Izzul Haris
Haris. Anak yang paling manja sekali dengan Mama. Entah kenapa, manja Haris sangat berlebihan berbanding kakak-kakak sehinggakan setiap kali Mama sakit, Mama sangat bimbang Mama akan meninggalkan Haris. Bimbang Haris jatuh sakit, tidak dapat tidur, tidak mahu makan tanpa Mama. Bayangkanlah, sekejap tadi Mama ke dapur (mencuri minum air Vitagen), Haris sudah mula menangis manja mencari kelibat Mama. Mama ke dapur saja sayang.
Kalau diikutkan jangkaan doktor, adik yang bakal lahir ini ialah bayi perempuan. Maka, Harislah satu-satunya anak lelaki Mama. Tidak dapat tidak, harapan Mama pada Haris juga menjadi besar. Mama berharap Haris menjadi seorang hafiz Quran seperti Abi. Berusahalah sayang agar impian Mama yang satu ini tercapai. Haris anak lelaki, Mama tahu tanggungjawab Haris menjaga adik beradik perempuan juga tidak kurang hebatnya. Mana tidaknya, Harislah wali mereka selepas Abi. Besarkan tanggungjawab itu? Tapi Haris jangan bimbang, disepanjang kehidupan Mama, sudah Mama titipkan doa agar Allah permudahkan segala urusan anak-anak Mama. Mama yakin dengan rahmat Allah terhadap anak-anak yatim. Mama harap Haris pun begitu, sentiasalah yakin bahawa Allah itu dekat dan pertolongan Allah itu sentiasa ada.
Anak lelaki Mama ini Mama harapkan dapat menuntut ilmu dengan baik dan menjadi ulamak atau ustaz yang akan membimbing masyarakat. Dalam dunia yang sedang bergelora ini, Mama harap Haris adalah lelaki yang akan menjaga dan mendidik adik beradik perempuan Haris agar menjadi perhiasan dunia dan penghuni syurga. Mungkin Mama tidak dapat memberikan didikan atau bimbingan pada Haris tapi Mama sebulat hati, tawakal pada Allah agar doa-doa Mama pada anak-anak ditunaikan. Allah jagakan anak-anak Mama andai Mama pergi dulu.
Haris, dalam menempuh keremajaan, tentu pelbagai rasa akan timbul. Janganlah Haris tersinggung dengan ketiadaan Mama lantas memberontak mencari jalan mudah untuk melupakan kesedihan. Kembalilah pada Allah dan ketahuilah, dalam setiap sujud Mama yang penuh dengan lelah dan keluh kesah kesakitan itu, Mama tidak putus berdoa agar Allah dapat memanjangkan umur Mama agar Mama dapat menemani Haris dan adik beradik menempuh kehidupan yang beronak duri ini. Tapi andai harapan yang digarapkan berlainan dengan doa yang dititpkan, Haris kuatkan semangat, Haris tonggak harapan Mama. Pada Harislah Mama pasakkan harapan yang paling tinggi, sesuai dengan darjat seorang lelaki dan khalifah Allah.
Mama bukanlah insan yang baik. Mama ini penuh dengan dosa dan sering juga alpa. Berdoalah untuk Mama agar Allah merahmati kehidupan Mama dunia dan akhirat. Oh ya, sepanjang Mama sakit mengandungkan Haris dan anak-anak yang lain, saat Mama bersedih kerana susah mahu menamatkan pelajaran, ketika Mama kemurungan dengan dugaan dari keluarga dan rakan-rakan, Abi adalah insan yang paling membantu dan menyayangi Mama. Mama amat berharap Haris akan membalas kebaikan Abi ini dengan sentiasa menjadikan Abi sebahagian dari hidup Haris. Sungguh Mama katakan, tidak berlebihan untuk Mama beritahu Haris, kasih sayang Abi terhadap Haris, kakak-kakak dan adik adalah kasih sayang ayah yang paling agung pernah Mama lihat disepanjang kehidupan Mama. Hargailah Abi ya Haris.
p/s: Sehingga ke saat ini, Mama masih berdoa agar dipanjangkan umur dan diberi kesempatan untuk melihat anak-anak membesar di depan mata. Mama mahu bersama Haris, kakak-kakak dan adik menjalani kehidupan yang pelbagai liku. Mama mahu menjadi isteri terbaik buat Abi seperti mana Abi mencurahkan kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi pada Mama. Semoga Allah perkenankan doa Mama. Ameen.
p/s: Semoga kita semua bertemu di syurga sayang~
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)