Showing posts with label Indahnya Persahabatan. Show all posts
Showing posts with label Indahnya Persahabatan. Show all posts

Wednesday, August 28, 2013

Rayuan Titipan Doa

Salam.
Sekiranya perkiraan saya betul,bermakna sudah 5 bulan saya tidak mengemaskini blog. Seperti biasa terlalu banyak cerita yang saya mahu coretkan tapi kali ini bukan hanya kekangan masa yang mengganggu urusan. Perasaan mahu menulis itu saya pendam kerana kesedihan yang mendalam.
Sedih dengan nasib umat Islam di Syria dan Mesir..dan sedih dengan nasib yang menimpa seorang rakan baik.

1. Mesir dan Syria.

Sudah beberapa kali saya menitiskan air mata melihat mujahidin dan kanak-kanak yang terkorban di Syria dan Mesir. Sengsara mereka bagai tidak berkesudahan. Hati saya merusuh sehinggakan sekali pun saya tidak berani untuk memuat naik gambar raya saya sekeluarga.

Mesir,Syria..ujian ini ujian kita bersama. Allah mengujimu dan mengurniakan pendudukmu jihad dan syahid manakala kami diuji dengan kesenangan sedangkan kamu dalam kesusahan. Apakah kami akan berjaya melalui ujian ini? Atau kami akan terleka dengan nikmat sementara yang akan mengundang sengsara.

Teman-teman dan rakan taulan,mahu menuntu kalian turun berjihad saya malu kerana sedar dengan kesanggupan dan keupayaan diri. Apa yang mampu saya lakukan adalah menyeru kalian untuk menyelitkan Mesir dan Syria di dalam setiap tadahan doa.

2. Iriniah bt. Shamshay

Satu perkara lagi yang sering saja menjemput tangisan ialah apabila melihat sengsara seorang teman. Ditinggalkan seorang diri untuk melewati hari-hari yang memakan dagingnya,melumpuhkan tubuh badannya dan merosakkan sistemnya.

Pada usia 26 tahun,dia masih terbaring lesu..sendirian dan ditinggalkan. Dahulu saya menulis beberapa warkah rindu dengan harapan satu hari nanti dia akan membaca kesemuanya. Tapi semenjak musibah ini menimpa untuk kali kedua,saya tidak lagi punya kekuatan untuk menaruh harapan. Hilang,tenggelam dalam pandangan matanya yang kaku dan beku. Tidak menyajikan sebarang reaksi mahupun emosi.

Tahukah kau teman,menyebut namamu sahaja membuat hatiku menderita..apatah lagi apabila mata ini menyaksikan sekujur tubuhmu yang kaku dan beku. Tersangat kaku sehinggakan ada ketika aku tertanya-tanya..apakah kau menghela nafas dan menghembusnya kembali? Sungguh,hiduplah semula!!

Irine,Rab rindu. Sudah hampir 3 tahun Irine begini.

Please Allah,sembuhkanlah dia!

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, March 26, 2013

Selamat Pengantin Baru ::Sarina::

Salam

Saya agak terkejut sebenarnya apabila ex-roomate memberitahu yang dia bakal melangsungkan perkahwinan sebulan dari tarikh saya dimaklumkan. Terdiam seketika ketika mula-mula membaca kiriman SMS berupa berita baik yang tidak disangka-sangka itu. Masih kuat ingatan saya tentang bagaimana dia merungut mahu melepas diri dari tanggapan kakak dan abang terhadap adik bongsu dan ketidak sanggupan Emak melepaskan anak bongsu untuk berumah tangga. Semuanya bagai payah mahu diyakinkan bahawa dia sudah bersedia. Maklumlah, anak bongsu. Kakak dan abang merasakan dia masih terlalu muda, manakala ibu pula merasakan dia masih terlalu 'anak' untuk dibenarkan berkahwin. Syukur Alhamdulillah, semuanya sudah selesai.

Beberapa hari sebelum bertolak, saya dan suami menempah bilik hotel untuk kami duduki. Perkara sebegini harus diselesaikan terlebih dahulu kerana takut tiada kekosongan bilik lebih-lebih lagi di musim cuti sekolah yang sudah bermula. Dua hotel menjadi pilihan kami iaitu Hotel Pontian dan Hotel Wan Loong. Saya pada asalnya mahu memilih Hotel Wan Loong memandangkan kecantikan biliknya teramatlah berbaloi dengan harga yang ditawarkan, tapi oleh kerana tiada kekosongan bilik, kami memilih Hotel Pontian dengan tawaran harga yang agak menyenangkan.

Perjalanan selama enam jam sedikit menggusarkan kerana kedua-dua anak saya berada di dalam keadaan tidak selesa di sepanjang perjalanan. Zahra tertekan dan agak pemarah kerana terkurung lama di dalam kereta membataskan pergerakan dia. Tidak senang duduk dibuatnya. Sekejap mahu ke belakang, sekejap mahu ke depan, ada masa mahu berbaring dan ada masa mahu berdiri melihat pemandangan diluar tingkap. Wardah pula tidak kurang gusarnya, dia tidak boleh tidur dalam keadaan kereta yang sentiasa bergerak. Akibatnya sepanjang enam jam perjalanan Wardah hanya melelapkan mata untuk satu jam sahaja. Baki jam yang lain dia membebel-bebel seorang diri dan memangis meminta susu.

Perjalanan terasa lebih jauh dengan cabaran yang lebih besar. Alhamdulillah, kami tiba di Hotel Pontian jam 11.00 malam. Sampai sahaja di hotel, Wardah dan Zahra kelihatan menikmati suasana dan kemudahan yang disediakan pihak hotel. Wardah saya baringkan di atas katil, dan dia terus diam mengambil mood untuk tidur. Tidak berapa lama kemudian,dia melelapkan mata tanpa perlu saya mendodoinya seperti selalu. Zahra pula terus mengadap TV dan menontonnya untuk beberapa minit sebelum menangis mahukan susu dan terus sahaja di ulit lena.




Esoknya saya menyiapkan mereka untuk berkunjung ke majlis ex-roomate yang tinggal tidak jauh dari hotel yang kami duduki. Alhamdulillah,dengan rehat yang cukup, Zahra dan Wardah mudah diurus. Mereka tidak banyak ragam. Bila dikejutkan untuk mandi Zahra tersenyum riang. Begitu juga dengan Wardah diam sahaja tatkala air dicucurkan ke badannya.

Anak-anak di sekitar majlis..




Lama juga kami bertandang. Sengaja mahu menkmati suasana majlis dan meraikan ex-roomate yang sudah lama tidak berjumpa. Kami meminta diri apabila melihat keadaan anak-anak yang semakin menarik perhatian orang ramai dengan tangisan dan jeritan. Saya bergegas bersalaman dengan barisan kakak-kakak pengantin dan ibunya yang sedia menyambut tetamu di anjung. Melihatkan pengantin yang selesai menjamu selera di Meja Beradab,kami secepat mungkin mengambil kesempatan itu untuk mengambil beberapa keping gambar sebagai kenangan.



