Dah lama rasanya saya tidak bercerita tentang perkembangan Zahra di sini. Alhamdulillah, dia semakin sihat, bijak, nakal dan lasak. Semenjak mahu menerima kedatangan adik, Zahra semakin manja dan mudah menangis. Dia mudah tersentuh hati, lebih-lebih lagi dengan saya. Kalau saja saya melarangnya daripada berbuat sesuatu, mulalah dia menangis hingga merah mata dan hidung. Manjanya juga agak berlebihan, semuanya mahu saya yang lakukan bersama. Contohnya bila dia bermain, sayalah orangnya yang perlu duduk berteleku dengannya. Sehingga sampai satu tahap, dia tidak mahu saya melakukan kerja lain, selain menemani dia bermain.
Tidak cukup dengan itu, Zahra semakin kuat cemburu. Abi sikit pun tidak dibenarkan sentuh mama. Andai tangan abinya memegang tangan saya, mulalah dia menjerit-jerit minta abi melepaskan tangan saya. Kedaan bertambah rumit bila saya semakin sarat, dia tidak mahu didukung abi. Dia mahu saya yang mendukungnya, bila berjalan, mahu saya yang memimpinnya. Penat!
Tapi perubahan dan kematangan sebagai seorang kakak juga semakin teserlah. Zahra sudah boleh diatur dan semakin memahami apa yang saya dan Abi tuturkan. Kami boleh memintanya mengambil susu, pampers dan air sendiri. Yang paling membuatkan saya terharu ialah apabila saya bertanya padanya, "Mana baby?", Zahra akan menggosok-gosok perut saya dan kemudian menciumnya. Sungguh saya terharu. :') Zahra masih lagi belum menyebut perkataan-perkataan yang kami fahami. Hanya beberapa perkataan mudah seperti 'Nak', 'Tak Nak' (diikuti dengan gelengan) dan 'Air'. Yang lain semuanya amat sukat untuk ditafsirkan. Bertambah rumit bila Zahra tidak memberi ruang untuk kami berfikir. Bila dia cuba menyampaikan sesuatu dua tiga kali maka mulalah dia mengamuk dan meronta-ronta sedangkan kami masih lagi cuba untuk memproses permintaan dia. Mulalah adegan pujuk memujuk. Lagaknya seperti anak gadis, ke belakang pintu atau penjuru katil dan kemudiannya menangis semahunya.
Zahra seorang anak kecil yang murah rezeki. Saya ingat lagi ketika kali pertama kami mencuba aiskrim di Ice Room, pekerja di sana memberikan Zahra sepinggan kecil Strawberry. Ketika kami ke Sunway Piramid pula, pelayan di sana memberikan Zahra beberapa potong Tembikai. Begitu juga ketika kami makan di gerai, Zahra diberikan lolipop dan Pisang. Rezeki dia murah, ke mana saja dia pergi, ada buah tangan untuknya. Alhamdulillah. Mama dan Abi doakan rezeki Zahra sentiasa murah dalam apa jua kedaan sampai bila-bila. :)
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)