Sunday, October 9, 2011

Kisah Rambang

Salam

Kesihatan

Termasuk hari ini, sudah 7 hari saya demam. Suhu badan semakin baik tetapi saya semakin kehilangan suara malah tidur malam juga agak terganggu kerana batuk yang berterusan. Bertambah menyayat hati, bila Zahra terjangkit sama. Tapi alhamdulillah, Zahra tidak banyak ragam. Hanya sekali sekala mengamuk bila hidungnya tersumbat. Saya legakan dia menggunakan balm. Tidaklah menyapu balm itu di hidung, tetapi cukup dengan memberikan dia bau balm yang berangin supaya mudah dia bernafas.

Demam tapi masih ceria. :)

Walaupun selsema, bangun pagi terus menghadiahkan mama senyuman =)


STABAZ (Stall and Bazaar), UIAM

Walaupun kesihatan tidak berapa meyakinkan, saya tetap mengambil peluang cuti hujung minggu untuk mengunjungi UIA kerana ada pesta konvokesyen di sana. Tidak seperti tahun-tahun yang lepas, keterujaan melawat gerai-gerai jualan sedikit memuncak kerana kali ini saya membawa anak bersama. Zahra mudah diuruskan, dia hanya berdiam diri sambil matanya bulat meliar melihat orang sekeliling. Sesekali bila saya mengagah, dia tersenyum. Hanya menangis bila perutnya berkeroncong, diberikan susu, terus diam semula.

Tapi kunjungan semalam sedikit mengecewakan. Gerai-gerai yang dibuka tidak banyak dan suasananya agak muram. Tidak ramai pelajar yang hadir memeriahkan pesta konvokosyen tersebut, malah gerai-gerai yang dibuka juga terhad. Ketika bertemu dengan seorang rakan, saya bertanyakan tentang suasana yang murung itu dan dia menjawab separa berbisik "Sewa tapak mahal, manalah student mampu". Saya mengeluh, sepatutnya acara julung-julung kali begini janganlah diambil kira sangat keuntungannya. Jika diberi sewa tapak yang berpatutan juga, pihak universiti akan beroleh keuntungan. Malahan kemeriahan pesta konvokesyen UIAM akan disebut-sebut. Tidak terjadi seperti perbualan sebuah keluarga yang secara tidak sengaja kami dengari, "Mari kita ke pasta konvokesyen UM sajalah, di sana lebih banyak makanan". Saya dan suami tersenyum, mengakui. Kami sendiri pernah berkunjung ke pesta konvokesyen di UM. Suasananya jauh lebih meriah dan gerai-gerai yang dibuka sangat banyak dan memberi pilhan yang pelbagai.



p/s: Untuk mereka yang ber'konvokesyen'. Tahniah! Semoga terus menuju ke menara gading :)

Pulang ke Kampung

Esok (Isnin), kami sekeluarga akan pulang ke Terengganu kerana ada hal yang perlu diselesaikan. Sungguh pun kepulangan itu singkat, (bertolak ke Terengganu-Isnin, pulang ke KL-Rabu) saya tetap teruja. Sudah lama rasanya saya rindu mahu menghirup udara segar di Terengganu. Angin bertiup yang berbau pasir pantai benar-benar mendamaikan hati. Saya membuat permintaan pada suami, mahu singgah di pantai untuk menikmati pandangan dan berjalan di gigi air bersama Zahra. Kata suami, "Mandi je la". Saya terdiam, serasa saya usulan suami itu agak kurang logik. "Macam mana nak mandi, Zahra nanti siapa yang nak jaga?", "Awak, mandi saya jaga, saya mandi awak jaga. Kita bergilir". Jawab suami dengan serius. Saya terdiam, bertambah tidak masuk akal, "Tak mahulah, mandi seorang diri mana seronok". Suami hanya tersenyum, saya tahu dia mengusik. Tak apa, saya akan bersabar, menunggu Zahra meningkat umur. Nanti boleh la kami mandi bertiga. InsyaAllah.


Deactivate Facebook

Sudah dua hari saya deactivate Facebook. Kesihatan saya tidak berapa baik, jadinya saya malas mahu memberatkan fikiran dengan perkara yang bukan-bukan. Malas mahu menyakitkan hati mengenangkan perihal yang terjadi. Kesimpulannya sekarang ini saya rasa kurang tabah mahu menghadapi beberapa dugaan yang Allah beri. Makanya saya mengambil cuti 4/5 hari untuk bersedih. Kemudiannya saya tekad mahu hidup seperti sedia kala, menghadapi segala yang datang dengan kesabaran, keredhaan dan pengharapan pada Allah agar saya dilorongkan di jalan yang betul dan segala apa yang saya lakukan walaupun tidak terlihat di mata manusia, Allah mengambil kira semuanya. Allah kan Maha Adil. Dan sekiranya 'cuti' ini diambil kira sebagai berputus asa, maka saya meminta keampunan dari Allah. Saya menadah tangan dan memohon doa, "Ya Allah, tiupkanlah semangat ke dalam diri saya agar mampu berdiri kembali, kuatkanlah hati saya agar tidak mudah berkecil hati dan tenangkanlah fikiran saya agar saya sentiada meridhai segala ujian yang diberi. Ameen".


Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

p/s: Gambar Zahra dan pantai dari sumber saya sendiri. Gambar yang lain, sumbernya dari google.com


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

2 comments:

  1. nape bersedih? xnk share?? xsihat? semoga cpt sembuh ye...aminnn

    ReplyDelete
  2. Salam

    Memang nak share tapi kita tak berjumpa...
    Nak share di sini...tak la kot. Huhuhu :p
    Oh, demam sebab hentam cili padi..
    Baru habis pantang dah mkn mcm2, ini la jadinya..

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...