Semenjak menjejak kaki ke IIUM, masa 24jam bagai tidak mencukupi sehingga saya merasakan saya tidak membuang masa walaupun seminit. Semuanya terisi dengan perkara-perkara yang penting dan saya rasakan perlu.
Hari saya bermula di awal pagi lagi. Menyiapkan Zahra untuk ke rumah Mama dan kemudiannya menggagahkan diri ke IIUM untuk menuntut ilmu. Saya amat berharap Allah memudahkan urusan pengajian saya. Saya mahu menamatkan pengajian ini dengan baik. Mahu menjadikan cerita susah dan senang saya sebagai seorang ibu yang bekerja dan belajar sebagai pembakar semangat anak-anak. Ameen Ya Rabb!
Petangnya barulah saya menjemput Zahra dan pulang ke rumah. Jejak saja kaki di rumah, saya menjalankan tugas saya sebagai seorang isteri. Mengemas rumah, memasak dan menguruskan Zahra. Dalam pada masa yang sama, saya sesekali menjenguk ke inbox email atau FB untuk melihat perkembangan perniagaan online saya. Kalau ada pertanyaan yang perlu dijawab, saya akan mencuri masa menaip selaju mungkin sambil melayan karenah Zahra yang semakin hari semakin lincah.
Zahra sudah mahir merangkak. Setiap sudut rumah diteroka, dari bilik tidur dia merentas ruang tamu dan bilik air, menuju ke dapur ketika saya sibuk bertungkus lumus menyediakan hidangan untuk kami sekeluarga. Kadang-kadang letih juga melayan Zahra, kadang-kadang hilang juga letih melayan dia. Hairan kan?
Hari ini saya berpeluang berjalan-jalan mengambil angin di gerai-gerai buku yang sangat banyak di IIUM, melebihi keadaan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Rambang mata dibuatnya. Saya berkira-kira voucher buku yang kami terima. RM400 semuanya. RM200 untuk suami dan RM200 untuk saya. Memandangkan suami tidak memerlukan voucher tersebut, saya mengambil kesempatan untuk membolot kesemuanya. Sebahagian voucher saya dan kesemua voucher suami digunakan untuk membeli buku teks, manakala baki RM100 saya gunakan untuk membeli novel Islamik.
Hampir sejam setengah juga saya menngambil masa menilai novel mana yang saya rasakan perlu dan mendatangkan manfaat kepada saya. Bertambah sukar bila saya sebolehnya mahu memaksimumkan penggunaa voucher RM100 dan meminimumkan penggunaan wang tambahan. Berkali-kali saya membelek buku dan menekan calculator. Tambah dan tolak, akhirnya saya memilih 5 buah buku. Harapnya dapat menambahkan ilmu dan memberi semangat dan nafas baru kepada penulisan saya. Saya mahu kembali menulis dengan gaya bahasa yang lebih baik.
- Sang Pemimpi (Andrea Hirata)
- Mengejar Bayangan Qaseh Puteri (Moh Dat Molok)
- Penulis Yang Disayang Tuhan (Bahruddin Bekri)
- Edensor (Andrea Hirata)
- Bisikan Syurga (Yani Rahma Nugraheni)
Gembira rasanya walaupun saya sendiri belum pasti bila saya punya masa untuk membaca kesemua novel. Nanti kalau dah selesai meng'khatam'kan semua buku (entah bila agaknya), saya buat review ya. :p
p/s: Gembira juga sebab koleksi buku saya bertambah. One day, saya nak ada almari khas untuk semua buku saya ni. Dan salah satu shelf tu, ada buku saya sendiri. Ameen! :)
Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)