Tahniah Sarina dan Zaidee. semoga perkahwinan yang dibina sentiasa disinari rahmat dari Allah SWT, disuluhi dengan kasih sayang dan persefahaman yang berpanjangan dan dihiasi dengan kehadiran anak-anak yang soleh dan solehah sebagai bekalan di dunia dan akhirat. Bercinta hingga ke syurga hendaknya. Ameen.

........................

Keadaan anak-anak di dalam kereta sewaktu perjalanan pulang? Masyaallah,dua kali susah cabarannya dan kali ini benar-benar mencabar kesabaran.



Anak-anak saya yang membuatkan saya marah dan geram tapi ajaibnya mereka jugalah yang paling mudah membuatkan saya tenang dan bahagia. Insyaallah sayang, Mama dan Abi akan sayangakan harta yang Allah berikan ini hingga ke syurga. Insyaallah!

p/s: Baru kami perasan,baju kami betul-betul mengikut tema majlis. :)



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, March 12, 2013

Selamat mendirikan Rumahtangga :)

Salam

Ramai yang bakal mendirikan rumah tangga penghujung Mac ini. Saya doakan semuanya selamat dan dipermudahkan Allah SWT. Mendirikan rumah tangga merupakan titik tolak kehidupan seorang wanita. Setelah dia berkahwin maka apa saja yang dilakukannya semuanya untuk mencari keredhaan suami yang seterusnya membawa kepada keredhaan Allah SWT.



Hari demi hari, saya berusaha untuk memperbaiki diri menjadi yang terbaik buat suami saya. Kalau dikenangkan awal perkahwinan, banyak pengorbanan yang suami dahulukan dalam usaha mendidik saya menjadi semakin baik hari demi hari. Bukan mudah mahu istiqamah dalam perkara-perkara yang mahmudah. Saya merasai kepayah itu sehingga ada ketikanya saya menitiskan air mata mahu berputus asa. Masih segar di ingatan saya apabila saya menangis mahu memakai tudung yang lebih pendek kerana merasakan diri tidak lagi menarik dan cantik. ketika itu suami memujuk lembut, "Awak nak cantik untuk siapa lagi? Saya suka awak begini, cantik di mata saya". Bila soalan itu diajukan saya bagai terping-pinga sendiri. Untuk siapa lagi kecantikan itu mahu ditonjolkan kalau bukan suami. kalau suami sudah berkenan dengan keadaan saya sekarang ini, untuk apa saya menangis mahu melakukan perubahan yang tidak diredhai dan tidak disukai.

Banyak yang saya pelajari melalui perkahwinan dan saya kira hikmah di sebalik pernikahan saya di usia muda ini adalah kerana Allah mahu mendidik saya. Saya menganggapnya rezeki yang Allah kurniakan untuk saya. Rezeki untuk berubah menjadi lebih baik dari hari ke hari. Saya mendoakan rakan-rakan yang bakal berkahwin juga begitu. Jadikan perkahwinan anda sebagai titik permulaan yang berterusan kepada langkah perubahan ke arah kebaikan. Mungkin di awalnya anda akan menemukan kesukaran tapi percayalah, disebalik kesukaran itu akan terselit hikmah yang membuahkan senyuman.

Selamat melayari bahtera rumah tangga yang penuh dengan kemanisan yang diselang selikan dengan sedikit kepahitan. Semoga ianya terbina di bawah redha Allah dan selamanya di bawah rahmat dan kasih sayang Allah. Barakallahhulakuma wabaraka a'laikuma wajamaa' bainakuma fil khair! :)

p/s: Sarina, kalau awak still baca bolg ini..saya sampai sekrang tersenyum bila mengingatkan bagaimana awak mengkhabarkan kepada kami (saya dan Wawa) yang awak bakal mendirikan rumahtangga 24 Mac nanti. Tahniah! ;)


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, February 3, 2013

Hati Yang Hancur

Salam

Saya tidak pasti entah kali ke berapa saya menulis tentang sahabat yang sama. Cerita pertama yang saya kongsikan tantang dia adalah mengenai betapa beruntungnya saya mempunyai teman yang baik hati, memahami dan ikhlas dalam persahabatan. Kisah kedua tentang bagaimana dia diuji Allah SWT, kehilangan upaya sebagai manusia biasa dan terlantar di katil hospital yang empuk tapi tidak mampu melenakan buat beberapa bulan lamanya. Saya juga pernah menurunkan sebuah puisi untuk dia, memohon doa yang dititpkan buat dia dimakbulkan Allah SWT.


Beberapa lama kemudian,saya masih lagi menulis tentang dia yang belum sembuh dari penyakit yang tidak diketahui. Kata doktor,penyakit yang baru sahaja 'menjejaki' Malaysia sekitar 5/6 tahun yang lalu. Pelbagai usaha telah dijalankan dan dia tidak memberi sebarang tindak balas terhadap sebarang ubat-ubatan. Akhirnya,sebagai langkah terakhir, doktor menyarankan dia menukar darah dan ianya membuahkan hasil. Dia sedar daripada lena yang panjang namun kehilangan sebahagian besar kebolehan diri sebagai manusia normal. Bertitik tolak dari situ,dia menjalani fisioterapi dengan tekun dan sabar. Kali pertama saya menziarahinya selepas dia 'membuka mata', dia menangis semahunya. Saya, turut serta larut dalam titisan air mata yang dicurahkan. Alhamdulillah,hari demi hari, dia semakin pulih.


Tapi takdir itu bukan ditangan manusia, dia di hantar di pusat jagaan untuk berkongsi hidup dengan makcik dan pakcik yang dibuang keluarga. Bagai orang yang tidak punya siapa,kadang-kadang ketika dinihari dia disapa pakcik Cina yang nyanyuk yang mahu menonton TV bersamanya. Saya menangis mendengar keluhan dia. Ada ketika berjam-jam lamanya kami berbual di telefon dan berjam-jam itu juga kami berkonbgsi air mata,suka dan duka. Saya masih mengunjunginya walaupun kekangan masa yang menghimpit. Sukar untuk memberikan komitmen yang berterusan dalam keadaan sarat mengandung. Pernah sekali,dia mengusap perut saya dan ketika itu juga anak di dalam perut menendang perlahan, kami ketawa bahagia. Terasa indah detik-detik yang dilalui tapi saya tahu peritnya tidak mungkin dihilangkan dengan kehadiran saya yang jarang-jarang sekali.


Beberapa bulan berlalu dan saya tidak mampu menghitungnya lagi. Di saat saya kehilangan harapan terhadapnya untuk kembali pulih seperti biasa, Allah datangakan sinar bahagia yang tidak terduga. Dia kini mampu berbicara, tersenyum ceria dan hidup seperti biasa. Walaupun masih dibiarkan sendiri di pusat jagaan,dia saya lihat semakin gigih meniti kehidupan. Alhamdulillah,rakan-rakannya semakin ramai yang mendekati,tidak seperti keluhan yang saya dengari ketika kami bercakap melalui telefon, "Bila sakit macam ni,baru kita tahu siapa yang sebenarnya kawan". Saya diam,tidak tahu bagaimana mahu menghilangkan rasa terkilan dihatinya.


