PRU yang lalu ramai yang memberi komen, gerun melihat kesungguhan saya berpolitik. Saya senyum sahaja. Pada saya, politik baru-baru ini memang memerlukan perhatian yang lebih khusus sebenarnya. Lihat sahaja impak yang kita lalui sekarang. Tidak ubah seperti menyalin baju sahaja, warna baju berlainan tapi badan pemerintahan tetap seperti yang dahulu kala. Malah tidak keterlaluan kalau saya kata pemerintahan kali ini lebih teruk dari yang dahulu.
.
Sentimen kos sara hidup yang lebih menurun semuanya tinggal satu sentimen. Tol tidak dihapuskan, harga minyak tidak turun, GST digantikan dengan SST, PTPTN tidak dimansuhkan dan sebagainya. Tapi kerana pertukaran tapuk pemerintahan, ramai yang pejam mata dengan alasan memberi peluang kerajaan baru membaik pulih keadaan getir negara. Hairan juga saya, manifesto yang dijanjikan tidak dapat dilaksana kerana keadaan negara yang terlalu kritikal tapi penindasan demi penindasan boleh pula di aplikasikan tanpa ada sebarang halangan.
.
PTPTN yang dijanjikan supaya pembayaran hanya dibuat sekiranya peminjam memperolehi gaji minimum RM4k kini berubah lebih teruk. Auto Debit akan dikenakan disemua peringkat pendapatan. Bayangkan mereka yang bergaji RM1k membayar PTPTN. RM1k, hidup pun sangat terdesak, wajib pula membayar hutang. Sudahlah itu, kegagalan menjelaskan hutang ini akan menyebabkan muflis pula. Tahukah apa akibat dari pengisytiharan muflis. Orang Melayu yang rata-rata berhutang PTPTN ini tidak lagi boleh membuat pinjaman dan juga memiliki perniagaan persendirian. Jadi siapa yang akan mendominasi pemilikan perumahan? Siapa yang akan memonopoli ekonomi? Orang Melayu, berniaga kecil-kecilan pun tak mampu. Ada yang turut melaungkan hujah Dr. Maszlee, kalau berhutang wajiblah bayar. Betul saya setuju. Kalau anda berhutang, wajiblah membayarnya. Tapi di mana tanggungjawab kerajaan disini, Malaysia dahulu sebuah negara yang memberi biasiswa kepada rakyatnya untuk menyambung pelajaran, kini semua rakyat dibebani hutang sedangkan kita mampu menawarkan biasiswa pendidikan. Yang keduanya, jika itu pemikiran kalian bahawa hutang perlu dijelaskan, kenapa sewaktu mahu memenangi pilihanraya kalian laungkan yang bertentangan. Tidak jujur.
.
Tol yang dikatakan akan dihapuskan tidak terhapus. Yang digembar gemburkan tol yang tamat perjanjian konsesi seolah-olah ianya satu usaha kerajaan baru. Aduhai. Sudah lah itu, saman AES kini sudah berkuat kuasa pula. Wajib dibayar, jika tidak akan mengalami kesukaran memperbaharui cukai jalan dan sebagainya. Katanya makin menyenangkan tapi saya lihat banyak dasar baru yang lebih menyusahkan. Manifesto yang dijanjikan semua tidak boleh ditunaikan kerana keadaan tenat, tapi dasar menekan yang baru boleh pula cepat-cepat dikuat kuasa. Itu belum cerita tentang imbuhan persaraan yang akan diambil untuk melangsaikan semua hutang. Kenapa perlu macam tu, kenapa tidak dikekalkan sahaja hutang itu dengan bayaran ansuran bulanan. Kenapa perlu diambil dari wang persaraan utnuk dijelaskan sekaligus. Sungguhlah kerajaan baru ini tidak memikirkan kebajikan rakyat, hanya keuntungan kerajaan sahaja. Kapitalis.
.
Itu belum lagi bersembang pasal pening-pening menteri agama, Dr. Mujahid Yusuf Rawa. Tidak ada isu yang menarik hatinya selain LGBT. Siap ada conference khusus untuk memahamkan orang ramai tentang LGBT. Sudahlah semakin memutar belit tentang compassionate Islam, rahmatan lil alamin, macam-macam statement dan tindakan bodoh yang ditonjolkan yang langsung tidak mencerminkan perjuangan Islam. Terlampau nak membela golongan ini sehingga meminta orang awam berkongsi surau dan toilet pula dengan mereka. Aduhai. Apa punya tahap pemikiran lah. Banyak lagi isu agama yang boleh diketengahkan sebagai bukti menteri-menteri baru ini buat kerja tapi mereka sibuk nak menggubal perkara-perkara pelik. Tidak ada tangkap khalwat la. Apa ni? Well, seperti yang dikatakan Dr. Mujahid, bukan semua Gay adalah homoseksual...maka saya katakan bukan semua mujahid adalah mujahidin (pejuang agama).
.
