Showing posts with label Mawaddah wa Rahmah. Show all posts
Showing posts with label Mawaddah wa Rahmah. Show all posts

Thursday, June 29, 2017

Ramadhan dan Syawal 2017

Salam

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Sekejap sahaja masa berlalu, dalam tidak sedar sebulan telah kita tempuhi dan Ramadhan sudah pun melabuhkan tirai. Syukur atau kesal dengan amal jariah yang kita kerjakan dalam bulan Ramadhan penuh keberkatan, tetap sahaja dipanjatkan doa agar mudah-mudahan kita akan bertemunya semula di tahun hadapan.

Tahun ini agak kesal sedikit bila tidak berjaya mengkhatamkan Al Quran seperti yang dirancang. Hanya berbaki beberapa Juzu' sahaja tapi tetap tidak cukup masa. Mahu disalahkan pada siapa selain saya yang culas, yang lebih rela menghabiskan banyak masa berteleku di depan buku yang lain berbanding menghadap senaskah Al Quran.

Tahun ini juga agak kesal kerana kurang benar berbanding tahun-tahun lain berterawih di masjid. Di Terengganu masjidnya tidak mesra kanak-kanak seperti di masjid sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Tapi tetap juga kealpaan itu berpunca dari saya kerana sebenarnya ada satu masjid yang saya tahu jemaahnya memesrai kanak-kanak tetapi hati saya meragui 'kemesraan' senibina masjid yang belum sepenuhnya terbina sedangkan ibubapa lain tidak beralasan seperti saya. Mungkin tahun hadapan saya perlu lebih bersangka baik dan bertawakal kepada Allah SWT.

Alhamdulillah, seperti tahun lepas, Allah rezekikan saya untuk berpuasa penuh. Jadinya ini adalah tahun kedua saya tidak perlu mengganti puasa. Mudah-mudahan saya dapat menyempurnakan rezeki itu dengan Puasa Enam pula. Mudah-mudahan tidak tertewas dengan godaan hidangan bulan Syawal yang sentiasa memikat selera.

Alhamdulillah, tahun ini saya berkesempatan untuk berpuasa secara bergilir-gilir dengan Mama dan Abah serta adik beradik, Ibu Mertua serta Ipar Duai dan nenda tercinta yang berada di Kelantan. Syukur ke hadrat Allah yang memberi kesempatan kepada kami semua untuk saling membahagiakan antara satu sama lain. Mudah-mudahan tahun hadapan juga kami akan beroleh kesempatan yang serupa.

Selesai perjalanan Ramadhan yang baru sahaja 5 hari berakhir dan kini kita sedang menyambut Syawal yang kelima. Semoga semuanya beroleh keberkatan hendaknya. Ameen.

p/s: Tidak sabar menunggu hari Sabtu dan berdebar untuk hari Ahad :)


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Saturday, February 11, 2017

Doa Akhirat Melebihi Dunia

Salam

Bila berada dalam kerata bersama dengan suami, itulah tempat paling banyak saya menerima tazkirah dari dia. Alhamdulillah, kadang-kadang tazkirah ringan sebegini buat saya insaf dan terharu. Pernah sekali waktu saya sedang bersedih dan menceritakannya kepada suami, suami membacakan satu keratan ayat Al Quran kepada saya. Automatik saya menangis. Sungguh ayat itu menyentuh hati saya kerana ayat itu terasa seperti ditujukan untuk saya. Mendengar ayat itu sahaja saya rasa Allah faham hati saya, Allah faham kebimbangan dan kesedihan saya. Allahu, begitu terkesan sekali saya waktu itu. Sebab itulah saya sangat menghargai waktu perjalanan di dalam kereta bersama suami, lebih-lebih lagi untuk perjalanan jauh. Banyak perkara yang dikongsikan dan semuanya menenangkan dan memberi kelegaan.

Pernah sekali kami berbincang tentang berniaga zaman sekarang....kerana sekarang ini semua orang mahu menceburi bidang perniagaan kerana ianya dianjurkan dalam Islam. Malah ada yang mengatakan kerana mengikut sunnah (sunnah ada beberapa tahap ya, itu saya akan kongsikan di lain post. Insyaallah) Nabi. Alhamdulillah, bagus sebenarnya mempunyai perniagaan sendiri yang digunakan untuk menampung keluarga, yang boleh diwariskan dan yang paling penting memperkasakan ekonomi orang Islam. Malah Saidina Ali pernah berkata, "Jika kefakiran itu adalah seorang remaja lelaki, maka aku akan membunuhnya", begitu sekali tuntutan kita orang Islam agar tidak hidup dalam kefakiran kerana bimbang dari kefakiran itu timbul perkara maksiat yang dibenci agama. Masyaallah. Semoga kalian semua maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

Cuma apa yang dibimbangkan sekarang ini, orang kita terlampau mengagungkan duit. Malah ikon hartawan kita puja dan jadikan idola. Tidak salah sebenarnya sebagai tujuan motivasi tapi cuba periksa kembali, betulkah kita sekadar menjadikan mereka sebagai motivasi atau kita sudah pun melebihi batas dengan mengagungkan mereka sehingga kesalahan-kesalahan mereka pun kita takrifkan dan rasionalkan supaya betul dan diterima masyarakat. Lebih menyedihkan, kita sudah menukar definisi kejayaan itu sendiri. Asal ada duit sahaja dikira berjaya. Kau jutawan, kau hartwan, kau berjaya. Sudahnya yang berilmu dan berpendidikan ini, selagi duit bulanan tidak mencecah puluhan ribu ringgit kita anggap gagal. Malah ada yang menjual kata-kata seperti, "Tidak perlu pandai atau cemerlang SPM pun boleh jadi kaya raya", ayat biasa digunakan untuk pemasaran MLM. Sampai begitu sekali matlamat kita mahu menjadi kaya sedangkan tuntutan menuntut ilmu tu sangat banyak dan ditegaskan dalam Islam.

