarang ini, orang kita terlampau mengagungkan duit. Malah ikon hartawan kita puja dan jadikan idola. Tidak salah sebenarnya sebagai tujuan motivasi tapi cuba periksa kembali, betulkah kita sekadar menjadikan mereka sebagai motivasi atau kita sudah pun melebihi batas dengan mengagungkan mereka sehingga kesalahan-kesalahan mereka pun kita takrifkan dan rasionalkan supaya betul dan diterima masyarakat. Lebih menyedihkan, kita sudah menukar definisi kejayaan itu sendiri. Asal ada duit sahaja dikira berjaya. Kau jutawan, kau hartwan, kau berjaya. Sudahnya yang berilmu dan berpendidikan ini, selagi duit bulanan tidak mencecah puluhan ribu ringgit kita anggap gagal. Malah ada yang menjual kata-kata seperti, "Tidak perlu pandai atau cemerlang SPM pun boleh jadi kaya raya", ayat biasa digunakan untuk pemasaran MLM. Sampai begitu sekali matlamat kita mahu menjadi kaya sedangkan tuntutan menuntut ilmu tu sangat banyak dan ditegaskan dalam Islam.

Jangan kawan-kawan, harta di dunia ini sementara. Saya tidak nafikan keperluan yang mendesak dan keseronokan yang bakal dikecapi kalau banyak duit. Saya tahu dan saya mengakuinya. Siapa yang tak nak banyak duit tapi marilah kita bersama-sama perbaiki niat dan cara kita. Ada yang memberitahu, "Apa salahnya banyak duit, dulu Saidina Umar pun kaya raya. Kita pun mahu jadi macam tu". Betul tu, Saidina Umar memang kaya raya sehinggakan sewaktu Nabi SAW mahu ke medan perang, beliau mampu menghadiahkan unta sebagai pengangkutan untuk ke medan perang. Betapa kayanya beliau waktu itu. Tapi cuba kita tengok betul-betul, adakah Saidina Umar menjadi kaya kerana dia menjadikan hartawan lain sebagai idola? Adakah dia menjadi kaya kerana dia berusaha keras mahu menjadi kaya? Siang dan malam tentang kekayaan sahaja dalam kepalanya? Tidak. Saidina Umar itu langsung tidak mengejar dunia, dia mencita-citakan akhirat...mencintai akhirat, dan kemudian Allah datangkan 'dunia' untuknya.

Dan pesan suami yang kemudiannya mengetuk hati saya dengan lebih kuat ialah apabila dia memberitahu saya, "Boleh...mintalah sebanyak mana pun nikmat dunia yang awak mahukan, tapi kemudian mintalah akhirat melebihi dunia seperti mana Rasulullah SAW mengajar kita melalui doa:


 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
"Ya Allah, berikanlah kami kebaikan di dunia, dan berikan pula kebaikan di akhirat dan lindungilah kami dari seksaan api neraka"

Kita memohon kebaikan di dunia (nikmat dunia) dan kemudiannya memohon perihal akhirat dua kali ganda dengan meminta kebaikan di akhirat dan dijauhkan dari seksaan api neraka" Allahu, saya membacanya setiap hari tapi tidak terfikir tentang ini. Insaf lagi. Syukur ke hadrat Allah yang sentiasa menghantar pesanan buat saya melalui suami dan sebagainya. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dipelihara Allah dari kelalaian. Nikmat dunia ini memang memabukkan, ilmulah yang akan membantu kita membendungnya, yang akan membantu kita dari terus hanyut dan lalai dari mengingati Allah. Jom sama-sama kita perbaiki diri, perbetulkan niat dan matlamat...dan kemudian pohon pada Allah 2x ganda nikmat akhirat yang berpanjangan berbanding nikmat dunia yang kita perolehi. Semoga Allah memasukkan kita semua ke dalam syurga dengan rahmatNya. Ameen.

p/s: Ingat, minta dunia 1, minta akhirat 2. ^_^


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Thursday, October 13, 2016

Doktor Pujaan Hati

Salam

Dulu sewaktu di sekolah menengah saya bercita-cita untuk menjadi seorang doktor pakar bedah jantung. Minatnya saya pada jantung waktu itu, sehingga saya mampu melukis anatomi jantung dengan baik termasuk mengingati bagaimana aliran oksigen dan darah di dalam jantung. Saya boleh melabel struktur jantung dengan baik dan menghafal kepentingan setiap struktur tersebut. Sebegitu sekali saya meminati jantung.

