Monday, January 4, 2021

Tahun Baru: 2021

Salam

Alhamdulillah, sekali lagi Allah panjangkan umur menempuhi tahun yang mendatang. Mudah-mudahan terus dipanjangkan dan diberi keberkatan juga bersamanya.
.
2020 berlalu dengan keadaan dunia dilanda wabak yang entah bila kita akan temui penawarnya. Ramai yang dijangkiti dan ramai juga yang telah terkorban. Dunia ini tidak lagi seperti dulu, kehidupan kita sudah tidak sama. Ukhuwah lebih banyak di alam maya berbanding bersua muka. Sentuhan, bersalam-salaman atau ciuman mesra di pipi memang jauh sekali. Semuanya berjauhan 1 meter. Saya rasa ianya menyalahi ftrah manusia yang mahu beramah mesra dan saling meluahkan kasih sayang. Tapi Allah lebih tahu hikmah disebalik semuanya. Dan kita manusia, yang paling kurang mendatangkan mudharat, itulah pilihan yang paling afdhal.
.
2020 berlalu seperti angin lalu sahaja. Bukan salah sesiapa melainkan diri sendiri. Membiarkan rasa terkurung ini benar-benar mengurung diri. Saya kurang produktif, thesis berbulan tidak disentuh. Banyak masa dihabiskan melayan nafsu perut, masak dan masak sahaja kerjanya. Tidak salah sebenarnya memandangkan anak-anak dan suami menikmati saat ini tapi semuanya jadi sedikit kesal bila saya melupakan tanggungjawab yang lain. Suami pernah bercerita tentang beberapa ulamak yang terpenjara tetapi mampu menulis buku dan tidak kurang juga yang khatam Quran. Lebih terkurung berbanding saya yang bebas ke hulu ke hilir dari ruang tamu, ke dapur dan ke bilik tidur sedang mereka dia, duduk tetap, tekurung dalam jeriji besi.
.
2020. Anak-anak juga terkesan dengan PKP ini, sekolah tergendala dan pembelajaran mereka saya yang uruskan. Sayalah yang mengajar, sayalah yang menyelia kerja sekolah. Mencabar juga. Bukan kerana tahap keilmuan itu tapi lebih kepada skill mahu memudahkan ilmu agar mudah anak-anak hadam. Sesekali geram juga dengan guru-guru yang galak menghantar latihan tanpa henti sedangkan video pembelajaran dikongsi dari Youtbe sahaja. Begitu juga dengan latihan-latihan yang diberikan. Diambil dari guru entah dari sekolah mana. Sehinggakan setiap kali menjawab soalan, kami perlu mengambil gambar dan merekodkan markah kerana mereka tiada access pada Google Form tersebut. Hanya segelintir guru yang menghabiskan masa, merakam video pembelajaran sendiri. Tapi ini pengalaman saya, saya lihat kawan-kawan di FB membantu anak-anak menghadiri kelas online yang dijalankan guru-guru mereka. Berdedikasi. Berbeza dengan pengalaman saya. 
.
2020. Setelah semuanya hampir ke penghujung, saya sedikit insaf. Istghfar panjang juga mengenangkan thesis yag tidak bersentuh sedangkan tinggal sedikit sahaja lagi sebenarnya untuk saya proposal defend. Kenapalah saya berlengah. Sekelip mata saya sudah berada di akhir semester 4, bermakna dua tahun telah berlalu dan saya masih belum defend proposal. Aduhai!. Saya tekadkan hati, pejam mata dengan tuntutan rumahtangga, hanya melunaskan keperluan sahaja. Saya bergerak selaju mungkin. Tapi saya merancang, dan Allah juga merancang. Dua minggu yang lalu ibu jari kanan saya luka terkena pisau. Sangka saya semuanya luka biasa walaupun perlu ditutup dengan satu jahitan tetapi Allah mahu menguji. 4 hari kemudian barulah saya perasan jari saya tidak dapat bergerak seperti biasa. Setelah bertanya dengan adik ipar (seorang doktor, specialist in Family Medicine), saya bergegas ke hospital dan terus saja dijadualkan untuk menjalani pembedahan stage 2 tendon reconstruction. Sekarang pergerakan agak terbatas dan perjalanan untuk sembuh juga agak panjang. Luka perlu dicuci setiap 2 hari, jahitan akan dibuka 5 Januari nanti, splint perlu dipakai sehingga sebulan dan kemudian fisioterapi pula. Doktor menjangkakan semuanya akan mengambil masa 6 bulan untuk pulih sepenuhnya. Terdiam juga saya mendengarnya. Tapi apa-apa pun saya tetap bersyukur, sekurang-kurangnya saya tidak cacat kerana kalaulah saya tidak perasan pergerakan jari saya yang terhad itu, dan saya lambat pula ke hospital, kemungkinan besar tendon itu mati dan tidak boleh disambung semula. Jadi...syukur alhamdulillah untuk semuanya.
.
Sempat lagi tangkap gambar walaupun waktu ni darah mengalir hingga ke siku. Huhu

1st jahit sebab nak tutup luka. Silapnya doc waktu ni tak assess pun luka tu sedalam mana, ada urat putus atau tak. So bila luka dah hampir baik, doc lain terpaksa buka balik jahitan dan panjangkan lagi luka untuk cari tendon yang dah sedikit lari. Tapi tak apalah, yang penting, sis tak cacat.

1st time cuci luka. 1st time juga sis tengok tangan sendiri sebab after operation terus berbungkus. Tak nampak apa jadi.

.
2021. Sudah 4 hari tahun baru berlalu. Saya semakin bebas menggunakan tangan saya walaupun sedikit terbatas. Dah ditimpa dengan keadaan begini, barulah terasa betapa pentingnya ibu jari. Sekarang saya sudah mampu menaip walaupun terpaksa berhenti rehat untuk beberapa ketika kerana sekali sekala rasa sakit datang menjengah. Dan ada masa tangan yang masih dikapit splint terasa lenguh hingga ke siku. Tapi tak apalah, sekurang-kurangnya thesis saya bergerak sedikit demi sedikit walaupun saya belum pasti mampukah menghantar untuk proposal defend akhir Februari ini. Apa-apa pun, mudah-mudahan Allah bagi kemudahan untuk semuanya. Saya mahu menghabiskan PhD secepat mungkin, mahu bekerja sebagai lecturer...mahu mendidik anak bangsa (cewah!), mahu berbakti kepada ibubapa dan ibu mertua, mahu menghadiahkan suami saya dengan sesuatu hasil titik peluh sendiri. Ya. Banyak impian bersama PhD ini. Semoga Allah perkenankan, malah permudahkan semuanya. Ameen.
.
2021. Semoga setiap hari, sepanjang tahun ini mendatangkan kebaikan. Menjadikan saya sekeluarga insan yang lebih baik, berilmu dan bermanfaat . 
.
2021, semoga yang baik-baik sahaja untuk kita semua.
.
p/s: Ramai blogger yang tidak lagi menulis. Blog telah membuka pintu rezeki mereka dan mereka kemudian menyambung pintu-pintu itu di Instagram dan Facebook. Blog pula untuk saya, sebuah medan saya meluah rasa, mungkin kerana itu saya masih di sini. Setia mencoret cerita dan berkongsi setiap kali ada masa terluang. Sampai bila? Entahlah, saya sendiri tidak pasti. Apa-apa pun, jumpa lagi di lain lembaran. :)




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...