Sunday, September 25, 2011

Bunga-Bunga Iman

Salam

Dalam sibuk memikirkan cara untuk men'tarbiah' anak, hati saya tidak lekang daripada berbisik agar Zahrah dikurniakan paras rupa yang cantik dan molek. Perasaan ini acap kali mengambil tempat di hati saya, lebih-lebih lagi ketika ini wajah Zahrah masih lagi berubah-ubah dari masa ke semasa. Ini bukan satu perasaan yang baru, malah ketika saya mula mengandung lagi harapan untuk mempunyai anak yang cantik sudah tertanam di dalam hati. Bila mama mengusulkan saya agar membaca Surah Yusuf, cepat-cepat saya mengamalkannya. Saya tidak tahu perasaan dan naluri ibu-ibu yang lain, tapi ini apa yang saya rasakan.

Kerap kali juga saya ceritakan harapan ini pada suami. Dan tiap kali itu juga suami menghadiahkan senyuman untuk saya. Ya, tentu sahaja dia juga berkongsi angan yang sama. Sedar atau tidak harapan ini telah mengambil tempat yang penting dalam hati saya.


Saya sedikit tersentak ketika suami menegur harapan saya ini setelah beberapa lama saya canangkan pada dia. Katanya janganlah kecantikkan itu lebih tinggi harapannya bebanding kuat iman dan baik budi pekerti. Saya masih ingat lagi kata suami, "Kalau anak kita tidak cerdik dan tidak cantik kita tidak risau. Tapi kalau anak kita tidak menjadi, tidak beriman dan tidak bertingkah laku baik. Itu yang kita risaukan". Saya beristighfar, benar katanya, harapan saya pada kecantikkan telah mengatasi harapan saya pada keimanan.

Semenjak dari itu sehingga ke hari ini, saya membaja ke dalam hati saya agar melebihkan agama. Saya mahu semakin lama, harapan itu akan melebihi harapan saya pada paras rupa. Saya menyebut-nyebut harapan saya agar Zahrah menuruti jejak Abinya yang menghafaz Quran. Saya bercakap-cakap dengan Zahrah supaya menjadi anak solehah, menyayangi ibubapanya dan rajin belajar agama. Bukanlah ini bermakna saya langsung buat tidak endah pada nyanyian "tepuk amai-amai" atau agahan seperti "ciku cak", saya tidak mengabaikan itu. Cumanya penekanan saya lebih pada dodoi dengan zikrullah dan perbualan mengenai Allah.

Bila saya cakap sebegini, ramai yang berfikir anak saya kurang bernasib baik. Pasti zaman kanak-kanaknya murung tanpa permainan, lagu kanak-kanak dan baju yang cantik-cantik. Saya masih ingat pada soalan seorang teman, "Anak awak memang tidak akan diberi pakai skirt ya?". Tidak bukan begitu, saya tidaklah sebegitu syadid atau tegas. Zaman kanak-kanak tetap akan dinikmati. Saya tetap akan membelikan Zahrah barang permainan, mengajar dia menyanyi lagu "Twinkle-twinkle little star" dan tetap juga Zahrah akan merasa memakai skirt-skirt pendek dan baju gown. Cumanya ada had yang saya letakkan, mungkin pada umur 4 tahun, Zahrah akan mula berjinak-jinak dengan tudung dan mulutnya lebih menyanyikan lagu nasyid kanak-kanak.

Zahra, semoga menjadi hafizah dan solehah :)

Saya tidak mahu orang salah faham tentang Islam, asal agama sahaja susah. Tidak, Islam tidak menyusahkan penganutnya. Ini boleh kita lihat dalam rukhsah-rukhsah yang Allah berikan kepada kita di dalam solat dan puasa (ketika sakit dan bermusafir). Malahan jika kita lihat dengan lebih teliti, hukum asal kepada sesuatu adalah mubah atau harus selagi mana tidak ada nas-nas yang menyatakan ianya haram.

"(Allah) telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi semuanya daripadaNya."

Al-Jatsiyah: 13

Teringat kata-kata abah, "Islam ini seperti Bunga Mawar, cantik dan indah. Tapi orang ramai takut mendekatinya kerana ada duri di batang yang akan mencucuk". Saya tidak mahu menjadi duri yang menyebabkan orang ramai menjauhi Islam kerana merasakan Islam ini susah (kerana terlampau banyak yang haram dan tidak boleh dilakukan), hasil dari bacaan mereka di blog saya. Yang sewenang-wenangnya boleh meletakkan sesuatu hukum hanyalah Allah SWT. Maka saya tidak akan dengan mudah mengatakan itu dan ini adalah haram.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yng memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...