Sayangnya minat saya hanya pada jantung dan Biologi sahaja. Fizik dan Kimia saya tidak ambil peduli. Pada saya Fizik membosankan. Untuk apa saya mempelajari perihal kelajuan, daya dan sebagainya sedangkan saya tidak memerlukannya dalam kehidupan. Berbeza dengan Kimia, saya rasa seperti punya keperluan memahaminya...sekurang-kurangnya saya fikir sebagai seorang doktor saya perlu ada asas Kimia untuk tahu kandungan ubat...atau pun untuk mencipta ubat. Malangnya pada saya, Kimia terlampau rumit. Formula dalam jadual yang berpetak-petak itu sungguh susah untuk dihafal.

Jadi....waktu keputusan SPM keluar...keputusan Kimia dan Fizik saya teruk. Maka terkuburlah impian saya untuk menjadi doktor pakar bedah. Dengan keputusan Fizik dan Kimia sebegitu saya tahu, saya tidak mungkin diterima masuk ke mana-mana universiti untuk melanjutkan pengajian sebagai seorang pelajar kedoktoran.

Jadi saya menukar cita-cita.

Saya mahu berkahwin dengan doktor. Tidak kiralah doktor apa pun, asalkan doktor. Begitu mudah saya rumuskan hidup saya setelah gagal menjadi doktor. Pada saya...kebahagiaan menjadi doktor dapat ditukar ganti dengan kebahagiaan mengahwini seorang doktor. Dan...impian budak hingusan itu Allah makbulkan. Insyaallah, esok suami saya akan menempuhi pembentangan tesis (viva) PhD nya dan akan bergelar doktor falsafah, insyaallah!

Terima kasih Allah kerana mengabulkan impian saya untuk berkahwin dengan seorang doktor. Bukan itu sahaja, melalui doktor ini...dia telah banyak mengubati hati saya, menceriakan hidup saya dan menjadikan saya ibu dan isteri yang gembira. Semoga jodoh saya dengan Dr. Ahmad Izzuddin b. Abu Bakar kekal hingga syurga. Ameen!



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Saturday, January 31, 2015

Cahaya Mata Ke Empat

Salam

Syukur ke hadrat Illahi yang telah memperkenankan doa-doa saya. Hari Ahad, 18 Januari 2015 saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan jam 6:25 pagi seberat 4.09kg. Hanya kepada Allah saya panjatkan kesyukuran saat saya masih mampu menghela nafas setelah berhempas pulas bertarung nyawa melahirkan seorang lagi cahaya mata ke dunia ini. Sekali lagi saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga tatkala mata saya melihat bayi comel yang cukup sempurna itu disambut seorang staff nurse. Dan di dalam keadaan cemas itu, saya mendengar tangisannya yang mengandungi sendu dan keluh kesah saya selama ini.



Air mata saya mengalir, semuanya bercampur baur antara sakit yang masih bersisa dan rasa gembira dapat menyambung perjalanan saya di dunia yang sementara. Terus rasa rindu menyelinap pada anak-anak yang setia menanti di rumah. Meninggalkan mereka tanpa mengucapkan selamat tinggal menjadikan hati saya haru namun dalam masa yang sama saya tidak mahu menganggu  tidur mereka, bimbang mereka akan menangis ditinggalkan. Tangisan itu juga akan membuatkan saya berat hati dan bimbang.

