Saya tidak pasti berapa banyak darah bakal mengalir, berapa titis air mata lagi bakal tumpah untuk menghentikan kekejaman yang sedang belaku di Gaza. Ribuan umat Islam sudah pun syahid dan masih ramai lagi yang bagaikan beratur menunggu giliran mereka untuk gugur. Saya tidak dapat menahan kesedihan setiap kali melihat wajah-wajah mereka yang putih bersih diselimuti darah. Wajah kanak-kanak bersama luka yang teramat dalam tapi masih berkeadaan tenang seperti diulit lena yang panjang. Semuanya wajah insan yang Allah kasihi dan pilih sebagai syahid kerana agama.
Saat saya memberitahu suami tentang kesedihan yang tidak dapat dibendung, suami meminta saya agar terus berdoa. Berdoa dan terus berdoa untuk mereka yang berada di Gaza. Saya akur, terasa kerdil benar usaha yang mampu saya lakukan. Mungkin bisikan halus ini berjaya didengari suami, dia menambah, "Jangan rasa doa itu satu perkara yang kecil kerana doa itu senjata orang Mukmin". Saya terdiam. Nasihat yang memberikan kesan yang mendalam. Bukan saya tidak tahu tentangnya, tapi bila dalam keadaan bercelaru seperti ini, hati saya merusuh, fikiran jadi tidak tenang. Dengan keadaan hormon yang tidak stabil, ditambah dengan gambar-gambar yang menyayat hati yang menghiasi laman Facebook, saya terasa bagai tidak ada ikhtiar yang dapat saya lakukan bagi mengakhiri penderitaan Gaza.
Doa saya panjatkan untuk Gaza, dengan harapan umat Islam yang lain khususnya di Malaysia turut sama mendoakan Gaza. Saya benar-benar berharap kita di Malaysia merasai penderitaan mereka yang berada di sana. Bimbang melihat keadaan anak muda di Malaysia yang lebih rela hanyut dengan hiburan daripada hanyut berteman air mata mengenangkan saudara Islam kita yang dibunuh begitu sahaja. Kelekaan itu benar-benar membuahkan rasa kesal. Saya tahu tidak ramai yang mampu menyahut panggilan jihad, pergi ke Gaza dan mengangkat senjata dan menentang Israel. Mungkin saya juga tidak berkemampuan menyambut panggilan itu, maka biarlah kita yang lemah Iman ini melakukan segala yang terdaya di dalam kudrat dan kemampuan kita.
Usaha-usaha kecil yang dilakukan beramai-ramai, tentunya mampu memberikan impak yang besar. Saya menyeru agar kita semua mendoakan Gaza tanpa henti dan memboikot setiap syarikat dan produk keluaran mereka yang memberi bantuan kepada Israel. Jangan pandang remeh pada usaha yang tidak menitiskan peluh ini kerana saya percaya Allag akan menghitung semuanya, walaupun amalan itu sebesar zarah. Mari kita lakukan sesuatu untuk Gaza, baik dalam bentuk doa, boikot ataupun sumbangan.
p/s: Gaza, Palestin....tetap dalam hati
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)