Monday, January 4, 2021

Tahun Baru: 2021

Salam

Alhamdulillah, sekali lagi Allah panjangkan umur menempuhi tahun yang mendatang. Mudah-mudahan terus dipanjangkan dan diberi keberkatan juga bersamanya.
.
2020 berlalu dengan keadaan dunia dilanda wabak yang entah bila kita akan temui penawarnya. Ramai yang dijangkiti dan ramai juga yang telah terkorban. Dunia ini tidak lagi seperti dulu, kehidupan kita sudah tidak sama. Ukhuwah lebih banyak di alam maya berbanding bersua muka. Sentuhan, bersalam-salaman atau ciuman mesra di pipi memang jauh sekali. Semuanya berjauhan 1 meter. Saya rasa ianya menyalahi ftrah manusia yang mahu beramah mesra dan saling meluahkan kasih sayang. Tapi Allah lebih tahu hikmah disebalik semuanya. Dan kita manusia, yang paling kurang mendatangkan mudharat, itulah pilihan yang paling afdhal.
.
2020 berlalu seperti angin lalu sahaja. Bukan salah sesiapa melainkan diri sendiri. Membiarkan rasa terkurung ini benar-benar mengurung diri. Saya kurang produktif, thesis berbulan tidak disentuh. Banyak masa dihabiskan melayan nafsu perut, masak dan masak sahaja kerjanya. Tidak salah sebenarnya memandangkan anak-anak dan suami menikmati saat ini tapi semuanya jadi sedikit kesal bila saya melupakan tanggungjawab yang lain. Suami pernah bercerita tentang beberapa ulamak yang terpenjara tetapi mampu menulis buku dan tidak kurang juga yang khatam Quran. Lebih terkurung berbanding saya yang bebas ke hulu ke hilir dari ruang tamu, ke dapur dan ke bilik tidur sedang mereka dia, duduk tetap, tekurung dalam jeriji besi.
.
2020. Anak-anak juga terkesan dengan PKP ini, sekolah tergendala dan pembelajaran mereka saya yang uruskan. Sayalah yang mengajar, sayalah yang menyelia kerja sekolah. Mencabar juga. Bukan kerana tahap keilmuan itu tapi lebih kepada skill mahu memudahkan ilmu agar mudah anak-anak hadam. Sesekali geram juga dengan guru-guru yang galak menghantar latihan tanpa henti sedangkan video pembelajaran dikongsi dari Youtbe sahaja. Begitu juga dengan latihan-latihan yang diberikan. Diambil dari guru entah dari sekolah mana. Sehinggakan setiap kali menjawab soalan, kami perlu mengambil gambar dan merekodkan markah kerana mereka tiada access pada Google Form tersebut. Hanya segelintir guru yang menghabiskan masa, merakam video pembelajaran sendiri. Tapi ini pengalaman saya, saya lihat kawan-kawan di FB membantu anak-anak menghadiri kelas online yang dijalankan guru-guru mereka. Berdedikasi. Berbeza dengan pengalaman saya. 
.
2020. Setelah semuanya hampir ke penghujung, saya sedikit insaf. Istghfar panjang juga mengenangkan thesis yag tidak bersentuh sedangkan tinggal sedikit sahaja lagi sebenarnya untuk saya proposal defend. Kenapalah saya berlengah. Sekelip mata saya sudah berada di akhir semester 4, bermakna dua tahun telah berlalu dan saya masih belum defend proposal. Aduhai!. Saya tekadkan hati, pejam mata dengan tuntutan rumahtangga, hanya melunaskan keperluan sahaja. Saya bergerak selaju mungkin. Tapi saya merancang, dan Allah juga merancang. Dua minggu yang lalu ibu jari kanan saya luka terkena pisau. Sangka saya semuanya luka biasa walaupun perlu ditutup dengan satu jahitan tetapi Allah mahu menguji. 4 hari kemudian barulah saya perasan jari saya tidak dapat bergerak seperti biasa. Setelah bertanya dengan adik ipar (seorang doktor, specialist in Family Medicine), saya bergegas ke hospital dan terus saja dijadualkan untuk menjalani pembedahan stage 2 tendon reconstruction. Sekarang pergerakan agak terbatas dan perjalanan untuk sembuh juga agak panjang. Luka perlu dicuci setiap 2 hari, jahitan akan dibuka 5 Januari nanti, splint perlu dipakai sehingga sebulan dan kemudian fisioterapi pula. Doktor menjangkakan semuanya akan mengambil masa 6 bulan untuk pulih sepenuhnya. Terdiam juga saya mendengarnya. Tapi apa-apa pun saya tetap bersyukur, sekurang-kurangnya saya tidak cacat kerana kalaulah saya tidak perasan pergerakan jari saya yang terhad itu, dan saya lambat pula ke hospital, kemungkinan besar tendon itu mati dan tidak boleh disambung semula. Jadi...syukur alhamdulillah untuk semuanya.
.
Sempat lagi tangkap gambar walaupun waktu ni darah mengalir hingga ke siku. Huhu

1st jahit sebab nak tutup luka. Silapnya doc waktu ni tak assess pun luka tu sedalam mana, ada urat putus atau tak. So bila luka dah hampir baik, doc lain terpaksa buka balik jahitan dan panjangkan lagi luka untuk cari tendon yang dah sedikit lari. Tapi tak apalah, yang penting, sis tak cacat.