Di saat kami semua merasa selesa dengan keadaan kesihatannya,Allah menguji kami sekali lagi. Dia kembali tidak sedarkan diri dan yang paling menyayat hati,keadaanya lebih buruk berbanding yang sebelum ini. Saya menerima perkhabaran itu ketika saya sarat mengandungkan anak kedua. Saya hanya mampu berdoa dan berharap. Hati saya meronta mahu mengunjungi dia tapi saya sendiri keluar dan masuk hospital tanpa henti, kandungan kali ini sedikit menguji. Sehari selepas tempoh berpantang tamat, saya menjejakkan kai ke PPUM. Melihatnya terlantar di katil dan mendengar rungutan misi membuatkan hati saya hancur. Kata misi, "Tidak ada sesiapa pun yang melawat dia secara rutin. Ibubapa dia pun jarang-jarang sekali datang. Yang menguruskan pakaiannya pun orang-orang dari pusat jagaan itu". Saya berpaling mengadap tingkap dan buat sekian kalinya, saya menangis lagi.


Ya Allah, sungguh saya tidak tahu berapa banyak lagi air mata yang harus saya gugurkan untuk sahabat yang seorang ini. Hati saya hancur mengenangkan dia yang berusia 26 tahun tetapi bagaikan tiada masa depan yang menanti. Hati saya hancur mengenangkan ibubapanya yang rela dan tegar membiarkan dia sendiri bertarung nyawa melawan penyakit yang menyerang. Hati saya hancur Ya Allah. Sungguh saya merayu,sembuhkanlah dia,sembuhkanlah dia, sembuhkanlah dia. Tidak ada sesiapa lagi yang mampu memberikan dia kesembuhan dan kebaikan melainkan Allah yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Yang menjadikan langit dan bumi dan semua makhluk yang berada di antaranya. Saya memohon dan meminta pertolongan dariMu Ya Allah,berikanlah kesembuhan padanya dan pulihkanlah dia seperti sedia kala. Allah,makbulkanlah! Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Monday, January 16, 2012

Berkelah

Salam.

Hari Ahad yang lepas, rakan-rakan seperjuangan suami saya ketikan di Pakistan merancang aktiviti berkelah bersama keluarga. Saya menerima cadangan tersebut dengan hati yang berbunga-bunga. Saya memang dari dulu suka mandi manda di kawasan air terun. Memang kena sangat dengan idea mereka mahu berekreasi di Hutan Lipur Sungai Tua. :)

Kami membawa masakan Italy untuk perkelahan hari itu, Spaghetti Bolognese. Tapi resepinya tidak lagi begitu Italy, sudah diubah sedikit mengikut citarasa orang Melayu. Saya lebih suka begitu, lebih berselera dan lebih memberikan rasa. Itu saja yang saya bawa kerana mereka mahu buat barbecue.

Ini kali pertama membawa Zahra berkelah, ada rasa gusar sebenarnya membawa anak sekecil itu ke kawasan hutan. Tapi bila mendengarkan ada juga yang membawa anak kecil seusia Zahra, saya sedikit lega walaupun ketika mula-mula sampai di tapak perkelahan mulut saya terkumat kamit membaca Ayat Kursi. Hehe :p Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Saya terhibur melihat Zahra yang begitu gembira bermain air. Semoga ukhuwah yang terbina hasil daipada aktiviti yang merapatkan silaturrahim sebegini bertahan lama. Ameen.

Penat main air, tidur ramai-ramai.



Muka ceria dapat celup kaki dalam air. Sorry sayang, mama belum berani bagi berenang. :p

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, April 12, 2011

Express Update

Salam

Alhamdulillah, peperiksaan akhir semester sampai ke penghujungnya. Saya mengatur rancangan untuk mengemas rumah, agar tersedia seperti rumah orang yang sudah berkahwin memandangkan kelengkapan rumah semakin bertambah. :) Sedikit, sedikit lama-lama jadi bukit. Inilah kehidupan, berperingkat. Kami masih belum stabil tapi langkahnya sudah bermula. Saya menterjemahkan ini sebagai hikmahnya berkahwin muda. Pemikiran semakin dewasa, harus memikul tangunggjawab, menggalas bebanan yang mematangkan dan memulakan langkah ke arah menstabilkan kehidupan dengan lebih cepat. Semoga segalanya membawa kepada kebaikkan. InsyaAllah.

Selain mengemas rumah, saya juga merancang untuk keluar berjalan-jalan dengan suami. Serasa saya, semenjak saya mengandung kurang benar saya menemani suami ke mana-mana. Saya lebih rela melayan penat dengan berbaring-baring dan bermalas-malasan di atas katil. Kalau di ajak berjalan, bermacam-macam alasan saya akan beri. Termasuklah alasan yang paling remeh-malas menggosok baju. Azam saya untuk cuti semester ini ialah bersosial bersama suami. Yeah! :)

Alhamdulillah, sahabat saya semakin sembuh. Sudah boleh tersenyum dan memberi respond. Tidak lagi membisu tidah mengerti seperti dulu. Saya bersyukur benar, terima kasih Allah kerana mendengar doa kami semua. Semoga sahabat saya semakin sembuh dari hari ke hari, semakin petah berbicara dan semakin lincah bertenaga. Saya benar-benar mahukan dia sihat seperti sedia kala. Ya Allah, permudahkanlah semuanya.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga didalam golongan yang memperjuangakan agamanNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.

p/s: Terima kasih la pada mereka yang aktif meninggalkan jejak di shoutbox saya. Shiela, Jack, Peter, Silvia and etc. Suka benar kamu semua bila saya update ye. Terima kasih kerana meminati saya.. -_-'

p/s: Perut semakin bulat dan besar. Baby semakin pandai kick. Saya bahagia tapi yang merisaukan bila dia makin aktif time 2am. Petanda tidur saya akan terganggukah nanti bila dia dilahirkan? Oh tidak, Mama masih student sayang..

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, March 6, 2011

Tangisan untuk Sahabat


Salam

Dah dua bulan saya tidak dapat mendengar suaranya, tidak dapat melihat perilakunya yang mencuit hati. Kalau kerana kesibukkan yang melanda, mungkin rindu tidak menggamit sebegini rupa. Tapi kesepian itu disebabkan musibah yang menimpa. Musibah yang mengunci mulutnya, musibah yang meragut kegembiraannya. Doa tidak pernah putus saya panjatkan tapi jalan masih belum Allah tunjukkan. Mungkin mahu saya perkasakan lagi usaha, mungkin mahu saya terus pasakkan pengharapan. Air mata terbit bagai sungai yang tidak pernah kering mengalir, malahan sampai suatu saat di sulam dengan rasa marah pada insan yang dirasakan kurang bertanggugjawab. Sungguh fikiran saya tidak pernah berhenti memikirkannya, memikirkan ikhtiar yang mampu merubah segala.

