Susah sekarang ini saya nak mencari masa nak menulis di blog. Anak-anak yang semakin menuntut perhatian dan sememangnya perlu diberi perhatian, ditambah pula dengan keadaan saya selalunya penat tidak bertenaga. Sekalipun anak-anak itu saya usahakan tidur sekaligus (semua tidur dalam 1 masa), saya tetap tidak dapat menggunakan waktu itu untuk menulis. Kebanyakan masa, ketika mereka tidurlah saya juga tidur dan berehat. Susah nak menjelaskan bagaimana penat mengandung 4 tahun berturut-turut ni. Serasanya memang tak ada orang yang akan faham bagaimana rasanya. Siapa yang faham, bangun tidur, mandi dan tiba-tiba kena duduk diam semula kerana keletihan. Eh, kau penat sebab apa? Mandi ke? Bukankah sukar difahami kepenatan itu..
Apa-apa pun syukur alhamdulillah, Allah hadirkan suami yang terbaik untuk saya. Yang sentiasa bersedia untuk on call bila terpaksa bekorban untuk saya dan anak-anak. Bangun sahaja tidur, dialah yang mengemas rumah, menyediakan sarapan, mempersiapkan anak-nak, menjemur dan membasuh baju sebelum dia kemudiannya bergegas menyiapkan diri untuk bekerja. Semua ini selalunya selesai pada waktu tengah hari, bermakna tengah hari barulah bermula kehidupan dia sebagai suami pula (sebelum ini seperti isteri dan ibu). Tengah hari itulah dia keluar mencari rezeki dan menulis thesis PhD nya yang masih berbaki. Itu kalau saya tidak menganggunya dengan SMS berbentuk rayuan mahu dia pulang kerana saya keletihan menjaga anak atau sakit-sakit badan tidak memasal. Dia akan pulang setelah membalas SMS saya dengan kata-kata yang baik dan menyentuh hati. Memujuk saya agar tidak susah hati, ini ujian kita bersama dan apa yang terjadi bukanlah salah siapa. Terharu kan?
Melalui anak-anak dan suami lah saya dapat merasakan betapa besarnya rahmat Allah. Rahmat Allah yang sampai kepada manusia hina seperti saya. Selalu sahaja leka dan bergelumang dengan dosa tapi Allah tetap juga menyampaikan rahmatNya. Kasih sayang dan kebahagiaan yang saya perolehi dari suami dan anak-anak. Terima kasih Allah. Tetapkanlah hati kami di jalanMu, berikanlah kami khusnul khatimah dan temukanlah kami semula di surgaMu. Ameen.
p/s: Rasa macam tiba-tiba jer post ni berakhir? Maaflah, tiba-tiba jer penat. -_-'
No comments:
Post a Comment
Feel free to leave words. :)