Kemudian kecoh pula dengan pemilihan dalam parti PKR yang penuh dengan pergaduhan dan kekerasan. Oh, semuanya kerana kuasa. Saya tidak terkejut sebenarnya. Kalaulah mereka boleh mencintai Tun M yang dahulunya mereka keji semata-mata kerana kuasa, apalah sangat sekadar bergaduh melontar kerusi. Tun M menzalimi ramai pucuk pimpinan PAN dan PKR, dianiaya, difitnah, dipisahkan dari keluarga berpuluh tahun lamanya. Itu mereka dapat lupakan dan terus berubah 360 darjah kerana kuasa, maka pada saya melontar kerusi dan bertegang lidah adalah satu tindakan sebesar zarah yang mereka sanggup lakukan demi kuasa.
.
Beralih pula kepada menteri termuda Malaysa, YB Syed Sadiq. Awal-awal lantikan lagi saya dah tak berkenan. Terutamanya bila dia menyuarakan pemberian kondom sebagai satu langkah membasmi anak luar nikah. Bijak ke? Kemudian semakin banyak agenda mengarut yang mahu diketengahkan. Mahu mengarus perdanakan permainan video game sebagai satu sukan (tak menyihatkan langsung), mahu menukar umur mengundi dengan hujah kalau buat salah 18 tahun ke atas dah tak masuk juvana. Maaf, YB tak ada penasihat ke yang memberi maklumat. 18 tahun di Malaysia masih terlalu muda untuk membuat keputusan memilih pimpinan. Tak payah la nak samakan dengan negara lain, kita berbeza budaya dan keadaan. Pada saya idea penukaran umur ini ialah mudah untuk YB mengula-gulakan mereka untuk memilih YB lagi dilain penggal. Lagi pula bila YB sibuk bermain video game dengan mereka, lagilah mereka suka. Oh by the way, di Malaysia...pesalah berumur 18-21 tahun jika sabit kesalahan akan dipenjarakan di penjara yang berbeza dengan pesalah yang lebih tua. Mereka akan di kira sebagai pesalah muda. Penjara berbeza dan hukuman juga lebih ringan. Dan bila YB kata 18 tahun dah boleh masuk akademi tentera untuk jaga negara, takkan tak boleh pilih pemimpin negara. Suka sekali untuk saya beritahu YB, bukan semua orang apply nak masuk tentera boleh jadi tentera. Ada ujian saringan yang pelbagai sebelum dipilih untuk mempertahankan negara ya. Kalau ikut hujah YB ramailah tentera kita yang terkencing dalam seluar ketika menjaga sempadan.
.
Oh, saya bosan dengan pemerintahan baru ini yang terlampau banyak alasan. Semuanya dihujahkan dengan baru beberapa bulan memerintah, jadi banyak yang tak dapat dilaksana. Tapi lihatlah, beberapa bulan ini berapa banyak perkara mengarut yang mereka buat. Yang terbaru ICERD. Kalau rakyat tak buka mata lagi tak tahulah. Menteri-menteri kalian yang kata tak ada duit nak buat itu ini tu, gagah sahaja menurunkan semua papan tanda 1 Malaysia, gigih sahaja re-branding beberapa polisi dan institusi kerajaan. Tahu tak semua tu mengeluarkan duit. Penjenamaan semula memerlukan logo yang baru, papan tanda baru dan sebagainya. Mungkin kalian fikir modalnya kecil tapi ianya satu modal yang tidak perlu sedang negara kita memerlukan bantuan sehinggakan rakyat semua menderma. Termasuklah seorang budak lelaki berumur 18 tahun yang mengeluarkan semua duit tabungannya untuk dimasukkan ke dalam Tabung Harapan. Oh adik, akak harap bila awak dewasa nanti, Malaysia menyayangi awak seperti awak menyayangi Malaysia. Mudah-mudahan, tidaklah awak dikelilingi hutang (hutang belajar, hutang kereta, hutang rumah) untuk membina kehidupan. Lagi karut bila mereka menamakan semula agensi kerajaan (SPAD kalau tak silap), motif? Ini semua keluar duit tahu. Kata tak ada duit. By the way people, they have all the time and money to do all these but they don't have the courtesy to at least honored what they have promised you.
.
Cukuplah setakat ini. Mudah-mudahan tidak banyak yang tergadai di dalam penggal pertama ini. Saya percaya PH akan memenangi kerajaan untuk penggal seterusnya dan PH akan menjadi UMNO yang menzalimi rakyat disepanjang pemerintahan mereka kecuali pada musim pilihanraya. Kemudian rakyat Malaysia, masih tipikal rakyat Malaysia yang percaya pada janji-janji manifesto, kemudian ditipu, kemudian percaya lagi dan ditipu lagi. PH akan terus menaung Malaysia..sehinggalah pada satu tahap, seperti UMNO juga, rakyat Malaysia tidak dapat lagi bertahan dengan kezaliman PH. Maka sekali lagi setelah 50 tahun, kita akan menukar kerajaan untuk kali kedua pula.
.
p/s: Oh please don't get me wrong, saya membenci DS Najib, UMNO dan sekutunya.....malah ia perjuangan istiqamah saya. Saya tidak menukar haluan untuk tiba-tiba taksub Tun M demi sebuah kemenangan..
Salam Malaysia Baru.
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)