Thursday, June 29, 2017

Ramadhan dan Syawal 2017

Salam

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Sekejap sahaja masa berlalu, dalam tidak sedar sebulan telah kita tempuhi dan Ramadhan sudah pun melabuhkan tirai. Syukur atau kesal dengan amal jariah yang kita kerjakan dalam bulan Ramadhan penuh keberkatan, tetap sahaja dipanjatkan doa agar mudah-mudahan kita akan bertemunya semula di tahun hadapan.

Tahun ini agak kesal sedikit bila tidak berjaya mengkhatamkan Al Quran seperti yang dirancang. Hanya berbaki beberapa Juzu' sahaja tapi tetap tidak cukup masa. Mahu disalahkan pada siapa selain saya yang culas, yang lebih rela menghabiskan banyak masa berteleku di depan buku yang lain berbanding menghadap senaskah Al Quran.

Tahun ini juga agak kesal kerana kurang benar berbanding tahun-tahun lain berterawih di masjid. Di Terengganu masjidnya tidak mesra kanak-kanak seperti di masjid sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Tapi tetap juga kealpaan itu berpunca dari saya kerana sebenarnya ada satu masjid yang saya tahu jemaahnya memesrai kanak-kanak tetapi hati saya meragui 'kemesraan' senibina masjid yang belum sepenuhnya terbina sedangkan ibubapa lain tidak beralasan seperti saya. Mungkin tahun hadapan saya perlu lebih bersangka baik dan bertawakal kepada Allah SWT.

Alhamdulillah, seperti tahun lepas, Allah rezekikan saya untuk berpuasa penuh. Jadinya ini adalah tahun kedua saya tidak perlu mengganti puasa. Mudah-mudahan saya dapat menyempurnakan rezeki itu dengan Puasa Enam pula. Mudah-mudahan tidak tertewas dengan godaan hidangan bulan Syawal yang sentiasa memikat selera.

Alhamdulillah, tahun ini saya berkesempatan untuk berpuasa secara bergilir-gilir dengan Mama dan Abah serta adik beradik, Ibu Mertua serta Ipar Duai dan nenda tercinta yang berada di Kelantan. Syukur ke hadrat Allah yang memberi kesempatan kepada kami semua untuk saling membahagiakan antara satu sama lain. Mudah-mudahan tahun hadapan juga kami akan beroleh kesempatan yang serupa.

Selesai perjalanan Ramadhan yang baru sahaja 5 hari berakhir dan kini kita sedang menyambut Syawal yang kelima. Semoga semuanya beroleh keberkatan hendaknya. Ameen.

p/s: Tidak sabar menunggu hari Sabtu dan berdebar untuk hari Ahad :)


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...