Ya Allah, sembuhkanlah sahabat saya. Sahabat yang saya cintai sepenuh jiwa. Sahabat yang dahulunya sering menghadiahkan senyuman, menguraikan kekusutan dan menghangatkan jiwa dengan cinta dan bahagia. Ya Allah, sahabat saya kini hilang kekuatan. Tiada mampu tersenyum gembira, malahan membuka mulut pun sangat payah tidak berdaya. Sahabat saya ini dianiaya, Ya Allah. Janganlah kau terus menerus membiarkan kezaliman ini terus bertakhta. Kembalikan dia seperti sedia kala. Saya benar-benar merindukannya.

Dalam malam yang sepi
Kelam tidak berpenghuni
Hitam pekat yang bisu
Membuahkan yang tidak lain selain rindu
Wahai Yang Esa, yang berkuasa ke atas segalanya
Dengarlah tadahan doa kudus yang ku hembus dalam setiap nafas
Semoga perginya tinggi membelah tujuh susunan langit Illahi
Ya Allah, kurniakanlah sahabatku kesembuhan yang berpanjangan
Kembalikan senyumannya yang selama ini membahagiakan
Jangan dibiarkan penganiayaan tidak berperi kemanusiaan
Hati ini tidak betah lagi Ya Allah
Melihat dirinya bagai mati diuji
Merasakan usahaku bagai tidak menentu
Aku bermohon pada Mu Ya Allah
Yang berkuasa atas segala-galanya
Akihirilah segalanya
Hentikan penganiayaan
Kembalikan setiap senyuman

Kita selalu meletakkan syaitan sebagai musuh yang terang dan nyata sehingga kita alpa. Bila hati mula berdusta, mula hitam kerana dikotori dosa, maka inilah musuh yang lebih hina. Kerana sakit hatinya hingga sanggup menganiaya, rosak jiwanya hingga sanggup meragut sebuah kehidupan. Maka untuk manusia seperti ini, saya tidak akan sertakan doa melainkan doa agar Allah memberikannya balasan yang setimpal untuknya di dunia dan di akhirat kerana saya tahu siksaan Allah itu lebih dasyat dari mana-mana kesakitan yang ada di dunia ini.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangakan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Friday, December 3, 2010

Maal Hijrah 1432

Salam

Salam Maal Hijrah. Buat mereka yang mengikat janji dengan ikatan nikah, moga sentiasa penuh dengan mawaddah dan rahmah. Buat para Da'ei yang menempuh mehnah, moga sentiasa tabah menghadapi Mad'u pelbagai karenah. Buat para pejuang fisabilillah, moga sentiasa mendapat barakah. Moga kita semua berada dalam jalan yang terarah, menuju kehidupan di Jannah.

Semoga yang berlalu dijadikan tauladan, yang akan datang ditempuhi penuh pengisian. Semoga tahun ini bakal memberi kebaikkan yang tidak bersempadan dan menjauhkan kita dari keburukkan yang menyesatkan. Biar segala ujian yang mendatang di tempuh dengan Iman dan kehambaan. Moga tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang sudah. InsyaAllah

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.


p/s: Macam biasa, sumber picture adalah daripada En Google. :)

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Monday, November 1, 2010

Memori-Membesar

Salam

Semenjak dua menjak ini, isu serius saja yang saya bangkitkan. Mungkin saya semakin dewasa :p Boleh jadi juga kerana banyak membaca, maklum lah, musim exam sedang menguasai suasana. Jadinya terbawa-bawa, hingga pemikiran saya juga semakin serius. Tapi seronok juga menjadi dewasa, rugi pada sesiapa yang enggan menerima takdir. Jadi orang dewasa punya kelebihan yang tersendiri, mungkin kanak-kanak itu lebih santai hidupnya, kurang tekanan tapi itu maknanya kurang juga mengenali dunia. Dunia yang membentuk siapa kita, dunia yang menentukan di mana kita bila dunia ini tiada.

Mari hulurkan tangan ringankan beban. (?) Saya mahu berehat seketika dari tekanan yang melanda, mahu santai-santai dalam meluang masa. Mata saya sedikit kuyu, saya telah keraskan hati untuk study secara fokus untuk 3 jam lamanya. So sekarang, masa rehat untuk 2 jam seterusnya. (Amboi!) Bukan apa, kalau dulu hidup bujang boleh la berehat untuk sejam, tapi sejak bergelar isteri, bila berhenti membaca maknanya masa untuk mengemas dan memasak pula. Kena pandai bahagikan masa OK. (pesanan untuk diri sendiri -_- ) Conclusion, kalau membaca fokus sungguh-sungguh, kalau mengemas dan memasak buat betul-betul.

Ya, baru-baru ini saya semakin banyak ber'blog walking' bila mahu menghilanglan stress. Jadinya semakin banyak blog 'Hot Wife' yang saya jumpa. Ada yang menarik hati, dan ada juga yang saya rasa tidak kena dengan jiwa saya. Apa pun yang pasti saya memang happy membaca kisah isteri-isteri yang lain. Sangat sweet dan buat saya rasa ada ramai sangat geng. Sangat la seronok. Ada juga yang menulis pengalaman yang sangat berguna, pengalaman 'pregnant', memasak, perihal anak-anak dan pengurusan rumah tangga. Mungkin macam sangat terhad saja pembacaan saya, semuanya mengenai mereka yang telah berkahwin.

Tapi to be honest, bila perempuan dah kahwin, memang suami dan anak itu dunia dia. And the truth is, mmg diaorang akan happy dengan semua ini. Eventhough ramai yang kononya suka merungut, "betul ke aku nak kahwin ni, dah puas ke aku hidup membujang", "dah bersedia ke aku nak lepaskan kebebasan aku". Satu je respond saya. Sebab korang semua tak tahu, mendedikasikan diri untuk suami dan keluarga itu lebih worth dari kebebasan yang korang semua fikir. Kalau tak, korang pun akan agree dengan saya. Lagipun kalau kahwin, bukannya kena berkurung dalam rumah and tak boleh keluar langsung. Boleh jer. Saya siap pergi jalan-jalan rumah kawan lebih aktif dari sebelum kahwin.

OK, cukup dengan promosi "Mari Kahwin Muda". 2/3 hari yang lepas, memori saya di Sek Ren Keb Ampang kembali menjengah. Bukan kerana mimpi-mimpi indah tapi kerana kehadiran kawan-kawan sekolah ketika di darjah 1 dan 2 menegur saya. Jujur saya katakan, saya tidak pernah terfikir untuk bertemu kembali dengan mereka, kerana sewaktu perpisahan itu berlaku, kami terlalu muda. Mungkin muka pun tak mampu lagi nak dicam. Bayangkan, waktu saya berpindah itu, tidak ada langsung sesi bertukar alamat atau nombor telefon. Saya terlampau naif untuk mencari jalan untuk mengekalkan silaturrahim. Alhamdulillah, teman-teman saya tidaklah se'ntah apa-apa' seperti saya. Mereka mencari saya di FB dan yang paling mengharukan, mereka mengecam saya. Mungkin kerana wajah yang tidak berubah sedangkan mereka semakin anggun bergaya. Sungguh, saya rasa pertemuan semula ini rancangan Allah. Pasti ada hikmah yang besar disebaliknya.