Alhamdulillah, waktu singkat yang berlalu terlalu perlahan itu berakhir dan semuanya baik-baik belaka. Saya tenung wajah bayi comel yang masih kemerah-merahan, ubun-ubunya saya usap, sungguh proses melahirkan kali ini Allah uji. Namun disebalik ujian itu Allah kurniakan saya nikmat yang besar....umur untuk saya manfaatkan, umur untuk saya teruskan perjuangan. Semoga saya ditunjukkan jalan yang lurus, semoga hati saya ditetapkan di jalan Allah. Zahratul Iman, Wardatul Islam, Izzul Haris dan bayi comel; Rauhatul Jannah...semoga kalian berjaya Mama didik menjadi khalifah yang soleh dan muslih di muka bumi ini. Ameen.





Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Thursday, December 25, 2014

Nukilan Cinta Untuk Suami

Salam

Sama seperti post untuk anak-anak, post ini saya tulis dengan harapan ianya menjadi penguat semangat dan pengubat rindu untuk awak andai perkara terburuk yang paling kita takuti ketika ini berlaku juga. Nauzubillah, semoga Allah perkenankan doa kita berdua.

Siapa sangka, perjumpaan singkat pada hari pertama itu bakal menimbulkan cinta sebegini hebat. Saya selalu terfikir bagaimana awak boleh sayangkan saya sebegini rupa walaupun mengenali saya dalam masa yang singkat (4 tahun usia perkahwinan). Sudahlah itu, perkenalan kita pula bermula selepas kita mendirikan rumah tangga di mana ketika itulah segala yang buruk dan lemah akan kelihatan. Tetap juga saya lihat kasih sayang awak terhadap saya melimpah ruah. Terima kasih untuk sekeping hati yang tersangat tulus dan penuh dengan kasih sayang itu. Sungguh, sesiapa yang merahmati penduduk bumi, penduduk di langit akan merahmatinya. Dan saya yakin, awak dirahmati para penduduk langit, lebih-lebih lagi yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Insyaallah.

Selalu saja kita melalui ujian bersama-sama dan setakat ini, inilah ujian terkuat kita. Dalam segala kesempitan masa, wang dan ruang, Allah uji juga dengan kesempitan kesihatan walaupun usia masih lagi muda. Saya mohon maaf atas segala kesukaran yang awak hadapi dalam menempuh kehidupan seharian. Pengorbanan awak dari pagi sebaik sahaja mencelik mata sehinggalah ke malam hari, ketika saat awak mahu melelapkan mata, saya doakan Allah hitung semuanya dengan sangat halus dan membalas semuanya dengan kenikmatan syurga. 

Di sepanjang kehidupan saya, saya belum pernah melihat seorang suami bekorban seperti mana awak bekorban. Awaklah lambang cinta agung buat saya. Semakin hari, semakin saya berharap Allah memanjangkan umur saya agar saya boleh berkhidmat dan penyokong perjuangan awak. Saya mahu awak merasai (bukan sekadar tahu) cinta saya pada awak juga tidak kurang hebatnya. Semoga Allah perkenankan permintaan ini. 

Awak, seandainya saya tewas dalam perjuangan melahirkan permata kita yang keempat ini, saya mohon awak redha dan halalkan kesemuanya. Bukan hanya pada nafkah zahir dan batin yang terkurang dan tidak sempurna untuk awak tapi semua hak awak yang secara sengaja dan tidak sengaja dikorbankan. Andai yang terburuk itu berlaku juga, awak kuatkanlah semangat dan didiklah anak-anak kita agar menjadi bekalan akhirat buat kita berdua. Saya percaya dengan asas agama yang ada di dada awak, insyallah anak-anak saya juga akan baik agamanya. Insyaallah. Saya tidak ada syarat mahupun harapan lain, awak jalanilah kehidupan sebaik mungkin. Penuhilah keperluan awak tanpa perlu merasa serba salah pada saya. Saya meredhai semuanya. Semoga Allah berikan kebaikan pada awak dunia dan akhirat. Semoga Allah lorongkan awak kepada jalan perjuangan seperti yang awak mahukan. Ameen.

