Friday, October 28, 2011

Sebuah Perkahwinan

Salam

Ketika ada masa, banyak post yang saya siapkan. In fact, ada yang saya jadualkan untuk di update secara automatik. Tak perlu saya online, blog saya dah diupdate. Tapi bila sudah tidak ada masa, berhari-hari blog menyepi.

Zahra semakin pandai bercakap, mulutnya sudah petah mengomel di dalam bahasa yang tidak difahami. Sudah mula mengiring mahu meniarap dan sudah pandai hisap jari. Susah betul menghalang dia dari menghisap jari. Habis hisap susu, mahu hisap jari, nak tidur pun nak hisap jari. Kalau boleh setiap masa mahu tangannya di mulut. Akibatnya saya tidak lagi memakaikan dia stokin tangan, mana tidaknya, habis lencun stokin tangan jadinya. Tak cukup dengan itu, Zahra sudah pandai mengamuk. Dia mahu saya menuruti cara mendodoikan dia. Kadang-kadang dia mahu tidur meniarap, kadang mahu mengiring dan kadang-kadang mahu terlentang sahaja. Pening juga kepala dibuatnya.

Bila bercerita pasal perkahwinan, anak dan keluarga, ramai yang tumpang bahagia dengan kebahagiaan yang saya miliki. Malah ada yang mengatakan saya bertuah kerana berkahwin muda, dikurniakan anak dan sebagainya. Saya tidak menafikan satu pun, malah saya mengakuinya. Ada juga yang berimpian mahu berumahtangga, seolah-olah pada pandangan mereka perkahwinan itu mudah kerana mengambil saya sebagai contoh. Memang saya bahagia dan merasa dirahmati dengan kehadiran suami dan anak di dalam hidup saya.

Pesan saya kepada mereka yang ingin berkahwin diluar sana. Tidak ada yang mudah dalam mencapai kebahagiaan, kebahagiaan tidak datang bergolek. Ianya perlu disulami dengan usaha, redha dan kesabaran. Dan seperti yang dikatakan seorang teman, jangan mencemari sesebuah hubungan dengan dosa yang muncah. Jika ada yang berpasangan, janganlah hubungan kalian dicemari dengan dosa-dosa maksiat seperti berpegangan tangan dan sebagainya. Tentu sahaja kalian mengharapkan rumah tangga yang kalian bina mendapat rahmat dari Allah kan? Mahu Allah mencampakkan kasih sayang yang tidak bertepi di hati isteri dan cinta yang tidak berbelah bahagi di jiwa suami. Jika cinta sebelum kahwin sudah dicemari bagaimana mungkin cinta berdosa ini menyumbang kepada kebahagiaan? Hati akan penuh syak dan ragu-ragu kepada pasangan, bimbang dia akan mengulangi dosanya dengan insan lain diluar sana.

Saya pernah diterjah dengan satu private message di Facebook. "Untunglah akak, kahwin muda and family restu. Tahu-tahu saja dah bahagia dengan anak dan suami". Tidak! Tidak ada istilah "tahu-tahu saja" dah bahagia sebenarnya. Banyak usaha dan pengorbanan yang perlu dilakukan. Kadang-kadang pening juga kepala saya bila ada rakan yang telah pun berkahwin mengadu masalah mereka kepada saya, bila diberi nasihat tidak diterima, hanya dibalas ringkas dengan mengatakan mudah bagi saya untuk memberi solusi itu dan ini kerana saya bertuah dari segala segi.

Saya hairan, bagaimana boleh mereka berfikir ada rumah tangga yang tidak dilanda badai. Saya manusia biasa, suami juga begitu. Mustahil kami tidak pernah bermasam muka dan bertelingkah. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Siapalah saya untuk memberi formula kebahagiaan rumah tangga. Usia perkahwinan baru mencapai setahun jagung, masih panjang lagi perjalanan kehidupan kami.

Dalam perkahwinan banyak perkara yang kita perlu bertoleransi. Semuanya perlu kepada pemikiran bersama. Setiap tindak tanduk dan keputusan yang ingin dibuat haruslah menyebelahi dan menguntungkan kita dan juga suami. Saya beri contoh mudah, kalau dulu semasa anak dara, apa sahaja yang kita suka kita akan masak. Tapi kini tidak lagi. Sikap mementingkan diri atau mengambil mudah dalam hal sebegini kecil pun akan memberi impak dalam rumah tangga. Seharusnya kita memasak makanan kegemaran suami dan juga kegemaran kita. Mungkin Sambal Sotong kesukaan suami dan Kangkung Goreng Belacan kegemaran isteri. Ada masanya juga kita hanya perlu mengangguk setuju bila suami menyatakan tentang pendapatnya yang bercanggah dengan kehendak kita. Mungkin juga pegangan kita selama ini perlu ditolak tepi gara-gara suami tidak menyetujuinya. Lebih baik beginikan daripada berkeras mempertahankan pandangan sehingga mengundang pergaduhan?

Sewaktu berada di dalam Kurus Perkahwinan, saya mendengar perkongsian seorang Penceramah tentang penceraian yang berlaku diantara suami dan isteri. Saya masih ingat lagi tentang satu kisah bagaimana pasangan suami isteri boleh berpisah dengan hanya satu alasan mudah. Sikap suami yang mengambil ringan tugas isteri telah memusnahkan segalanya. Pada beliau, kain pelikatnya yang ditinggalkan dihujung katil setiap hari tidak akan membebankan malah tidak akan menganggu rutin isteri. Setelah bertahun bersabar dengan sikap tak endah suami setiap kali isteri meminta beliau mengambil kain pelikatnya supaya diletakkan di bakul pakaian kotor, si isteri meminta cerai! Hanya kerana kain pelikat dan sikap tak endah.

Inilah perkahwinan. Setiap perincian memerlukan pengorbanan dan keredhaan. Suami atau isteri bukannya malaikat, mereka hanya manusia biasa yang tidak pernah terlepas daripada dosa. Seandainya mahu bahagia, seharusnya ada ruang di dalam hati yang diisi sepenuhnya dengan keredhaan. Kalau suami tidak romantik, kita redha kerana kita tahu suami juga sedang bertoleransi dengan kelemahan kita. Tidak pandai memasak atau suka membebel barangkali.

Namun..

Inilah juga perkahwinan. Keindahannya tidak terbayang. Mempunyai seseorang yang menyintai kita sepenuh jiwa, sanggup membahagi dua segala duka dan lara, mendulangkan setia dan menyajikan kejujuran. Bayangkan bagaimana dakapan hangat suami mampu meredakan segala kegundahan di hati dan menjadikan dunia ini sebuah perjalanan yang berseni. Dalam payah ada indah, dalam resah ada rahmah. Sungguh berseni.

Jangan pula selepas membaca entri ini ada yang menarik balik niat mereka untuk berkahwin. Perkahwinan boleh jadi indah dan boleh juga menjadikan kita sentiasa gundah. Kitalah yang mencorakkan perkahwinan itu. Mahu lakukan pengorbanan dan menerima kunjungan bahagia yang tak sudah, atau sentiasa merungut dan mencari kelemahan sehingga diri tersepit dalam kesakitan yang tidak bertepi.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...