Salam
.
Susah sungguh mahu istiqamah menulis blog. Kehidupan ini terlampau sibuk dan umur yang semakin bertambah menjadikan media sosial jauh dari ingatan. Saya sudah jarang-jarang sekali melihat Facebook, mengemaskini Instgram, membaca ciapan di Twitter mahupun menonton rancangan Televisyen. Semua tumpuan hanya pada keluarga. Mahu menulis post kali ini pun saya keberatan tapi saya gagahkan juga kerana ada berita tersangat gembira yang mahu saya kongsikan.
.
.
Bukan tentang PhD yang masih lagi tidak bersentuh (menangis).
.
.
1. Rumahku Syurgaku
.
.
Alhamdulillah, selepas tiga tahun penantian akhirnya rumah kami siap sepenuhnya dan boleh diduduki. Terima kasih Allah yang memurahkan dan memudahkan rezeki kami. Sungguh Allah sahaja yang tahu betapa saya mensyukuri nikmat ini. Setelah dua belas tahun perkahwinan dan empat kali berpindah randah, akhirnya kami dikurniakan satu tempat untuk kami menetap. Insyaallah. Kunci diserahkan kepada kami lebih kurang dua minggu sebelum Ramadhan menjengah. Maka bertungkus lumuslah saya menyiapkan semuanya. Packing, unpacking, renovation dan hias-hiasan. Habis segala inspirasi di Pinterest saya cuba godek dan cuba realisasikan untuk rumah baru kami. Alhamdulillah, dalam kesibukan menguruskan anak sekolah, berpuasa dan pulang beraya di kampung, kami sekeluarga berjaya pindah sebaik sahaja tamatnya Syawal. Allahuakbar! Segala puji bagi Allah yang memberikan nikmat tempat untuk berteduh bagi hamba-hambanya. Mudah-mudahan rumah ini menjadi tempat kami anak beranak menyulam kasih sayang, mencipta kenangan dan menjadi hamba yang bersyukur.
.
.
2. Kenduri Kesyukuran dan Aqiqah Wardatul Islam
.
.
Alhamdulillah, genap sebulan berpindah, sempat juga kami mengadakan kenduri aqiqah untuk anak kedua kami Wardatul Islam. Agak lambat sebenarnya kenduri aqiqah tersebut. Wardah sudah pun berusia 10 tahun tapi oleh kerana beberapa kekangan, baru tahun ini kami dapat lunaskan hajat yang terpendam. Saya tetap bersyukur kerana berpeluang membuat aqiqah untuk Wardah. Agak berdebar juga sebenarnya, bimbang Wardah terlebih dahulu mencapai akil baligh tapi aturan Allah itu indah. Aqiqah Wardah dapat dilaksanakan penuh meriah dan dihadiri rakan taulan dan saudara mara terdekat. Syukur Ya Allah.
.
.
3. Co-Trainer UTS
.
.
Setelah hampir setahun melibatkan diri dalam bidang pelaburan Unit Amanah, saya akhirnya membuat keputusan mahu menjadi Unit Trust Consultant. Bukan kerana komisen atau bukan juga sebagai kerjaya tapi lebih kepada mahu membantu adik beradik saya menguruskan kewangan mereka. Latar belakang keluarga kami menimbulkan satu kesedaran yang tinggi pada pengurusan kewangan. Dah alang-alang saya melabur, maka baiklah untuk saya membantu mereka melabur juga untuk masa hadapan. Maka berteleku juga seminggu dua untuk menduduki peperiksaan sebagai consultant. Alhamdulillah lulus semuanya. Selesai melabur untuk adik-adik, ada beberapa rakan taulan yang berminat. Maka, saya uruskan juga kewangan mereka. Alhamdulillah, mudah-mudahan semuanya dapat memberi manfaat kepada orang sekeliling. Fikiran saya 'kerja' sebagai consultant ini hanyalah sambilan sahaja. Sekadar satu 'lesen' yang saya ambil untuk membantu adik-adik. Tapi aturan Allah itu lebih jauh lagi. Trainer UTS menghubungi saya dan menawarkan saya untuk bersama-sama dengan beliau menjadi Co-Trainer untuk Unit Trust Society. Subhanallah. Sungguh berbesar hati menerima pelawaan tersebut. Sungguh, kalau diikutkan dengan ilmu di dada, jauh sekali saya rasa layak untuk menjadi Co-Trainer tapi saya terima tawaran tersebut dengan niat mahu membantu lebih ramai lagi orang untuk berjaya. Satu jawapan cliche tapi itulah yang sebenar-benarnya. Saya tidak ada jawapan lain. Mudah-mudahan penglibatan saya yang akan bermula September nanti akan memudahkan urusan ramai orang. Semoga peluang ini menjadi medan saya sebagai orang yang bermanfaat kepada masyarakat.