Jangan kawan-kawan, harta di dunia ini sementara. Saya tidak nafikan keperluan yang mendesak dan keseronokan yang bakal dikecapi kalau banyak duit. Saya tahu dan saya mengakuinya. Siapa yang tak nak banyak duit tapi marilah kita bersama-sama perbaiki niat dan cara kita. Ada yang memberitahu, "Apa salahnya banyak duit, dulu Saidina Umar pun kaya raya. Kita pun mahu jadi macam tu". Betul tu, Saidina Umar memang kaya raya sehinggakan sewaktu Nabi SAW mahu ke medan perang, beliau mampu menghadiahkan unta sebagai pengangkutan untuk ke medan perang. Betapa kayanya beliau waktu itu. Tapi cuba kita tengok betul-betul, adakah Saidina Umar menjadi kaya kerana dia menjadikan hartawan lain sebagai idola? Adakah dia menjadi kaya kerana dia berusaha keras mahu menjadi kaya? Siang dan malam tentang kekayaan sahaja dalam kepalanya? Tidak. Saidina Umar itu langsung tidak mengejar dunia, dia mencita-citakan akhirat...mencintai akhirat, dan kemudian Allah datangkan 'dunia' untuknya.

Dan pesan suami yang kemudiannya mengetuk hati saya dengan lebih kuat ialah apabila dia memberitahu saya, "Boleh...mintalah sebanyak mana pun nikmat dunia yang awak mahukan, tapi kemudian mintalah akhirat melebihi dunia seperti mana Rasulullah SAW mengajar kita melalui doa:


 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
"Ya Allah, berikanlah kami kebaikan di dunia, dan berikan pula kebaikan di akhirat dan lindungilah kami dari seksaan api neraka"

Kita memohon kebaikan di dunia (nikmat dunia) dan kemudiannya memohon perihal akhirat dua kali ganda dengan meminta kebaikan di akhirat dan dijauhkan dari seksaan api neraka" Allahu, saya membacanya setiap hari tapi tidak terfikir tentang ini. Insaf lagi. Syukur ke hadrat Allah yang sentiasa menghantar pesanan buat saya melalui suami dan sebagainya. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dipelihara Allah dari kelalaian. Nikmat dunia ini memang memabukkan, ilmulah yang akan membantu kita membendungnya, yang akan membantu kita dari terus hanyut dan lalai dari mengingati Allah. Jom sama-sama kita perbaiki diri, perbetulkan niat dan matlamat...dan kemudian pohon pada Allah 2x ganda nikmat akhirat yang berpanjangan berbanding nikmat dunia yang kita perolehi. Semoga Allah memasukkan kita semua ke dalam syurga dengan rahmatNya. Ameen.

p/s: Ingat, minta dunia 1, minta akhirat 2. ^_^


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, January 3, 2017

Tahun Baru (2017)

Salam

Kita sudah pun memasuki tahun baru, bermakna tahun lepas, 365 hari sudah berlalu. Saya terfikir sendiri, 365 hari yang sudah, apa yang saya lakukan. 365 hari, satu jangka waktu yang amat panjang, apakah ianya satu garis waktu yang bermanfaat atau hanya satu pembaziran usia dan masa.

2016

Tahun ini saya membuat keputusan yang besar dalam kehidupan saya. Saya berpindah ke Terengganu, mengotakan janji kepada arwah bapa mertua untuk berpindah ke sini dan 'mewarisi' maahad tahfiz yang diasaskannya. Itu rancangan kami. Rancangan asal yang kini kami lalui dengan sangat berbeza. Jauh sekali dengan apa yang kami rancangkan. Saya kira inilah ujian terbesar 2016 yang tentu sahaja akan di bawa ke 2017. Kalau mahu diceritakan perasaan ketika ini, mungkin bakal menimbulkan fitnah. Cukuplah sekadar saya mencoretkannya sebagai satu pengalaman dan pengajaran terhadap saya dan keluarga. Di sinilah saya kira, kata-kata seperti, "Kita merancang dan Allah juga merancanga dan perancangan Allah itulah yang paling baik" paling terasa. Ketika inilah perlunya kekuatan dan perasaan redha yang tinggi..percaya dan menerima segala Qada dan Qadar serta percaya setiap yang belaku itu ada hikmahnya. Mudah-mudahan, dalam sedih dan duka, susah dan payah....Allah datangkan senang dan kelapangan, cinta dan bahagia...nikmat iman dan balasan syurga. Itu yang paling penting sekali. Saya merasakan saya sudah melakukan yang terbaik dari semua sudut...tapi saya sendiri tahu, saya yang penuh kelemahan ini pastinya ada kekurangan di mana-mana.

