Wednesday, February 1, 2012

Penyakit Hati

Salam

Semalam saya berkecil hati dengan sikap seorang teman yang melayan angkuhnya dan mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati saya. Baca sahaja statusnya di Facebook, hati saya membara marah. Jari jemari laju menaip komen balas, mahu menegur kasar tulisannya yang menyakitkan hati. Sebelum menghantar komen, saya meminta pendapat suami. Ini satu perkara wajib, yang selalu saya buat semenjak bergelar isteri. Saya tidak lagi sewenang-wenangnya menulis status atau komen yang serius tanpa kebenaran suami. Saya mahu dia tahu apa yang ditulis isterinya kerana dialah juga nanti yang akan menjawab di depan Illahi seandainya saya melebihi batas-batas yang tidak sepatutnya.

Suami tidak mengizinkan saya membuat komen tersebut walaupun saya beberapa kali memperbetulkannya supaya kelihatan lebih lembut menegur. Tetap juga suami bertegas, tidak membenarkan saya membuat sebarang komen ke atas kenyataannya. Air mata saya bergenang, seperti mahu menangis menahan sakit di hati. Saya mendiamkan diri lebih kurang setengah jam sebelum suami menjelaskan secara lembut mengapa saya perlu bersabar dan redha. Sebenarnya, tanpa penjelasan suami pun, saya sudah tahu saya perlu bersabar. Cumanya perasaan marah yang menguasai diri itu membuatkan saya mahu membalas perbuatannya ketika itu juga. Alhamdulillah, hati semakin tenang bila suami memurahkan senyumannya untuk saya, dia memujuk saya dengan begurau senda dan berbual-bual dengan saya. Malam itu saya tidur nyenyak, sakit di hati sikit pun tidak menyapa mimpi saya.

Awal pagi tadi saya menerima panggilan telefon dari orang yang sama menyakitkan hati saya. Hati saya berbelah bagi namun saya tekad untuk berbual dengannya ala kadar sahaja. Tapi bila dia memberitahu tentang masalah yang membelenggu dirinya, saya jadi kaget. Di antara rasa marah dan simpati, saya tersepit. Akhirnya saya mengalah dan menjadi pendengar setia kepada luahan hatinya. Bila mana pendapat dan nasihat saya diperlukan, saya berlaku adil dan memberikan pendapat/nasihat seikhlas mungkin.

Selesai sahaja memutuskan perbualan, saya melihat mata suami yang merenung ke arah saya. Panjang lebar saya menceritakan padanya tentang perasaan saya yang berbolak balik dan akhirnya saya memutuskan untuk mengabaikan perasaan sendiri. Air mata saya menitis. Suami memeluk memberi sokongan, perlahan saya mendengar dia memberitahu, 'Tak apa, apa yang awak buat tu betul. InsyaAllah, ada kebaikan untuk kita di mana-mana'. Dan kata-kata itu, menjadikan hati saya tenang dan jiwa saya terasa lapang.

Ya Allah, perbaikilah diri saya yang penuh dengan kelemahan ini. Hindarilah saya dari penyakit hati yang menjauhkan saya dari segala sikap terpuji. Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

2 comments:

  1. good girl dear. jom kite buang aje perasaan yg boleh merosakkan hati kite.

    p/s: rindu gile kt ko. xsbr nk jmpe nnt dh bukak sem. waaaa...dh la xjmpe ko since ko praktikal lg. hehe

    eehh..aku suka tgk tulisan "widad jannati" tu...sgt berbesar hati ok ko still kekalkan nama blog ko as widad jannati. satu penghargaan bg aku. idea sape la tu kn......??

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah, tengah berusaha untuk istiqamah sabar dan ikhlas dalam apa juga yg dilakukan..

      Idea spe ek? Hehehe. Yela2, credit to Niza la sbb bg nama tue. Aku suka nama Widad Janntai tue... :)

      Delete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...