Friday, November 9, 2012

Kesal Si Keluh Kesah

Salam.

Post kali ini, saya tujukan untuk diri sendiri.

Macam-macam yang perlu kita lalui dalam kehidupan ini. Setiap orang diberi ujian yang tersendiri dan mengikut kemampuan masing-masing. Saya bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada saya, tak kurang juga syukur atas ujian yang ditimpakan.

Sedar atau tidak, nikmat dan ujian ini rahmat dari Allah. Nikmat kurniaan Allah menjadikan kehidupan kita manis dan penuh dengan kebahagiaan. Manakala ujian yang datang bertimpa mejaga kita dari sudut yang berbeza. Masakan tidak, kalau tidak kerana sakit, mungkinkah kita menjaga diri kita dari melakukan perkara-perkara yang merosakkan diri? Saya ambil contoh keadaan saya sekarang ini. Rasa sakit dan sengal membuatkan saya berhati-hati dalam setiap pergerakan. Cuba bayangkan Allah menarik 'nikmat' sakit itu, pastinya bayi di dalam kandungan tidak terjaga, saya mungkin akan keguguran dan mengalami pendarahan akibat sikap sambil lewa kerana sentiasa berasa sihat. Nauzubillah.


Jika dilihat pula dari sudut yang lain, pepatah "Sudah terhantuk baru terngadah" memang bertepatan dengan rasionaliti kenapa perlunya kita sentiasa diuji. Cuba dihitung, berapa peratus saja dari kalangan kita yang muhasabah diri setiap kali Allah kurniakan nikmat yang mengembirakan hati? Segelinitr sahaja, itu pun susah untuk istiqamah untuk muhasabah setiap kali ada nikmat yang Allah berikan. Kita selalunya mengingati Allah, memohon pertolongan dan memasakkan pengharapan pada Allah bila ujian datang bertimpa-timpa. Di saat rasa seperti mahu rebah menyembah bumi, kita kuatkan lagi amalan dan pengharapan. Kepercayaan kita pada Allah bertambah utuh, keyakinan kita pada pertolongan yang akan sampai dan sekaligus menyelesaikan segala masalah bertambah jitu. Betulkan? Sudah terhantuk pada kerasnya batu ujian, barulah nak menadah tangan berdoa.

Tidak, saya tidak sekali-kali mengatakan perbuatan ini salah. Tapi memang inilah yang patut kita lakukan setiap kali diuji. Kuatkan rasa rindu dan cinta kita kepada Allah kerana dari sudut pandangan saya, kerana sayanglah Allah uji. Mahu 'mencuri' perhatian kita diwaktu gembira amatlah sukar, maka Allah datangkan ujian agar kita berpaling padaNya dan merayu-rayu dengan penuh rasa cinta.


Post kali ini lebih kepada memberi peringatan kepada diri sendiri kerana dari apa yang saya perhatikan, sayalah orang yang paling banyak merungut tentang ujian yang menimpa. Kalau dilihat dari post-post sebelum ini pun, kebanyakannya tentang kesusaha yang saya alami. Sunguh tidak adil, yang dicanang-canang hanya keluhan hati yang tidak bersyukur, sedangkan Allah tidak pernah melupakan saya dalam membahagikan nikmat-nikmatnya ke seluruh alam semesta. Ampunkan saya Ya Allah, saya terlampau banyak merungut dan mengeluh!


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...