2017

Tahun yang mempunyai segala impian dan harapan saya. Banyak perancangan yang saya atur untuk melalui 2017. Perancangan untuk diri sendiri dan keluarga. Saya mahu memanfaatkannya dengan lebih baik, sesuai dengan usia saya yang sudah mencapai 30 tahun. 2017 ini ada satu cita-cita yang sangat tinggi, yang hati saya sangat meronta-ronta mahu berkongsi tapi saya tak berani. Takut cita-cita itu menjadi satu harapan yang tidak kesampaian atau menjadi angan-angan yang diperlekehkan. Jadi saya serahkannya kepada Allah SWT, yang semestinya sudah mengaturkan sesuatu untuk saya. Walau begitu saya tetap akan berusaha kerana takdir sesuatu kaum itu tidak akan diubah melainkan oleh mereka sendiri. Allah. Allah. Allah. Sangka baik saya terletak pada Allah. Semoga semuanya diperkenankan, malah dipermudahkan untuk saya. Walau mungkin niat asal cita-cita ini tercipta bukanlah satu niat yang murni, tapi saya percaya, dalam perjalanan merealisasikan cita-cita ini, Allah akan pertemukan saya dengan kebaikan dan melalui kebaikan itu niat saya akan bertukar, dan saya akan melakukannya dengan niat dan matlamat yang lebih baik lagi. Ya Allah, perkenankanlah doa-doa yang saya lantunkan di setiap tadahan tangan dan doa-doa yang saya bisikkan di setiap tunduknya sujud.

2017....semoga segala impian tercapai  dan semoga segala kekusutan semakin terlerai dan mengurangkan  segala resah dan lelah di hati. Ameen.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Thursday, December 25, 2014

Nukilan Cinta Untuk Suami

Salam

Sama seperti post untuk anak-anak, post ini saya tulis dengan harapan ianya menjadi penguat semangat dan pengubat rindu untuk awak andai perkara terburuk yang paling kita takuti ketika ini berlaku juga. Nauzubillah, semoga Allah perkenankan doa kita berdua.

Siapa sangka, perjumpaan singkat pada hari pertama itu bakal menimbulkan cinta sebegini hebat. Saya selalu terfikir bagaimana awak boleh sayangkan saya sebegini rupa walaupun mengenali saya dalam masa yang singkat (4 tahun usia perkahwinan). Sudahlah itu, perkenalan kita pula bermula selepas kita mendirikan rumah tangga di mana ketika itulah segala yang buruk dan lemah akan kelihatan. Tetap juga saya lihat kasih sayang awak terhadap saya melimpah ruah. Terima kasih untuk sekeping hati yang tersangat tulus dan penuh dengan kasih sayang itu. Sungguh, sesiapa yang merahmati penduduk bumi, penduduk di langit akan merahmatinya. Dan saya yakin, awak dirahmati para penduduk langit, lebih-lebih lagi yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Insyaallah.

Selalu saja kita melalui ujian bersama-sama dan setakat ini, inilah ujian terkuat kita. Dalam segala kesempitan masa, wang dan ruang, Allah uji juga dengan kesempitan kesihatan walaupun usia masih lagi muda. Saya mohon maaf atas segala kesukaran yang awak hadapi dalam menempuh kehidupan seharian. Pengorbanan awak dari pagi sebaik sahaja mencelik mata sehinggalah ke malam hari, ketika saat awak mahu melelapkan mata, saya doakan Allah hitung semuanya dengan sangat halus dan membalas semuanya dengan kenikmatan syurga. 

Di sepanjang kehidupan saya, saya belum pernah melihat seorang suami bekorban seperti mana awak bekorban. Awaklah lambang cinta agung buat saya. Semakin hari, semakin saya berharap Allah memanjangkan umur saya agar saya boleh berkhidmat dan penyokong perjuangan awak. Saya mahu awak merasai (bukan sekadar tahu) cinta saya pada awak juga tidak kurang hebatnya. Semoga Allah perkenankan permintaan ini. 

Awak, seandainya saya tewas dalam perjuangan melahirkan permata kita yang keempat ini, saya mohon awak redha dan halalkan kesemuanya. Bukan hanya pada nafkah zahir dan batin yang terkurang dan tidak sempurna untuk awak tapi semua hak awak yang secara sengaja dan tidak sengaja dikorbankan. Andai yang terburuk itu berlaku juga, awak kuatkanlah semangat dan didiklah anak-anak kita agar menjadi bekalan akhirat buat kita berdua. Saya percaya dengan asas agama yang ada di dada awak, insyallah anak-anak saya juga akan baik agamanya. Insyaallah. Saya tidak ada syarat mahupun harapan lain, awak jalanilah kehidupan sebaik mungkin. Penuhilah keperluan awak tanpa perlu merasa serba salah pada saya. Saya meredhai semuanya. Semoga Allah berikan kebaikan pada awak dunia dan akhirat. Semoga Allah lorongkan awak kepada jalan perjuangan seperti yang awak mahukan. Ameen.

p/s: Ingat perbualan tempoh hari? Saya memberitahu awak yang saya merelakan awak berkahwin lagi seandainya saya mati dan awak berseloroh bertanya berapa lama masa untuk kahwin lagi. Ya, waktu itu kita ketawa dengan pertanyaan awak itu tetapi secara jujurnya saya tidak punya had masa. Dengan anak-anak yang masih kecil, penulisan thesis awak yang masih berjalan, kahwinlah bila-bila masa yang awak mahu. Cuma harapan saya carilah isteri yang mampu menjaga anak-anak kita sebaik mungkin. Saya tidak mensyaratkan sempurna kerana hanya kasih ibu tidak ada galang gantinya, cukuplah dia berbuat baik pada anak-anak saya. Dan awak....sayangilah anak-anak kita walaupun awak punya anak yang baru nanti.

