Wednesday, November 30, 2011

Dakwah

Salam

Tuntutan Berdakwah


Dengar saja perkataan dakwah ramai yang rasa takut, risau dikatakan poyo dan tak mahu tunjuk alim walhal berdakwah adalah suatu tuntutan yang amat ditekankan di dalam Islam. Tuntutan yang bukan hanya menjurus kepada mereka yang berkopiah dan berjanggut tapi kepada semua yang memeluk agama Islam. Matlamat dakwah adalah untuk memastikan perkara-perkara yang diredhai Allah (ma'ruf) tersebar luas dan perkara-perkara yang terkeji (munkar) dapat dihapuskan

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُون َ

Dan hendaklah ada di kalangan kamu suatu ummah (kumpulan) yang menyeru kepada kebaikan. Dan memerintahkan kepada ma'aruf serta mencegah dari kemungkaran. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Surah Ali Imran, Ayat 104

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُونوا أَنصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ

Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu pembantu-pembantu agama Allah, sepertimana yang diucapkan oleh Isa putera Maryam kepada pengikut-pengikutnya yang setia, "Siapakah pembantu-pembantuku di jalan Allah?". Lalu berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia: "Kamilah pembantu agama Allah".

Surah As-Saff, Ayat 14

Ujian Berdakwah

Dakwah atau kegiatan yang bersifat menyeru kepada kebaikkan, tidak kira dalam bentuk percakapan atau perbuatan ini sebenarnya agak payah untuk dilakukan. Kalau tidak kerana hati yang cekal dan jiwa yang tabah, tentu sahaja ramai yang berputus asa dan memandang sepi kepada tuntutan amar ma'ruf nahi munkar. Kadangkala hati saya sendiri terdetik, "Tak mengapa ke mahu menulis status di Facebook seperti ini? Tak poyo ke?", "Boleh ke teguran tentang isu ini dibuat? Saya pun pernah buat silap". Perasaan seperti ini selalu merencatkan semangat mahu memanggil ke arah kebaikkan dan mahu menegah kepada kemungkaran. Bertambah berat lagi bila kebelakangan ini, komen atau status saya di dalam Facebook selalu disalah tafsirkan. Nasihat dan pendapat yang saya utarakan dikatakan menyindir, bersifat bongkak dan perasan bagus. Susah hati juga saya dibuatnya, lama saya berfikir bagaimana untuk mengatasi masalah ini. Tapi bila dicuba alternatif demi alternatif, perkara sama tetap berlaku. Kata begini menyinggung A, kata begitu menyinggung B.

Lama kelamaan saya membuat keputusan untuk tidak mempedulikan semuanya. Pedulikan bisikan syaitan yang mahu menghentikan usaha dakwah dan pedulikan tohmahan yang dilempar manusia. Syaitan selalu menusup ke dalam hati manusia dengan cara yang halus. Kita kononnya tidak mahu hipokrit, akhirnya niat mahu melakukan solat sunat Tahyatul Masjid kita batalkan, semata-mata tidak mahu menunjuk alim. Lihat betapa halusnya cara syaitan berbisik di hati kita, kita jadi terhindar dari melakukan amalan ma'ruf kerana kononnya mahu menghindar dari yang munkar. Begitu juga bila kita mendiamkan diri melihat kesilapan para teman, kita biarkan mereka terus terlalai dengan alasan kita juga tidak pernah terlepas dari dosa. Kalau beginilah pemikiran kita, tidak ada sesiapa di atas dunia ini yang layak memberi nasihat kerana kita semua bukan maksum.

Dakwah Serong

Saya tidak menafikan, kesilapan sesetengah pihak memang melencongkan hati mereka yang sebenarnya semakin condong kepada Islam. Saya sendiri pernah mengalami pengalaman seperti ini. Saya ingat lagi ketika mana saya meletakkan sekeping gambar di dalam Facebook. Gambar yang pada niat asalnya mahu berkongsi kegembiraan berbulan madu bersama suami. Saya akui, silap saya kerana leka dengan keadaan gambar tersebut. Gambar saya dan suami duduk di tepi pantai, tapi malangnya kaki saya tidak memakai stokin. Dan ya, gambar itu dikomen tanpa selindung, tanpa perlu menghormati status suami saya sebagai seorang Ustaz dan tanpa perlu memikirkan perasaan saya. Jujurnya, saya amat kecewa dengan teguran seperti ini. Pada saya seharusnya dia menegur saya secara rahsia kerana saya bukanlah sengaja melakukan kesilapan itu dan tentu saja, jika suami saya perasan tentang aurat yang saya dedahkan, dia tidak akan mengizinkan gambar itu disiarkan.

Tugas dakwah itu bergantung kepada kemampuan dan kebijaksanaan kita serta boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Tak perlu sebenarnya kita hentam kromo kerana mahu membetulkan sesuatu perkara. susah untuk saya melupakan rasanya apabila perasaan saya 'dibunuh' seorang teman tatkala saya berkongsi kegembiraan menerima hadiah dari ayah mertua. Tanpa berselindung atau menjaga aib, dia mengatakan pemberian makanan itu haram. Mungkin benar katanya dan mungkin juga tidak. Tapi sekiranya benar sekalipun, bolehkah teguran itu dibuat dengan boleh dibaca dihadapan orang ramai? Apa kata orang ramai bila mengetahui ayah mertua saya menghadiahkan saya sesuatu yang haram?

