Thursday, October 4, 2012

Alam Perkahwinan: Realiti VS Fantasi (Part 2)

Salam.

Ini sambungan entri panjang yang saya tulis sebelum ini. Semuanya saya kutip hasil dari pengalaman saya yang tidak seberapa dan dari cerita-cerita dan masalah yang dikongsikan bersama saya. Semoga ianya memberi manfaat dan andai ada silap dan salah, saya mohon dimaafkan dan diperbetulkan kesilapan itu.

Sambungan....

2. Hubungan dengan Keluarga.
Ramai yang kurang berseni ketika mengharmonikan rumah tangga. Saya juga pernah mengalamai masalah ini. Perkara sudah berlaku barulah saya terfikir, 'sepatutnya aku buat begini dan begitu', tapi segalanya sudah terlambat, nasi sudah menjadi bubur dan masa tidak boleh diputar kembali. Seni yang saya maksudkan adalah seni untuk mempromosi pasangan kepada keluarga kita. Kita seharusnya tahu apa yang boleh diceritakan atau dikongsi bersama keluarga. Cuba sebaik mungkin selaraskan kehendak suami dan harapan keluarga pada kita. Jika kedua-duanya boleh direalisasikan bersama, itu lebih baik. Sekiranya tidak, kita haruslah memberi gambaran kepada keluarga tentang realiti bahawa kita sudah berumahtangga supaya mereka lebih faham peranan kita sebagai suami/isteri dan juga ibu/bapa. Langkah meminimakan campur tangan keluarga dalam hubungan suami isteri juga boleh dilakukan bagi mengelakkan salah faham atau rasa tidak puas hati diantara pasangan. Bukanlah maksud saya tidak mengambil langsung nasihat yang diberi oleh ibubapa tapi lebih kepada mengehadkannya kerana ada sesetengah ibubapa tanpa mereka sedari terlampau mencampuri urusan suami isteri sehingga menjadikan rumahtangga anak mereka berantakan. Seperti seorang rakan saya yang mengadu kepada saya tindakan ibunya yang melarangnya mengandung telah mengundang kemarahan suaminya sedangkan keputusan seperti itu, suami dan isteri lebih berhak membuat keputusan sendiri.

3. Hubungan bersama Keluarga Mertua
Tahu rutin famili pasangan dan kebiasaan mereka agar kita tidak janggal dan mudah mesra. belajar dan cuba menjadi seperti yang mereka suka. Bunyinya seperti hipokrit tapi saya kira dalam mengekalkan keharmonian  rumahtangga, tidak ada salahnya menjadi 'hipokrit' untuk beberapa ketika. Bukan selalu kita pulang ke rumah keluarga mertua, apa salahnya kita berkelakuan seperti yang mereka suka?. Melainkan ada yang merasakan mereka lebih rela bermasam muka dengan suami kerana menyakitkan hati ibubapanya daripada tidak menjadi diri sendiri dan hipokrit. Terpulang. Saya beri contoh mudah, tidak ada salahnya si isteri menunjukkan wajah yang manis dan memuji masakan ibu mertua walaupun masakan itu tidaklah makanan kegemarannya. Kepulangan sekali sekala itu nanti tentunya dinanti dan mengembirakan hati. Bukan sahaja hati mertua malah hati kita sendiri. Memahami sikap pasangan dan peranan mereka ketika bersama keluarganya.

Adakalanya suami kita akan berkelakuan sedikit berbeza ketika bersama keluarganya berbanding dia bersama kita. Ini mungkin kerana faktor ego atau kewibawaan suami. Si isteri  seharusnya sedar akan 'adjustment' sikap ini dan bertindak mengikut keperluan. Contohnya, mungkin bersama kita suami lebih bersikap santai dan suka membuat lawak tapi bila di  hadapan keluarga dia lebih serius dan matang. Ada juga suami yang tidak kisah kita bergurau bertepuk tampar dengannya ketika berdua-duaan, malah semakin seronok dia menyakat kerana melihat reaksi keanak-anakan si isteri. Tapi perlu diingat, kemesraan ini mungkin tidak mahu ditonjolkan si suami kerana tidak mahu pandangan keluarga terhadapnya berubah  dan merosot.

Setiap pasangan juga perlu memahami apa yang pasangan mereka kongsi dengan keluarga dan apa yang meraka rahsiakan. Ada sesetengah perkara seperti keadaan keewangan atau perancangan masa depan tidak digemari untuk dibincangkan bersama keluarga. Suami/isteri  harus peka dengan perkara ini. Sebagai  contoh, rancangan mahu membeli rumah mungkin mahu dirahsiakan terlebih dahulu sehinggalah rancangan itu semakin  konkrit sebelum diwar-warkan kepada keluarga. Setiap pasangan harus faham keperluan ini, pasangan  kita mungkin  mahu mengelakkan beberapa perkara tertentu atau masalah-masalah yang dihidapinya semenjak bergelar remaja lagi. Mungkin ada di antara pasangan merahsiakan beberapa perkara dengan alasan mahu  mengelakkan campur tangan keluarga yang berlebihan. Dan mungkin  juga ada pasangan yang mahu mengelakkan pandangan negatif keluarga terhadap mereka.  Dari masalah-masalah yang saya dengar, ada pasangan  yang  mahu mengelakkan ibubapa mereka dari merendah-rendahkan kemampuan mereka. Mungkin dari pengalaman yang pernah mereka lalui, ibubapa mereka tidak memberikan sokongan malah merendah-rendahkan kemampuan mereka. Sudahnya jalan untuk merahsiakan beberapa perkara adalah perlu bagi memberi sokongan kepada pasangan untuk mengembangkan kebolehan  dan keyakinan diri mereka dalam membuat keputusan sendiri.

Ada juga isteri  yang merungut pada saya tentang masa yang diluangkan suami ketika bersama keluarga mereka. Terlampau banyak masa terluang sehingga isteri rasa terabai dan tidak diperlukan. Saya  tiada saranan khusus selain membiarkan masa itu berlalu dengan rela kerana perjumpaan keluarga itu hanya berlaku sekali sekala  sahaja. Malah  mungkin setahun sekali. Apa  salahnya si isteri/si suami beralah dan membiarkan keluarga pasangan melepaskan rindu terhadap anak mereka. Bagaimana kalau masa yang diambil melampau sehingga pasangan berasa  terasing? Jawapannya beraktivitilah bersama keluarga mertua.  Lakukan aktiviti bersama. Jika kerja si suami asyik perlu membersihkan halaman rumah, tidak salahnya si  isteri turut sama. Buat apa saja yang patut di halaman rumah itu. Begitu juga dengan si suami, kalau si isteri asal sahaja pulang ke rumah tersekat di dapur sepanjang masa, maka apa salahnya si suami duduk  di  dapur membantu. Kebaikannya dua dalam satu. masa kita dan  pasangan terjaga dan keluarga mertua pun suka. Dan jika  ada rezeki bonus, mungkin mak mertua akan menyuruh anak mereka berhenti memasak/mengemas dan bawa si suami/isteri pergi berehat. Siapa tahu. :)

p/s: Panjang saya menulis kali ini, terima kasih buat yang sudi membaca. Semoga coretan ini ada manfaatnya dan dikira sebagai amalan saya yang berpanjangan, untuk bekalan di akhirat sana.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

1 comment:

  1. Mcm mn pula klu suami lbh santai,suka berlawak dan bnyk bercerita dgn kawan2 (lelaki dan perempuan) tp jd serius bila dengan isteri?

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...