Friday, April 13, 2012

Rancangan/Persahabatan Masa Hadapan

Salam.

Lama rasanya tidak mencoretkan sesuatu di sini. Saya sedang sibuk bergelumang dengan assignment yang serasanya selalu sahaja diusahakan tapi tak pernah berkesudahan. Kemudian kepenatan itu diselang seli pula dengan aktiviti menelaah buku untuk quiz yang dijadualkan tanpa henti. Selesai quiz subjek Islamic History, datang pula quiz Financial Management, selesai yang itu, datang pula yang lain. Datang dan pergi, silih berganti. Mengikut ingatan saya, semester inilah semester paling sibuk. Sibuk dengan pelbagai tanggungjawab yang sehabis boleh saya cuba melakukannya dengan baik. Ya, memang itu sahaja rungutan saya, sibuk, sibuk dan sibuk.

Saya tinggal satu semester panjang sahaja lagi untuk menamatkan pengajian saya. Pejam celik, pejam celik, 4 tahun sudah berlalu dan saya bakal meninggalkan UIAM tidak lama lagi. Ada 2 perasaan yang saling bergolak, perasaan gembira kerana akhirnya akan tamat juga pengajian ini (InsyaAllah!) dan perasaan sedih mahu meninggalkan UIAM, tempat di mana saya meluangkan paling banyak masa. Saya berkira-kira tentang halatuju saya selepas itu. Kalau diizinkan Allah, saya ingin benar menyambung pengajian saya ke peringkat Master. Sementara kudrat memikul banyak tanggungjawab dalam 1 masa masih ada dan sementara keinginan untuk menuntut ilmu masih membara.

Jika tidak diizinkan Allah, saya akan melangkah ke dunia kerjaya. Saya masih kelabu tentang yang ini, tidak tahu bidang apa yang patut saya ceburi. Mahu bekerja di pejabat dan menjadi golongan korporat atau mahu mendidik anak bangsa dan menjadi golongan akademik. Suami lebih suka saya berada di dalam linkungan yang kedua, lebih lawas ilmu dan lebih besar peluang untuk menyumbang katanya. Dia mahu saya menghasilkan novel-novel Islamik seperti yang sedang saya usahakan, dalam masa yang sama menerbitkan buku tentang Perbankan Islam dan ilmu-ilmu yang saya pelajari. Saya masih menimbang-nimbang, masih belum pasti dari arah mana saya mahu terjun ke dalam masyarakat.

Ini perihal rancangan masa depan. Lain pula fikiran saya tentang sahabat handai yang mencorak kehidupan saya di UIAM. Saya berfikir tentang silaturrahim persahabatan kami setelah perpisahan itu nanti. Risau sebenanrnya. Kalau mengikut apa yang saya alami dengan teman sebilik dulu, hubungan kami semakin renggang hampir terputus. Sebaik sahaja saya berpindah, tinggal bersama suami. 3 rakan yang lain turut terpisah, tinggal di bilik yang berlainan. Bila mana saya rasa seperti mahu melawati mereka, saya jadi buntu, ke bilik siapa harus saya singgah. Begitu juga dengan jadual mereka yang lebih 'ketat' berbanding saya. Susah benar mahu menyepakati waktu dan hari untuk bertemu. Kerisauan ini bercambah sehinggakan saya mencari-cari waktu untuk keluar beriadah bersama mereka. Moga-moga rancangan kami hari Sabtu nanti diperkenankan Allah SWT. Saya mahu hari itu menjadi memori indah yang mengikat kami semua. Walaupun jarang bertukar khabar berita, ingatan dan persahabatan tetap terpahat di dada. Walaupun jarak memisahkan jasad dari terus berjumpa, biarlah ukhuwah dan rasa cinta akan persahabatan ini terus bersatu dalam jiwa.

Saya mahu menjaga hubungan persahabatan, kerana persahabatan itu mencambahkan rasa kasih (rahmah), dan saya mahu merasai keberkatan dari perasaan kasih itu. Mahu beroleh keredhaan Allah dari usaha mengekalkan persahabatan itu. Biar fasa kehidupan bertukar, dari remaja menginjak dewasa, dari dewasa ke usia tua, persahabatan lama kekalkan dan persahabatan baru akan dialu-alukan. InsyaAllah! Ini harapan saya.


Apa pun yang Allah rencanakan untuk saya dan keluarga, saya mohon yang terbaik untuk kami. Begitu juga sahabat-sahabat yang pernah singgah dalam kehidupan ini. Walau tidak bertegur sapa atau bersua muka, saya doakan yang terbaik untuk kalian. Saya tidak mendendami sesiapa, kerana saya menyedari kesilapan dan kekurangan saya. Doanya semoga kita semua di dalam kerahmatan dan keredhaan Allah, menjadi insan yang berguna dan berbakti kepada masyarakat dan yang paling penting menyumbang kepada perjuangan Islam...dalam apa jua bidang yang diceburi.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.


p/s: InsyaAllah, di akhir semester nanti saya akan buat satu post untuk rakan-rakan. A special tribute to my precious friends! :)

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Friday, April 6, 2012

GM

Salam

Setelah beberapa lama saya menyimpan hajat untuk ke GM (setelah diberitahu seorang rakan), akhirnya saya sampai juga ke sana. Saya sebenarnya mahu mencari idea untuk pernigaan online yang saya jalankan. Alhamdulillah walaupun pulang dengan tangan kosong (kerana beberapa sebab yang tertentu), sekurang-kurangnya saya semakin jelas konsep dan kualiti produk yang saya mahu tawarkan.