p/s: Sekiranya mampu, siapkan juga thesis PhD awak ya, kerana itu impian saya yang tidak akan terkubur.

p/s: Saya doakan awak bertemu dengan isteri yang baik (seandainya awak memutuskan untuk berkahwin lagi), tapi saya tetap juga berdoa, di dalam mahligai awak di syurga nanti, masih ada tempat untuk saya menjadi bidadari buat awak. Saya mahu menyintai awak, dunia dan akhirat!

p/s: Sehingga ke saat dan ketika ini saya masih lagi berfikir, kebaikan apalah yang telah saya lakukan sehingga Allah memberikan saya rezeki suami yang baik seperti awak. Syurga selayaknya untuk awak!



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, October 14, 2014

Kerana Rahmat Allah

Salam

Susah sekarang ini saya nak mencari masa nak menulis di blog. Anak-anak yang semakin menuntut perhatian dan sememangnya perlu diberi perhatian, ditambah pula dengan keadaan saya selalunya penat tidak bertenaga. Sekalipun anak-anak itu saya usahakan tidur sekaligus (semua tidur dalam 1 masa), saya tetap tidak dapat menggunakan waktu itu untuk menulis. Kebanyakan masa, ketika mereka tidurlah saya juga tidur dan berehat. Susah nak menjelaskan bagaimana penat mengandung 4 tahun berturut-turut ni. Serasanya memang tak ada orang yang akan faham bagaimana rasanya. Siapa yang faham, bangun tidur, mandi dan tiba-tiba kena duduk diam semula kerana keletihan. Eh, kau penat sebab apa? Mandi ke? Bukankah sukar difahami kepenatan itu..

Apa-apa pun syukur alhamdulillah, Allah hadirkan suami yang terbaik untuk saya. Yang sentiasa bersedia untuk on call bila terpaksa bekorban untuk saya dan anak-anak. Bangun sahaja tidur, dialah yang mengemas rumah, menyediakan sarapan, mempersiapkan anak-nak, menjemur dan membasuh baju sebelum dia kemudiannya bergegas menyiapkan diri untuk bekerja. Semua ini selalunya selesai pada waktu tengah hari, bermakna tengah hari barulah bermula kehidupan dia sebagai suami pula (sebelum ini seperti isteri dan ibu). Tengah hari itulah dia keluar mencari rezeki dan menulis thesis PhD nya yang masih berbaki. Itu kalau saya tidak menganggunya dengan SMS berbentuk rayuan mahu dia pulang kerana saya keletihan menjaga anak atau sakit-sakit badan tidak memasal. Dia akan pulang setelah membalas SMS saya dengan kata-kata yang baik dan menyentuh hati. Memujuk saya agar tidak susah hati, ini ujian kita bersama dan apa yang terjadi bukanlah salah siapa. Terharu kan?












Melalui anak-anak dan suami lah saya dapat merasakan betapa besarnya rahmat Allah. Rahmat Allah yang sampai kepada manusia hina seperti saya. Selalu sahaja leka dan bergelumang dengan dosa tapi Allah tetap juga menyampaikan rahmatNya. Kasih sayang dan kebahagiaan yang saya perolehi dari suami dan anak-anak. Terima kasih Allah. Tetapkanlah hati kami di jalanMu, berikanlah kami khusnul khatimah dan temukanlah kami semula di surgaMu. Ameen.

p/s: Rasa macam tiba-tiba jer post ni berakhir? Maaflah, tiba-tiba jer penat. -_-'




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, February 2, 2014

Di sini Ku Temui Cinta

Salam

Alhamdulillah, hari ini genap sebulan umur Izzul Haris, anak lelaki pertama yang menjadi anak ketiga selepas Zahrah dan Wardah. Syukur saya panjatkan di atas kebahagiaan yang semakin manis. Syukur juga pada Allah atas keperitan yang semakin dirasai. Ya, saya bersyukur pada keduanya kerana manis itu mencambahkan buah kebahagiaan dan keperitan itu menguatkan akar keredhaan. Semoga Allah sentiasa mencampakkan ke dalam hati saya dan suami rasa cinta dan tanggungjawab. Ketika mana hidup ini indah, cinta menyemarakkan keadaan dan ketika mana hidup ini payah sehingga rasa cinta mula mengalah, maka kami bertongkat pada rasa tanggungjawab yang menumpaskan deduri mehnah.

Ini realiti sebuah perkahwinan, tidak semuanya indah dan tidak juga cinta yang berada di hati akan sentiasa merah. Adakalanya mehnah datang menyerang, cinta mungkin bukan tempat yang paling kuat untuk bergantung, maka kekuatan dicari dengan keterikatan pada tanggungjawab. Tarik nafas, teguhkan tali kesabaran dan pasakkan sauh keredhaan supaya hempasan ombak yang memukul tidak mampu menggoyahkan bahtera yang dibina. Layar cinta mungkin perlu ditutup seketika kerana tidak mampu mengawal tiupan angin dugaan dan cabaran.