Dakwah secara melulu tanpa memikirkan pendekatan hikmah sebenarnya mendatangkan mudarat yang lebih besar. Hati yang asalnya neutral ataupun lebih berat kepada Islam boleh jadi tersasar dari landasan kerana berkecil hati dengan cara dakwah yang semborono. Seharusnya dakwah dilakukan dengan penuh hemat dan hikmah kerana kita mahu objektif kepada dakwah itu tersampai dengan baik dan meresap ke dalam diri mereka yang didakwah. Sebagai pendakwah tak seharusnya kita merasa sombong atau terlampau tegas dalam berdakwah. Setiap orang mempunyai perwatakan yang berbeza dan cara penerimaan yang tidak serupa. Sewajarnya setiap pendakwah mengambil langkah inisiatif dengan mengambil tahu sifat masyarakat yang ingin didekati agar dakwah dapat disampaikan dengan efektif. Dakwah itu hendaklah dilangsungkan dengan penuh kebijaksanaan (berhikmah) agar dakwah yang dibawa menepati sasaran dan kehendak ummah demi menjamin tertegaknya agama Allah di muka bumi ini, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

"Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah, dan nasihat-nasihat yang baik-baik,dan bertukar fikiranlah dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang mengetahui siapa yang terpimpin."

Surah An-Nahl, Ayat125

Menghalang Dakwah Dari Tersebar

Menyentuh pada sensitiviti masyarakat setempat, saya selalu melihat orang sekeliling saya kurang terbuka dalam menerima dan memberi teguran. Kadang-kadang sensitif melampau ini menghalang dakwah dari berjalan dengan lancar. Mungkin bukan niat kita mahu menghalang penyebaran kebaikan, tapi sikap kita yang takut tidak bertempat dan berhati-hati tak tentu pasal sedikit sebanyak telah menghalang aktiviti dakwah. Saya setuju yang kita perlu beringat-ingat ketika berpesan kerana setiap kata-kata kita akan menjadi ujian ke atas kita. Tapi janganlah sampai kita menegah diri kita dari menegur maksiat yang berleluasa kerana takut diuji. Contohnya kerana takut diuji dengan perasaan mahu bercinta, kita mendiamkan saja teman sebilik keluar berdua-dua dengan 'buayafriend'nya di tengah malam. Ada juga sesetengah masyarakat yang tanpa segan silu menegur mereka yang menyampaikan dakwah berbanding yang melakukan maksiat. Pendakwah itu dituduh sombong dan tidak bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan kepadanya sedangkan mereka yang melakukan maksiat dibiarkan sahaja. Sudahlah kita tidak menjalankan tanggungjawab kita, bila orang lain menjalankan tanggungjawab mereka, kita menghalangnya pula. Astagfirullah.

Cuba difikirkan kembali, sombongkah seseorang itu bila dia menegur mereka yang tidak bertudung supaya menutup aurat? Betulkah tuduhan kita yang mereka ini sombong kerana dikurniakan hidayah daripada Allah? Betulkah tingkah laku mereka yang menegur itu menunjukkan yang mereka tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Keliru saya sebenarnya, yang halal disusah-susahkan, yang haram pula yang disenang-senangkan.

Menjauhi Dakwah

Tatkala ditegur, ramai yang memberi komen seperti belum menerima hidayah atau belum terbuka hati. Mari kita renungkan bersama, agak-agaknya ketika kita bakal dimasukkan ke dalam api neraka, bolehkah kita memohon perlepasan dari Allah dengan memberi alasan kita tidak mahu menjadi hipokrit dan masih belum menerima hidayah? Serasanya, Allah akan terimakah alasan ini? Mudah saja kita beralasan, setiap kali diajak kepada kebaikkan kita menjawab hati belum terbuka. Pernahkah anda mengalami situasi di mana hati anda berdetik untuk berubah ke arah kebaikkan? Ketika inilah hati anda diketuk Allah SWT. Contohnya tatkala kita mahu keluar dari rumah, maka Allah pun mengetuk pintu hati kita, "Rasa macam baju ini seksi sangat pula. Tukarlah". Dan dalam masa yang sama, syaitan laknatullah berbisik halus, "Tapi dah lambat ni, lagipun susah la nak tukar, nak kena gosok baju lain lagi. Pakai je.". Akhirnya kita pun menyahut seruan syaitan dan berselindung disebalik alasan hati belum terbuka sedangkan kita telah menutup pintu hati serapat-rapatnya.