Di sana saya banyak memerhati barangan yang dijual, ada diantaranya tersangat familiar dan ada juga yang membangkitkan perasaan saya untuk membelinya dan dijadikan barang jualan. Saya menahan perasaan, bersabar dan memikirkan strategi terbaik untuk perniagaan saya. Di sana juga saya ubah persepsi saya, saya memasang cita-cita yang lebih tinggi. Bukan kuantiti saya cari, tapi kualiti.




Lift nak ke Car Park

Biarpun banyak kedai yang menawarkan barangan dengan harga yang murah, tapi kualitinya kurang memuaskan hati. Saya akan berusaha lagi, mencari barangan yang saya rasakan lebih sesuai untuk dijadikan jualan, apabila pelanggan membelinya, pelanggan puas hati sebab produk itu tahan lama.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen

p/s: Bukan semua kedai tawarkan barang yang murah dan tak berkualiti. Ada beberapa kedai yang menjual barang yang cantik dan berkualiti tapi harganya tidaklah semurah yang diharapkan (tapi masih dalam kategori murah).

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Hampir Terkejut!

Salam

Ini entry yang sepatutnya saya siarkan 27 Mac yang lalu. Tapi kerana kesibukan, semuanya jadi tertunda. Terima kasih buat kawan rapat saya, Wan Mazaitul Hidayu kerana menghadiahkan coklat yang sangat comel ini. Tema warna pink dan purple, betul-betul kena dengan hati saya. Saya sedikit pun tidak menyangka akan menerima hadiah daripada sesiapa, lebih-lebih lagi tidak ada sebarang mesej ke handphone yang saya terima. Tidak seperti tahun-tahun yang lepas, berpusu-pusu mesej masuk. Sekarang ini hanya lambakan notification daripada facebook sahaja. Apa-apa pun saya tetap bersyukur atas ingatan dan kasih sayang semua. Terima kasih!

Kejutan yang hampir menjadi, datang dari keluarga saya. Asalnya mereka mahu membuat kejutan tapi kerana kedegilan dan keengganan saya untuk pergi ke rumah mama, terpaksalah mereka membocorkan rahsia. Bukan apa, saya ralat memikirkan kesibukan dan tanggungjawab saya sebagai student. Semunya bagai tidak cukup tangan dan tidak cukup masa. Jadi saya membuat keputusan untuk tidak pergi ke rumah mama tanpa sebarang urusan memandangkan setiap hari pun saya berjumpa dengan mama ketika menghantar Zahra ke sana. Melihat keengganan saya, mama menelefon dan memberitahu hasrat mereka. Alhamdulillah, walaupun sudah menginjak 25 tahun, perasaan saya masih dilayan. Oh, betapa saya rindukan untuk menjadi kebudak-budakan. Mahu menjadi manja seketika, sekadar merasai perasaan dilayan walaupun mengada-ngada :p (ngada-ngada kan?)




Terima kasih semua atas doa yang dikirmkan, atas ingatan dan kasih sayang yang dihulurkan. Semoga Allah membalas kesemuanya dengan kesihatan yang berpanjangan dan nikmat syurga yang selamanya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Tuesday, March 27, 2012

Happy Birthday

Salam

Alhamdulillah, hari ini genap umur saya 25 tahun. Tidak ada apa yang istimewa, bukan kerana tidak dirai teman dan mereka yang dekat dengan saya, tapi saya sendiri bagai merajuk, terasa seperti tidak mahu disambut. Kalau boleh mahu hari ini berlalu seperti biasa. Cukuplah dengan doa para teman dan kenalan agar saya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan berbahagia dunia dan akhirat.

Buat mereka yang menghantar pesanan di Facebook, terima kasih saya ucapkan. Semoga doa yang kalian kirimkan di dengari Allah SWT. InsyaAllah, ameen.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mmencari keredhaanNya. Ameen


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Saturday, March 24, 2012

Promosi 2 untuk RM100

Salam

Stylish Muslimah Shop sedang menjalankan promosi untuk handbag terpilih. 2 handbag untuk RM100 sahaja! Tunggu apa lagi, jangan lepaskan peluang yang menarik ini.






Untuk lebih banyak pilihan, klik sini. Cepat! Promosi tamat 31 Mac 2012.