Jujurnya, saya sedang merasa payah. Payah dalam banyak perkara yang tidak mungkin saya boleh kongsikan. Ketika ini, saya sedang mencari kekuatan melalui tanggungjawab. Ya, kebanyakan perkara yang saya lakukan sekarang ini kerana tanggungjawab dan amanah yang dipikul, bukan kerana cinta yang dulunya berputik di dalam hati. Jangan disalaherti, bukan cinta itu sudah hilang, lesap entah ke mana. Ia tetap ada, di sudut hati saya yang paling dalam tapi untuk menempuh rasa susah ketika ini, saya memerlukan kekuatan dari rasa tanggungjawab.

Kesusahan ini sedikit sebanyak telah memakan diri saya, saya melupakan banyak perkara dan meninggalkan beberapa perkara penting yang sebelum ini menjadi kesukaan saya. Mengenang kisah lalu. Saya suka begitu. Sebelum tidur, duduk bersama suami dan mula bercerita tentang bagaimana kisah cinta kami bermula dari sisi saya berdiri. Selang beberapa ketika saya akan bertanya tentang fikiran dan perasaannya ketika itu. Oh, mengenang keindahan lalu teramatlah manis. Mengenangkannya sahaja cukup membuatkan saya rindu pada suami yang sentiasa berada di sisi. Kenangan itu sentiasa menyegarkan kembali perasaan cinta saya pada suami.

Itu masa-masa yang lalu.

Ketika ini kehidupan kami sedang melalui satu fasa yang baru. Jadual kehidupan yang semakin padat dengan pelbagai tuntutan. Badan kami kepenatan. Hasilnya?. Saya sangat-sangat merasa sunyi, tidak ada teman yang mahu mendengar cerita yang mahu disampaikan. Dalam masa yang sama fikiran saya sangat bertentangan dengan apa yang dirasai hati. Saya memahami kepenatan dan amanah yang digalas suami. Terlampau banyak dan sangat membebankan. Kerana rasional inilah saya banyak memendam rasa, rasa mahu diberikan perhatian.

Kemurungan beberapa ketika, saya melayari internet, membaca semula penulisan saya di blog ini sehinggalah saya tergerak mahu membaca blog suami. Membaca blognya benar-benar membangkitkan semula rasa cinta saya pada dia. Saya jadi terkenang semula pada sebab-sebab saya memilihnya untuk berkongsi hidup, suka dan duka. Blognya mencetuskan pula ingatan pada kesungguhannya dalam perkahwinan ini. Dan Alhamdulillah, saya tahu Allahlah yang mengilhamkan saya untuk membaca penulisannya. Kerana Allah tahu, hanya dengan menatap penulisannya kegundahan hati saya akan reda.

Di blog itulah saya temukan cinta dan di blog itu jugalah Allah temukan saya dengan ketenangan dan keyakinan bahawa cinta kami sentiasa ada. Allah hanya menguji seketika untuk menjadikannya sebuah cinta yang terisi dan sarat dengan hikmah. Bukan cinta kosong yang tidak mampu memberi manfaat pada mereka yang diteduhi. Demi Allah, dalam rasa susah yang semakin menggoyah ini, saya tahu hati saya semakin hari semakin menyintai suami. Melalui dialah Allah memperkenalkan saya dengan agama, cinta dan tanggungjawab. Semoga kami bersama hingga ke syurga! Ameen.

p/s: www.ahmad-izzuddin.blogspot.com : Tempat di mana saya temui cinta.
p/s: Abang, saya berharap satu hari nanti awak akan menulis semula, dan saya akan sentiasa menjadi peminat nombor satu awak. Always. Forever.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Monday, January 6, 2014

Lagi Rezeki dari Allah SWT

Salam

Alhamdulillah, saya selamat melahirkan seorang bayi lelaki tepat jam 9:38 pagi seberat 3.43kg di Hospital Selayang. Lahirnya betul-betul pada 1 Januari 2014. Syukur Ya Allah atas anugerah yang paling berharga. Zahratul Iman, Wardatul Islam dan Izzul Haris. Lahirnya kamu semua adalah keindahan paling berharga buat Mama dan Abi. Semoga menjadi harta buat agama, 







Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, January 1, 2014

Graduasi (Gambar yang Tertangguh)

Salam

Sudah beberapa bulan saya bergraduasi. Dengan kandungan yang berada dalam 32 minggu, saya mendaki pentas konvokasi dan menyambut huluran scroll. Perasaan saya bercampur baur, sehinggakan sebaik sahaja saya duduk semula di tempat yang disediakan, air mata saya mengalir menganangkan kesusahan dan pengorbanan yang saya lakukan untuk menggenggam segulung ijazah.

Tambah mengharukan apabila melihat dua cahaya mata saya berhujan renyai-renyai datang ke majlis graduasi saya bersama adik beradik saya yang lain. Wajah mereka saya tenung dan perasaan beroleh kejayaan itu menjadi lebih manis tatkala pipi gebu mereka saya kucup. Begitu juga bila lagu Ayah dan ibu nyanyian Allahyarham Sudirman di dendangkan di dalam dewan, air mata saya mengalir mengingatkan Mama dan Abah yang membesarkan saya dan memberikan kata-kata semangat untuk saya menamatkan pelajaran.

