Salam.
Beberapa hari yang lepas Allah menguji saya dengan 2 situasi yang menimbulkan rasa marah dan saya telah tumpas.Saya mengikut emosi dan meluahkannya di Facebook dan Twitter. Saya tahu saya agak keterlaluan dalam meluahkan rasa marah tapi saya masih merasakan itulah tindakan paling rasional yang boleh saya lakukan berbanding dengan pilihan kedua yang mungkin akan memutuskan silaturrahim. Saya melepaskan marah tanpa bersemuka dengan mereka yang sepatutnya kerana saya tahu, tidak akan ada penyelesaian daripada pertemuan yang kononnya mahu menjernihkan keadaan. Lagi pula, saya perlu menjaga kepentingan orang lain yang mahukan saya berdiam diri dan tidak berterus terang secara menerus. Jadi saya meluahkannya melalui Facebook kerana saya tahu, mereka yang saya marahi itu akan membacanya, terasa dan mungkin akan berubah atau mengendurkan perilaku mereka yang menyakitkan hati ramai pihak.
Amarah Pertama:
Saya dan beberapa teman yang lain sebenarnya telah lama bersabar dengan sikap "dia" (selepas ini akan dirujuk sebagai A). Telah beberapa kali umpatannya kami dengar dan kelihatannya A tidak mahu berhenti. Dia mengumpat saya pada teman yang lain, mengumpat teman itu pada saya dan kemudiannya mengumpat kami berdua kepada teman yang lain pula. Dan kami semua yang diumpat tahu apa yang berlaku dan setiap kali ada umpatan yang baru, saya akan berfikir, "Tidakkah A tahu, kami tidak merahsiakan perkara ini antara satu sama lain". Tambah menghairankan apa yang diumpatkan tidak ada kena mengena dengan dia, kadang-kadang saya tidak tahu apa motifnya A sakit hati. Kenapa perlu mengutuk dan mengeji orang itu sedangkan tindakannya langsung tidak menganggu hidup sesiapa. Contohnya apabila salah seorang kenalan kami menulis status di Facebook betapa dia bersyukur telah mendapat pekerjaan setelah beberapa lama berusaha. Dan A mengutuk status yang ditulis seolah-olah berdosa benar kenalan kami yang sorang itu. Saya bingung, saya tak faham!
Lama saya dan teman-teman rapat menahan sabar, bermula dengan rasa dipergunakan dan kemudiannya dengan rasa sebal diumpat sesuka hati. Yang terbaru kawan baik saya dikatakan bengap dan banghal (lembap) kerana sikap A yang mementingkan diri sendiri. Teman itu bersabar lagi, malas mahu membesarkan keadaan tapi bertekad dalam hati bahawa antara dirinya dan A akan ada satu jurang yang memisahkan dan persahabatan itu tidak akan berkembang, cukuplah sampai disitu sahaja. Kemudiannya kawan baik saya menceritakan pada saya umpatan terbaru A tentang saya. Saya jadi marah dan menyampah, pada pengamatan saya, kalau dibiarkan A tidak akan berubah malahan secara terus menerus dia akan merasa selesa mengumpat dan mengeji orang lain. Tambah pula dengan sikap mementingkan diri sendiri yang melampau, saya semakin tidak dapat bersabar.
Satu persatu umpatan dan kejiannya bermain dalam fikiran saya, berputar-putar bagai mainan video. Semuanya semakin jelas dan nyata. Saya teringat betapa tegarnya A mengatakan bekas teman baiknya belum dikurniakan zuriat kerana Allah tidak mengizinkannya kerana dosa-dosa yang lampau. Kemudian saya teringat pula bagaimana A merendahkan intelek seseorang, wajahnya yang mencebik dan bibirnya yang terjuih mengutuk membuatkan saya makin sakit hati.
