Kalau dikenangkan zaman kanak-kanak dulu, mesti rasa mahu tersenyum lebar sampai ke telinga. Ada saja cerita kelakar yang membuatkan saya ketawa. Bukan apa, sikap saya yang lurus bendul memang melucukan, ditambah pula waktu dulu loghat Kelantan saya masih pekat. Teringat sewaktu di darjah 1 Anggerik, Cikgu Dzolhairi mengadakan kuiz (lebih kepada teka teki sebenarnya) bagi mengisi masa yang masih berbaki. Kelas dibahagikan kepada 4 kumpulan, dan bagi setiap jawapan yang betul markah akan diberi. Bersungguh-sungguh la kami semua memerah kepala mahu memberikan jawapan yang betul supaya kumpulan kami menang walhal tidak ada hadiah pun yang ditawarkan. Tiba di peringkat akhir kuiz, kumpulan saya dan kumpulan B (kalau tak silap) seri, jadi soalan penentu diberikan. Soalan Cikgu Dzolhairi berbunyi, "Buah apakah yang muda hijau, tua coklat tapi di dalam sentiasa putih?". Macam-macam jawapan yang diterima, lama juga kami memikirkan soalan itu sehinggalah saya mengankat tangan dan dengan lantang menjawab, "Nyor!".
Cikgu Dzolhairi mengangguk tanda betul dan menulis di papan hitam, "Buah Kelapa". Apa lagi, satu kelas tidak puas hati dengan sikap Cikgu Dzolhairi, mana tidaknya, saya jawab 'Nyor' tapi Cikgu Dzolhairi beri markah dan menulis jawapan sebagai Kelapa. Penat cikgu menjelaskan tapi semangat kanak-kanak, tetap juga Kumpulan B tidak berpuas hati, mereka mahu menang. Akibatnya, terpaksa la kuiz itu bersambung esok hari.
Kisah lebih kurang sama tapi terjadi sewaktu saya di Tingkatan 3. Saya sepenuhnya sudah bercakap KL sehinggakan ada kawan-kawan yang sibuk memberitahu saya tidak langsung berbunyi Kelantan (padahal dulu pekat Kelantan!). Tapi hakikatnya, walaupun sudah fasih berbahasa KL, ada beberapa perkataan yang masih saya tidak tahu. Waktu itu, kawan saya bertanya kenapa saya tidak boleh hadir aktiviti KRS yang akan diadakan hujung minggu nanti. Saya menjawab simple tanpa berfikir panjang, "Atuk saya nak buat sugho, so kena balik kampung". Kawan saya pelik, dia bertanya lanjut. Barulah waktu itu saya terpinga-pinga, apa sebenanrnya nama sugho di KL ini. Saya meng-KL-kan sugho dengan menjawab sughe. Kawan saya bertambah pelik dan saya semakin buntu untuk memahamkan dia. Akhirnya saya semakin meng-KL-kan perkataan sugho menjadi Surau. Dan kawan saya menjawab geram, "Oh surau. Cakap la dari awal, ini tidak. Sughe, sughe!", sambil buat muka yang agak masam.
Balik saja dirumah terus saya bertanya mama, apa sebenarnya yang bakal atuk saya buat hujung minggu ini. Mama memberi jawapan seperti mana saya memberi jawapan kepada kawan saya. Tidak berpuas hati dengan jawapan mama, saya bertanya lebih lanjut, "Sugho orang KL panggil apa?". Mama menjawab ringkas, "Oh, Bubur Assyura". Berbeza benar surau dan bubur assyura. Oleh kerana malu, sampai sekarang saya masih belum membetulkan fakta itu kepada kawan saya. -_-'
Ini cerita tentang bahasa, tentang makan lain pula ceritanya. Kalau masih ingat (sekarang pun masih ada lagi) asikrim kon 50sen untuk 1 scoop dan RM1 untuk 2 scoop, dulu setiap kali habis sekolah mesti saya makan aiskrim ini. Tak pernah terlepas. Memang dah jadi favorite. Tapi yang peliknya hujung kon aiskrim tu mesti akan dibuang sebab kawan-kawan bagitahu ada babi di hujung kon tersebut. Saya yang innocent dan tidak tahu menahu selalu membazir dan membuang hujung kon tersebut. Tak mahu makan babi kononnya. Tapi bila difikirkan kembali, kalau betul ada babi tentulah dari awal lagi tak boleh makan kon aiskrim tu. Apa la saya ni. -_-'
Mesti tertanya-tanya kan kenapa saya tiba-tiba mengimbas kenangan lama. Sebenarnya kepulangan saya ke Terengganu minggu lepas banyak mengimbau kenangan persekolahan bila suami saya membeli Satay Ikan dan Sagong. Memang saya betul-betul teruja waktu tu. Bertahun-tahun lamanya saya tak makan makanan favourite time sekolah dulu. Gembira betul saya, bersungguh-sungguh saya makan. Tak boleh suap ke mulut sebab memegang anak, suami suapkan. Baik hati sungguh berkongsi kenangan sekolah dengan saya.
Sagong. (Kelapa goreng dan gula)
Suami semangat makan Sagong! :)
Semog Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.
p/s: Tak sempat tangkap gambar Satay Ikan, dah habis dimakan. :p
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)