Setengah jam selesai majlis graduasi barulah saya bertemu dengan suami yang sudah dua hari diserang sakit mata. Dia menghadirkan diri dengan berkaca mata hitam bagi menutup matanya yang kemerahan. Oh, lelaki idaman yang selama ini banyak bekorban rasa, masa dan tenaga bagi membolehkan saya menamatkan pelajaran. Dialah orangyang yang bertolak ansur dengan segala kelemahan saya malah menampung kelemahan itu dengan kebaikan dan rasa redha pada Allah SWT. Ya Allah, terima kasih di atas nikmat yang terlalu banyak dikurniakan kepada saya. :')

p/s: Post dah basi tapi rasanya gambar-gambar ini tetap akan segar di dalam ingatan saya. :)







Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, October 30, 2013

Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Salam

Ramai juga yang bertanya kepada saya bagaimana saya mendidik anak-anak. Bukan kerana saya pakar dalam pendidikan kanak-kanak tapi saya rasa soalan itu diajukan kerana saya terlebih dahulu mempunyai anak berbanding kawan-kawan yang sebaya. Menjadi seorang ibu memerlukan daya kreativiti yang tinggi kalau tak mahu anak-anak tiba-tiba memberontak bosan duduk di rumah atau mogok tidak mahu makan nasi, hanya mahu memilih ayam atau lauk pauk sahaja. Jadi, walaupun hanya duduk di rumah, kepala saya ligat berputar memikirkan 'strategi' untuk mendidik anak-anak.

Pemerhatian:

Saya memang selalu memerhatikan kecenderungan anak-anak. Apa yang lebih menjadi keutamaan buat Zahra dan apa yang menjadi kegembiraan buat Wardah. Dari situ saya akan membeza-bezakan keperluan mereka mengikut keadaan dan masa. Misalnya sewaktu makan, Wardah tidak mempunyai masalah langsung untuk makan tapi Zahra perlu ada perbualan dan pujukan ketika makan, barulah dia tidak memilih makanan. Sama seperti bermain, Wardah hanya cukup diberikan mainan untuk dia perhatikan dan terokai manakala Zahra memerlukan komunikasi ketika bermain. Saya perlu sama-sama melakonkan watak di dalam khayalannya. tetapi berbeza dengan waktu tidur, Zahra dengan mudah melelapkan mata tanpa perlu didodoikan, berbeza dengan Wardah yang mengambil masa yang sangat lama untuk di dodoi.





Unik:

Setiap anak itu unik. Jadi cara mendidik mereka juga berbeza. Saban hari ada sahaja telatah Zahra dan Wardah yang baru dan perlu saya pelajari. Malahan kepekaan mereka terhadap sesuatu memerlukan saya juga menjadi peka. Misalnya apabila mahu mengajar Zahra beza antara lelaki dan perempuan. Saya membuat kronologi secara tersusun yang saya rasa mudah untuk dia fahami. Abi lelaki, ada janggut, ada misai maka Abi handsome. Mama perempuan, tak ada janggut dan tak ada misai maka Mama cantik. Pada permulaannya, Zahra akan menyebut kronologi yang diajar secara turutan, lama kelamaan terus dia menyimpulkan ayatnya dan mengeluarkan satu penyataan yang betul. Dia juga kini sudah pandai mengaitkannya dengan individu selain Mama dan Abi seperti nenek, pakcik dan abang.

Begitu juga Wardah, dia lebih sensitif terhadap persekitaran dan lebih suka memerhati. Kebanyakkan masanya memang saya dapat lihat dahi Wardah berkerut memikirkan sesuatu. Kadang kala kelakar juga melihat di se-serius itu, lagaknya seperti orang dewasa. Jadi bila saya lihat dia sedang berkerut-kerut dahi, saya akan cuba pastikan apa yang dia perhatikan seterusnya memberi respond pada pemerhatian tersebut. Kalau saya lihat Wardah sedang ralit memerhatikan kipas, cepat-cepat saya memberitahunya, "Itu kipas". Menyebut perkataan kipas dengan jelas dan satu persatu supaya mudah di tangkap. Alhamdulillah, sekarang bila saja saya sebut beberapa objek, Wardah akan tersenyum dan terus menunjuk atau memandang objek tersebut tanda dia faham dengan apa yang diperkatakan.




Mematangkan:

Ada yang bertanya pada saya, bagaimana saya mengajar Zahra petah bercakap. Secara jujurnya saya tidak ada tips yang khusus. Jadi langkah yang saya kongsi ini hanyalah secebis pengalaman saya sahaja, bukan perkongsian dari seorang pakar :)

1. Jawab semua soalan.
Saya sedaya upaya tidak mengabaikan soalan yang diajukan. Malah setiap soalan yang ditanya saya akan jawab dengan betul walaupun saya rasa Zahra belum memahami apa yang saya maksudkan. Memang agak sukar untuk istiqamah dalam perkara ini, lebih-lebih lagi ketika saya sedang memandu atau berbual-bual dengan orang lain. Zahra akan ajukan soalan secara bertubi-tubi, kadang-kadang saya usahakan juga menjawab soalannya dan kadang-kadang saya meminta dia menunggu sehingga saya selesai berbual.

2. Jawapan yang betul.
Bila diajukan dengan soalan yang sukar, saya tetap memberikan jawapan yang betul tanpa merendahkan tahap IQ dia. Sebanya bila diperhatikan, walaupun Zahra belum memahami apa yang saya sampaikan, jawapan saya itu tetap lekat dalam ingatannya. Dan pernah juga, dia sendiri mengulanginya dengan tepat tanpa memahami maksud. Pada saya, kefahaman itu akan datang kemudian, yang penting apa yang saya ajarkan pada Zahra adalah perkara yang betul.

