Saturday, December 24, 2011

Didikan Awal Solat

Salam

Zahra sudah pun 4 bulan, sudah banyak benda baru yang dipelajari. Dia sudah mula mengenali saya dan abinya, sudah pandai menangis bila didukung oleh wajah-wajah asing, sudah pandai meniarap dan sudah pandai mengeluarkan lidah yang menyebabkan lebih banyak bunyi yang berbeza-beza dapat dihasilkan.

Melihat perkembangan Zahra dari hari ke hari menyebabkan saya semakin berfikir panjang, bagaimana saya harus mendidiknya. Alhamdulillah, Allah pertemukan saya dengan pelbagai bahan bacaan yang memberi idea dan pengalaman yang bermanfaat dalam mendidik anak-anak.

Blog Darwish dan Darwisya mungkin tidak asing lagi bagi sesetengah orang, bagi yang belum pernah dengar tentang blog ini, inilah blog yang saya jadikan inspirasi dalam memberikan didikan awal pada Zahra. Blog yang menceritakan bagaimana dia mendidik anaknya yang berusia 3 tahun sehingga boleh menghafal 30 surah pilihan. Sebulan juga saya ambil masa untuk memulakan langkah. Banyak perkara yang membuatkan saya tertangguh, masa yang suntuk dan malas yang menimbulkan pelbagai alasan.

Alhamdulillah, akhirnya langkah pertama saya ambil. Saya membiasakan Zahra dengan solat 5 waktu. Bukanlah saya mengajarnya mendirikan solat, tapi saya mengajarnya agar tidak menangis atau minta didukung ketika kami solat. Pada mulanya saya menanam pemahaman bahawa jika saya memakai telekung, saya tidak akan bercakap atau pun mendukung Zahra. Jika ada keperluan untuk mendukung atau menenangkan dia, cepat-cepat saya tanggalkan telekung. Alhamdulillah, Zahra sudah mula faham. Bila saya pakai sahaja telekung, saya lihat dia tidak menangis dan asyik memerhati.

Kemudiannya saya berniat untuk menanam minatnya bersolat dengan kami. Asalnya Zahra hanya diletakkan di tepi sahaja supaya dia dapat melihat kami solat. Untuk langkah kedua ini, saya letakkan dia di depan sejadah saya, di tempat saya sujud untuk menyampaikan mesej pada dia, yang dia turut serta dalam aktiviti ini (solat). Tapi bila dia solat dengan suami saya, maka suami saya akan meletakkan Zahra ditengah-tengah. Dan Alhamdulillah, Zahra semakin 'baik; ketika kami solat. Dari menangis, meraung dan menjerit-jerit, dia boleh senyap secara tiba-tiba bila kami membawanya ke sejadah untuk solat 'bersama'.

Langkah ketiga saya ambil dari blog Darwish dan Darwisya, langkah untuk memperkenalkan Al Quran kepada Zahra. Saya membeli flashcard alif ba ta (susah betul nak cari, akhirnya saya jumpa dibahagian stationary SOGO) kepada Zahra dan bermain sambil mendidiknya. Saya nampak mata Zahra membulat setiap kali saya tunjukkan kad itu kepadanya. Saya tahu Zahra suka sebab setiap kali saya lambat bagi kad yang baru, Zahra akan menjerit-jerit. Bila diberikan kad yang baru,barulah dia diam dan ralit memerhati. Masa inilah saya menyebut-nyebut huruf yang dia pegang dengan harapan bila dia boleh membeza-bezakannya nanti.

Mungkin tak ramai yang merasai kepentingan mendidik anak pada usia seawal ini tapi saya percaya memberi pendidikan tidak perlu mengira usia, mulakannya dari awal dan mengikut peringkat-peringkat yang betul. Saya bukanlah terlampau extreme sehingga Zahra tidak diberi permainan untuk menikmati zaman kecilnya. Tidak sama sekali, saya mengimbangi kedua-duanya. Ada masa saya akan duduk bersama Zahra, bermain permainan yang dibeli. Ada masanya pula saya duduk bersama Zahra sambil mendidik dan bermain menggunakan flashcard yang ada. InsyaAllah, pendidikan awal ini tidak akan menyebabkan dia tertekan kerana saya hanya memperuntukkan masa setengah jam saja sehari, tidak lama. Yang penting bagi saya adalah istiqamah, berterusan agar setiap hari pun ilmu itu di'refresh' dalam ingatannya.


Belajar Huruf ب from Ebyll on Vimeo.



Saya harap penulisan saya ini dianggap sebagai perkongsian yang bermanfaat dan mencetuskan langkah pertama yang membawa kepada banyak kebaikan. Saya kira sudah pelbagai binasa dan kekufuran yang terjadi di bumi ini, sudah tiba masanya kita sebagai ibubapa mengambil langkah inisiatif untuk mencorak generasi akan datang. Semoga Allah melindungi kita dari keburukan, memberikan jalan keluar dari kesesatan dan mengilhamkan kepada kita tindakan yang membuahkan kebaikan. Ameen.

Semoaga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...