Friday, October 7, 2011

Kisah Semalam

Salam

Saya merenung kembali peristiwa yang berlaku semalam. Cuba memuhasabah diri, mencari di mana kekurangan sehinggakan perbualan menjadi suatu perbalahan. Ya, mungkin ada silap saya dalam menyatakan kebenaran, mungkin saya agak keterlaluan. Saya berfikir lagi, cuba menafsir apa sebenarnya yang berlaku, mengapa keterlampauan itu terjadi sedangkan suami telah pun berpesan berkali-kali agar saya tidak melampaui batas.

Saya tidak didengari, itu sebenarnya yang terjadi. Berkali-kali saya cuba menyatakan apa sebenarnya yang saya rasai dan apa sebenarnya yang mereka tidak patut campuri. Ini urusan peribadi, biar siapa pun mereka, seharusnya tidak perlu mencampuri urusan suami isteri sehingga bertanyakan perihal di tempat tidur. Saya menerima andai teguran itu berupa nasihat yang bermanfaat tapi andai menasihati perlukah diulang puluhan kali sehinggakan kami merasa hak peribadi dicabuli. Saya tersinggung, malu dengan suami kerana begini sekali mereka mencampuri urusan kami suami isteri.

Bukan saya mahu menidakkan hak, saya juga milik mereka. Milik mereka terlebih dahulu sebelum menjadi milik suami. Dan tidak juga seperti yang dikata, saya lupa diri, hanya menyintai suami sedangkan mereka mulai saya benci setelah kebahagiaan rumah tangga saya kecapi. Semua ini tidak benar walaupun seinci. Cinta saya tidak pernah bertepi dan masih lagi mekar mewangi. Bezanya saya bukan lagi seperti dulu, saya sudah bergelar isteri dan kini menjadi ibu. Pemikiran saya bukan menjurus pada satu sisi dan tidak juga meliar tanpa mengenal erti. Maka sayang dan cinta itu tidak berseru pada tempat yang sama. Ia dinyanyikan dengan cara yang berbeza. Yang tujuannya hanya satu, mahukan kebaikan dan membuka mata mereka yang selama ini hanya melihat pada satu hala.

Dakwah tidak hanya berlaku dengan kelembutan. Bukan seruan memujuk sahaja yang perlu kita gunakan. Seperti mana Allah SWT memperkenalkan kepada kita keindahan syurga agar kita cenderung kepada kebaikan dan juga menakut-nakutkan kita dengan siksaan neraka agar kita berlari jauh dari kejahatan. Makanya, mengajak pada kebaikan tidak semestinya dengan kelembutan yang berpanjangan. Bertahun-tahun sudah berlalu, kelembutan telah mengakibatkan kekerasan hati. Lihat saja kewajipan yang diingkari, ini adalah hasil dari kelembutan yang tidak disempadani. Lihat saja tanggungjawab yang diabaikan, ini hasil dari kelembutan yang melalaikan.

Saya sudah menemui jalan ke arah kebaikan (insyaAllah), tapi tidak mahu berjalan keseorangan, makanya saya menyeru agar kalian menukar haluan. Tapi kalian seakan-akan memusuhi dengan mengatakan saya lupa diri setelah bersuami. Tidak, bukan itu sebenarnya yang terjadi, tidak sekali-kali saya lupa diri. Yang saya mahukan kita menukar kelembutan yang melalaikan pada kelembutan berselang seli dengan kekerasan seperti cara dakwah Rasulullah SAW agar dapat melembutkan hati yang keras dari menunaikan kewajipan dan mengingatkan jiwa yang lalai dalam menjalankan tanggungjawab.

Seandainya kalian berkata saya ini mendadak, terlalu mendesak, beritahulah saya bila kalian mahu berubah. Usia semakin meningkat dan ajal tidak menjemput dengan mengirimkan surat. Saya merasakan kesuntukkan masa apabila melihat kalian semakin melepasi fasa-fasa kehidupan yang terus meningkat. Selepas ini kalian akan mula bekerja, mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata. Tentu sahaja kalian mahu anak-anak agar sujud pada yang "satu", tapi bagaimana mahu berbuat begitu jika kalian sendiri sekejap mahu dan sekejap-sekejap buat tidak tahu?

Namun saya tahu, dalam perbalahan yang timbul ada silap saya yang tersasul. Mungkin terlalu menekan sehingga memberi tekanan. Tapi andai kebaikan boleh dicapai dengan kebencian, biarlah kalian membenci saya berkali-kali tetapi kalian bergerak ke arah kebaikan yang hakiki. Saya tidak mendakwa diri saya terbaik, saya juga manusia biasa yang sering saja alpa.

Saya memohon maaf dengan setiap perbuatan saya yang dirasakan kasar tidak beringat, lantang tidak bertempat dan keras tidak berbelas. Saya mohon maaf.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaiNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...