3. Tidak Pelat.
Saya juga tidak bercakap dengan Zahra dengan pelat atau menggunakan loghat yang bercampur-campur. Percakapan saya adalah Bahasa Melayu standard. Misalnya ketika saya mengajar dia untuk bersalaman, saya mengajarnya untuk salam (bukannya amin), ketika mahu makan, saya mengajaknya untuk makan (bukannya mamam), dan mengajarnya untuk membuang air besar, saya mengajarnya menyebut berak (bukannya yak yak).

4. Kaitkan yang berkaitan
Ketika menonton rancangan TV, saya akan merangsang daya tumpuan Zahra dengan memberi respond pada apa yang diulasnya. Saya akan memastikan, apa yang diulas adalah betul dengan apa yang ditonton. Misalnya jika dia sedang menonton rancangan memasak, saya akan membantu dia memahami rancangan memasak tersebut. Andai ada ulasannya yang kurang tepat seperti memasak ikan tetapi dikatakan memasak ayam, saya akan memperbetulkannya. Saya juga mengambil kesempatan ini dengan menyelit beberapa nilai moral seperti menjadi anak solehah dan taat pada perintah Allah. Contohnya ketika babak seorang ibu sedang berdoa, saya akan memberitahu Zahra supaya sentiasa berdoa dan rajinkan bersolat. Zahra akan mengulasnya dengan memberitahu dia sentiasa solat bersama Abinya. Saya akan menambah dengan memberitahunya agar tetap bersolat walaupun tidak bersama Abi. Memang apa yang dibincangkan ini bukanlah mengikut umur Zahra yang baru 2 tahun tetapi, ingatannya tetap ada tentang apa yang kami bualkan. Malahan pernah beberapa kali saya lihat Zahra duduk seolah-olah sedang berdoa seorang diri tanpa kehadiran Abinya. Dan bila saya bertanya dia menjawab, "Zahra doa tapi Abi tak ada". :)


Saya rasa cukup setakat ini dulu perkongsian saya tentang anak-anak. Jujurnya ini hanyalah perkongsian biasa yang saya harap mendatangkan manfaat untuk semua. Ianya bukanlah tips dari seorang pakar motivasi atau pakar pendidikan awal kanak-kanak, hanya sebuah coretan saya melalui pengalaman yang saya kutip sendiri. Semoga bermanfaat. Andai ada sebarang tambahan atau teguran, boleh tinggalkan di ruangan komen. Terima kasih! :)


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, October 8, 2013

Nikmat Allah (Mawaddah dan Rahmah)

Salam.

Setiap kali mahu menulis, pasti saya mahu memulakannya dengan luahan rindu pada blog yang telah lama saya tinggalkan. Oh, kehidupan seorang isteri dan ibu sememangnya sibuk bahkan lebih sibuk dari apa yang pernah saya bayangkan. Walaupun sudah menghabiskan pengajian, saya masih rasa seperti tidak cukup rehat. Jadi saya terfikir, bagaimana dulu saya boleh membahagikan masa di antara keluarga, belajar dan menjahit? Sedangkan sekarang ini rasa seperti memerlukan bibik membantu melandaikan timbunan kerja rumah yang tak pernah selesai.

Bila ditanya pada suami, dia akan menjawab saya kekurangan masa kerana mahukan semuanya sempurna sedangkan saya sedang berbadan dua. Katanya dia tidak kisah jika pulang ke rumah dalam keadaan rumah yang berselerakan atau makanan yang belum tersedia berhidang. Dia sedia menyediakan makan malam untuk kami sekeluarga. Oh, suami saya yang selalu mengingatkan saya tentang cintanya yang tidak beteori dan tanpa syarat. Semoga Allah membalas kesemuanya dengan balasan syurga!

Duduk seharian dengan anak-anak menjadikan saya bahagia, melihat mereka membesar dengan  sihat dan cerdas. Mendengar butir perbualan Zahra yang tidak pernah habis dan lasaknya Wardah sehingga membuatkan saya lelah. Sungguh, anak-anak ini penyejuk mata. Kata adik saya, semenjak menjadi ibu, fikiran saya hanya berkisarkan tentang anak-anak dan keluarga. Begitu juga dengan suami, katanya kepuasan saya bukan lagi pada jubah mahupun aksesori wanita tapi lebih kepada keperluan anak-anak dan hiasan rumah. Saya sendiri tidak perasan tentang semua ini sehinggalah suami menunjukkan bukti kepada saya satu per-satu.




Alhamdulillah, walaupun keperluan saya secara tidak sengaja terabai, suami sentiasa ringan tangan dan ingatan membeli beberapa pasang baju dan keperluan untuk saya. Kadang-kadang, bagai dipaksa pula saya memilih baju yang berkenan dihati kerana mahu dibelikan. Terima kasih untuk ingatan dan kesanggupan yang sebegitu. Sungguh, semenjak mengahwini suami saya, cinta yang berputik semakin mekar melihat kesanggupannya bekorban dan bertolak ansur dengan kelemahan saya. Dialah orangnya yang tidak meminta-minta lebih dari kemampuan saya, malah dia melengkapi kehidupan saya dengan sentiasa menampung kelemahan saya dan menerima saya seadanya. Dan anak-anak yang Allah kurniakan ini, termasuk yang bakal lahir Disember nanti (insyaallah), semoga menjadi bekal untuk kita berdua...dunia dan akhirat!









