Salam
Bila berada dalam kerata bersama dengan suami, itulah tempat paling banyak saya menerima tazkirah dari dia. Alhamdulillah, kadang-kadang tazkirah ringan sebegini buat saya insaf dan terharu. Pernah sekali waktu saya sedang bersedih dan menceritakannya kepada suami, suami membacakan satu keratan ayat Al Quran kepada saya. Automatik saya menangis. Sungguh ayat itu menyentuh hati saya kerana ayat itu terasa seperti ditujukan untuk saya. Mendengar ayat itu sahaja saya rasa Allah faham hati saya, Allah faham kebimbangan dan kesedihan saya. Allahu, begitu terkesan sekali saya waktu itu. Sebab itulah saya sangat menghargai waktu perjalanan di dalam kereta bersama suami, lebih-lebih lagi untuk perjalanan jauh. Banyak perkara yang dikongsikan dan semuanya menenangkan dan memberi kelegaan.
Pernah sekali kami berbincang tentang berniaga zaman sekarang....kerana sekarang ini semua orang mahu menceburi bidang perniagaan kerana ianya dianjurkan dalam Islam. Malah ada yang mengatakan kerana mengikut sunnah (sunnah ada beberapa tahap ya, itu saya akan kongsikan di lain post. Insyaallah) Nabi. Alhamdulillah, bagus sebenarnya mempunyai perniagaan sendiri yang digunakan untuk menampung keluarga, yang boleh diwariskan dan yang paling penting memperkasakan ekonomi orang Islam. Malah Saidina Ali pernah berkata, "Jika kefakiran itu adalah seorang remaja lelaki, maka aku akan membunuhnya", begitu sekali tuntutan kita orang Islam agar tidak hidup dalam kefakiran kerana bimbang dari kefakiran itu timbul perkara maksiat yang dibenci agama. Masyaallah. Semoga kalian semua maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
Cuma apa yang dibimbangkan sekarang ini, orang kita terlampau mengagungkan duit. Malah ikon hartawan kita puja dan jadikan idola. Tidak salah sebenarnya sebagai tujuan motivasi tapi cuba periksa kembali, betulkah kita sekadar menjadikan mereka sebagai motivasi atau kita sudah pun melebihi batas dengan mengagungkan mereka sehingga kesalahan-kesalahan mereka pun kita takrifkan dan rasionalkan supaya betul dan diterima masyarakat. Lebih menyedihkan, kita sudah menukar definisi kejayaan itu sendiri. Asal ada duit sahaja dikira berjaya. Kau jutawan, kau hartwan, kau berjaya. Sudahnya yang berilmu dan berpendidikan ini, selagi duit bulanan tidak mencecah puluhan ribu ringgit kita anggap gagal. Malah ada yang menjual kata-kata seperti, "Tidak perlu pandai atau cemerlang SPM pun boleh jadi kaya raya", ayat biasa digunakan untuk pemasaran MLM. Sampai begitu sekali matlamat kita mahu menjadi kaya sedangkan tuntutan menuntut ilmu tu sangat banyak dan ditegaskan dalam Islam.
Jangan kawan-kawan, harta di dunia ini sementara. Saya tidak nafikan keperluan yang mendesak dan keseronokan yang bakal dikecapi kalau banyak duit. Saya tahu dan saya mengakuinya. Siapa yang tak nak banyak duit tapi marilah kita bersama-sama perbaiki niat dan cara kita. Ada yang memberitahu, "Apa salahnya banyak duit, dulu Saidina Umar pun kaya raya. Kita pun mahu jadi macam tu". Betul tu, Saidina Umar memang kaya raya sehinggakan sewaktu Nabi SAW mahu ke medan perang, beliau mampu menghadiahkan unta sebagai pengangkutan untuk ke medan perang. Betapa kayanya beliau waktu itu. Tapi cuba kita tengok betul-betul, adakah Saidina Umar menjadi kaya kerana dia menjadikan hartawan lain sebagai idola? Adakah dia menjadi kaya kerana dia berusaha keras mahu menjadi kaya? Siang dan malam tentang kekayaan sahaja dalam kepalanya? Tidak. Saidina Umar itu langsung tidak mengejar dunia, dia mencita-citakan akhirat...mencintai akhirat, dan kemudian Allah datangkan 'dunia' untuknya.
Dan pesan suami yang kemudiannya mengetuk hati saya dengan lebih kuat ialah apabila dia memberitahu saya, "Boleh...mintalah sebanyak mana pun nikmat dunia yang awak mahukan, tapi kemudian mintalah akhirat melebihi dunia seperti mana Rasulullah SAW mengajar kita melalui doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
"Ya Allah, berikanlah kami kebaikan di dunia, dan berikan pula kebaikan di akhirat dan lindungilah kami dari seksaan api neraka"
Kita memohon kebaikan di dunia (nikmat dunia) dan kemudiannya memohon perihal akhirat dua kali ganda dengan meminta kebaikan di akhirat dan dijauhkan dari seksaan api neraka" Allahu, saya membacanya setiap hari tapi tidak terfikir tentang ini. Insaf lagi. Syukur ke hadrat Allah yang sentiasa menghantar pesanan buat saya melalui suami dan sebagainya. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dipelihara Allah dari kelalaian. Nikmat dunia ini memang memabukkan, ilmulah yang akan membantu kita membendungnya, yang akan membantu kita dari terus hanyut dan lalai dari mengingati Allah. Jom sama-sama kita perbaiki diri, perbetulkan niat dan matlamat...dan kemudian pohon pada Allah 2x ganda nikmat akhirat yang berpanjangan berbanding nikmat dunia yang kita perolehi. Semoga Allah memasukkan kita semua ke dalam syurga dengan rahmatNya. Ameen.
p/s: Ingat, minta dunia 1, minta akhirat 2. ^_^
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)