Sunday, February 26, 2012

Iktikaf di Masjid

Salam

Saya semakin sibuk dengan tugasan. Semuanya perlu bermula dari awal supaya saya tidak terkocoh-kocoh di penghujung semester menyiapkan semuanya dalam satu masa. Begitu juga dengan latihan dan ulangkaji pelajaran, harus bermula dari sekarang. Taktik lama, "Esok quiz, hari ini gerak gempur" tidak boleh lagi diguna pakai.

Keadaan sedikit kelam kabut. Pagi hari meribut menyiapakn diri dan Zahra, kemudiannya menghantar Zahra ke rumah Mama dan memecut ke UIAM. Kelas selesai jam 1.00 tengahari dan saya cuba memenuhi mana-mana temujanji yang telah dibuat. Kalau jadual kosong, maka saya akan beriktikaf di masjid atau berteleku di dalam perpustakaan. Masa-masa sebegini perlu dihargai sebaiknya, masa inilah saya perlu fokus dengan setiap pembacaan dan pengiraan yang saya lakukan. Petangnya, lebih kurang 5 petang, kami menjemput Zahra dari rumah Mama dan pulang ke rumah dengan rasa penat yang amat. Tapi tugas Isteri dan Ibu tidak berhenti di situ sahaja. Malamnya saya menguruskan rumahtangga (mengemas, memasak, membasuh dan lain-lain) dan menguruskan Zahra (memandikan, memberi makan dan menidurkan). Selesai semua perkara, barulah saya boleh menelaah semula.

Kesibukan ini bertambah mencabar bila Zahra seolah-olah tidak mahu berpisah dengan saya. Sebolehnya dia mahu saya meluangkan masa bersamanya. Sehinggakan saya mahu ke toilet pun payah, dia menangis sehingga tersedu sedan. Pernah sekali saya membaca buku bersamanya, pening kepala saya dibuatnya bila Zahra duduk di atas buku sambil membulatkan mata meminta saya 'membaca' dia sahaja. Akhirnya saya akur, bila dia sudah melelapkan mata barulah saya mula mengulangkaji semula. Masa dia berjaga saya gunakan sepenuhnya untuk melepaskan rindu setelah seharian tidak berjumpa.

Baru-baru ini saya menemui cara baru untuk belajar bersama Zahra. Saya membawa Zahra ke masjid dan menghabiskan masa menelaah di sana sementara Zahra sibuk meneroka ruang masjid yang luas. Satu saja masalahnya, orang ramai yang ramah menyapa dan mencuit pipi Zahra menyebabkan dia selalu menjerit meminta perlindungan. Alhamdulillah, suasana lengang hari Sabtu dan Ahad memudahkan saya. Zahra bebas meneroka dan saya bebas Stado. (Ish3! :p). Semoga saya terus istiqamah belajar bersungguh-sungguh dan semoga kami istiqamah beriktikaf di masjid. Ameen.

Zahra, semakin lincah dan bijak!

Dapat hadiah stokin tapi ke mulut juga disuanya. -_-'

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...