Amarah Kedua:
Saya pulang ke rumah mama untuk menjemput Zahra, rutin biasa setiap kali saya menghadirkan diri ke kelas. Ada beberapa keping Karipap bersaiz besar terhidang di atas meja. Rupanya tidak berjaya membangkitkan selera saya tapi suami yang duduk menunggu saya menyiapkan barang Zahra untuk dibawa pulang, memakan Karipap tersebut sedikit demi sedikit hingga habis sebiji. Siapa sangka di dalam rumah mama, yang tegas perihal makanan, ada makanan yang dimasak oleh orang kafir. Semuanya angkara sepupu saya yang mabuk kepayang bercinta dengan orang kafir. Saya marah, kesal dan kecewa dengan tindakannya yang bodoh dan melulu. Takkan la perkara sebegini pun tidak diletakkan di dalam kepala. Bagaimana boleh dia menjawab pada mama dia tidak terfikir makanan itu dimasak oleh orang kafir. Saya tidak menerima alasan keji dan pendek akal itu. Mama, Qisya, suami saya dan Zahra telah memakannya. Semuanya angkara dia yang mabuk cinta. Sungguh, dari dulu hingga sekarang dia tidak pernah berubah. Saya tidak lagi mahu berkompromi mahupun bertoleransi.
Alasan-alasan yang dia berikan setiap kali melakukan kesalahan selalunya hanya sekadar satu alasan melepas diri yang pendek akal. Bila dimarahi kerana pulang ke rumah lewat tengah malam, dia memberi alasan tidak menyedari kepantasan waktu yang berlalu. Sungguh jelek. Saya terfikir bagaimana seseorang itu tidak menyedari waktu yang berlalu, tidakkah dia nampak matahari yang terbenam dan diganti dengan bulan yang mula muncul? Atau tidak sedarkah dia, solat Zohor itu dilakukan ketika tengahari, Asar pada waktu petang, manakala Maghrib dan Isyaq didirkan di malam hari? Bagaimana lagi dia boleh terlupa akan waktu yang berlalu?
Hanya mama saja yang mampu bersabar, rungutan dari adik-adik telah lama kedengaran. Tentang dia yang bangun dinihari, bersiap dan keluar rumah bekerja. Pulang ke rumah, duduk berkurung di dalam bilik bergayut telefon dengan 2 teman lelaki yang dia sendiri tidak pasti yang mana satu patut dinikahi. Dia hanya turun, bertegur sapa dengan isi rumah untuk makan ataupun bercerita tentang hal-hal yang menyedihkan hatinya. Mementingkan diri sendiri!
Sungguh, saya ingin bertanya kepadanya, dengan perkara-perkara yang dia lakukan dalam hidup dia, apa yang dia harapkan Allah kurnikan padanya? Dia tidak melayani orang lain dengan baik. Adakah dia mengharapkan Allah mengurniakan rasa kasih dan sayang orang lain kepadanya? Dia menjalani hidupnya bagai "hidup malu, mati tidak mahu". Adakah dia mengharapkan Allah akan merubah kehidupannya menjadi lebih baik dan dilimpahi dengan rezeki? Dia bermain cinta dengan 2 lelaki, tidak menjaga batas pergaulan dengan bukan muhrim. Adakah dia mengharapkan Allah mengurniakan dia rumahtangga yang sejahtera dan penuh dengan cinta? Dia tidak melayani ibubapanya dengan baik, tidak menghiraukan adik beradik yang masih memerlukan bimbingan dan sokongan. Adakah dia mengharapkan Allah mengurniakannya zuriat yang soleh dan solehah yang akan menjaganya di hari tua nanti? Sungguh,Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu, jika mereka tidak berusaha mengubahnya sendiri.
p/s: Ya, marah saya masih bersisa tapi saya berniat mahu melupakannya. Saya mahu meneruskan kehidupan saya seperti biasa kerana saya tidak punya kemampuan untuk mengubah mereka. Maka saya berdoa kepada Allah, jauhkanlah saya dan keluarga dari kerosakan yang dibawa keduanya dan jagalah hati kami semua dari rasa marah, dengki dan sombong. Jagalah hati kami Ya Allah! Ameen.
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)