Saturday, December 22, 2012

Wardatul Islam


Salam

Alhamdulillah,Allah limpahkan segala rahmat dan kasih sayangnya buat saya dengan kehadiran cahaya mata kedua. Wardatul Islam,dilahirkan awal 10 hari dari tarikh jangkaan. 200g lebih berat daripada kakaknya Zahratul Iman. Puteri kedua seberat 3.34kg selamat dilahirkan jam 12:49 pagi pada 15/12/12. Saya dan suami menyambut kelahiran ini dengan penuh rasa syukur,anak-anaklah harta yang paling berharga buat kami. Semoga anak-anak ini berjaya kami didik ke jalan yang diredhai Allah sekaligus menjadi bekalan buat kami dunia dan akhirat.

Wardatul Islam,lahirnya dalam keadaan saya diuji dengan sakit yang berpanjangan. Ujian ditimpakan lagi atas ujian yang sedia ada. Rasa payah dan gelisah dengan kesulitan yang berterusan,acap kali juga saya menumpahkan air mata dan menadah tangan memohon belas pada Yang Esa. "Ya Allah,permudahkanlah semuanya". Ini hikmahnya saat kita diuji. Makin sakit diuji,makin kuat kita menanam keyakinan pada cintanya Allah pada makhluknya. Cinta yang aneh dan unggul,makin hambanya meminta,makin bertambah kasih Allah pada hambanya. Berbeza benar dengan cinta manusia yang jemu pada mereka yang selalu menyua muka meminta pertolongan.

Saat berhenti solat ketika dalam perjalanan ke hospital,saya merafakkan doa,"Ya Allah,sudah banyak doa yang aku panjatkan dan sudah banyak juga doa yang telah Engkau makbulkan. Tapi aku hambamu yang tetap juga mahu meminta-minta,tidak pernah cukup dengan rahmat yang Engkau beri. Bantulah aku Ya Allah,hilangkanlah kekusutan dan leraikanlah segala simpulan,berikan jalan keluar pada ujian yang Engkau timpakan. Aku memohon rahmat dan kasih sayang daripadaMu,hari ini,esok dan selamanya. Bantulah aku,berikanlah aku kemudahan dan penyelesaian yang terbaik".

Saat usai berdoa,saya dihadiahi kucupan hangat didahi. Suami menghampiri saya di tempat solat wanita. Kesunyian surau itu membuahkan rasa sayu yang mendalam dan tatkala ciuman hangat singgah didahi beserta pelukan erat penyuntik semangat,saya merasai bagaimana Allah mendamaikan hati saya melalui kasih sayang dari suami. Terima kasih Allah kerana tidak pernah membiarkan saya berseorangan menempuh kehidupan ini.

Surau itu kami tinggalkan dengan rasa tawakal pada Allah. Perjalanan ke hospital kami tempuh dengan semangat dan keyakinan yang baru. Pada Allah kami serahkan segala-galanya. Beberapa hari berlalu dan Allah kurniakan kami dengan kegembiraan beroleh seorang lagi cahaya mata yang sihat dan sempurna. Wardatul Islam. Semoga lahirmu wahai anak menjadi harta buat agama!




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...