Ya, dalam pada sesi cam mengecam, ramai yang menegur wajah saya yang makin tembam dan secara mengambil hatinya menyambut statement itu dengan menambah. 'maklumlah, orang bahagia ada suami'. Saya tidak mengambil hati, jauh sekali nak membawa diri sekali lagi. Apa yang dikatakan itu benar belaka, penimbang sendiri jadi bukti. Berat badan saya naik 2KG. Haih, sebulan sebelum kahwin naik 1KG, 5 bulan selepas kahwin naik 2KG. Janganlah nanti selepas deliver baby naik 10KG. Saya mahu mengekalkan keanggunan. (anggun ker? TetTtttt..!!). Jujurnya, memang itu impian saya, mahu kekalkan bentuk tubuh ideal walaupun sudah beranak 8. (8? Ramainya!) Mampukah saya? Sama-samalah kita berusaha dan berdoa.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, October 26, 2010

A Friend That One Must Have

Salam

Hari ini mahu lebih santai dan tenang. Mahu bercerita tentang seorang teman dan sahabat yang sangat comel dan murah dengan senyuman. Serasa saya, belum lagi saya melihat dia memuncungkan bibir ataupun bermasam muka dengan sesiapa. Tersenyum saja kerjanya. Teman yang tiba-tiba saja merelakan diri, membuang masa membalas semua mesej-mesej saya yang entah apa-apa. Tidak berkepentingan pun sebenarnya.

Sejujurnya saya dan dia tidak lah serapat mana sewaktu kami di IIC dulu, tapi dengan izin Allah. Perpisahan mendekatkan kami. Dia bukanlah orang yang selalu saja saya dampingi, tapi dialah orang yang selalu saja saya hubungi kalau ada cerita yang mahu dikongsi. Saya selesa dengan caranya, menjaga hati, halus dan berseni. Saya suka dengan gaya bahasa dan tutur bicaranya yang comel dan mencuit hati. In fact, peribadinya sendiri menggelikan hati. Tak percaya? Nilailah sendiri.


Iriniah Shamshay. Memang sangat suka tangkap gambar. Tapi saya rasa itu langsung tak menjadi masalah. Maklum la, orang cantik, orang pandang pun tak jemu. Hehehe, in fact, saya sendiri salah seorang fan dia, kalau ada saja foto baru, saya tidak melepaskan peluang untuk melihat wajah comel itu untuk melepaskan kerinduan. Saya suka dengan kehadiran dia dalam hidup saya. Sentiasa memberi sokongan dan menjadi pendengar setia tanpa perlu di minta. Bila mana saya mahukan teman untuk berbual, maka dia tidak lokek meluangkan masa untuk bersembang panjang dengan saya. Ada ketika, dia secara spontan menawarkan diri, mahu menyembuh gundah di hati. Sweet kan? se-sweet wajahnya.


Kalau dilihat dalam inbox FB saya, panjang lebar kami bercerita. Ada saja untuk dikongsi. Baru-baru ini dia berkongsi resepi dengan saya. Resepi sedap yang seterusnya menjadi favorite suami. Happy sungguh waktu tu, MMS saya kirimkan. Mahu dia lihat sendiri apa hasil dari resepi yang telah dikongsi.

Persahabatan saya dan Irine ringkas, berkongsi apa yang kami mahu dan menghormati privacy yang tidak mahu diganggu.

Thanks Irine sebab selelau support kita, selalu dengar kita membebel and last but not least selalu buat kita happy dengan gaya comel awak tu. Love you..!! :)



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Sunday, October 3, 2010

Tarbiyyah Akhir Syawal

Salam

Bak kata suami saya, orang KL ini, kalau raya betul-betul sebulan. :) Alhamdulillah, hari ini saya berpeluang merapatkan kembali silaturrahim antara saya dan teman-teman lama. Tuhan saja yang tahu betapa syahdu hati saya tatkala melihat wajah mereka yang dahulunya mengisi setiap genap, zaman persekolahan saya. Masih dengan wajah yang sama tapi punya kehidupan yang berbeza. Masing-masing sudah terjun ke bidang kerjaya, cuma saya saja yang masih menyambung pelajaran. Bila akan menjejaki mereka pun saya tidak tahu.

Perjumpaan ini membawa banyak pengertian. Perkongsian pengalaman yang pelbagai, dalam rencah kehidupan yang penuh badai. Saya seronok melihat keletah mereka, celoteh yang penuh tawa dan komen tentang perubahan saya yang ketara. Ada di antara mereka berseloroh memanggil saya Ustazah. Saya hanya ketawa, malas mahu mengomen panjang. Biar langkah pertama ini bermula tenang. Hanya beberapa ketika saya menyelit sedikit peringatan ringan tentang kewajipan wajib seperti solat dan menutup aurat. Tak mahu ada yang melopong dengan perubahan saya dan tidak mahu juga ada yang menjauhkan diri, merasakan saya terlampau menekan.

Hanya 2 buah rumah yang sempat kami kunjungi, masing-masing ada komitmen. Saya yang menumpang kenderaan mereka, akur dengan setiap jadual yang dicadangkan. Tidak mahu menyusahkan sesiapa.

Petang itu terasa sedikit berbeza. Farhana Omar, rakan sekelas saya semasa di tingkatan 1 menghantar saya pulang. Macam-macam kami bincangkan. Dia mengingatkan saya tentang fitnah dunia akhir zaman yang semakin mengerikan dan saya mengingatkan dia tentang pergantungan kita pada Allah. Melihat wajah dia yang begitu mahukan kebaikkan buat saya rasa sayu. Ya Allah, permudahkanlah urusannya, perkenankanlah doanya dan kau temukanlah dia dengan jodoh yang mampu memimbing dia ke jalanMu.

Mata dia seakan-akan berkaca sepanjang perbualan itu berlangsung. Betapa hatinya tidak tenang berada di dalam kehidupannya sekarang, mahu berubah ke arah yang lebih baik. Saya menyambut niatnya dengan kata-kata semangat, mahu dia terus istiqamah mencari kebaikkan dan keredhaan Allah. Tatkala dia rancak bercerita, saya bersyukur ke hadrat Illahi kerana menjadikan saya insan yang beruntung, menemukan saya dengan lelaki yang baik dan membuka jalan kehidupan saya ke arah Islam. Saya mahukan kebaikkan itu untuknya juga. Ya Allah, kau permudahkanlah urusannya, Kau tunjukilah dia jalan yang lurus, jalan menuju keredhaanMu. Dan setelah itu, kau tetapkanlah hatinya. Teguh dan utuh bersama Islam.

