Thursday, October 13, 2016

Doktor Pujaan Hati

Salam

Dulu sewaktu di sekolah menengah saya bercita-cita untuk menjadi seorang doktor pakar bedah jantung. Minatnya saya pada jantung waktu itu, sehingga saya mampu melukis anatomi jantung dengan baik termasuk mengingati bagaimana aliran oksigen dan darah di dalam jantung. Saya boleh melabel struktur jantung dengan baik dan menghafal kepentingan setiap struktur tersebut. Sebegitu sekali saya meminati jantung.

Sayangnya minat saya hanya pada jantung dan Biologi sahaja. Fizik dan Kimia saya tidak ambil peduli. Pada saya Fizik membosankan. Untuk apa saya mempelajari perihal kelajuan, daya dan sebagainya sedangkan saya tidak memerlukannya dalam kehidupan. Berbeza dengan Kimia, saya rasa seperti punya keperluan memahaminya...sekurang-kurangnya saya fikir sebagai seorang doktor saya perlu ada asas Kimia untuk tahu kandungan ubat...atau pun untuk mencipta ubat. Malangnya pada saya, Kimia terlampau rumit. Formula dalam jadual yang berpetak-petak itu sungguh susah untuk dihafal.

Jadi....waktu keputusan SPM keluar...keputusan Kimia dan Fizik saya teruk. Maka terkuburlah impian saya untuk menjadi doktor pakar bedah. Dengan keputusan Fizik dan Kimia sebegitu saya tahu, saya tidak mungkin diterima masuk ke mana-mana universiti untuk melanjutkan pengajian sebagai seorang pelajar kedoktoran.

Jadi saya menukar cita-cita.

Saya mahu berkahwin dengan doktor. Tidak kiralah doktor apa pun, asalkan doktor. Begitu mudah saya rumuskan hidup saya setelah gagal menjadi doktor. Pada saya...kebahagiaan menjadi doktor dapat ditukar ganti dengan kebahagiaan mengahwini seorang doktor. Dan...impian budak hingusan itu Allah makbulkan. Insyaallah, esok suami saya akan menempuhi pembentangan tesis (viva) PhD nya dan akan bergelar doktor falsafah, insyaallah!

Terima kasih Allah kerana mengabulkan impian saya untuk berkahwin dengan seorang doktor. Bukan itu sahaja, melalui doktor ini...dia telah banyak mengubati hati saya, menceriakan hidup saya dan menjadikan saya ibu dan isteri yang gembira. Semoga jodoh saya dengan Dr. Ahmad Izzuddin b. Abu Bakar kekal hingga syurga. Ameen!



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...