1st time cuci luka. 1st time juga sis tengok tangan sendiri sebab after operation terus berbungkus. Tak nampak apa jadi.

.
2021. Sudah 4 hari tahun baru berlalu. Saya semakin bebas menggunakan tangan saya walaupun sedikit terbatas. Dah ditimpa dengan keadaan begini, barulah terasa betapa pentingnya ibu jari. Sekarang saya sudah mampu menaip walaupun terpaksa berhenti rehat untuk beberapa ketika kerana sekali sekala rasa sakit datang menjengah. Dan ada masa tangan yang masih dikapit splint terasa lenguh hingga ke siku. Tapi tak apalah, sekurang-kurangnya thesis saya bergerak sedikit demi sedikit walaupun saya belum pasti mampukah menghantar untuk proposal defend akhir Februari ini. Apa-apa pun, mudah-mudahan Allah bagi kemudahan untuk semuanya. Saya mahu menghabiskan PhD secepat mungkin, mahu bekerja sebagai lecturer...mahu mendidik anak bangsa (cewah!), mahu berbakti kepada ibubapa dan ibu mertua, mahu menghadiahkan suami saya dengan sesuatu hasil titik peluh sendiri. Ya. Banyak impian bersama PhD ini. Semoga Allah perkenankan, malah permudahkan semuanya. Ameen.
.
2021. Semoga setiap hari, sepanjang tahun ini mendatangkan kebaikan. Menjadikan saya sekeluarga insan yang lebih baik, berilmu dan bermanfaat . 
.
2021, semoga yang baik-baik sahaja untuk kita semua.
.
p/s: Ramai blogger yang tidak lagi menulis. Blog telah membuka pintu rezeki mereka dan mereka kemudian menyambung pintu-pintu itu di Instagram dan Facebook. Blog pula untuk saya, sebuah medan saya meluah rasa, mungkin kerana itu saya masih di sini. Setia mencoret cerita dan berkongsi setiap kali ada masa terluang. Sampai bila? Entahlah, saya sendiri tidak pasti. Apa-apa pun, jumpa lagi di lain lembaran. :)




