Tuesday, March 26, 2013

Selamat Pengantin Baru ::Sarina::

Salam

Saya agak terkejut sebenarnya apabila ex-roomate memberitahu yang dia bakal melangsungkan perkahwinan sebulan dari tarikh saya dimaklumkan. Terdiam seketika ketika mula-mula membaca kiriman SMS berupa berita baik yang tidak disangka-sangka itu. Masih kuat ingatan saya tentang bagaimana dia merungut mahu melepas diri dari tanggapan kakak dan abang terhadap adik bongsu dan ketidak sanggupan Emak melepaskan anak bongsu untuk berumah tangga. Semuanya bagai payah mahu diyakinkan bahawa dia sudah bersedia. Maklumlah, anak bongsu. Kakak dan abang merasakan dia masih terlalu muda, manakala ibu pula merasakan dia masih terlalu 'anak' untuk dibenarkan berkahwin. Syukur Alhamdulillah, semuanya sudah selesai.

Beberapa hari sebelum bertolak, saya dan suami menempah bilik hotel untuk kami duduki. Perkara sebegini harus diselesaikan terlebih dahulu kerana takut tiada kekosongan bilik lebih-lebih lagi di musim cuti sekolah yang sudah bermula. Dua hotel menjadi pilihan kami iaitu Hotel Pontian dan Hotel Wan Loong. Saya pada asalnya mahu memilih Hotel Wan Loong memandangkan kecantikan biliknya teramatlah berbaloi dengan harga yang ditawarkan, tapi oleh kerana tiada kekosongan bilik, kami memilih Hotel Pontian dengan tawaran harga yang agak menyenangkan.

Perjalanan selama enam jam sedikit menggusarkan kerana kedua-dua anak saya berada di dalam keadaan tidak selesa di sepanjang perjalanan. Zahra tertekan dan agak pemarah kerana terkurung lama di dalam kereta membataskan pergerakan dia. Tidak senang duduk dibuatnya. Sekejap mahu ke belakang, sekejap mahu ke depan, ada masa mahu berbaring dan ada masa mahu berdiri melihat pemandangan diluar tingkap. Wardah pula tidak kurang gusarnya, dia tidak boleh tidur dalam keadaan kereta yang sentiasa bergerak. Akibatnya sepanjang enam jam perjalanan Wardah hanya melelapkan mata untuk satu jam sahaja. Baki jam yang lain dia membebel-bebel seorang diri dan memangis meminta susu.

Perjalanan terasa lebih jauh dengan cabaran yang lebih besar. Alhamdulillah, kami tiba di Hotel Pontian jam 11.00 malam. Sampai sahaja di hotel, Wardah dan Zahra kelihatan menikmati suasana dan kemudahan yang disediakan pihak hotel. Wardah saya baringkan di atas katil, dan dia terus diam mengambil mood untuk tidur. Tidak berapa lama kemudian,dia melelapkan mata tanpa perlu saya mendodoinya seperti selalu. Zahra pula terus mengadap TV dan menontonnya untuk beberapa minit sebelum menangis mahukan susu dan terus sahaja di ulit lena.




Esoknya saya menyiapkan mereka untuk berkunjung ke majlis ex-roomate yang tinggal tidak jauh dari hotel yang kami duduki. Alhamdulillah,dengan rehat yang cukup, Zahra dan Wardah mudah diurus. Mereka tidak banyak ragam. Bila dikejutkan untuk mandi Zahra tersenyum riang. Begitu juga dengan Wardah diam sahaja tatkala air dicucurkan ke badannya.

Anak-anak di sekitar majlis..




Lama juga kami bertandang. Sengaja mahu menkmati suasana majlis dan meraikan ex-roomate yang sudah lama tidak berjumpa. Kami meminta diri apabila melihat keadaan anak-anak yang semakin menarik perhatian orang ramai dengan tangisan dan jeritan. Saya bergegas bersalaman dengan barisan kakak-kakak pengantin dan ibunya yang sedia menyambut tetamu di anjung. Melihatkan pengantin yang selesai menjamu selera di Meja Beradab,kami secepat mungkin mengambil kesempatan itu untuk mengambil beberapa keping gambar sebagai kenangan.



Tahniah Sarina dan Zaidee. semoga perkahwinan yang dibina sentiasa disinari rahmat dari Allah SWT, disuluhi dengan kasih sayang dan persefahaman yang berpanjangan dan dihiasi dengan kehadiran anak-anak yang soleh dan solehah sebagai bekalan di dunia dan akhirat. Bercinta hingga ke syurga hendaknya. Ameen.

........................

Keadaan anak-anak di dalam kereta sewaktu perjalanan pulang? Masyaallah,dua kali susah cabarannya dan kali ini benar-benar mencabar kesabaran.



Anak-anak saya yang membuatkan saya marah dan geram tapi ajaibnya mereka jugalah yang paling mudah membuatkan saya tenang dan bahagia. Insyaallah sayang, Mama dan Abi akan sayangakan harta yang Allah berikan ini hingga ke syurga. Insyaallah!

p/s: Baru kami perasan,baju kami betul-betul mengikut tema majlis. :)



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...