Monday, May 29, 2023

Panic Attack

Salam
.
Lama sudah tidak berkongsi cerita di blog ini. Banyak perkara yang terjadi dan kalau masa itu menyebelahi saya, tentu saja saya mahu coretkan semuanya di sini. Bukan apa, inilah satu-satunya tempat yang saya coretkan rasa hati yang lebih privasi. Di Facebook dan Instagram semuanya lebih bersesuaian dengan bacaan umum. Di blog saya lebih meluah perasaan. 
.
Baru-baru ini, emosi saya diuji dengan sangat hebat. Belum pernah saya alami perkara sebegini. Sewaktu kehidupan saya tenang, saya diserang panic attack yang menyebabkan saya tidak boleh bernafas. Ianya teramatlah menakutkan. Ketakutan yang tidak pernah saya alami sebelum ini. 
.
Al kisahnya selesai bersembang, saya masuk ke bilik air. Mandi dan menyiapkan diri untuk Maghrib. Sedang air laju menjirus tubuh, tiba-tiba datang satu bayangan  diri sendiri yang sedang lemas di dalam air. Sepertinya saya jatuh ke dalam laut dalam, gelap gelita, tiada yang kelihatan. Saya tidak dapat membuka mata dan tidak juga dapat bernafas kerana sedang lemas. Dunia sebenar seakan semakin hilang, tenggelam seperti mana saya yang sedang kelemasan. Saya tidak dapat melihat apa-apa dan tidak juga dapat menarik nafas, semuanya menjadi gelap dan menyesakkan. Saya sedaya upaya cuba menyelamatkan diri, saya menggapai-gapai dan akhirnya tangan saya tersentuh dinding bilik air dan kemudian barulah saya terdengar bunyi air dari pancuran hujan di bilik mandi. Walaupun saya semakin sedar dengan realiti, saya masih gagal membuka mata. Saya cuba tenangkan diri dan membisikkan berkali-kali kepada diri sendiri yang saya berada dalam bilik air. Laut, kegelapan dan ketiadaan udara yang saya alami ini semuanya khayalan semata. Akhirnya saya dapat membuka mata dan dapat bernafas semula. Saya tarik nafas kuat, sakit. Badan saya mengigil ketakutan. Dengan tergesa-gesa saya mencapai tuala dan berlari ke arah suami, meminta dia memeluk tubuh saya sekuatnya. Saya mengigil dan kesejukan. Air mata turun laju. Allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar. Saya tidak pernah mengalami kejadian seperti ini. Semua seperti benar-benar terjadi, susah saya mahu memisahkan bayangan tadi dengan realiti. Anak-anak mengerumuni dan suami meminta saya beristighfar. Setelah beberapa ketika barulah saya dapat mengatur nafas dengan baik.
.
Walaupun saya sudah menjalani kehidupan seperti sediakala, rasa takut itu masih menghantui. Saya mandi dengan pintu bilik air sedikit terbuka. Sebolehnya saya memastikan saya peka dengan keadaan sekeliling sewaktu saya mandi. Bimbang saat air menjirus tubuh dan saya perlu menutup mata, bayangan tadi kembali menjengah. Semuanya agak terkawal sehinggalah suami memberitahu yang dia perlu outstation ke Kuala Kangsar. Saya jadi panik semula, terbayang-bayang kenderaan kami kemalangan dan tercampak masuk ke Sungai Perak. Suami yang pandai berenang terlebih dahulu menyelamatkan bayi Naurah dan saya mati kelemasan di dalam kereta. Ya, sebegitu sekali bayangan kematian saya menghantui dan kali ini lebih dahsyat lagi kerana saya tidak perlu pun ke bilik air. Semuanya datang bila-bila masa sahaja. Pantang rumah sunyi atau saya berehat, bayangan tersebut menjengah. Ibarat seperti bayangan tersebut berada di sebalik belukar dan setiap kali saya berdiam diri atau berada di tempat sunyi, ia keluar dari belukar tersebut dan menghantui saya. Tambah buruk, bayangan tersebut semakin hari semakin jelas. 
.
Saya memanjatkan doa kepada Allah SWT. Saya tadahkan doa, merintih dan menangis kepada Allah. Panjangkanlah umur saya! Itu doa saya ketika itu. Saya merasakan sedang diberi petunjuk dari Allah yang kematian saya semakin mendekat. 
.
Akhirnya hari yang saya takuti tiba. Bertolaklah kami ke Kuala Kangsar. Anak-anak besar (Zahra, Wardah, Haris dan Rauhah) saya tinggalkan pada Mama di Gombak. Dahi mereka saya kucup dengan kasih sayang yang sangat dalam. Sedih mencengkam hati, takutkan mati ini juga datang dengan rasa terkilan tidak dapat menjaga dan membesarkan mereka. Dengan berat hati dan penuh ketakutan saya bertolak ke Kuala Kangsar. Sarat di dada saya tanggung seorang diri sehinggalah sewaktu kami tiba di Ipoh dan Sungai Perak semakin kelihatan. Waktu itu saya tidak lagi dapat mengawal perasaan, air mata mula bertakung dan rasa takut semakin menggunung. Wajah Naurah saya renung dengan rasa sedih yang teramat sangat. Ya Allah, bayi ini akan membesar tanpa kasih sayang seorang Ibu. Kesedihan saya semakin menjadi-jadi. Saya berzikir tanpa henti dengan harapan mahu mengawal perasaan tersebut. Bahu kanan dan kiri mulai tegang dan mengakibatkan rasa sakit. Melihatkan keadaan saya suami bertanya dan saya luahkan semuanya pada dia. Panjang nasihat suami. Beberapa ayat Qura juga dia bacakan agar dapat yakinkan saya bahawa semua ini hanyalah mainan syaitan sahaja. Dan sepanjang perjalanan itu, dia mengenggam tangan saya dan kami zikir bersama-sama. Beberapa kali juga suami memberitahu dia akan membantu saya menempuhi perjalanan ini. Dia akan cuba sedaya upaya bersama dengan saya agar saya tidak keseorangan. Saya juga memohon kepadanya agar mendoakan saya dan dia meyakinkan bahawa nama saya tidak pernah lekang dari tadahan doanya. Alhamdulillah semuanya semakin tenang dan terkawal.
.
Beberapa hari berlalu dan keadaan semakin baik walaupun kadang-kadang saya terasa seperti ada bayangan yang sedang menelusuri belukar, mahu menghantui saya. Doa dan zikir membantu saya kembali tenang. Suami sudah mula ke tempat kerja tapi alhamdulillah hiruk pikuk anak-anak yang sedang cuti sekolah banyak membantu mengalihkan perhatian. 
.
Saya masih lagi belum putus berdoa kepada Allah agar semua ini berlalu. Ampunkanlah dosa-dosa saya Ya Allah! Kurniakan saya hati yang tenang dan lapang, panjangkan umur dan berikan saya Khusnul Khatimah. Mudah-mudahan dengan rahmat Allah, saya dikurniakan kebaikan dunia dan akhirat. Dan jika ada yang membaca blog ini, selitkan saya di dalam doa kalian,  kawan-kawan yang berdoa fi zohril ghaib.
.
.
.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...