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, July 21, 2020

SOP Baru Sesi Persekolahan Julai 2020

Salam

Alhamdulillah, pagi tadi baru jer selesai menghadiri meeting SOP pasca Covid19 untuk pembukaan sekolah pada 22 Julai 2020 nanti. 2 hari lagi. Berfikir panjang juga saya dibuatnya. Maklumlah dah lama tak jumpa kawan, mestilah anak-anak semua excited tapi penjarakkan sosial dan pembatasan sentuhan perlu dipraktikkan. Harap anak-anak dapat berdisplin melaksanakan SOP yang ditetapkan sekolah. Ibubapa pun perlu main peranan. Menyediakan kelengkapan dan keperluan sekolah anak secukupnya dan tanpa jemu berpesan pada anak-anak untuk mematuhi SOP.
.
Hasil dari meeting pagi tadi, secara ringkasnya saya merumuskan 12 point penting yang perlu dipatuhi. Mungkin susah pada awalnya tapi tidak mustahil.
.
1. Sanitizer, sapu tangan/tisu, wipes dan plastik kecil (utk sampah) bawa sendiri untuk kegunaan anak-anak.
2. Peralatan makanan (sudu/garfu) perlu bawa sendiri. 
3. Peralatan sekolah yang tertinggal akan dibuang.
4. Wajib pakai mask dan duduk tetap (tak boleh bersentuhan dengan kawan, pergi membuang sampah, mengasah pensel dan sebagainya) di meja yang ditetapkan. 
5. Peralatan menulis/buku/bekal atau duit belanja yang tertinggal tidak dibenarkan dihantar semula oleh ibubapa ke sekolah.
6. Digalakkan untuk membekalkan duit belanja yang cukup dan tepat untuk meminimakan pertukaran wang dan sentuhan.
7. Waktu persekolahan Isnin/Selasa/Khamis 9.30am-5.30pm, Rabu 12.00pm-5.30pm, Jumaat 2.00pm-6.00pm. Waktu pulang anak-anak akan dilepaskan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan.
8. Tidak ada lagi waktu makan tengahari. Ibubapa digalakkan membekalkan makanan tambahan untuk anak-anak kerana senggang waktu rehat bagi sesi pagi dan sesi petang cecah 5 jam.
9. Murid perempuan diminta untuk membawa telekung sendiri tetapi sejadah tidak dibenarkan bawa ke dalam sekolah. Hanya ada peruntukan masa untuk solat Zohor sahaja. Anak-anak diminta untuk solat Asar dirumah kerana masa disekolah tidak mencukupi memandangkan pelaksanaan SOP seperti pengambilan suhu dan pelepasan murid-murid pulang secara berperingkat telah mengambil masa PDP.
10. Anak-anak yang tidak hadir ke sekolah perlu memberi surat kepada sekolah dan pembelajaran akan dilakukan secara atas talian. Ibubapa wajib memastikan anak-anak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan sepanjang ketidakhadiran ke sekolah.
11. Murid-murid diwajibkan memakai uniform sekolah setiap hari. Tiada lagi pakaian PJK atau sukan kecuali dimaklumkan. Pakaian uniform tersebut perlulah diganti setiap hari (tiada pengulangan baju untuk hari seterusnya. Samada pakai baju baru atau cuci baju semalam untuk dipakai hari ini).
12. Anak-anak yang didapati demam secara tiba-tiba pada waktu persekolahan akan di tempatkan dibilik isolasi dan ibubapa perlu membawa anak pulang dengan kadar segera. Jika anak-anak sudah pun menunjukkan gejala dirumah, ibubapa dilarang menghantar anak-anak ke sekolah.
.
Petang itu bergegaslah kami ke Aeon Nilai, membeli keperluan seperti sapu tangan, sanitizer mini, baby wipes (dalam small packaging), beg bekal dan sebagainya. Tak kurang juga peralatan menulis yang entah ke berapa kali top up. Aduhai, mewahnya anak-anak ini. Malamnya anak-anak dah mula gelisah, tak sabar mahu ke sekolah. Tapi jujurnya Mama sedikit keberatan sebab kes baru Covid19 hari ni cecah 21 orang dengan rekod 15 kes tempatan dan 1 dari kes tersebut ialah di Negeri Sembilan. So macam mana ni? Homeshooling dulu dan pantau keadaan semasa atau usaha ikut SOP yang ditetapkan dan tawakal pada Allah SWT? Hurm....




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Wednesday, July 1, 2020

New Normal

Salam

And the new normal is...
.
.
.



.
.
.
....wearing masks wherever you go. Today (as of 1/7/2020), there is no new local cases and only one new case (non-local). Yea!! Hopefully, cepatlah virus Covid19 ini berlalu, Saya mahu menghantar anak-anak ke sekolah dengan hati yang tenang.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, March 31, 2020

PhD Sem 3

Salam
.
Alhamdulillah, setahun sudah perjalanan PhD saya berlalu. Soalan seperti,"dah defend?", "bila nak habis?" dah mula kedengaran. Tapi alhamdulillah, saya masih belum stress. Mungkin kerana baru setahun, jadi tidaklah malu ditanya soalan begitu. Sungguh pun, saya faham tekanan yang dihadapi para pelajar PhD jika soalan itu ditanya. Tapi nak salahkan netizen, mungkin mereka pun mati kutu nak tanya soalan. Jadi mereka berbahasa basi. Tapi, kalau kalian berjumpa dengan makcik yang sememangnya joyah, soalan tu mungkin bukan lagi berbahasa basi. Lebih kepada gossip. Tapi kita selaku orang yang lebih muda, sabar mungkin satu-satunya jalan yang kita ada. Mudah-mudahan dengan kesabaran itu, Allah mudahkan perjalanan PhD kita semua.
.
Ya, saya sudah sem 3. Jujurnya di sem ini saya merancang untuk melakukan 'proposal defend'. Chapter 1 dan 3 sudah saya siapkan selengkapnya. Tinggal chapter 2 sebenarnya perlu dikarang dan dikemaskini. Sem ini akan berakhir Ogos nanti. Macam lama lagi kan. Tapi masa sentiasa berlalu terlalu pantas. Berkurung 2 minggu di rumah kerana virus Covid19, tahu-tahu sahaja April sudah pun bermula esok. Begitulah selalunya, pejam celik pejam celik, dah Ogos. Hurm...mudah-mudahan Allah beri ilham dan kemudahan untuk saya menulis. 
.
p/s: Saya sebenarnya mahu menulis tentang rutin PKP kerana Covid19,tapi mood agak ke laut. Maka 2 perenggan ini sahajalah yang saya mampu. Kurang-kurang blog ini belum mati sepenuhnya.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...