Saya teringat kisah saya pada suatu ketika dulu, ketika rasa mahu bersuka-suka memenuhi setiap genap jiwa, sehinggalah ketika saya mencari-cari hala tuju diri. Nauzubillah, jangan dipesongkan hati ini Ya Allah. Menemuinya mentarbiyyah diri saya, mengingatkan saya tentang dunia akhir zaman. Jangan terlampau selesa berada di dalam kalangan orang yang soleh dan solehah sehingga alpa untuk mempersiapkan diri ketika dunia di penghujung usia. Semoga cinta RasulAllah menjadi sumber kekuatan kita semua, mendukung apa yang beliau ajarkan dan menyebarkannya di setiap jiwa setiap manusia.

"Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku." Ujar RasulAllah. "Bukankah kami semua saudara-saudaramu wahai utusan Allah?" para sahabar melontarkan soalan. "Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudaraku yang ku maksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada." Jawab RasulAllah SAW.

Aneh, menyintai insan yang belum ada. Cinta RasulAllah pada orang beriman di akhir zaman, cinta luar biasa. Cinta yang menjadikan beliau bekorban segalanya. Biar di ceruk mana pun kita berada, tidak ada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi. Justeru, adakah kita menyambut cinta yang agung itu? Cintakah kita pada pecinta yang agung itu? Hati kecil itu tidak mampu berbohong. Kita tahu di mana cinta itu di hati kita. Wallahua'lam.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaaNya.

Source : Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Friday, September 17, 2010

Raya Urban di Kuala Lumpur

Salam

Saya sampai di Kuala Lumpur tepat pukul 8.30 malam Raya kelima. Abah, Mama dan adik-adik setia menanti. Seronok rasanya berjumpa dengan mereka. Suasana raya itu masih terasa walau berpakaian biasa dan sederhana. Tidak ada aktiviti sebenarnya yang kami lakukan selain menonton TV, maklumlah, saya baru saja sampai. Penat masih bersisa. Malam itu saya mengalirkan air mata bukan kerana sesi bermaaf-maafan tapi kerana menonton iklan hari raya. Dua iklan yang menyentuh hati saya. 1 iklan mengenai seorang perempuan yang kematian suami tapi tetap pulang ke kampung, mengekalkan hubungannya dengan keluarga mentua. Dan 1 lagi iklan ialah iklan seorang anak yang dikunjungi bapanya, dia sedikit lupa untuk bertanya khabar ibubapanya tapi di akhir iklan itu dia sebenarnya sudah membelikan sebuah rumah untuk ayahnya. Saya menangis, beremosi secara tiba-tiba. Habis kehairanan 1 rumah dan suami saya memanggil saya menghampirinya. Dia memeluk saya erat, memujuk saya. Alahai, syahdu di hari raya kelima rupanya. :)

Raya keenam saya berkunjung ke rumah rakan taulan. Sepanjang tahun tidak berjumpa, inilah kesempatan untuk bersua muka. Rumah pertama saya kunjungi ialah rumah Maryam dan Siti Hajar, kemudiannya kami ke rumah Aryanti, ke rumah seorang sahabat yang sering membuatkan saya ketawa-Azriza dan akhir sekali ke rumah teman suami saya di Yaman. Perut terasa begitu penuh dengan makanan. Bermacam-macam hidangan disajikan. Raya keenam memang kami kekenyangan. Terasa seperti naik berat badan. Tapi saya buat tidak endah, kalau ditimbang nanti bimbang pula mahu beraya ke rumah teman yang lain.

Esoknya giliran kami membuat makan, saya menjemput semua rakan taulan ke rumah saya pada Raya ketujuh. Walau tidak semua menghadirkan diri, kemeriahan tetap dapat dirasai. Riuh rendah rumah dibuatnya. Majlis ini tidak dirancang sebenarnya, kebetulan ramai kawan adik yang mahu bertandang, yang memerlukan mama memasak secara 'pukal', maka saya turut menumpangkan nama kawan-kawan dalam senarai tetamu jemputan. Maaf pada yang tidak tersenarai tapi jangan ada yang bersungut. Rumah ini sentiasa terbuka, asal saja dikhabarkan kehadiran, maka mama akan memasak yang enak-enak. InsyaAllah. Hari itu, ramai kenalan lama yang kembali bertemu, maka pelbagai ceritalah yang dikongsi. Berita dan gosip memang tidak ketinggalan. Perempuan. Susah benar mahu dipisahkan dengan gosip. Saya menerima tetamu hingga ke malam hari, terima kasih teman kerana sudi meluangkan masa.

Raya kelapan semuanya seperti biasa. Tiada yang istimewa. Mungkin ini boleh dipanggil hari rehat untuk kami sekeluarga setelah berpenat lelah seharian suntuk semalam. Mungkin juga boleh dipanggil sebagai hari rehat untuk perut yang sentiasa kekenyangan.

Esoknya saya menjemput kakak dan adik-adik ipar saya untuk menyambut Raya kesembilan di rumah kami. Mama sangat teruja dengan kedatangan mereka. Berkali-kali dia bertanya tentang menu yang mahu dihidangkan untuk para tamu. Akhirnya setelah dipersepakati, Mama menyajikan Ikan Kerapu 3 rasa, Tom Yam Campur, Ulam-ulaman berserta Sambal Belacan dan Ikan Kerisi Goreng. Puding Karamel seperti biasa sebagai desert. Saya berkesempatan melepaskan rindu pada anak saudara, Adam. Seronok melayan keletahnya yang sangat suka dengan Ultraman. Petang itu dia tertidur di pangkuan saya, seronok sungguh rasanya. Bertambah-tambah kemahuan saya dan suami. Semoga Allah mengurniakan kami rezeki. :)

Sekali lagi kami berehat memandangkan esoknya kami akan menghadiri 4 jemputan makan-makan. Kami mengambil kesempatan ini menyambut Raya kesepuluh untuk bermanja-manja suami isteri. Tiada yang istimewa, kami hanya menyambut raya bersama. Setelah beberapa lama berhari raya, baru hari ini rasanya menyambut raya sepenuhnya bersama suami. Bergelak ketawa, berbincang dan bercerita tentang raya yang kami nikmati, dari sudut pandang yang berbeza.

Kami ke rumah Dr. Hatta Ramli. Cadangnya mahu menikmati kambing golek, tapi rezeki tidak menyebelahi. Habis. Yang tinggal hanyalah gulai kambing. Saya redha dan menikmati pelbagai juadah lain yang disediakan. Destinasi seterusnya di Puchong, ke rumah sepupu saya yang baru saja naik ke rumah baru. Jadi majlis yang diadakan boleh dikatakan seperti 2 dalam 1. House Warming dan Hari Raya. Saya menikmati pemandangan rumahnya yang begitu mendamaikan. Kemudian kami ke Bangi, ke rumah teman suami saya ketika di Sudan. Oleh kerana destinasi setiap rumah yang kami kunjungi jauh antara satu sama lain, makanya saya tidak dapat menghadirkan diri ke rumah rakan karib saya. Sedikit kesal pada awalnya, tapi cepat-cepat saya memujuk hati. Saya akan mengunjungi rumahnya, sekalipun raya tidak bersisa. Saya dan suami mengakhiri Raya kesebelas dengan dengkuran kecil, kepenatan ke sana ke mari.