p/s: Ingat perbualan tempoh hari? Saya memberitahu awak yang saya merelakan awak berkahwin lagi seandainya saya mati dan awak berseloroh bertanya berapa lama masa untuk kahwin lagi. Ya, waktu itu kita ketawa dengan pertanyaan awak itu tetapi secara jujurnya saya tidak punya had masa. Dengan anak-anak yang masih kecil, penulisan thesis awak yang masih berjalan, kahwinlah bila-bila masa yang awak mahu. Cuma harapan saya carilah isteri yang mampu menjaga anak-anak kita sebaik mungkin. Saya tidak mensyaratkan sempurna kerana hanya kasih ibu tidak ada galang gantinya, cukuplah dia berbuat baik pada anak-anak saya. Dan awak....sayangilah anak-anak kita walaupun awak punya anak yang baru nanti.

p/s: Sekiranya mampu, siapkan juga thesis PhD awak ya, kerana itu impian saya yang tidak akan terkubur.

p/s: Saya doakan awak bertemu dengan isteri yang baik (seandainya awak memutuskan untuk berkahwin lagi), tapi saya tetap juga berdoa, di dalam mahligai awak di syurga nanti, masih ada tempat untuk saya menjadi bidadari buat awak. Saya mahu menyintai awak, dunia dan akhirat!

p/s: Sehingga ke saat dan ketika ini saya masih lagi berfikir, kebaikan apalah yang telah saya lakukan sehingga Allah memberikan saya rezeki suami yang baik seperti awak. Syurga selayaknya untuk awak!



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, October 14, 2014

Kerana Rahmat Allah

Salam

Susah sekarang ini saya nak mencari masa nak menulis di blog. Anak-anak yang semakin menuntut perhatian dan sememangnya perlu diberi perhatian, ditambah pula dengan keadaan saya selalunya penat tidak bertenaga. Sekalipun anak-anak itu saya usahakan tidur sekaligus (semua tidur dalam 1 masa), saya tetap tidak dapat menggunakan waktu itu untuk menulis. Kebanyakan masa, ketika mereka tidurlah saya juga tidur dan berehat. Susah nak menjelaskan bagaimana penat mengandung 4 tahun berturut-turut ni. Serasanya memang tak ada orang yang akan faham bagaimana rasanya. Siapa yang faham, bangun tidur, mandi dan tiba-tiba kena duduk diam semula kerana keletihan. Eh, kau penat sebab apa? Mandi ke? Bukankah sukar difahami kepenatan itu..

Apa-apa pun syukur alhamdulillah, Allah hadirkan suami yang terbaik untuk saya. Yang sentiasa bersedia untuk on call bila terpaksa bekorban untuk saya dan anak-anak. Bangun sahaja tidur, dialah yang mengemas rumah, menyediakan sarapan, mempersiapkan anak-nak, menjemur dan membasuh baju sebelum dia kemudiannya bergegas menyiapkan diri untuk bekerja. Semua ini selalunya selesai pada waktu tengah hari, bermakna tengah hari barulah bermula kehidupan dia sebagai suami pula (sebelum ini seperti isteri dan ibu). Tengah hari itulah dia keluar mencari rezeki dan menulis thesis PhD nya yang masih berbaki. Itu kalau saya tidak menganggunya dengan SMS berbentuk rayuan mahu dia pulang kerana saya keletihan menjaga anak atau sakit-sakit badan tidak memasal. Dia akan pulang setelah membalas SMS saya dengan kata-kata yang baik dan menyentuh hati. Memujuk saya agar tidak susah hati, ini ujian kita bersama dan apa yang terjadi bukanlah salah siapa. Terharu kan?












Melalui anak-anak dan suami lah saya dapat merasakan betapa besarnya rahmat Allah. Rahmat Allah yang sampai kepada manusia hina seperti saya. Selalu sahaja leka dan bergelumang dengan dosa tapi Allah tetap juga menyampaikan rahmatNya. Kasih sayang dan kebahagiaan yang saya perolehi dari suami dan anak-anak. Terima kasih Allah. Tetapkanlah hati kami di jalanMu, berikanlah kami khusnul khatimah dan temukanlah kami semula di surgaMu. Ameen.

p/s: Rasa macam tiba-tiba jer post ni berakhir? Maaflah, tiba-tiba jer penat. -_-'




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...