Wednesday, October 5, 2011

Hidup Warga Metropolitan

Salam

Teringat sewaktu di zaman persekolahan. Saya paling suka menulis karangan. Kalau di suruh menulis, pasti panjang karangan saya akan melebihi had patah perkataan yang dibenarkan. Rasa tidak dramatik karangan kalau tidak panjang. Diingat kembali tajuk kegemaran cikgu-cikgu waktu itu ialah perbezaan hidup di bandar dan di luar bandar. Saya tidak tahu mengapa tapi memang itu tajuk yang selalu diberikan pada kami semua.

Bila menulis tentang tajuk ini, kehidupan berjiran adalah salah satu isi penting yang selalu ditekankan. Waktu itu memang akan dibuat perbandingan bagaimana mereka yang hidup di bandar beramah mesra dengan jiran dan bagaimana mereka yang hidup di luar bandar hidup berjiran. Saya selalu menghuraikannya dengan mengatakan hidup berjiran di luar bandar lebih meriah. Sesama jiran akan mengambil tahu perihal jiran masing-masing, bukanlah dalam konteks "busy body" tapi dalam konteks mengambil berat. Di luar bandar, kehidupan berjiran lebih bermuafakat. Jika ada kenduri yang akan berlangsung, jiran-jiran akan berkumpul dan sama-sama bergotong royong menjayakan kenduri tersebut. Begitu juga jika ada jiran yang sakit atau uzur, maka sibuklah jiran lain datang melawat malahan jika hubungan lebih erat, ada jiran yang menyediakan juadah untuk keluarga yang ditimpa keuzuran. Betapa kuatnya ukhuwah hidup berjiran di luar bandar.

Bila diperhatikan kehidupan di bandar, kita semua bagai di kurung pagar besi. Masing-masing diam disebalik konkrit yang memisahkan kita. Aku dengan kehidupanku, kamu dengan kehidupanmu. Kalau hidup di bandar, tuntutan kerja lebih diutamakan. Bangun saja pagi, kita semua sudah menggila berlari ke sana ke mari. Menyiapkan sarapan pagi, menggosok baju suami dan menyediakan keperluan anak-anak, sebelum kita sendiri bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Pulang dari tempat kerja, berlari-lari lagi untuk juadah malam, menyemak kerja sekolah anak, melipat pakaian atau pun mengemas rumah mana yang mampu sambil berbual kosong dengan suami dan kemudiannya menidurkan anak. Beginilah rutin kehidupan di bandar. Sibuk. Tidak ada masa untuk jiran. Tapi bolehkah kesibukkan mencari nafkah ini dijadikan alasan? Orang di luar bandar tidak mencari nafkah kah?

Dulu saya hanya tahu menulis. Mencari isi-isi yang saya rasakan bernas untuk karangan saya tanpa merasai apa-apa signifikan daripada penulisan itu. Matlamat saya hanya untuk mendapatkan markah. Tapi hari ini setelah hidup berkeluarga dan mempunyai rumah sendiri, saya merasai kebenaran penulisan saya. Hidup saya, hanya saya dan keluarga. Jiran, hanya sayup-sayup suara mereka saja yang saya dengar. Bukanlah kami tidak bertegur sapa, malah jiran juga ada berkunjung ke rumah saya sewaktu majlis aqiqah Zahra, kami berbual mesra dan berkongsi pelbagai cerita. Tetapi bila rutin kehidupan bermula, semuanya sunyi sepi. Hanya sempat melemparkan teguran ringan, "Assalamualaikum kak" dan melemparkan senyuman mesra.

Saya sendiri buntu bagaimana mahu menyelesaikan perkara ini. Ye la, kita tidak tahu bagaimana rutin kehidupan orang. Kalau berkunjung tak tentu pasal takut menganggu, lagipun bolehkah berkunjung dengan alasan saja mahu berbual mesra. Tidak kekokkah jiran nanti. Semuanya jadi canggung. Sungguh menulis kesimpulan karangan dengan memberi solusi pada masalah hidup berjiran di bandar, berbeza benar dengan realiti untuk mengaplikasikannya. Saya berfikir sendiri tentang markah karangan yang saya perolehi, apakah cikgu merasakan cadangan saya itu logik untuk diaplikasi atau sekadar memberi markah kerana memikirkan bahawa ini adalah penyelesaian yang diberi budak-budak yang masih belum mengenali kehidupan sebenar.

Wallahua'lam, saya akan cuba beramah mesra sedikit demi sedikit. Mungkin dengan mendekati anak-anak jiran terlebih dahulu. Apa-apa pun semoga Allah membantu kita dalam usaha merapatkan silaturrahim.

Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dila'nati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka.

Surah Muhammad, Ayat 22-23

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...