Alhamdulillah sekali lagi..dan berkali-kali lagi untuk kesemua nikmat yang Allah berikan kepada saya. Cinta suami dan anak-anak, semoga semuanya membawa ke syurga.

p/s: Untuk yang berminat dengan kraftangan Felt, minta tinggalkan no telefon atau emel jika komen di blog ini. Atau anda boleh isi borang tempahan yang ada di blog Crafty Mommy. Terima Kasih.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, March 26, 2013

Selamat Pengantin Baru ::Sarina::

Salam

Saya agak terkejut sebenarnya apabila ex-roomate memberitahu yang dia bakal melangsungkan perkahwinan sebulan dari tarikh saya dimaklumkan. Terdiam seketika ketika mula-mula membaca kiriman SMS berupa berita baik yang tidak disangka-sangka itu. Masih kuat ingatan saya tentang bagaimana dia merungut mahu melepas diri dari tanggapan kakak dan abang terhadap adik bongsu dan ketidak sanggupan Emak melepaskan anak bongsu untuk berumah tangga. Semuanya bagai payah mahu diyakinkan bahawa dia sudah bersedia. Maklumlah, anak bongsu. Kakak dan abang merasakan dia masih terlalu muda, manakala ibu pula merasakan dia masih terlalu 'anak' untuk dibenarkan berkahwin. Syukur Alhamdulillah, semuanya sudah selesai.

Beberapa hari sebelum bertolak, saya dan suami menempah bilik hotel untuk kami duduki. Perkara sebegini harus diselesaikan terlebih dahulu kerana takut tiada kekosongan bilik lebih-lebih lagi di musim cuti sekolah yang sudah bermula. Dua hotel menjadi pilihan kami iaitu Hotel Pontian dan Hotel Wan Loong. Saya pada asalnya mahu memilih Hotel Wan Loong memandangkan kecantikan biliknya teramatlah berbaloi dengan harga yang ditawarkan, tapi oleh kerana tiada kekosongan bilik, kami memilih Hotel Pontian dengan tawaran harga yang agak menyenangkan.

Perjalanan selama enam jam sedikit menggusarkan kerana kedua-dua anak saya berada di dalam keadaan tidak selesa di sepanjang perjalanan. Zahra tertekan dan agak pemarah kerana terkurung lama di dalam kereta membataskan pergerakan dia. Tidak senang duduk dibuatnya. Sekejap mahu ke belakang, sekejap mahu ke depan, ada masa mahu berbaring dan ada masa mahu berdiri melihat pemandangan diluar tingkap. Wardah pula tidak kurang gusarnya, dia tidak boleh tidur dalam keadaan kereta yang sentiasa bergerak. Akibatnya sepanjang enam jam perjalanan Wardah hanya melelapkan mata untuk satu jam sahaja. Baki jam yang lain dia membebel-bebel seorang diri dan memangis meminta susu.

Perjalanan terasa lebih jauh dengan cabaran yang lebih besar. Alhamdulillah, kami tiba di Hotel Pontian jam 11.00 malam. Sampai sahaja di hotel, Wardah dan Zahra kelihatan menikmati suasana dan kemudahan yang disediakan pihak hotel. Wardah saya baringkan di atas katil, dan dia terus diam mengambil mood untuk tidur. Tidak berapa lama kemudian,dia melelapkan mata tanpa perlu saya mendodoinya seperti selalu. Zahra pula terus mengadap TV dan menontonnya untuk beberapa minit sebelum menangis mahukan susu dan terus sahaja di ulit lena.




Esoknya saya menyiapkan mereka untuk berkunjung ke majlis ex-roomate yang tinggal tidak jauh dari hotel yang kami duduki. Alhamdulillah,dengan rehat yang cukup, Zahra dan Wardah mudah diurus. Mereka tidak banyak ragam. Bila dikejutkan untuk mandi Zahra tersenyum riang. Begitu juga dengan Wardah diam sahaja tatkala air dicucurkan ke badannya.

Anak-anak di sekitar majlis..




Lama juga kami bertandang. Sengaja mahu menkmati suasana majlis dan meraikan ex-roomate yang sudah lama tidak berjumpa. Kami meminta diri apabila melihat keadaan anak-anak yang semakin menarik perhatian orang ramai dengan tangisan dan jeritan. Saya bergegas bersalaman dengan barisan kakak-kakak pengantin dan ibunya yang sedia menyambut tetamu di anjung. Melihatkan pengantin yang selesai menjamu selera di Meja Beradab,kami secepat mungkin mengambil kesempatan itu untuk mengambil beberapa keping gambar sebagai kenangan.



Tahniah Sarina dan Zaidee. semoga perkahwinan yang dibina sentiasa disinari rahmat dari Allah SWT, disuluhi dengan kasih sayang dan persefahaman yang berpanjangan dan dihiasi dengan kehadiran anak-anak yang soleh dan solehah sebagai bekalan di dunia dan akhirat. Bercinta hingga ke syurga hendaknya. Ameen.

........................

Keadaan anak-anak di dalam kereta sewaktu perjalanan pulang? Masyaallah,dua kali susah cabarannya dan kali ini benar-benar mencabar kesabaran.



Anak-anak saya yang membuatkan saya marah dan geram tapi ajaibnya mereka jugalah yang paling mudah membuatkan saya tenang dan bahagia. Insyaallah sayang, Mama dan Abi akan sayangakan harta yang Allah berikan ini hingga ke syurga. Insyaallah!

p/s: Baru kami perasan,baju kami betul-betul mengikut tema majlis. :)



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...