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Thursday, March 22, 2012

Mengeji Musibah

Salam



Ramai yang menghamburkan rasa marah dengan hinaan dan kejian terhadap kes adik Nurfatihah dan tidak kurang juga pada ibu adik Dirang. Tidak salah berasa kecewa atau marah, tapi saya menyarankan kita semua agar lebih beradab dan beringat-ingat kerana setiap kata-kata itu akan diuji.

Kita semua juga bakal punya anak dan akan bergelar ibubapa. Siapa tahu Allah akan menguji kita dengan sikap anak yang ingkar atau terlalu mengikut perasaan. Siapa tahu kita akan diuji dengan kelalaian diri sendiri sehingga menyebabkan kecelakaan kepada anak kita? Saya percaya, kelalaian itu perkara biasa. Malah siapa di antara kita boleh menjamin dirinya tidak pernah terlalai ketika menjaga anak. Boleh jadi Allah menguji kita dengan kelalaian kecil (anak terjatuh ketika sedang belajar berjalan) yang membawa kepada impak yang besar (kecacatan atau kematian)? Ketika ini mahukah kita dimaki dan dikeji masyarakat sedangkan secara keseluruhannya kita mengusahakan yang terbaik untuk anak-anak?

Berpada-pada dalam menghamburkan rasa marah, fikirkanlah tentang kita sebagai hamba yang selayaknya suatu hari nanti akan diuji juga dengan pelbagai musibah. Dan yang lebih penting lagi, perasaan mereka yang ditimpa musibah. Tepuk dada, tanya iman, apakah kejian kita akan membawa perubahan atau sekadar menambah luka dan dosa? Mari sama-sama kita menjadikan dunia ini sebagai medan perjuangan kita di akhirat nanti. Mari bersama-sama berusaha mendidik anak-anak kita sebagai khalifah yang bakal kita tinggalkan untuk terus menyebarkan syariat Islam. Wallhua'lam.

Semoga Allah menenmpatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen




Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Saturday, March 17, 2012

Ringkas

Salam

Saya berhenti rehat seketika selepas penat menelaah untuk peperiksaan pertengahan semester yang akan bermula minggu hadapan. Selasa, Rabu dan 2 subjek pada hari Khamis. Saya sedikit gusar mahu menghadapi peperiksaan kali ini, peruntukan masa seperti tidak terbahagi dengan baik. Banyak diluangkan kepada urusan rumah tangga dan menjaga Zahra. Mengulangkaji dan membuat latihan hanya aktiviti sampingan yang memerlukan kepakaran saya mencuri masa.

Kalau diikutkan, hanya hening malam begini sahaja yang memungkinkan saya untuk fokus sebaiknya pada pelajaran dan latihan. Tapi waktu beginilah saya membutuhkan rehat setelah sepanjang hari berkejaran ke kelas dari kuliah ICT ke kuliah Ekonomi, kemudiannya mengendong tanggungjawab yang berat menjaga anak dan suami. Tapi waktu ini jugalah satu-satunya masa yang aman dan tenteram untuk saya mengulangkaji pelajaran. Sebetulnya saya rasa tidak cukup rehat, tidur lewat malam, bangun di pagi hari dan memikul semua bebanan di atas bahu yang lemah ini. Saya memanjatkan doa, memohon kekuatan dan semangat yang luar biasa.

Banyak yang mahu saya coretkan, saya terlalu rindukan blog ini. Kegatalan saya mahu menulis semakin membuak-buak namun dikekang kesuntukan masa. Ada ketika saya seperti menulis di dalam hati, mereka bait-bait yang indah untuk dijadikan puisi yang kononnya mahu diabdikan di dalam blog ini. Seperti biasa, semuanya sekadar satu angan, 24 jam tidak mencukupi untuk saya. Ditambah pula dihujung usia bumi ini, masa seakan berlalu dengan lebih pantas, membuatkan saya terkontang kanting, terkejar-kejar mahu menyiapkan kerja dalam satu masa.

Saya juga mahu menulis tentang azam baru yang sedang saya usahakan sebaik mungkin untuk istiqamah dalam melaksanakannya. Saya mahu bercerita panjang mengenainya, mahu menyelit juga tentang tuntutan istiqamah dalam setiap amalan yang kita lakukan. Lama rasanya tidak menulis tentang sesuatu yang ilmiah dan bermanfaat. Saya mahu kegatalan saya untuk menulis ini ada baiknya, bukan sekadar minat yang sia-sia dan tidak menghasilkan apa-apa. Biarlah sekecil zarah, saya tetap mahu merebut peluang untuk beroleh pahala, biarpun sekadar pahala mencetuskan persoalan di fikiran para pembaca.

Jumpa lagi di lain lembaran. Semoga kehidupan kita semakin baik hari ke hari. Buat mereka yang dalam diam mendoakan saya dan keluarga, balasan Allah saya doakan untuk anda semua. Tidak ada yang lebih bernilai dari doa kalian yang tulus itu, semoga Allah mendengarinya, dan mengurniakan rahmatNya yang luas kepada setiap tadahan tangan yang ikhlas.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

p/s: Untuk tatapan peminat Zahratul Iman. Gambar terbaru! :)







Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...