Sikap seperti ini sebenarnya secara diam-diam telah menjadi barah dalam kehidupan seharian kita. Sikap beginilah yang menyebabkan kita menerima maksiat dan dosa sebagai sesuatu yang biasa. Kalau melihat pasangan yang mengambil kesempatan berpelukan di dalam kesesakan keretapi kita rasa biasa saja. Tidak ada apa yang perlu dipelikkan, pemandangan biasa lakonan warga kota. Sebaliknya kita lebih pelik melihat ustaz dan ustazah keluar berjalan-jalan membawa anak-anak ke MidValley atau OneUtama, hingga terteleng kepala kita memerhati. "Pakai kopiah dan tudung labuh kat shopping complex?".

Mengehadkan Dakwah

Ini satu lagi isu yang suka untuk saya sentuh, tapi bukanlah saya menentang sepenuhnya tentang pemikiran yang sebegini cumanya saya mahu melontarkan sedikit buah fikiran. Sudah menjadi kebiasaan sebenarnya kalau kita dengar setiap orang yang berpendidikan agama hanya mahu mendirikan rumah tangga dengan mereka yang punya fikrah sahaja. Dulu saya berkecil hati benar dengan statement seperti ini, macamlah kita yang di'luar' fikrah ini akan sentiasa begini, tidak akan berubah ke arah kebaikan sampai mati. Tapi bila mendengar penjelasan suami dan pendapat teman-temannya saya boleh terima sedikit demi sedikit walaupun tidak sepenuhnya. Berbalik kepada isu asal, alasan mereka mudah, tidak mahu membazir masa mendidik isteri sedangkan lebih ramai masyarakat yang perlu dididik. Saya membantah dengan memberitahu suami, sambil didik isteri boleh juga didik orang lain. Betul, tetapi fokus akan berkurangan dan tumpuan akan lebih pada isteri. Saya menerima alasan ini tapi sekadar mahu mencetuskan pemikiran. Andai kita berkahwin dengan isteri yang sudah punya fikrah, adakah isteri tidak memerlukan didikan daripada kita?. Dari sudut mana sebenarnya yang kita rasa membazir waktu mendidik isteri sedangkan isteri itu tulang belakang institusi kekeluargaan. Isteri dan ibu yang solehah akan menghasilkan keluarga yang berpendidikan dan berjuang kepada agama Allah. Keluarga yang baik akan menjadi kelompok besar yang membentuk masyarakat. Jadi kesimpulannya, mendidik isteri adalah seperti memperbaiki dan mendidik masyarakat dari akar umbinya. Wallahua'lam.

Satu lagi fenomena mengehadkan dakwah ini berlaku di kalangan para pelajar. Betul, jika mahu mengenali seseorang maka lihat pada insan yang mereka dampingi. Saya setuju dengan pendapat ini tapi seharusnya ia tidak dijadikan alasan sehingga kita tidak bertegur sapa dengan 'golongan' yang lain. Kerana memakai tudung labuh, kita menjadi malu untuk berkawan dengan mereka yang bertudung ala kadar. Alasannya tidak mahu terjebak dengan kancah bertudung ala kadar itu. Akibatnya, dakwah hanya berputar dikalangan mereka yang tahu dan sudah terlalu tahu. Mereka yang tidak tahu menahu kekal tidak tahu. Mahu mendekati golongan 'suci', mereka segan dan malu, kalau ditunggu sahaja mereka disapa, alamatnya selama-lama pun tidak tahu. Kenapa mahu menjadi lalang yang mengikut saja arah tiupan angin, jadilah seperti ikan yang berenang di dalam lautan yang luas. Biarpun air laut itu masin, isi ikan tidak pernah berubah menjadi masin.

Ikhlaskan niat dan berdoalah kepada Allah agar pendekatan yang kita ambil ini memberi kebaikan pada semua dan urusan dakwah kita dipermudahkan. Andai rasa diri terlalu lemah untuk berdepan dengan segala godaan duniawi yang sememangnya mengasyikkan, maka lakukannya dengan bersempadan. jangan terlalu didampingi sehingga kita hanyut sama tapi jangan pula terlalu dihindari sehingga membiarkan mereka hanyut semuanya. Cukuplah secara sederhana, berjumpa sekali sekala dan menghantar peringatan semampunya.

Akhir Kata

Saya menulis dengan niat mahu penulisan ini menjadi peringatan buat semua pembaca dan saya terutamanya. Mahu penulisan ini membuatkan kita berfikir lebih kritis dan terbuka, sesuai mengikut peredaran zaman dan realiti masyarakat tetapi masih berlandaskan Al Quran dan Sunnah. Andai ada silap dan salah, maka saya dahulukan dengan kata maaf.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.

Rujukan:

  1. http://izzahtulislam.blogspot.com/2009/10/dalil-tuntutan-berdakwah-secara.html
  2. http://syumuldeen.blogspot.com/2011/05/tuntutan-berdakwah.html
  3. http://nurjeehan.hadithuna.com/2007/08/dakwah-doa-beri-kekuatan-pertahan-hidayah/
  4. http://saifulislam.com/?p=5031
  5. http://halaqah.net/v10/index.php?page=581
  6. http://www.scribd.com/doc/57220097/80/TUNTUTAN-DAN-KEPENTINGAN-DAKWAH



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...