.
.
4. Keluarga kecil kami bertambah lagi.
.
.
Ya, setelah 7 tahun sepi tanpa tangisan bayi, tahun ini kehidupan kami meriah dengan teriakan seorang bayi perempuan yang lahir pada 19 Julai 2022. Ya, teriakan kerana baby baru ini cenderung berteriak nyaring berbanding menangis. Huhuhu. Perjalanan mengandung saya seperti biasa, penuh dengan cabaran dan ujian. Saya kira itu lumrah kehidupan. Mungkin bagi sesetengah orang, mahu mengandung itu satu cabaran (susah lekat, keguguran etc) tapi berbeza untuk saya. Allah permudahkan saya untuk menerima zuriat cuma perjalanan mengandung 9 bulan itu berliku-liku. Awal kandungan saya disahkan ada GDM dengan bacaan gula 13.9 kemudian selang beberapa bulan saya disahkan pula ada GBS setelah berkali-kali di rawat kerana UTI. Tak lama kemudian doctor mengesahkan kewujudan dua ketul Cyst sebesar duit 20 sen. Itu belum lagi dengan Anemia yang selalunya membimbangkan setiap kali mengandung. Pening juga kepala dibuatnya. Tambah pening bila morning sickness berlanjutan hingga bulan ke 5. Memang berat badan saya susut, pipi pun jadi cengkung sehingga ada yang menegur. Al maklumlah, sebelum ini tembam elok, bulat seperti pau. Oleh kerana sudah 7 tahun tidak beranak kecil, penantian untuk bayi kali ini sepertinya sedang menantikan anak sulung. Semua perlu disediakan. Baju, barangan mandian, stroller, carseat, tuala, beg hospital. Semuanya baru kerana tidak ada lagi barang-barang bayi yang boleh dikitar semula. Anak bongsu tak jadi (Rauhah) sudah pun menjejakkan kaki ke sekolah. Kelengkapan dia yang dulu semuanya sudah diagih-agihkan kepada sepupu sepapat. Bukan itu sahaja, rasa teruja kali ini juga berbeza. Bertambah bermakna bila perasaan itu dikongsi dengan anak-anak yang lain. Semuanya tidak sabar mahu menerima ahli baru. Sudah lama mencurahkan sayang kepada baby orang lain kata mereka. Akhirnya sampai juga masa mereka menggomol baby sendiri. Penantian 9 bulan akhirnya berakhir. Syukur alhamdulillah, walaupun dikandung dengan pelbagai komplikasi Nauratul Hannan lahir serba sempurna. Sihat walafiat. Ligat juga kami memikirkan nama anak. Mahu di match kan dengan nama anak-anak perempuan yang lain.
.
.
Nauratul = Sekuntum Bunga Putih
Hannan = Cinta/Kasih Sayang
.
Kami kira ianya sesuai dengan Zahra dan Wardah yang juga membawa maksud bunga dan juga Rauhah yang membawa maksud haruman.
.
.
.
.
p/s: Terpaksa menghentikan penulisan ini secara mendadak, Naurah sudah pun berteriak. Saya tidak berniat untuk menyambung penulisan ini. Biar tergantung, biar jadi kenangan terkocoh-kocoh berlari meninggalkan laptop kerana menguruskan anak. Pasti menjadi satu kenangan yang dirindui meniti hari tua nanti.
.
.
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)