Hari ini kelas bermula seperti biasa. Saya masih dalam mood raya, seperti mana pelajar yang lain. Tumpuan masih belum 100% fokus pada pembelajaran. Raya kedua belas, pelajar IIU sudah mula memperagakan baju baru. Saya masih dengan yang dulu, tahun ini tidak berkesempatan membeli baju baru tapi saya tetap beraya sakan. Tak apa, kita utamakan kesihatan. Kalau berbaju baru tapi berwajah lesu pun tidak indah juga. Setakat ini, ada 2 lagi jemputan yang perlu saya hadiri. Apa-apa pun moganya kita menyambut kemeriahan ini dengan kesyukuran dan keserdahanaan. InsyaAllah.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Thursday, April 22, 2010

Indah Hanya di Mata

Salam

Sedang saya leka membaca tafsiran Al-Quran di laptop, terjumpa sepotong ayat yang menyebabkan hati ini gelisah. Saya tidak mahu tersilap langkah. Tidak mahu berilmu tapi tidak beramal. Hanya tahu memaparkan yang indah walhal di baliknya busuk dengan personaliti seorang Munafik. Nauzubillah.

Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah isi hatinya, padahal ia adalah penantang yang paling keras.

Al-Baqarah, Ayat 204


Saya beristighfar. Saya berkira-kira jalan penyelesaian yang patut saya ambil. Saya meminati bidang penulisan, tetapi tidak mahu apa yang saya tulis hanya menimbulkan kekeliruan pada pembaca. Sudah la menimbulkan kekeliruan, menyesatkan pula. Ya Allah, jauhkan saya dari menjadi insan yang terpesong mahu pun memesongkan.

Kadang-kadang penulisan saya jadi terbatas kerana tidak mahu pembaca menilai diri saya. Saya tidak mahu dikatakan manusia hipokrit bila kita bersua muka. Benar, dunia maya ini memungkin hampir segalanya. Menipu daya dan menyebarkan fitnah tanpa usul periksa. Moganya penulisan saya tidak memperdayakan sesiapa dengan memuliakan diri sendiri.

Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, niscaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehandaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Al-Baqarah, Ayat 284

Maka mengapa mereka tidak memohon dengan tunduk merendahkan diri ketika datang siksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras, dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan.

Surah Al-An’am, Ayat 43

Sesungguhnya saya manusia yang sedang meniti kehidupan yang pelbagai warna. Tidak langsung terlepas dari dosa malahan sering saja alpa. Peribadi saya biasa sahaja walaupun baru-baru ini pemakaian saya agak berbeza. Teringat pada kata seorang teman yang isinya dipetik dari Hadith, kita hanya mengenali seseorang itu bila kita melakukan 3 perkara bersamanya iaitu, bermusafir bersamanya, bermalam bersamanya dan makan bersamanya. Maka janganlah ada yang menghakimi mahupun menilai diri saya sebelum kita melalui 3 perkara ini.

Saya. Manusia biasa yang masih memerlukan teguran dan ingatan dari para teman.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Thursday, April 1, 2010

Di Taman Teman

Salam

Matahari masih terbit dari ufuk yang sama. Namun panasnya tidak berpanjangan. Rintik-rintik hujan yang lembut akhirnya mampu menewaskan terik matahari yang garang membakar kulit. Tarik nafas lega pada damai yang membelai jiwa. Moganya tiupan angin ini membawa rahmat Illahi pada setiap para mujahid dan mujahidah yang tidak kenal erti lelah dan kecewa.

Terbantut seketika rancangan mahu menghirup udara di perkarangan mahallah. Ada rasa walah yang singgah tapi segera di ganti dengan aktiviti baru yang memerlukan lebih mainan minda berbanding aktiviti fizikal. Mata ini tertumpu pada komputer riba yang setia memudahkan segala kerja yang harus dilaksana. Bila penat mula bertandang, mula lah wara wiri di bilk teman seperjuangan. Bertanyakan itu dan ini, bercerita segala yang mahu dikongsi. Hilai tawa mula bersatu, rasa bahagia terus menggebu. Zaman ini mungkinkah akan berlalu? Harapnya biarpun ia akan ditinggalkan jauh, biarlah menjadi kenangan yang teguh dan utuh. Tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan. Mahu membawanya meniti hari yang bakal tiba, mahu menceritakannya pada syahid dan syahidah yang bakal saya punya. InsyaAllah.

Persahabatan ini, saya mahu mengekalkannya.

Saidina Umar r.a pernah berkata 'Kebajikan yang ringan itu adalah menunjukkan wajah yang berseri-seri dan mengucapkan kata-kata yang lemah lembut'.

Harapnya biarlah sikap ini mengukuhkan ukhuwwah kita. Persahabatan yang bersemi fisabilillah ini, moganya kekal lama dengan budi yang baik.

Bak kata seorang penyair Arab, 'Bebanan yang tiada mampu kutanggung, kemudaratan itu pasti kamu terima. Tiada yang menggembirakanku akan dirimu, kecuali akhlak yang baik tetap disanjung'.

Dan biarlah persahabatan ini dimatangkan dengan ilmu dan agama.

Hamka pernah berpujangga, 'Bertambah kuat kepercayaan kepada agama, bertambah darjatnya di dalam pergaulan hidup dan bertambah naik tingkah laku dan akal budinya'.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Monday, March 29, 2010

Friend Fisabilillah

Salam

Friend is a simple word with a big meaning and huge impact. How would you define it, is depend on how you perceive it. As for me, my perception towards friend change regularly. Every time I enter a new group or I went to a new place, the way I perceive friendship would be different. But the only way of knowing or classifying which one is true friend and which is not, is when the friendship is being tested. When you came across a situation where sacrifice and trust is on the line.

Form Abu Hurairah r.a, Prophet Muhammad (pBuh) once said; ‘A person will be influence by his friend’s habit and attitude. Therefore, you should be alert who your friend is’.

Saya mahu mengubah cara saya bergaul, mahu lebih matang dan berhati-hati. Kadang-kadang bila saya muhasabah diri, kesilapan itu juga datang dari saya. Mungkin niat saya tidak betul, mungkin juga harapan yang menggunung tinggi pada sebuah persahabatan. Ada juga saya pertikaikan tentang keikhlasan saya sendiri. Adakah saya mengharapkan balasan setelah saya sedaya upaya menjadi sahabat yang baik dalam sebuah persahabatan? Teringat saya pada petikan buku tulisan Ustaz Hasrizal yang bertajuk, ‘Bercinta Sampai Syurga’. Ada Ustaz katakan kita sepatutnya tidak lupa tentang definisi hamba, tidak seharusnya kita mengharapkan tidak diuji setelah kita melakukan kebaikkan. Jadi di sini tidak patutlah saya mengharapkan rakan-rakan saya melakukan perkara yang sama sedangkan saya hamba Allah, selayaknya saya tentu sahaja boleh di uji. Dan ini adalah bentuk ujian yang Allah berikan.

