Tuesday, November 1, 2011

Perkahwinan: Dosa Masa Lalu

Salam

Bila saya membaca semula post saya tentang Sebuah Perkahwinan, saya rasa ada tidak kena dengan statement "Jika cinta sebelum kahwin sudah dicemari, bagaimana mungkin cinta berdosa ini menyumbang kepada kebahagiaan?". Saya bimbang kenyataan ini akan diterjemahkan secara negatif kerana tidak ada huraian yang lebih jelas. Saya tidak mahu ada yang menyangka bahawa tidak ada lagi peluang bagi mereka yang sudah terlanjur kata dan tindakan. Tidak. Bukan begitu maksud saya, siapalah saya untuk menyatakan tidak ada peluang bagi kita semua manusia biasa yang sering alpa dan membuat dosa sedangkan Allah itu Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat.

Saya tidak bermaksud untuk menyatakan mereka yang bercinta sebelum kahwin akan dirundung masalah sepanjang masa. Siapa yang tidak pernah berdosa, saya juga dipenuhi dengan dosa dan kesilapan silam. Kunci kebahagiaan bukanlah terletak ditangan mereka yang tidak pernah melakukan dosa tapi terletak ditangan mereka yang sentiasa berdoa dan berusaha. Banyak kali juga saya diingatkan agar tidak hanya menangis mengenangkan kesilapan lalu, sebaliknya mengambil ianya sebagai iktibar dan cuba perbaiki diri menjadi lebih baik.


Tidak ada manusia yang secara berterusan baik ataupun berterusan kekal menjadi jahat. "Graf" kebaikkan akan sentiasa turun naik, kita yang mencorakkannya samada mahu berkelakuan baik atau sebaliknya. Saya ingat lagi seorang teman pernah memberitahu saya yang dia tidak menerima alasan belum menerima hidayah atau belum terbuka pintu hati. Katanya, setiap kali hati kita terdetik, "Eh, aku tak solat lagi ni" atau "Malulah nak keluar berdua-duaan", ini adalah hidayah ataupun cara Allah mengetuk pintu hati kita kepada kebaikan. Pilihan ditangan kita, mahu memilih untuk mengabaikan hati yang berdetik itu dan mengikut telunjuk syaitan atau beristighfar dan melakukan segala yang makruf.

Manusia tidak pernah terlepas dari membuat dosa, bezanya bagaimana kita menangani keterlanjuran kita. Bertaubat dan bertekad tidak mengulanginya atau buat tidak endah dan terus bergelumang dengan dosa. Begitu juga dengan keterlanjuran kita bercinta sebelum berkahwin, samada bergelumang dengan dosa bergayutan di telefon atau bergelumang dengan dosa memegang tangan dan berpeluk sakan, semuanya InsyaAllah diampunkan Allah jika kita bertaubat. Dengan syarat kita benar-benar menyesali dan bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan itu lagi. Masih ada jalan untuk kita semua, harapan untuk bahagia juga masih cerah. Bertaubat, berdoa, berusaha dan kemudiannya tawakal. InsyaAllah, kebahagiaan itu pasti ada.


Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Surah Az Zumar, Ayat 53

Andai nanti perkahwinan kita tetap juga dilanda badai, jangalah cepat melatah dengan menyatakan semuanya kerana dosa masa lalu semata-mata dan seolah-olah tidak ada jalan keluar. Perkahwinan mana yang senantiasa bahagia tanpa sebarang sengketa. Lagikan pula kita yang bergelar hamba, selayaknya kita sentiasa diuji dan Insyaallah, disetiap ujian itu ada kemanisan dan kebahagiaan.


"dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir".

Surah Yusuf, Ayat 87

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...