Saturday, February 4, 2012

UIAM di Hatiku

Salam

Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki ke tempat yang banyak memberi pengalaman dan pengajaran kepada saya. Tempat di mana saya menimba ilmu, memahami erti persahabatan, mempelajari makna pengorbanan dan mengenali sebuah perjuangan. Menghirup udara di sini memberikan saya kesegaran dan ketenangan fikiran. Lunak rasa hati memijak tanah yang menjadi saksi suka duka seorang gadis biasa dalam menempuhi satu fasa kehidupan duniawi. Ya, UIAM memang istimewa di hati saya kerana di sini jugalah saya bertemu cinta hati saya.

Bangunan Rektor.

Bila dikenang memori yang lalu, pernah suatu ketika dahulu saya melaungkan impian saya untuk menjejakkan kaki ke UIAM. Sepupu saya memaut bahu erat, menitip kata semangat. Satu hari nanti saya akan berjaya mengejar cita-cita. Alhamdulillah, laungan itu di dengari Allah SWT walaupun jalannya sedikit berliku, Allah tetap memakbulkannya.

Pelbagai kenangan menerjah ke fikiran saya tatkala melihat gambar-gambar UIAM. Teringat pada semangat saya menyanyikan lagu rasmi UIAM ketika minggu Taaruf dulu. Waktu itu semangat dan rasa gembira bersatu sehinggakan ketika menyanyikan lagu tersebut saya dapat merasakan jantung saya berdegup kencang. Saya benar-benar teruja!

Ketika mula-mula menjejakan kaki ke UIAM, saya sedikit canggung dan penakut. Saya tidak meneroka jalan-jalan pintas yang akan memudahkan saya ke kuliah. Jadinya, perjalanan menjadi jauh dan saya sering saja kepenatan. Begitu juga ketika bersolat. Saya diberitahu seorang rakan, Kuliah Ekonomi mempunyai suraunya sendiri tapi disebabkan tidak tahu dan takut untuk meneroka, saya tetap bertekad bersolat di masjid. Sudahnya, setiap kali masuk ke kelas, saya dalam keadaan termengah-mengah.


Masjid UIA

Azman Hashim Complex

Pemandangan di dalam UIAM sentiasa membuatkan hati saya girang walaupun kadangkala saya sedikit keberatan untuk berjalan selama setengah jam dari Mahallah Asiah ke Kuliah Ekonomi. Namun Alhamdulillah, pemandangan yang cantik sedikit sebanyak memberikan ketenangan. Saya ingat lagi ketika Azman Hashim Complex masih lagi di dalam pembinaan. Saya dan teman sebilik, Ain telah pun menanam azam untuk menjadi di antara orang yang terawal untuk menjamu selera di sana ambil menikmati pemandangan air pancut dari sungai yang mengalir.

Tapi azam itu tidak tertunai, saya mendirikan rumah tangga dan kami masing-masing sibuk dengan komitmen. Walaupun saya yang berkahwin, komitmen Ain semakin bertambah. Kelab Inspire banyak mengambil tempat di dalam kehidupannya dan akhirnya azam kami terkubur begitu sahaja. Begitu juga Sarina dan Wawa, semakin susah untuk mencuri masa mereka, mahu melepas rindu dan berkongsi cerita pun perlu pada temujanji yang selalunya menerima maklum balas yang mengecewakan. (Ambil kesempatan untuk membebel pada teman sebilik :p)

Bagai tidak lengkap rasanya kalau menjadi pelajar UIAM tapi tidak menikmati pemandangan UIAM ketika waktu malam. UIAM paling cantik di malam hari. Saya ingat lagi ketika saya mengambil Komunikasi Perniagaan yang memerlukan saya menghadiri perbincangan hampir setiap minggu. Adakalanya perbincangan itu dilakukan di malam hari kerana jadual kelas yang mengekang. Suami yang setia menemani sehingga perbincangan selesai lebih kurang jam 11 malam, mengajak saya menghirup udara malam UIAM. Kami berjalan berpimpin tangan melihat pemandangan UIAM yang sangat-sangat cantik. Indah, seindah cinta yang sedang mekar di hati kami ketika itu. :)






Ketika sarat mengandungkan Zahra, saya berbisik perlahan sambil mengusap perut, "Sayang, di sinilah tempat Mama belajar dan di sini jugalah tempat Mama dan Abi bertemu'. Suami yang mendengar bisikan itu membalas, 'InsyaAllah, walaupun kita dah tua, kita tetap akan datang melihat UIAM'. Saya tersenyum, ya, walaupun saya telah menamatkan Ijazah, dan suami telah pun selesai PhD nya, kami tetap akan merindui UIAM. :)

Dan, ini bangunan yang paling saya rindui. Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan. Di sinilah 90% dari masa saya, diluangkan. Kelas-kelas yang perlu saya ikuti hampir kesemuanya berlangsung di bangunan ini. Bangunan lama yang banyak mendidik dan memberikan nostalgia indah buat saya.


Saya rindukan UIAM. Semakin hampir menjejak kaki, semakin galak debaran di dada. Ya Allah, jadikanlah saya insan yang senantiasa cintakan ilmu. Ameen :) Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.

p/s: Gambar ihsan En Google dan juga haydarmiziu.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...