Friday, January 13, 2012

Yang Terindah

Salam

Kebiasaannya jika meluahkan niat mahu berumahtangga mesti ramai yang akan bertanya tentang kesediaan kita memikul tanggungjawab. Ayat atau ucapan klise seperti, 'Jaga diri sendiri pun belum tentu, apatah lagi mahu menjaga orang lain'. Saya juga diterjah dengan persoalan sebegini suatu ketika dahulu. Ketika saya mula-mula memberitahu niat saya kepada teman dan keluarga. Malah di saat mengetahui pilihan hati saya, soalan menjadi bertambah panas dan menyakitkan hati. Ada yang memerli kelemahan saya tidak tahu memasak (saya pernah masak timun masak kicap -_-) dan ada juga yang tanpa sembunyi menyatakan perasaan yakin saya tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan fitrah perjuangan suami dan keluarga mertua.

Jujurnya saya hampir putus asa. Melangkah ke gerbang perkahwinan dengan deraian air mata membuatkan hati saya bengkak dan sakit. Suami terus meniupkan kata semangat, berkali-kali dia memberitahu saya, 'Hati itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Ar Rahman (Riwayat Tirmizi), kalau Allah mahu bila-bila masa Allah boleh membalik-balikkan hati manusia'. Saya lega mendengarnya buat seketika, bila ujian datang menjengah lagi, hati saya rusuh semula. Semuanya jadi tidak kena dan saya berfikir, adakah ini ujian sebelum memperolehi kebahagiaan atau ini adalah halangan kerana jodoh saya dan dia tidak ditentukan Tuhan.

Pernah kawan saya bertanya tentang hubungan yang dia rasakan terlalu pantas mengambil keputusan, baru sahaja berkenalan, sudah mahu hidup bersama. Saya menjawab dalam seribu satu rasa, 'Kalau tidak ke arah perkahwinan, ke mana lagi hubungan ini hendak di bawa'. Pengalaman pahit sebegini, benar-benar memberikan kemanisan bila dikenang. Betapa besungguhnya suami mahu memperisterikan saya. Betapa besar pengorbanannya menempuh liku-liku yang menyakitkan semata-mata untuk mengahwini seorang gadis biasa seperti saya. Tidak punya apa-apa, belum menamatkan pelajaran, masih belum bekerja dan yang paling menjadi isu tidak punya fikrah perjuangan.

Terlebih bicara pula saya, sebenarnya saya mahu berkongsi tentang kesedian saya dari segi tanggungjawab. Saya mendirikan rumahtangga dalam keadaan tidak bersedia, saya tidak tahu memasak dan masih samar-samar tentang realiti sebenar tanggungjawab seorang isteri. Jadinya di awal perkahwinan, suami memainkan peranan yang sangat besar. Awal perkahwinan memang agak berat untuk dilalui, lebih-lebih lagi bila sesi bulan madu berlalu dan kami mula berpindah ke rumah sendiri. Saya terasa impaknya memikul tanggungjawab dalam keadaan tidak bersedia. Rasa tertekan dan tidak tertanggung bebannya, emosi juga turut terganggu. Pernah kami bermasam muka kerana perkara ini beberapa kali. Setiap kali itu juga saya tahu semuanya berpunca dari saya. Komitmen yang saya berikan tidak cukup baik sebagai seorang isteri.

Hari berganti hari, saya cuba melakukan yang terbaik untuk rumahtangga yang dibina. Saya teringat cemuhan ramai pihak ketika saya mengambil keputusan untuk berkahwin, jadi bila memikirkan perkahwinan ini tidak akan berjaya dengan sikap saya yang sebegini, saya jadi gerun. Gerun memikirkan gelaran 'janda' dan gerun dengan sorakan orang ramai kerana akhirnya apa yang mereka katakan ternyata benar. Saya berusaha dan terus beruasaha.

Alhamdulillah, kini saya bertambah baik. Boleh memasak dan menguruskan rumahtangga walaupun saya akui tidak sempurna seperti isteri-isteri mithali yang lain tapi saya semakin baik. Ramai yang menganggap setiap orang hanya boleh memikul tanggungjawab setelah menerima tanggungajawab tersebut. Sebenarnya saya dari dulu lagi percaya, ada sesetengah orang yang Allah didik dengan meletakkan tanggungjawab di atas bahunya menyebabkan dia sedaya upaya menggalas tanggungjawab tersebut. Bersedia atau tidak, hakikat sebenar yang perlu ditekankan adalah kesanggupan untuk melakukan pengorbanan dan istiqamah dalam memperbaiki diri. Jadi, sanggupkah kita? Tepuk dada tanya selera. :)

Kenapa hari ini saya berbicara tentang kesediaan berumahtangga, malah rajin pula berkongsi kisah lama? Hari ini suami mengucapkan satu kata penghargaan yang membuatkan air mata saya menitis, dan saat saya diam dalam sendu kebahagiaan. Saya lihat mata suami berkaca, dia juga bagai tersentuh dengan perasaan saya. Saya mengenggam tangannya, menghargai setiap butir perkataan yang dituturkan, dan kami berkongsi senyuman penuh kebahagiaan. Ya Allah, kau kurniakanlah kammi syurgamu Ya Allah, dan jodohkanlah kami 'di sana' nanti buat selama-lamanya. Ameen.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...