‘Sometimes, it takes your whole life to know a person’.

Saya biasa mendengar kata-kata ini ketika saya sedang leka bergelumang dengan novel-novel Inggeris. Ada betulnya di situ. Apa yang saya pelajari daripadanya adalah jangan ada expectation dalam mengenali seseorang. Ini lah yang akan membawa kepada rasa kecewa dan sedih. Sebaliknya berikan peluang pada setiap insan untuk mengekspresikan diri mereka dan terimalah mereka seadanya. Manusia itu tidak bebas dari kelemahan dan kadang-kadang dari kelemahan itu juga membuahkan rasa cinta dan sayang, rasa ingin mengambil berat dan melindungi. Saya diam seketika, mustahilkah tidak mengharapkan sesuatu. Saya akan cuba atasi kelemahan yang satu ini. Apa-apa pun tekad saya adalah mahu mengubah niat dan cara saya bersahabat. Apa jua yang dilakukan adalah fisabilillah. Moganya hajat simple ini tercapai. Sungguh pun dengarnya ringkas dan mudah, terkadang yang mudah itu la menyebabkan kita tersasar. Kerana mudahnya telah di ambil mudah. Garis pemisah nya terlampau halus, tidak jelas kelihatan. Moga kita semua tidak melepasi batas dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dalam yang kekaburan mahupun yang terang benderang, mohon petunjuk Allah sentiasa jadi lampu dijalanan. Membantu kaki yang melangkah dan meyakinkan hati yang lemah.

Enough said. Seharusnya saya menguatkan semangat dan terus menelaah, exam pada kali ini terasa dilalui dengan dada yang sedikit sesak dan fikiran yang kurang fokus. Ya Allah, saya tahu dosa ini tidak terhitung banyaknya tapi izinkanlah saya memohon sedikit belas dan kasih sayang. Berikanlah saya ketenangan hati, ketenteraman jiwa dan tunjukkanlah saya jalan yang lurus.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamanya. Yang sentiasa mencari keredhaannya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Thursday, March 25, 2010

Usrah Pertama

Salam

Hari pertama saya menghadiri usrah, pelik rasanya. Seumur hidup saya, saya tidak pernah terfikir akan terlibat dalam pengalaman-pengalaman seperti ini. Usrah simple, hanya berempat. Saya cukup terharu dengan langkah inisiatif Masyitah yang mahu mengadakan usrah untuk saya. Semoga Allah merahmati dan memberkati kehidupan dia. Kami memulakan ‘majlis’ itu dengan solat Isyak berjemaah, sungguh menimbulkan satu perasaan yang luar biasa buat saya. Lebih-lebih lagi ketika kami sedang berjemaah ada seorang sister datang dan menyertai kami. Saya menyalami sister itu dengan satu perasaan yang berbeza, lebih-lebih lagi apabila wajahnya yang putih bersih dan bercahaya. Hati saya berbisik, ‘Inilah kecantikkan wanita Islam’. Mungkin akan ada yang mengatakan saya melampau dalam memuji, tapi kenyataanya saya memang merasa tenang melihatkan air muka sister itu.

Usrah pertama ini hanya dimulakan dengan taaruf, mungkin pada asalnya kami memang sudah saling kenal mengenali tapi taaruf pada kali ini lain tujuannya maka pengenalan itu juga agak berbeza. Beberapa fakta penting pada setiap sahabat yang saya terlepas pandang, baru saya ketahui semalam. Tak apa, langkah pertama sedang bermula. Kata Masyitah, taaruf ini penting dalam membentuk Ukhuwah Islamiyyah. Dia kemudiannya menceritakan secara ringkas tentang definisi usrah, tujuannya, adab dan kepentingan usrah itu sendiri. Dia juga menceritakan serba sedikit tentang usaha Hassan Al-Banna dalam memperbaiki aqidah umat Islam dizamannya dengan menubuhkan Ikhwanul Muslimin, yang kemudiannya tersebar di seluruh dunia dan dikenali di Malaysia sebagai usrah. Saya diam seketika, teringat tentang syahidnya yang baru saya baca beberapa hari yang lalu di muka depan Al-Ma’thurat saya.

Masyitah memang pandai mengendalikan majlis seperti ini, mungkin kerana pengalamannya yang banyak. Rasa kekok dan segan yang pada awalnya sangat sukar untuk dihakis semakin berkurang tatkala saya mula mendengar dia yang menyampaikan ilmu secara bersahaja. Dia menceritakan tentang peringkat-peringkat orang Islam. Dari tahap terendah hinggalah mencapai ke tahap yang mempunyai Ihsan. “Dimanakah kita”. Persoalan itu hampir-hampir meluruhkan air mata saya, namun melihatkan orang lain yang sangat tenang, saya menahan perasaan. Tidak mahu dikatakan emosi terlampau. Kemudiannya Masyitah menceritakan tentang taqwa. Kaa’b menjawab soalan seorang sahabat dengan mengatakan taqwa adalah apabila kita berjalan di kawasan yang dipenuhi dengan duri-duri. Tentu sahaja kita akan berhati-hati supaya kaki tidak akan terluka.

Perumpamaan ini di aplikasikan dalam kehidupan kita. Orang yang bertaqwa akan berhati-hati dalam setiap tindakannya agar imannya terjaga. Segala yang dilakukan, dilakukan dengan niat beribadat kepada Allah, makanya setiap tindakan itu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, berhati-hati agar tidak melepasi sempadan agama. Sekali lagi saya termenung, menghadiri ‘majlis’ seprti ini memang membuatkan saya banyak berfikir. Terkadang persoalan yang timbul tapi saya tidak panjangkan kepada sesiapa juga terjawab. Ada kelegaan di situ.

Sebelum usrah itu berakhir, Masyitah mengesyorkan kami agar berpanggilan seperti dalam keluarga. Saya pada mulanya enggan kerana merasakan panggilan itu tidak sedap di dengar, namun atas alasan mahu merasakan keramahan dan ukhuwah itu, akhirnya saya bersetuju dengan pujukan mereka. Makanya saya dipanggil dengan gelaran along kerana menjadi individu tertua(mengikut bulan).

Kami menetapkan perjumpaan seterusnya pada Khamis depan dan Masyitah menyarankan saya agar memiliki sebuah buku bertajuk “Apa erti menganut Islam” tulisan Fathi Yakan, dia juga menyarankan saya agar membawa Tafsir Al-Quran pada perjumpaan seterusnya agar bila mana ada ayat Al-Quran yang disebut maka mudah la kami membuat rujukan. Saya yang berlenggang kangkung terasa agak tersindir, lebih-lebih lagi bila dia meminta kami membawa buku untuk menyalin beberapa ilmu baru yang kami perolehi. Aduhai Widad, kenapa lah perkara seperti ini pun kamu tidak terfikir.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...